TUTORAN
YANG BERKUALITI
Tutoran
merupakan sesi pembelajaran seorang atau sekumpulan pelajar dengan seorang
tutor. Dalam sesi tutoran, seseorang
pelajar bermaksud ingin memantapkan pemahaman dan kemahirannya dalam sesuatu
topik pembelajaran melalui bimbingan dan sokongan seseorang tutor. Dalam
konteks Program Matrikulasi KPM, masa tutoran bagi, subjek sains, PST adalah 2
jam seminggu manakala bagi PDT adalah 1 jam seminggu bagi subjek sains dalam
jadual waktu rasmi. Keberkesanan sesi tutoran amat penting kepada pelajar dalam sesuatu subjek yang dipelajari dalam
usaha mencapai tahap penguasaan yang cemerlang. Tutoran yang berkualiti
seharusnya mempunyai ciri keberkesanan yang memacu pelajar mencapai hasratnya
untuk cemerlang dalam akademik.
Faktor paling
utama sesuatu tutoran yang berkualiti adalah jalinan hubungan yang rapat antara
tutor dengan para pelajarnya agar pelajar menerimanya sebagai tutor dengan kepercayaan
yang tinggi. Setelah itu barulah pelajar akan mendengar dengan berfokus kerana
telah mempercayai kesungguhan tutor untuk membimbing mereka sehingga berjaya
dalam subjek. Oleh itu tutor perlu ingatkan diri: bina hubungan dulu sebelum
kandungan.
Beberapa
langkah untuk seseorang tutor membina hubungan dengan pelajarnya adalah seperti
berikut:
1. Berikan
fokus sepenuhnya kepada para pelajar semasa anda berhadapan dengan mereka dalam
kelas. Ini memberikan mesej bahawa mereka adalah penting kepada anda.
2. Ketahui
sedikit latar belakang setiap pelajar dengan melihat maklumat peribadi mereka
dan berjumpa dan bercakap dengan beberapa orang pelajar yang anda sasarkan
semasa sesi tutoran. Usaha ini akan memastikan anda telah sekurang-kurang
menghubungi satu dengan satu dengan setiap pelajar dalam semester tersebut.
3. Kongsi
maklumat peribadi anda sedikit sebanyak agar pelajar melihat anda sebagai
seorang yang mudah didekati.
4. Rasai
perasaan kumpulan dalam kelas anda setiap kali anda bersama mereka. Berikan
rangsangan yang meningkatkan semangat pelajar jika mereka agak muram.
Tenteramkan keadaan mereka dengan aktiviti atau kata-kata yang sesuai sebelum
memulakan sesi tutoran.
5. Setiap
pelajar dan setiap kelas adalah berbeza. Menghormati dan mengakui perbezaan ini
diperlukan bagi menjalin hubungan membantu dengan pelajar anda.
Apabila anda
menjalin hubungan dengan pelajar secara dua hala, mereka akan mempercayai anda
dan komited dengan pembelajaran. Mereka akan mendengar kandungan pelajaran yang
anda sampaikan kerana mereka tahu bahawa anda amat mementingkan dan
mengharapkan kejayaan mereka.
Tutoran yang
berkualiti dan berkesan mempunyai ciri-ciri yang membantu pelajar belajar. Faktor-faktor
yang sering ditemui dalam situasi pengajaran dan tutoran berkualiti adalah: komunikasi,
perkara-perkara yang membentuk iklim belajar yang baik, kaedah / teknik yang
berkesan, dan kualiti peribadi tutor.
1. Dalam
berkomunikasi, tutor seharusnya boleh mendengar kepada suara pelajar sebanyak
mana atau lebih daripada apa yang ia cakapkan dalam kelas. Kurangkan masa anda
bercakap melalui penyampaian secara terus kepada apa yang penting sahaja.
Bukakan kelas kepada perbincangan antara tutor-pelajar dan pelajar-pelajar.
2. Iklim atau
sekitaran pembelajaran mempunyai kesan yang signifikan ke atas kejayaan para
pelajar. Selain sekitaran fizikal kelas yang selesa, suasana pembelajaran yang
diwujudkan oleh tutor boleh memberi impak yang besar ke atas kejayaan pelajar. Sekitaran
pembelajaran yang serius tetapi mesra dan terbuka dilihat sebagai yang paling
berkesan.
3. Kaedah
tutoran yang berkesan meliputi perkara-perkara seperti menyatakan objektif
pembelajaran di permulaan sesi tutoran,
melayan soalan secara berkesan, penglibatan dan interaksi pelajar secara aktif,
pembelajaran secara koperatif, pembelajaran berasaskan masalah dan kajian kes.
4. Kualiti
peribadi tutor yang paling penting bagi keberkesanan tutoran adalah penguasaan
ilmu mata pelajaran yang diajar dan kesungguhan berkongsi pengetahuan tersebut.
Selain itu, ciri peribadi yang berkesan adalah mudah didekati dan bertemu,
serta menghormati pelajar dan kecindanan, kebolehlenturan, keyakinan,
kesabaran, konsisten, sedia memaafkan dan bersemangat ceria. Kesediaan
mengambil peluang saat mengajar- daripada soalan pelajar atau kejadian di alam sekitar,
dan mengaitkannya dengan pelajaran sedia ada - merupakan batu loncatan terbaik
tutor yang berkesan.
Tujuh Ciri
Tutor yang berkesan
1. Bijak
(Intelligent)
Tahu
kandungan dan tahu bagaimana pelajar belajar dan bagaimana membimbing mereka
dalam sesuatu topik.
2. Pemupuk
(Nurturant)
Memupuk hubungan baik dengan pelajar
dan berempati dengan cabaran mereka menghadapi pembelajaran dari sudut
pandangan pelajar.
3. Penyoal
(Socratic)
Tidak memberitahu jawapan dengan
segera. Pelajar diberi masa memikirkan penyelesaian, bertanya sesama pelajar
dan tutor kerana ia mencambah pembelajaran. Tutor bertanya sekitar 90% daripada
percakapannya.
4. Progresif
Mendapatkan maklumat tahap pemahaman
pelajar daripada kuiz, ujian pra, penilaian konsep. Setelah itu memberikan
latihan dengan soalan berperingkat dan terarah.
5. Tidak
langsung (Indirect)
Membimbing penyelesaian masalah oleh
pelajar secara membincangkan cadangan pelajar dan memantau pelajar semasa
mereka meneruskan cubaan ke arah penyelesaian kepada jawapan.
6. Reflektif
Bertanya kepada pelajar secara berulang dan
berkala dalam proses pencarian jawapan
oleh pelajar mengukuhkan kepentingan berfikir tentang proses pemikiran
dalam aktiviti pembelajaran.
7. Menggalak
(Encouraging)
Sentiasa menunjukkan kepercayaan dan pengharapan
kepada pelajar melalui sokongan moral,
dorongan, mengambil berat dan memaklum balas secara positif.
Cadangan Lima
Langkah Tutoran yang Berkualiti
Berikut
adalah cadangan lima langkah tutoran yang berkualiti sebagai panduan kepada
tutor dalam melaksanakan kelas tutorannya:
1. Tahu apa
yang dijangkakan terhadap anda sebagai seorang tutor
Tutoran bukanlah
suatu sesi pengajaran. Tutor bekerja rapat dengan pelajar dan membina hubungan
mesra pelajar dalam melayan isu dan soalan pelajar. Sesi tutoran bertujuan
membentuk pelajar menjadi yakin diri, berdikari dan bertambah mahir dalam
subjeknya.
2. Bersedia
untuk sesi tutoran anda
Pelajar lebih
bermotivasi untuk belajar apabila mereka menyukai tutornya. Tutor seharusnya
membina perasaan positif terhadap dirinya dan subjeknya. Tutor mesti bertindak
sebagai mesra-pelajar dan bukan mencuba menjadi rakan pelajar.
3. Hadapi
keperluan pelajar
Dengar
keluhan pelajar dan nilaikan kefahaman pelajar melalui pertanyaan. Gunakan teknik penyoalan yang baik,
penyelesaian masalah dan pemulihan yang positif.
4. Isi
kandungan sesi tutoran yang baik
·
Ucap
selamat datang dan beri tumpuan sepenuhnya kepada pelajar
·
Berempati
dengan masalah pelajar
·
Ikhlas
hati dengan pelajar
·
Bersifat
kecindan dalam sesi bersama pelajar
·
Kurangkan
ketegangan - tenangkan diri anda dan
juga pelajar
·
Ambil
tahu kekuatan dan kelemahan pelajar
·
Gunakan
kekuatan pelajar untuk mengatasi kelemahannya
·
Wujudkan
rasa seronok pelajar terhadap dirinya dan pencapaiannya
·
Akhiri
sesi dengan cara yang positif
5. Mengakhiri sesi tutoran
·
Rumuskan
apa yang pelajar dapat menguasai semasa sesi tutoran
·
Cadangkan
aktiviti selanjutnya untuk pelajar selepas berbincang dengan
pelajar. Akhiri
sesi dengan ulasan yang memberangsangkan pelajar
Contoh
Pengendalian Tutoran Fizik
Pengendalian
tutoran yang bijak dan berstrategi dapat menghasilkan pembelajaran yang
berkesan bagi pelajar dalam usaha mereka menguasai sesuatu kemahiran dan
pengetahuan dalam sesuatu subjek. Dalam konteks pembelajaran subjek fizik, antara
langkah-langkah yang berkesan dalam pengendalian tutoran fizik adalah
seperti berikut:
1. Semasa
membimbing pelajar, tutor tidak menyebut apa yang perlu ditulis oleh pelajar
untuk langkah seterusnya dalam penyelesaian masalah fizik.
2.
Menggalakkan pelajar bercakap tentang langkah seterusnya agar tutor dapat membimbing
ke arah langkah yang sepatutnya dengan cepat.
3. Apabila
bertemu miskonsepsi atau jurang dalam
kefahaman pelajar tentang prinsip dan konsep fizik yang berkaitan, rujuklah kepada buku fizik
dalam topik berkenaan bersama pelajar.
4. Pandu
pelajar dalam memecahkan penyelesaian kepada langkah-langkah kecil dan pantau
pelajar agar faham setiap komponen
berkaitan.
5. Biarkan
pelajar membuat penyelasaian sendiri dengan memberi saranan dan panduan sahaja.
6. Tutor
mesti sabar agar tidak membuat penyelesaian untuk pelajar apabila mereka
tersekat sekerat jalan.
7. Tutor seharusnya
ada menyediakan soalan dari aras senang ke susah yang beransur-ansur maju dalam
satu-satu topik. Soalan-soalan jenis “lots” dan “hots” sepatutnya dapat menghasilkan
kefahaman pelajar secara progresif. Ini dilakukan dalam kuiz pendek, ujian pra
dan penilaian konsep untuk mengenal pasti tahap kefahaman pelajar sebelum
menghadapi latihan menjawab soalan-soalan tipikal.
8. Soalan-soalan
sesuatu topik seharusnya mempunyai kaedah penyelesaian yang sedikit berbeza
daripada soalan sebelumnya akan tetapi merupakan kaedah alternatif / perlu /
pelengkap untuk ciri –ciri tertentu masalah dalam topik yang sama.
9. Pelajar dipandu dengan saranan / soalan
penunjuk arah yang memberi celik akal kepada pelajar dalam penyelesaian soalan.
10.
Pertanyaan kepada pelajar harus merupakan soalan terbuka yang bukan melibatkan
jawapan ya/tidak semasa mencungkil kefahaman pelajar. Ini dapat membina
kesedaran metakognitif apabila dikehendaki menjelaskan pemikiran mereka.
11. Tutor
harus bertanya pelajar apakah langkah seterusnya pelajar hendak lakukan, sama
ada betul atau tidak, agar tutor dapat membetulkan miskonsepsi pelajar yang
timbul walaupun mereka melaksanakan langkah yang betul.
12. Perkara
terpenting ialah agar pelajar akhirnya dapat membina kemahiran menyepadukan beberapa
konsep dan / atau prinsip berkaitan dalam proses penyelesaian masalah fizik.
Dari semasa
ke semasa, tutor perlu mengukur tahap keberkesanan pengendalian tutorannya
(kekuatan dan kelemahan) untuk memperbaiki pengajarannya. Antara
langkah-langkah mengukur tahap keberkesanan tutoran adalah:
1. Adakan
pemerhatian tentang kaedah pengajaran, penglibatan pelajar dan tahap kesediaan
pelajar dalam kelas. Dapatkan rakan tutor (team teaching) sebagai
pemerhati dan penilai anda semasa melaksanakan sesi bersama pelajar. Anda akan
mendapat celik akal tentang apa yang boleh diperbaiki setelah tersedar daripada
teguran mesra rakan pemerhati anda. Rakan anda pula akan mendapat manfaat
secara tidak langsung mempelajari sesuatu kaedah yang baik semasa memerhati
anda.
2. Berikan
peluang kepada pelajar kelas anda menilai pengajaran anda dari segi keberkesanan
pengajaran, persediaan anda, dan perkara yang menarik penglibatan pelajar.
Soalan terbuka juga diajukan seperti apakah
yang tutor lakukan yang terbaik, dan apakah yang boleh dilakukan untuk
memperbaiki tutoran.
Usaha melaksanakan
tutoran yang berkualiti dan berkesan memerlukan perancangan dan pengetahuan
asas dalam mengendalikannya. Dalam pengajaran dan juga tutoran, strategi yang
paling berkesan ialah usaha membina hubungan yang mesra dan rapat dengan
pelajar. Tutoran yang berkualiti dan berkesan melibatkan faktor komunikasi,
iklim belajar,kaedah dan kualiti peribadi tutor.
Ciri tutor yang berkesan
dikenal pasti dan langkah-langkah tutoran yang berkualiti melibatkan jangkaan, persediaan,
menghadapi pelajar, isi kandungan sesi, mengakhiri sesi juga perlu
dipertimbangkan dalam merancang dan melaksanakan tutoran yang berkualiti.
Akhirnya mendapatkan maklum balas keberkesanan sesi tutoran anda membantu anda
memperbaiki kekurangan dalam pelaksanaan tutoran ke tahap yang lebih baik dan
berkualiti.
Rujukan
1. Maryellen
Weimer. 2013. When Teaching
large classes, think like a tutor. http://www.faculty focus.com/articles/effective-teaching-strategies/
[14 Julai 2013].
2. Mary Muroski. 2008. What Are the Most Effective
Teaching Strategies? http:// EzineArticles.com/?expert=Mary_
Muroski . [29 Jun 2013].