Selasa, 12 Mei 2015

Remaja bechinta

“Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua…cinta sejati yang ditunggunya!” 
Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam. Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan Rasulullah SAW?
“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.”
Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: “Dunia akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih yang dicintainya.” Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali. (Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku). Buruk sekali keadaan orang yang ‘frust’ dalam bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani ‘memperkosa’ kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara yang paling kejam.
Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?
Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).
Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.
Sebagai hamba Allah, renungilah firman Allah ini:
“Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.” Al Baqarah.
Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.
          Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of prayer). Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, “mengapa aku terpaksa menanggung derita ini.”Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter… ter… segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, “ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?”
          Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras terendah. Rasa hina (gagak di rimba) berbanding kekasihnya yang pergi (merak kayangan). Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada… kita masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, “Tuhan ada!” Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!
          Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya ‘terpaksa’ bercinta dengan Allah. Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.
          Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati. Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…
Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir… barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, “Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!” Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. Frustcinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!
          Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang bahagia bersama ‘orang’ yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya. “Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu.” “Allah ganti yang lebih baik.” “Tak sangka, kami akan serasi begini.” Begitulah suara-suara ‘testimonial’ daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).
Ya, pada waktu ‘terkena’ dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!
          Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai ‘mata rantai’ yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.
          Percayalah frust dalam bercinta itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.
Frust dalam cinta jika ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu faham ‘pelajaran’ yang dibawa bersamanya. Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. Kemungkinan besar kita akan ‘frust’ berkali-kali.
Semasa kita di peringkat remaja ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya? Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap remaja. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ di alam remaja terpaksa dibawa ke peringkat tinggi. Kalau begitu rugilah, sama seperti siswa atau siswi yang terpaksa ‘refer’  atau ‘repeat’ akibat gagal dalam peperiksaan mereka.
Remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa sepenuhnya. (I’m not a girl but not yet a women)  Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.
Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, perubahan biologi dan macam-macam lagi.  Dan di tahap ini juga remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan. Salah satunya frust dalam bercinta.
Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Remaja mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas mereka. Jika tidak, mereka terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.
Abu misalnya, akan sentiasa ‘pokai’ setiap pertengahan bulan dan sentiasa merungut duitnya tidak cukup. Minah, sudah lima kali ditinggalkan kekasih dan mengeluh tidak ada lelaki yang benar-benar memahami perasaannya.  Joe, telah tujuh kali jatuh motor dan marah-marah tentang nasib malang yang selalu menimpanya. Kenapa aku yang kena?
Bedah sebaliknya tidak seperti Minah, dia telahpun bertunang dengan lelaki yang pertama dikenalinya? Manakala Samad, cuma sekali sahaja jatuh motor dalam hidupnya dan sekarang sedang selesa memandu Perodua yang baru dibelinya… Apakah yang menyebabkan keadaan atau nasib mereka berbeza?
Bezanya ialah ada diantara kita yang cepat belajar dengan hidup tetapi ada yang lambat belajar. Yang belajar, akan ‘naik kelas’ dan layak untuk mengambil mata pelajaran yang baru. Yang tidak belajar, terpaksa mengambil mata pelajaran yang sama berkali-kali.
Abu, contoh kita tadi, tidak pernah belajar bagaimana mengurangkan perbelanjaan berbanding pendapatan… dan dia akan mengalami masalah yang sama walaupun kiranya nanti ia menjawat jawatan yang tinggi dan bergaji besar. Manakala Minah, tidak cuba mengenali kelemahan dirinya sendiri sebagai seorang wanita justeru tanggapannya bahawa ramai lelaki tidak setia.
Jadi langkah pertama supaya remaja‘lulus’ dalam pelajaran mereka ialah  mereka perlu akur bahawa setiap yang berlaku di alam remaja ada unsur pengajaran dan didikan buat mereka. Frust cinta hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.
Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah ditanyakan pada diri, “apakah pelajaran yang disebalik semua itu.” Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Tuhan. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehanah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sebarang manusia lain. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.
Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap. Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik.
Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’ di sebalik pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita? Tujuan utamanya ialah untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru   hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang tidak berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawal hati ‘kekasih hati’ agar dia sentiasa setia.
 Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain hatta kekasih kita mengawal hidup kita. Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata,  “we cannot  direct the wind but we can adjust our sail.” Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.
Malangnya, ramai manusia yang ingin memegang takdirnya sendiri. Dia seolah-olah ingin jadi ‘Tuhan”. Dia ingin semua keinginannya tercapai. Mustahil, manusia hakikatnya lemah. Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang bukanlah bererti mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak akan mampu!
Ringkasnya, ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna remaja gagal dalam ‘sekolah’ kehidupan mereka. Frust cinta, hakikatnya adalah ujian yang ingin merubah kita untuk mula mencintai Allah.
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda, samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan anda hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan… Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula. Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.
Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa remaja lagi, supaya anda tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia tua. Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.” Teringat kata Dale Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and start living, “jangan gergaji abuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!
Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.
Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah. Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hati… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan…
Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan ‘cuaca’ kehidupan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Apabila kita frust dalam bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat hidup. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!

hati besar otak kecil

DI MANA-MANA organisasi samada kerajaan, swasta mahupun kampung, kita akan menemui orang yang suka bertindak melebihi daripada kapasiti jawatannya. Kata-katanya, penampilannya serta tindak-tanduknya melampaui orang yang lebih berkuasa daripadanya. Di sektor kerajaan mahupun swasta, orang ini akan menunjukkan kuasanya seolah-olah dialah yang berkelayakan dalam membuat keputusan.

Kadangkala, keputusan yang dibuatnya itu bukannya apa yang diingini oleh ketuanya. Dia yang memandai-mandai membuat sesuatu keputusan itu walaupun dia tiada bidang kuasa itu. Tetapi, cara dia meminjam kuasa ialah dengan cara menjual nama. Dia akan sebut, ‘bos mahu ini, bos tak mahu itu, bos suruh ini, bos tak perintah itu…’ walhal ketuanya tidak tahu pun apa yang dilakukannya.

Di dalam institusi kampung pula, dia berlagak seperti penghulu atau ketua kampung untuk mengizin atau menolak sesebuah permintaan. Dia boleh pilih tarikh kenduri menyambut Ramadan mengikut kesesuaian kehadirannya dengan berkata, tarikh itu tok penghulu yang pilih. Dia boleh putuskan balai raya tidak boleh digunakan untuk majlis menyambut wakil rakyat kerana dia tidak sukakan individu itu dengan memberi alasan, tok penghulu sudah putuskan balairaya itu hendak dicat pada tarikh yang dipohon. Dengan bersandarkan alasan bahawa ‘tok penghulu yang kata,’ dia sewenang-wenangnya bertindak dengan tidak adil kerana berasa dialah yang punyai kuasa itu.

Orang ini sebenarnya mempunyai ego yang besar. Ataupun, maafcakap… besar kepala. Tetapi sayang, dia tidak layak untuk menyandang sesuatu jawatan itu kerana kekurangan daya keadilan dan kewarasannya. Namun, oleh kerana gilakan jawatan kerana kuasa yang ada, dia mempergunakan nama ketua yang menyandang jawatan itu sebagai senjata untuk bertindak.

Dalam pada itu, pula terdapat segolongan manusia yang walaupun sudah memegang sesuatu jawatan eksekutif, dia tidak berani menggunakan kuasa yang ada untuk membuat keputusan yang melancarkan organisasi pimpinannya. Apabila berdepan dengan situasi yang memerlukan dia membuat keputusan, maka dia akan menangguhkan tindakan semata-mata kerana takut akan implikasinya.

Boleh jadi, dia perlu menghukum pihak yang melanggar undang-undang di bawah bidangkuasanya. Ataupun sebagai timbalan, dia hanya perlu menjawab soalan daripada wartawan, bila dia hendak bertindak untuk mengorek longkang yang tersumbat. Ataupun sekadar menegur dan memperbetul keputusan anggota mesyuarat yang didapati akan menimbulkan masalah. Akibat tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan, banyak kerja jadi terbengkalai, banyak keputusan tertangguh dan banyak ketidakpatuhan prosedur semakin berleluasa.

Orang begini pula sebenarnya mempunyai hati yang terlalu kecil. Walaupun dia mungkin bijak  kerana intellectual quotientnya yang tinggi, dia tidak semestinya mempunyai emotional quotient yang baik. Dalam ertikata lain, dia tidak mempunyai keyakinan diri untuk bertindak berdasarkan keperluan dan kehendak situasi.

Pada hari ini, kewujudan mereka yang mempunyai hati yang kecil ini kian ramai walaupun daripada segi zahirnya golongan yang besar kepala itulah yang lebih menyerlah. Malangnya, ramai golongan yang berhati kecil ini menyandang jawatan dan pangkat yang besar. Oleh kerana berhati kecil, kesilapan yang besar-besar di dalam organisasinya tidak berani diperbetulkan.

Apakah dia tidak mahu menggunakan kuasa yang ada padanya untuk memperbetul kesilapan dan penyelewengan kerana takut terjejas harta dan kedudukan? Ia adalah persoalan yang mereka sendiri tahu akan jawapannya. Namun, jika dilihat sekadar beberapa contoh ketidakpatuhan tataurus dalam beberapa buah organisasi pada hari ini, barangkali kita nampak akan kecacatan dayafikir oleh mereka yang berhati kecil ini.

Sebab itulah, apa yang dilihat tidak betul oleh orang ramai itu bagai tidak dipedulikan oleh mereka yang berkuasa membuat keputusan. Malah, kesilapan demi kesilapan masih terus menerus dilakukan tanpa rasa bersalah. Akibatnya, daya kesegeraan untuk memperbetul kesilapan itu tidak ada dalam kamus fikiran. Dan, kesilapan yang diulang-ulang pula akan bertukar menjadi kesalahan.

Kesilapan boleh dimaafkan. Kesalahan pula perlu mendapat hukuman agar ia tidak berlaku lagi. Tetapi bagaimana pula jika pada manusia yang berhati kecil ini, kesalahan itu adalah sesuatu yang betul? Suasana menjadi parah apabila manusia yang punyai emotional quotient yang rendah ini tiada lagi spiritual quotient di dalam hatinya. Walaupun orang yang ingin memperbetul itu seperti anjing menyalak bukit, dan bukit tidak akan runtuh, tetapi apabila bukit itu runtuh, semua sekali akan terkambus.

Bagaimana kita hendak mengubah orang yang besar kepala atau berhati kecil ini? Cubalah menasihati mereka. Jika tidak mampu, cukuplah agar jangan jadi seperti mereka!

muhammad SAw

BIODATA RASULULLAH SAW

· Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
· Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan  20 April 571
Masehi (dikenali sebagai   Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah
Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
· Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
· Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
· Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
· Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba
perempuan bapa   Rasulullah SAW).
· Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
· Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali
Halimah As-Saadiah.  Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN
· Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat
untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN
· Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa '
(sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
· Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
· Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
· Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN  (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
· Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan
perniagaan..
· Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira
(Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang
pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa
itu.

USIA 20 TAHUN
· Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ' ,
jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah
14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan
berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja..
· Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi
pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN
· Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah
binti Khuwailid Al-Asadiyah.
· Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.
· Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya
yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk
meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
· Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
· Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
· Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk
Makkah.
· Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke
tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan
batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
· Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul
akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
· Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar
Al-Siddiq.
· Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
· Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12
Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
§ Khadijah Binti Khuwailid.
§ Saudah Binti Zam'ah.
§ Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
§ Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
§ Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
§ Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
§ Zainab Binti Jahsy.
§ Maimunah Binti Harith.
§ Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
§ Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
1. Qasim
2. Abdullah
3.. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra '

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai
aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam
syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم

Nabi Muhammad SAW - Manusia agong

KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH.  Begitu indahnya sifat fizikal
Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua
muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran
apa yang disampaikan oleh Baginda.

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:
- Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw..
- Aku melihat cahaya dari lidahnya.
- Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari
terbit.
- Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
- Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
- Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
- Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
- Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
- Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
- Wajahnya seperti bulan purnama.
- Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
- Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa
marah.
- Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
- Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli
di bahagian sudut.
- Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali
pertama kali melihatnya.
- Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
- Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
- Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
- Janggutnya penuh dan tebal menawan.
- Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
- Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
- Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
- Rambutnya sedikit ikal.
- Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah
bahu tapi disisir rapi.
- Rambutnya terbelah di tengah.
- Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur
dari dada ke pusat.
- Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya
lebih drpd biasa.
- Seimbang antahra kedua bahunya.
- Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar
dan tersusun dgn cantik..

Wallahua'lam Bissawab ....

Isnin, 11 Mei 2015

30 ciri orang munafiq

Berikut ini ketiga puluh ciri orang-orang munafiq seperti yang ditegaskan di atas, ia adalah disaring daripada ayat-ayat al-Quran atau hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w.

1. Kurang berzikir
2. Melakukan solat dalam keadaan terlalu cepat.
3. Suka mencela orang-orang yang taat dan solih
4. Memperolok al-Quran, as- Sunnah dan Rasulullah s.a.w.
5. Melakukan sumpah Palsu
6. Berat hati untuk berinfaq pada jalan Allah seperti menderma untuk pembinaan masjid.
7. Tidak ambil tahu terhadap nasib orang-orang Islam walau di mana-mana mereka berada.
8. Suka berdusta

9. Mengkhianati amanah
10. Celupar mulut ketika dalam perbalahan
11. Memungkiri janji
12. Malas beribadat
13. Suka menunjuk-nunjuk (Riya’)
14. Suka menyebarkan berita bohong
15. Mengingkari takdir Allah SWT
16. Suka mencaci maki kehormatan orang-orang salih
17. Sering meninggalkan solat berjemaah
18. Membuat Kerosakan di muka bumi dengan alasan untuk mengadakan ‘Islah’
19. Tidak ada keseragaman antara zahir dan batin
20. Rasa takut terhadap kejadian, insiden, kemalangan yang menimpa diri
21. Terlibat dalam pembohongan yang banyak

22. Menyuruh kepada perkara mungkar dan mencegah yang makruf
23. Bakhil walaupun terhadap diri sendiri
24. Lupa Kepada Allah SWT
25. Berdusta terhadap janji Allah dan Rasul-Nya
26. Menitik-beratkan persoalan zahir dan mengabaikan persoalan batin
27. Sombong ketika bercakap
28. Tidak memahami Islam dengan baik yang bersifat syumul
29. Bersembunyi dari pengetahuan manusia dan menentang Allah dengan perlakuan dosa

30. Senang hati dengan musibah yang menimpa orangorang beriman dan dengki terhadap kebahagiaan mereka.

Ahad, 10 Mei 2015

luahan marhaen

Qoute yg sgt bagus dari Saiful Nang :

RAKYAT DIPAKSA TELAN TANPA PILIHAN - SAIFUL NANG
 Jika saya tinggal di London, New York atau paling terukpun di Guangzhao, Melbourne jika minyak naik saya tak terasa pun. Alternatif disediakan untuk saya sampai dari sejauh zon 6 Kota London ke tengah bandar ataupun ke zon 6 arah berlainan dalam masa kurang 1 jam sekalipun semasa penyuraian waktu puncak.

Apa nak risau jika Tuan Mayor Kota London juga naik train ke tempat kerja, untuk mesyuarat dengan pelanggan di mana-mana sahaja juga boleh naik train. Belanja pun tak banyak, guna sahaja kad bulanan mereka itu boleh sahaja melacak ke seluruh London. Untuk ke Manchester, Nottingham (seperti kita nak ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu) boleh guna train juga dengan kekerapan tinggi dan HARGA YANG MURAH (jika nak banding dengan pendapatan mereka, harga itu memang murah).

 Hari ini kita dipaksa untuk telan kenaikan harga tanpa kerajaan tuntaskan keperluan pengangkutan awam yang sangat parah. Naik bas pun tidak pasti boleh sampai ke pejabat tepat atau awal dari masa walaupun ada lorong khusus untuk bas. Saya minat melihat lorong bas di Istanbul seperti track keretapi yang tidak boleh dilalui kereta.

Tak perlu buat landasan dan tak perlu beli keretapi mahal-mahal. Guna bas sedia ada juga sudah lebih baik dari membuat projek pelebaran lebuhraya. Sampai kita ada 50 lorong pun masih tetap tak cukup.

 Tindakan pentingkan diri juga boleh disabitkan. Jika hebat pengangkutan awam nanti Proton punya jualan merosot pula. Dr. M tak akan berdiam diri.
 Malaysia sudah diwarisi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan yang sudah parah. Dapat pula ke tangan anak yang lahir atas dulang emas yang tidak pernah merasai kesusahan rakyat secara realistik dan peribadi.

Saya tersinggung semasa pertemuan bersama beliau dalam satu perbincangan "tehtarik" di Jibby & Co Subang awal tahun ini, beliau berseloroh tentang isu air dan saya lihat ia tidak kelakar langsung. Pada keadaan gawat air dengan penggunaannya bercatu dengan asbab beberapa dari kami bercatu air di rumah sehingga mandipun nak bercatu, beliau boleh berseloroh "Saya boleh mandi...rumah saya ada air" (lalu ketawa).

 Saya tahu ini pedas untuk Datuk Seri dan saya juga harap tak perlu nak katakan ini secara umum. Email cadangan berkajang-kajangpun, yang membacanya bukan dia tetapi ditapis oleh lapisan yang mungkin lihat ini remeh. Tapi kita lupa, jika suara rakyat ini seperti air.

Jika disekat dia akan melimpah juga sehingga satu ketika limpahan itu akan meruntuhkan empangan yang dibina selama 57 tahun.
 Petronas diajar untuk mengatakan rezab minyak kita tinggal sedikit, tetapi kerajaan lupa jurutera-jurutera carigali Petronas ada mulut dan ada Facebook.

Mereka boleh bercakap dan mereka selalu bercakap rezab minyak kita sangat banyak lagi. Sekecil Brunei itu sendiri rezab minyaknya masih lagi tidak habis-habis dan tidak akan habis sehingga 2030, mengapa kita boleh fikir rezab kita akan habis pada 2030-an?

 Masalah bila orang senang mentadbir, semuanya mahu dibeli dengan wang. Berikan rakyat BR1M sebagai gula-gula yang tidak mengenyangkan dan tidak juga berkhasiat. Wang tunai ditabur-tabur seperti Ali Baba Bujang Lapok memberi sedekah di pasar-pasar.

 Turunlah Datuk Seri, Turunlah....
 Bukan turun meletak jawatan, tetapi sebelum itu turunlah melihat SENDIRI kepayahan rakyat. Mungkin susah untuk Datuk Seri tahu sehingga Datuk Seri menerima gaji RM1500 sebulan dan perlu berulang alik dengan kereta sendiri yang berhutang dengan bank dengan kadar faedah bank konvensional dan  "Islamik" tapi menjerut leher.

 Isi minyak sendiri dan bayar tol sendiri juga bayaran parking. Makan dengan bekal nasi yang dimasak oleh Datin Seri Rosmah sendiri. Mungkin baru boleh memahami dengan sebenar-benarnya.

 Secara praktikal, itu mungkin sukar tetapi kami yakin Datuk Seri boleh turun dan lihat sendiri dan dengar sendiri kata-kata rakyat tanpa perlu protokol Perdana Menteri yang kadangkala mengarut dan menjarakkan informasi rakyat kepada Datuk Seri. Jika rakyat tak mampu sampaikan terus, rakyat akan sampaikan dalam media sosial.

 Untuk pengetahuan Datuk Seri, jika Datuk Seri buat lawatan ke sesuatu tempat, orang-orang Datuk Seri akan jadikan tempat sampah nampak macam Hyde Park. Setinggan nampak macam hotel 5 bintang tetapi setelah Datuk Seri pulang, semuanya dicabut semula dan tinggallah semuanya dalam keadaan sediakala sementara Datuk Seri dengan bangga membuat kenyataan "SYUKURKAH, MALAYSIA SUDAH MAJU".

 Apabila minyak naik harga, kesannya tetap kesan domino. Janganlah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Menteri Ayam) membuat kenyataakn memujuk yang harga barang tidak akan naik. Saban kali berlaku begitu, harga naik tetap naik. Penguatkuasaan kementeriaan hanya sekadar seperti seorang bapa menegur anak nakalnya yang panjat-panjat rumah tetamu dan memecahkan pinggan dengan teguran "Haiiippppp....babab kangg" dan kemudian sambung bersembang semula.

 Dulu semasa saya kecil, saya terpaksa percaya pada RTM. TV3 masa tu kalau nak dapat siaran pun kena pasang tudung periuk di antena. Setiap kali nak pilihanraya, Van Kementerian Penerangan akan buat hebahan WAYANG PACAK di pekan sehari Felda. Ramai-ramai kami berlonggok nak tengok cerita A.R Badul sambil hampar tikar dan kami juga terpaksa telan kempen pilihanraya yang main dalam wayang pacak ini.

Sekarang surat khabar dan TV sudah bukan sumber doktrinisasi kerajaan lagi, kami boleh dengar terus dari suara rakyat di sebelah sana juga sebelah sini tanpa perlu mereka menjadi pemberita.
 Datuk Seri, buanglah darah kerabat dan darah bangsawan yang ada dalam diri. Bercampurlah dengan marhaen yang sering terpaksa menelan semua yang disuapkan tanpa rela.

 Datuk Seri mungkin lihat, selepas beberapa bulan rakyat akan senyap kembali dan semuanya berjalan seperti biasa dan Datuk Seri akan buat kenyataan "Alhamdulillah, Rakyat Malaysia sudah mampu terima kemajuan".
 Boleh naikkan harga minyak, tetapi siapkanlah sarana pengangkutan awam yang murah dan efisyen serta boleh diharap.

Jangan jadikan KEPERLUAN AWAM seperti pengangkutan, elektrik dan bekalan air sebagai satu perniagaan untuk dasar keuntungan tetapi jadikanlah itu satu khidmat yang wajib bagi sebuah kerajaan.

 Sedarkah Datuk Seri, di sebalik penerimaan itu bukan kerana kerelaan tetapi kerana mereka terpaksa mencara jalan survival kerana sandaran mereka kepada Kerajaan sudah tidak berguna lagi. Nenek tua yang patut berehat terpaksa menjaja untuk tidak rasa membebankan anak-anaknya yang menjaga beliau.

Berapa ramai anak jadi yatim kerana bapanya maut dalam kemalangan motorsikal kerana mengantuk membuat kerja tambahan sehingga 20 jam sehari? Berapa ramai anak-anak yang rosak akhlaknya kerana ibu bapa terpaksa kerah tenaga bekerja siang dan malam? Berapa ramai anak-anak yang terpaksa menukar ruji mereka dari nasi kepada bubur lembik?

Berapa ramaikan bapa-bapa marhaen akan dipenjara kerana mencuri susu di pasaraya kerana anak kecilnya menangis kehabisan susu? Berapa ramaikah adik beradik berbunuhan kerana kesempitan ruang hidup? Berapa ramaikah suami dan isteri yang bercerai kerana kehidupan sudah jadi terlalu mahal untuk kekal bersama.

 Datuk Seri tak mungkin tahu perkara ini. Kerana ayah, atuk dan keturunan Datuk Seri ialah orang Bangsawan. Bukan Marhaen yang melarat. Tidak salah jika saya sarankan Datuk Seri untuk belajar dan mungkin bekerjasama dengan individu yang memimpin dalam miskin seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya yakin, jika tiada sekatan pembangunan dari kerajaan pusat, saya yakin cara kepimpinan TGNA mampu ubah Kelantan menjadi negeri termaju.

 Bangsawan dengan bangsawan, Marhaen dengan marhaen. Jika makan berpinggan emas, masakan tahu erti tidur berbumbung langit.
 Turunlah ke bawah seperti Khalifah Ummar lakukan....secara DIAM, sembunyi dan tidak dikenali. Jika turun padang Datuk Seri dengan rombongan sekapal dan gempita siren-siren polis pengiring, orang buta pun akan tahu PM yang datang.
 Datuk Seri, bukannya marhaen tidak berjimat.

Sudah habis susu anak berganti air sirap kurang gula kami berikan anak-anak kami yang menangis. Bukan juga marhaen malas, kerana marhaen sampai sudah hampir 24 jam bekerja. Jika tidur itu tidak wajib, 24 jam itu marhaen akan bekerja.

 Bertimbang taralah...
 Datuk Seri pembuat keputusan tertinggi di Malaysia. Input kepada percaturan keputusan Datuk Seri ialah informasi yang diberi. Jika informasi tidak telus, maka keputusan Datuk Seri pun akan jadi zalim juga.

 Pentadbiran Datuk Seri terlampau mahal dan sesuap makanan Datuk Seri ialah sebaldi peluh marhaen. Bil Elektrik Datuk Seri setahun boleh menghantar 50 orang anak-anak Marhaen menjadi doktor yang tidak berhutang dengan PTPTN. Mungkin juga jika benar desas desus akan beg tangan Datin Seri yang mahal itu, untuk setiap satu beg tangan itu bernilai lebih dari pendapatan seumur hidup beberapa orang marhaen.

 Datuk Seri, tak mengapa jika Wawasan 2020 tidak dicapai pada tahun 2020. Apalah guna jika dicapai tetapi kekayaan negara tidak dapat dirasai bersama, yang miskin terus tertolak tempatnya dari daratan negara.

 Datuk Seri, MALAYSIA BELUM AMAN. MALAYSIA BELUM MAJU.

 SAIFUL NANG
 Orang Marhaen
 //saya bukan orang politik. Saya bukan benci Datuk Seri, bukan juga benci kerajaan dan tidak juga penyokong Anwar Ibrahim jauh sekali bernadikan PERKASA...tetapi saya menulis sebagai MARHAEN MALAYSIA.