Rabu, 20 Mac 2019

Punch kad

Ismail Mohd Salleh:
KISAH PUNCH KAD MERAH.

"Awak dah tiga kali lewat bulan ini. Bulan depan saya tukarkan punch kad awak warna lain. Menandakan kehadiran awak dah tiga kali lewat!"

Keras seorang guru besar memarahi guru ini. Guru ini hanya menunduk dan mengangguk sahaja dengan redha. Ya, dia terlambat 3 kali dan itu termaktub dalam peraturan. Dia akur tanpa bantahan.

Dalam mesyuarat, hal ini dibangkit dan mana-mana guru yang bertukar warna kad disindir-sindir dan diperli. Tidak komitmen dan tidak berdisiplin kata GB tegas ini.

Masa berlalu. Teraju bertukar tangan. Diganti oleh GB lain yang tegas juga dalam bicara dan kata-kata. Namun bila berdepan, bila hadap berdua GB baru ini sangat santun dan berlemah lembut. Nasihat yang baik diberi, bukan ugutan atau sindiran kasar.

Beberapa bulan kemudian, sekali lagi punch kad guru ini berwarna merah. Empat kali dalam sebulan. Dia dah redha jika kad bertukar warna bulan depan.

Bulan seterusnya, kad dia masih warna yang sama. Seolahnya dia tidak lewat melebihi tiga kali. Maka diberanikan diri bertanya pada GB baru.

"Puan. Bulan lepas saya lewat lagi empat kali. Kenapa punch kad saya tidak 'diturunkan darjat' menandakan saya pernah lewat?"

GB itu tersenyum. Diarahkan kerani mengambil punch kad cikgu ini. Lantas ditunjuk dan berkata,

"Cikgu. Cikgu lihat punch kad cikgu. Benarlah ada merah empat kali menandakan lewat dari sepatutnya. Lihat merah yang pertama, masanya 7:21 minit.

Hanya lewat satu minit sahaja. Lagi pun masa itu kelas belum bermula. Kelas kan bermula jam 7:30 pagi. Begitu juga tiga lagi kelewatan cikgu. Semuanya tidak lebih dari 7:30. Maka saya maafkan.

Lagi pun pagi-pagi jalan depan sekolah memang jem. Cikgu pula turunkan anak dulu di pra sekolah. Saya percaya sebenarnya cikgu dah berada dalam kawasan sekolah sebelum jam 7:15 pagi lagi kan?"

Sambil tersenyum GB itu memberi penjelasan. Cikgu ini mengangguk-angguk tanda faham. Terharu dia dapat pentadbir yang memahami, bukan yang jenis mencari salah.

"Puan. Terima kasih banyak atas pertimbangan puan. Benar apa yang puan cakap. Saya berada dalam kawasan sekolah kadangkala lebih awal, namun untuk punch kad itu memakan masa atas pelbagai faktor."

GB itu tersenyum lantas menyambung,

"Adalah kejam bagi saya menghukum guru-guru dibawah saya hanya sekadar warna merah 3-4 kali ini.

Cuba awak perhati waktu awak pulang kat punch kad ini. Awak layak pulang seawal jam 1:00 petang. Namun hampir setiap hari awak berkorban masa demi sekolah dan anak-anak didik sampai jam 2-3 petang.

Lewat satu minit diganti dengan tambahan 2-3 jam setiap hari adalah sesuatu yang mengagumkan saya. Cikgu tidak pernah membangkitkan pengorbanan cikgu berada lebih masa di sekolah.

Apa perlu saya bangkitkan kelewatan satu minit atas faktor teknikal? Saya belum sezalim itu cikgu. Itu bukan cara saya mentadbir sekolah. Terus beri yang terbaik cikgu ya!"

Guru ini merasa sangat dihargai. Dia merasa sangat senang dengan pentadbir yang bertolak ansur dan pandai mengenang budi.

Setiap langkah ke sekolah di hari mendatang dia hayun dengan semangat yang lebih membara. Setiap program sekolah dia cuba jayakan sebaik mungkin.

Benarlah, seorang pemimpin yang baik tidak hanya pandai mencari salah.

Pemimpin yang baik tidak hanya tahu bertegas dan marah-marah.

Pemimpin yang baik tidak membuatkan anak buah mereka bekerja keras dengan ugutan dan paksaan.

Sebaliknya pemimpin yang hebat mampu memenangi hati anak-anak buahnya sehingga mereka seronok bekerja bersama.

Sehingga anak-anak buahnya melakukan segalanya bukan kerana paksaan atau ugutan. Tapi dengan kerelaan dan rasa hormat yang menebal pada pemimpin yang pandai menjaga hati ini.

Kisah ini kisah benar yang aku dengar sendiri dari seorang sahabat guru. Mana yang baik sama-sama kita ikuti.

Begitulah.

***
- Gambar hanya hiasan sahaja.

#MFS
.

Ibu bapa

*Memang Ayah Tidak Menyusuimu, Tetapi Setiap Titisan Keringat Ayah Menjadi Susu Yang Membesarkanmu*

Mungkin ibu lebih kerap menelefon untuk menanyakan keadaan kita setiap hari.. Tapi tahukah kita, sebenarnya ayahlah yang mengingatkan ibu untuk menelefon kita? Ayah selalu cakap,” telefonlah anak kita tu tanya dia macam mana kerja..”

Semasa kecil, ibulah yang lebih sering mendukung kita.. Tapi tahukah kita bahawa sebaik saja ayah pulang bekerja dengan wajah yang letih ayahlah selalu menanyakan apa yang kita lakukan seharian.

Saat kita sakit atau demam, ayah sering membentak:

“Kan ayah dah kata jangan main hujan?”
“Kan ayah dah bagitau jangan minum air sejuk!”
Tapi tahukah kamu bahawa ayah sangat risau sebenarnya?

Ketika kita remaja, kita meminta izin untuk keluar malam, ayah dengan tegas berkata:

‘Tidak boleh!”
Sedarkah kita bahawa ayah hanya ingin menjaga kita? Kerana bagi ayah, kita adalah sesuatu yang sangat berharga.

Saat kita sudah dipercayai, ayah pun melonggarkan peraturannya. Maka kita telah melanggar kepercayaannya. Maka ayahlah yang setia menunggu kita di ruang tamu dengan rasa sangat risau.

Ayah marah kita, tetapi tahukah kita yang ayah tidak mahu apa-apa terjadi kepada kita bila keluar lewat malam?

Setelah kita dewasa, ayah telah menghantar kita ke sekolah atau kolej untuk belajar. Disaat kita memerlukan macam-macam, untuk keperluan kuliah kita, ayah hanya mengerutkan dahi, tanpa menolak, beliau memenuhinya.

Saat kamu berjaya, ayah adalah orang pertama yang berdiri dan bertepuk tangan untukmu. Ayah akan tersenyum dengan bangga, walaupun kadang-kadang ayah macam buat tidak tahu tapi tahukah kamu sebaik kamu pergi, ayah ceritakan dekat ibu kekaguman dia terhadap kita?

Sampai ketika jodoh kita telah datang dan meminta izin untuk mengambil kita dari ayah. Ayah sangat berhati-hati mengizinkannya daan akhirnya, saat ayah melihat kita duduk di atas pelamin bersama pasangan kita, ayah pun tersenyum bahagia.

Apa kita tahu, bahawa ayah sempat pergi ke belakang dan menangis?

Ayah menangis kerana ayah sangat bahagia dan dia pun berdoa “Ya Tuhan, tugasku telah selesai dengan baik, bahagiakanlah putera puteri kecilku yang manis bersama pasangannya.”

Setelah itu ayah hanya akan menunggu kedatangan kita bersama cucu-cucunya yang sesekali datang untuk menjenguk dengan rambut yang memutih dan badan yang tidak lagi kuat untuk menjaga kita.

Itulah pengorbanan seorang ayah..
Apakah kita masih belum sedar? Masih memandang kemarahan ayah itu alasan untuk kita bencikan dia? Percayalah, dia orang yang paling rindukan kamu walaupun kerinduan ibu lebih menyerlah, tidak dapat dinafikan kerinduan ayah terhadap kita mungkin melebihi kerinduan ibu dekat kita, kita cium pipi ibu, ayah hanya tersenyum melihat.

Tahukah kita yang kita telah berlaku tidak adil terhadap ayah? Apakah ayah tidak layak mendapat ciuman sama yang kita berikan kepada ibu? Kamu lupa masa kamu kecil, ayah mendukung kamu dan mencium kamu?

Betapa hebatnya pengorbanan seorang ayah kepada anaknya cuma kita kadang2 terlepas pandang pengorbanan ayah kita. Hargailah pengorbanan dan kasih sayang seorang ayah, kerana setiap daripada kita sememangnya mempunyai seorang ayah yang hebat yang sentiasa menyayangi anaknya cuma lain ayah, lainlah caranya memanjakan anak.

Ayah tidak meminta untuk dibalas akan jasanya, dia cuma mahu anak-anaknya menjadi insan yang berguna, yang dapat membanggakannya. Adakah kita seperti yang dia inginkan?

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah berganti nyawa. Itulah ungkapan yang sesuai bagi mencerminkan kasih sayang seorang ayah.

Sentiasa berbakti dan berdoa untuk ibubapa kita tak semestinya apabila mereka telah pergi menghadap Ilahi. Tetapi, biarlah mulai sekarang, agar disediakan untuk ibu bapa kita di sana nanti sebuah taman indah dan penyelamat ibu bapa kita dari azab kubur dan api neraka. InshaAllah, doa anak-anak yang soleh dan solehah yang dibawa bersama ke sana…

Rasullulah SAW bersabda yang bermaksud:

Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya. (Hadis Riwayat Muslim)

Renungkanlah!!!


https://thecoverage.my/bahasa/gaya-hidup/islam/memang-ayah-tidak-menyusuimu-tetapi-setiap-titisan-keringat-ayah-menjadi-susu-yang-membesarkanmu/

.

Khamis, 14 Mac 2019

Hormat guru

Sebuah sekolah jemput bapa seorang pelajar (seorang OKU yg tidak dapat melihat) di sekolah itu untuk memberikan ucapan pembukaan mesyuarat agung PIBG.

Pelajar perempuan yang comel itu membuka majlis dengan membaca al-Quran. Ucapan bapanya di atas pentas dirakam seperti berikut:

Assalamualaikum. Terima kasih pengerusi majlis. Terima kasih pihak PIBG kerana menjemput saya, orang buta, memberi ucapan.

Tuan-tuan,

Saya rasa ramai orang di dalam dewan, namun saya tidak dapat melihat kalian.

Tadi anak saya membaca al-Quran. Orang cakap anak saya cantik, namun saya tidak dapat melihatnya. Malah saya tidak tahu apa itu kecantikan.

Hari ini saya memakai baju baru, isteri kata saya nampak hensem. Namun saya tidak dapat melihatnya. Malah tidak tahu apa itu kehemseman. (Beliau berhenti seketika, tersenyum)

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya ingin sekali melihat. Ingin melihat wajah anak-anak, orang kata anak-anak semasa kecil comel.

Saya ingin sekali melihat. Ingin membantu anak-anak ketika belajar di rumah. Namun saya tidak mampu melihat buku mereka. Tidak mampu pun melihat mereka belajar.

Tuan-tuan boleh melihat, bantulah anak-anak belajar dengan penglihatan tuan-tuan. Periksalah beg mereka. Buku nota mereka. Tulisan mereka.

Saya tidak boleh melihat, tidak boleh berbuat apa-apa. Saya hanya boleh berada di samping mereka. Biar anak-anak melihat, biar ayah buta, tetapi ayah ada. Ya, saya ada menemani mereka.

(Saat ini semua dewan senyap sunyi.... ibubapa terpaku memandang kepadanya)

Guru-guru ada peranan mereka. Ibubapa yang boleh melihat juga ada peranan mereka. Jangan menjadi ibubapa yang ada mata tetapi tiada di mata anak-anak mereka.

Saya tidak mampu melihat. Tetapi saya pastikan anak-anak tetap ke sekolah. Kerana tanpa ilmu manusia yang ada mata itu buta. Ilmu membuatkan manusia mampu melihat.

Saya tidak mahu anak-anak saya ada mata, mampu melihat, tetapi hidup ibarat orang buta. Saya juga tidak mahu mereka hidup seperti saya, orang buta.

Saya tidak ada motor dan kereta. Tuan-tuan ada. Hantarlah anak-anak ke sekolah. Hantarlah ke kelas tambahan di sekolah. Jangan biar mereka buta seperti saya.

Saya pesan kepada anak-anak. Hormati guru-guru kamu. Kerana mereka yang mengajar kamu ilmu. Tanpa mereka kamu buta dan bisu!

Tuan-tuan.

Saya tidak mampu melihat. Tidak mampu memberi tunduk hormat. Kepada guru-guru yang lawa dan smart. Hanya mampu memanjat doa sebagai tanda hormat. Buat guru-guru yang didik anak-anak saya dengan lelah dan penat.

Tuan-tuan ada mata, boleh melihat. Apakah cukup tanda tuan-tuan hormat? Hormat dengan lisan, percakapan. Hormat dengan perbuatan. Hormat dengan contoh kepada anak. Kalau anda tidak hormat cikgu, anak-anak juga tidak hormat cikgu.

Kalau dalam mesyuarat PIBG nanti kalian tidak hormat guru dengan percakapan dan perbuatan kalian, bagaimanakah anak-anak akan hormat guru mereka dan kalian?

Anak-anak tidak ikut kata-kata kalian, tetapi ikut contoh perbuatan kalian. Mereka bukan seperti saya. Mereka bukan buta. Hanya mendengar lisan. Tidak melihat contoh kalian.

Tuan-tuan,

Cukuplah ini sekadar ucapan. Orang buta yang tuan-tuan mungkin tidak pernah hairan. Terima kasih sekali lagi menjemput berdiri di hadapan kalian. Ingin saya melihat anda di dewan namun tidak kesampaian.

Orang kata hari ini langit cerah, biru cantik indah di awan. Namun saya tidak mampu melihat menikmati keindahan ciptaan tuhan.

Sekian. Salah silap terkasar bahasa harap maafkan.

Untuk diri saya & kita semua.

Organik

Salam.

Cara belajar kimi-A! Organik... macam memasak jer...

ماشآءالله
تبارك الله
ان شاءالله
اللهم امين
اللهم صلى على محمد
Contoh
Intro organik. Sama macam kenal alat memasak, bahan, lauk, rempah dll

Hydrokarbon macam nak masak nasi ayam

Benzene... masak nasi 7 benua
Kenal rempah... tau resepi

Dan seterusnya....
Jumpa cara ... nampak jalan.

Yg penting usaha
nota wat sendiri...

Fokus di kuliah.
Bertanya klu tak faham

من جد وجد
ومن زرع حصد

Yg penting ... jawapan organik dah ada kat soalan...

Analogi... pertandingan memasak. Klu suruh masak kita tengok apa yg disediakan bahan² atas meja. Apa yg ada itu yg kita masak. 

Ada faham kalu?

Rabu, 13 Mac 2019

Kasyaf

Kasyaf kepada wali Allah ini ada banyak bahagiannya, seperti berikut:

1) Kasyaf Mata

Mata dapat melihat alam mawara-ul-maddah atau disebut sebagai alam yang seni-seni atau boleh disebutkan sebagai alam di luar kebendaan. Di sini, mata dapat melihat perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin dan syaitan. Kasyaf inilah yang menjadikan orang seperti Sayyidina Umar r.a nampak apa yang sedang berlaku pada tentera-tenteranya. Karamah seperti ini penting kerana dapat menyelamatkan seluruh tentera Islam.

2) Kasyaf Telinga

Kasyaf telinga disebut juga hatif. Telinga boleh mendengar benda-benda yang ghaib. Mendengar suara tetapi tidak nampak lembaganya sama ada dari jin Islam yang soleh, malaikat atau waliullah. Suara itu adakalanya membawa berita gembira, adakalanya berita yang negatif.

3) Kasyaf Mulut

Tuhan beri kepada orang itu, lidahnya ‘masin’ seperti doanya kabul atau apa yang dia sebut terjadi sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Juga, di mana saja dia memberi kuliah, nasihat, tunjuk ajar, berdakwah dan sebagainya, ianya mudah diterima masyarakat dan boleh mengubah hati mereka. Akhirnya berubahlah sikap masyarakat. Karamah seperti ini biasanya dikurniakan kepada pemimpin.

4) Kasyaf Akal

Mendapat ilmu yang seni-seni yang Allah SWT kurniakan pada seseorang terus jatuh ke hatinya. Ini terjadi tanpa dia belajar, tanpa membaca, tanpa mentelaah dan tanpa berguru. Dinamakan juga ilham atau ilmu laduni. Agar tidak terkeliru, perlu diingat orang yang hendak dapat ilmu laduni itu, dia mestilah dahulu ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain.

5) Kasyaf Hati

Dinamakan juga firasat. Inilah kasyaf yang tertinggi daripada kasyaf-kasyaf yang disebutkan tadi. Biasanya dikurniakan kepada pemimpin . Itupun tidak banyak kerana Allah SWT kurniakan hanya kepada pemimpin-pemimpin yang sangat soleh, yang sangat sabar menanggung ujian yang begitu berat ditimpakan kepada mereka. Kasyaf hati ialah rasa hati atau gerakan hati yang tepat lagi benar. Dia boleh menyuluh mazmumah yang seni-seni yang kadang-kadang kita membaca kitab tak mengerti. Termasuk juga adalah rasa hati dapat membaca diri seseorang.

Nabi pernah bersabda, “Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah”.