Khamis, 25 Disember 2025

Utimutiraja

 🗡️ Utimutiraja: Pengkhianat Melaka Yang Mati Tanpa Kepala


Sejarah Melaka bukan hanya tentang darah pahlawan yang tumpah di benteng, tetapi juga tentang ‘racun yang menitis’ dari dalam istana dan pasar.


Kenalilah Utimutiraja.


Bukan calang-calang nama. Dia adalah Ketua Orang Jawa di Melaka, hartawan yang kekayaannya melimpah ruah, dan tuan kepada ribuan hamba abdi.


Di saat gendering perang dipalu, Utimutiraja memegang kunci kemenangan. 


Jika dia mengerahkan hartanya dan tenteranya menyokong Sultan, Melaka mungkin tidak jatuh semudah itu.


Namun, kekayaan sering membutakan mata hati.


Takut hartanya hangus dibakar perang, dia memilih jalan singkat.


Satu perjanjian haram dibuat dalam gelap. Dia berbisik kepada Alfonso de Albuquerque:


"Aku tidak akan melawan. Hartaku selamat, kuasaku kekal. Itu janjiku."


Maka, tatkala pemuda Melayu mati bergelimpangan ditembus peluru, Utimutiraja duduk selesa, menyangka dia ‘Anak Emas’ penjajah baru.


Betapa naifnya dia.


Di mata Albuquerque, pengkhianat tetap pengkhianat.


Penjajah itu berfikir dengan waras: 


"Jika rajanya sendiri sanggup dia jual demi emas, apatah lagi aku yang asing ini?"


Nilai seorang pengkhianat tamat sebaik sahaja perang selesai.


Tidak lama selepas bendera Portugis berkibar, Utimutiraja diseret ke tengah pasar. 


Bukan untuk ditabalkan sebagai raja boneka, tetapi untuk melutut di pentas hukuman.


Saat pedang diangkat, dia merayu…

Gunung emas ditawarkan sebagai tebusan nyawa.


Namun, Portugis tidak memandang emas itu. Bagi mereka, nyawa pengkhianat tiada harga.


🩸Zasss!


Kepala tokoh korporat paling kaya di Melaka itu bergolek di tanah, terpisah dari badannya, disaksikan oleh rakyat yang pernah dikhianatinya. 


Anak dan menantunya turut menyembah bumi.


Harta dirampas. Nama dihina. Nyawa melayang.


Itulah ‘dividen’ terakhir bagi mereka yang menggadaikan bangsa.


Sejarah Utimutiraja adalah cermin ngeri untuk kita semua.


Bahawa musuh di depan mata boleh kita lawan dengan keris, tetapi musuh yang tersenyum di dalam selimut, akhirnya akan memakan diri sendiri.


••••••••••••••••••


⁉️Soalan untuk anda:


Dalam dunia moden hari ini, siapakah ‘Utimutiraja’ yang sanggup menjual maruah negara demi kekayaan peribadi, tanpa sedar mereka hanya diperalat oleh kuasa asing?


••••••••••••••••••


👉 Sejarah berulang bagi yang lupa. 



Rujukan:


1. The Suma Oriental oleh Tome Pires (Mengenai kekayaan & pengaruh Utimutiraja).

2. The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque (Rekod pengkhianatan & hukuman mati).

3. Sejarah Melaka oleh Prof. Dr. Ahmad Jelani Halimi.


#PengajaranSejarah #Utimutiraja #SiKitolModen #Melaka1511 #HargaSebuahPengkhianatan


Sabtu, 20 Disember 2025

Rezeki is3

 Zaman sekarang, rezeki itu rahsia Tuhan. Kadang-kadang, pintu rezeki isteri terbuka lebih luas. Gaji lebih besar, pangkat lebih tinggi, malah mungkin isteri yang menjadi "tonggak" utama kewangan rumah tangga.

.

Bagi sesetengah lelaki, ini adalah satu tamparan pada ego. Ada rasa kecil diri, ada rasa tercabar sebagai pelindung.

.

Dan bagi sesetengah wanita pula, ada satu bisikan halus yang datang... rasa macam "aku lebih berkuasa," rasa macam kata-kata aku harus lebih didengar sebab "aku yang bayar semua."

.

Tapi perasan tak? Rumah tangga bukan sebuah syarikat korporat.

.

Dalam perkahwinan, kita bukan sedang bersaing siapa CEO, siapa kuli. Kita adalah rakan kongsi menuju syurga.

.

Buat para isteri yang hebat... Walau setinggi mana pun angka di dalam akaun bank anda, jangan pernah hilangkan rasa hormat pada lelaki yang anda panggil suami itu. Duit boleh beli keselesaan, tapi duit tak boleh beli keberkatan.

.

Jangan biarkan nada suara kita berubah menjadi kasar hanya kerana kita yang membayar ansuran kereta atau rumah. Ingat, sebahagian daripada rezeki besar yang kita dapat itu, mungkin adalah berkat doa seorang suami yang tidak putus-putus meminta kebaikan untuk isterinya.

.

Tetaplah meminta izin, tetaplah bermanja, dan tetaplah letakkan dia sebagai imam. Rendahkan sayapmu, supaya dia tidak merasa kehilangan "pucuk" kepimpinannya.

.

Buat para suami yang diuji... Jangan rasa kerdil. Nilai seorang lelaki bukan hanya pada jumlah digit dalam slip gajinya, tapi pada bagaimana dia menjaga maruah isteri, bagaimana dia memerah keringat membantu urusan rumah, dan bagaimana dia menjadi penyokong setia di belakang kejayaan isteri.

.

Kalau isteri dah bantu dari segi kewangan, suami bantulah dari segi "tenaga" dan "emosi".

.

Isteri bayar pengasuh, suami tolong mandikan anak.

.

Isteri beli barang dapur, suami tolong masakkan.

.

Jangan biarkan ego berkata "Dia ada duit, pandai-pandailah dia." Itu adalah racun. Sebaliknya, jadilah "pelabuhan" tempat dia mengadu penat selepas seharian bekerja di luar.

.

Keharmonisan itu bukan tentang siapa bagi banyak, siapa bagi sikit.

.

Ia tentang "Kita buat sama-sama." Bila isteri tidak mendongak langit, dan suami tidak merasa dipijak bumi, di situlah sakinah akan wujud.

.

Duit boleh dicari, tapi rasa hormat dan kasih sayang yang tulus itu... kalau dah hilang, tak ada harta dalam dunia ni yang boleh tukar ganti.

.

Hargai pasangan anda. Bukan kerana apa yang ada dalam dompetnya, tapi kerana siapa dia di dalam hati anda. ❤️

Jumaat, 12 Disember 2025

UEC 2

 Beberapa rakan dalam NGO telah menghubungi saya. "Dr, jom anjurkan forum tentang UEC". Kita bincang isu ini. Tengah panas sekarang." Saya jawab dengan sopan,"mohon maaflah, saya tak minat lagi nak bincang -bincang pasal UEC".


Mengapa saya tak mahu bincangkan lagi macam dahulu? 


Isu UEC ini sangat jelas. Sangat-sangat jelas. Tak perlu bincang lagi. 


Jelas sekali ;

- UEC melanggar perkara 152 Perlembagaan Malaysia. 

- UEC melanggar Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. 

- UEC melanggar Akta Pendidikan 550 (1996). 


Saya sudah kaji, sudah tulis dan sudah bincang di dalam berbagai forum berulang-ulang kali tentang UEC. 


Sebab itu walaupun desakan mengiktiraf UEC telah bermula 50 tahun lalu iaitu sejak 1975, sampai sekarang tidak pernah pula mereka bawa tuntutan ini untuk semakan kehakiman ke mahkamah. 


Mengapa mereka tak bawa sahaja ke mahkamah? Mengapa mereka nak jumpa dan bincang dengan YAB Perdana Menteri? 


Kalau tuntutan ini benar dan mereka yakin UEC memenuhi peruntukan perlembagaan negara dan Akta Pendidikan, sudah lama kes UEC ini mereka bawa ke mahkamah. 


Ramai sahaja peguam yang boleh menasihati kumpulan pendesak UEC ini untuk bawa ke mahkamah. 


Tetapi mereka tak bawa dan saya yakin mereka tak akan bawa sebab mereka tahu bila bawa tuntutan pengiktirafan UEC ke mahkamah dan ditakdirkan kalah, UEC akan berkubur di negara ini. Ibu bapa akan mula sangsi dengan tahap persijilan UEC. Ibu bapa akan berpindah ke SMJK atau ke sekolah antarabangsa. 


Sebab itu, selama lebih 50 tahun sejak 1975, desakan mengiktiraf UEC hanya dilakukan melalui saluran politik. Strateginya desak-runding-senyap, desak-runding-senyap. Mana tahu, ada ketika bila parti kerajaan dalam situasi sokongan rakyat yang lemah, desakan mereka menjadi. 


Sebab itu, mereka tunggu masa yang sesuai. Biasanya setiap kali menjelang PRU. Bermula tahun 1959 lagi desakan seperti ini telah bermula. Begitu juga ketika tuntutan Suqiu 1999. Pada PRU 2018 juga berlaku, ketika sokongan rakyat kepada parti UMNO berada di titik paling lemah. 


Sekarang mereka desak lagi. 


Peliknya, ada juga pemimpin politik yang kata 'boleh bincang', 'boleh runding' untuk iktiraf UEC. 


Bincang macam mana kalau UEC jelas tak ikut keluhuran perlembagaan?


-Bahasa pengantar utama UEC bukan bahasa Melayu. 


- Kurikulum UEC bukan kurikulum Kebangsaan 


-Peperiksaan UEC bukan peperiksaan kebangsaan. 


- Guru-guru UEC bukan guru latihan IPGM. 


Cuba lihat negara jiran. 


Ada Singapura iktiraf UEC setara dengan kurikulum kebangsaan mereka? Ada sekolah persendirian Singapura yang melaksanakan kurikulum UEC setaraf dengan kurikulum kebangsaan Singapura? 


- Ada negara Indonesia iktiraf UEC setara kurikulum kebangsaan mereka?


- Ada negara Thailand, Brunei, Filipina, US, UK, malah negara China sendiri iktiraf UEC setaraf dengan kurikulum kebangsaan negeri mereka? 


Tak ada pun. 


Kerajaan mereka tidak pernah iktiraf kurikulum UEC setara atau setaraf dengan kurikulum kebangsaan di negara mereka. Mereka hanya benarkan universiti -universiti mereka terima pelajar yang ada sijil UEC dari Malaysia sebab itu menjana pendapatan dari yuran pelajar antarabangsa untuk negara mereka. 


Salam Jumaat yang barakah....

UEC

 Pengalaman Peribadi dengan Seorang Graduan UEC


​Izinkan saya berkongsi pengalaman peribadi saya bersama seorang graduan UEC semasa saya bekerja di sebuah syarikat multinasional (MNC).


​Saya telah ditugaskan untuk melatih seorang graduan baharu yang, menurut bahagian Sumber Manusia (HR), adalah "yang terbaik antara yang terbaik" (the best of the best). Dia merupakan lulusan Universiti TAR dengan CGPA sekitar 3.91. 


Penampilannya segak dan dia membawa diri dengan kematangan yang kelihatan melebihi usianya. Sudah semestinya, saya meletakkan harapan yang tinggi—terutamanya memandangkan rekod akademik dan penampilan profesionalnya.


​Pihak HR menekankan bahawa saya bertuah kerana dapat membimbing individu yang berprestasi tinggi sebegitu. Pada ketika itu, apa yang saya tahu mengenai dirinya hanyalah CGPA, bidang pengajiannya, dan universiti tempat dia belajar.


​Walau bagaimanapun, apabila kami mula berkomunikasi, saya perasan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris lisannya agak lemah. Pada mulanya, saya menyangka mungkin saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi, namun perkara ini menjadi lebih jelas apabila kami beralih kepada komunikasi bertulis melalui e-mel dan sistem pesanan korporat kami.


Kemahiran penulisannya lemah—jauh di bawah tahap yang saya jangkakan daripada seseorang yang mempunyai CGPA hampir 3.91.


​Kemudian tibalah ujian sebenar. Saya memintanya untuk menerangkan projek tahun akhirnya. Dia terkial-kial untuk menjelaskan apa yang telah dilakukannya dan mendakwa dia tidak dapat mengingat butiran teknikalnya—walaupun baru sahaja tamat pengajian enam bulan lalu. Pelik juga.


​Saya beralih arah dan mula memberikannya tugasan lain. Tugasan teknikal ini jauh lebih senang berbanding apa yang sepatutnya tetapi saya pilih kerana ada kaitan dengan projek tahun akhirnya. Namun, walaupun selepas dua minggu penerangan dan demonstrasi yang berulang kali, dia masih gagal memahaminya.


​Jadi, saya tukarkan tugasannya kepada kerja dokumentasi. Apa yang mengejutkan, dia tidak mampu melakukan tugasan asas dalam Microsoft Excel, tidak tahu cara menggunakan indexing dalam Word, dan tidak pandai membuat animasi mudah dalam PowerPoint.


​Berdasarkan latar belakang akademiknya, saya menjangkakan dia mahir dalam subjek matematik. Saya berikan dia beberapa pengiraan asas matematik—dia gagal menyelesaikannya juga.


​Selepas tiga bulan menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan secara konsisten, saya mula bertanya soalan yang lebih mendalam. Dia mendedahkan bahawa dia tidak mengambil SPM atau STPM, sebaliknya telah menamatkan pelajaran UEC di sebuah sekolah persendirian Cina yang terkenal di Kajang. 


Dia mendakwa telah mendapat keputusan yang baik dalam UEC, iaitu straight  A yang membolehkannya mendaftar masuk ke UTAR dan mengekalkan CGPA yang tinggi.


​Atas dasar ingin tahu, saya berikan dia 15 soalan ujian IQ dan masa 30 minit untuk menyiapkannya. Dia gagal menjawab walau satu soalan pun dengan betul.

​Saya tergamam, macam mana pelajaran straight A tidak dapat jawab ujian IQ.


Bagaimana seseorang dengan keputusan UEC yang cemerlang dan CGPA 3.91 dari UTAR boleh kekurangan kemahiran komunikasi asas, kecekapan perisian komputer, dan pemahaman tentang kerja berkaitan bidang akademiknya sendiri?


​Lebih mengejutkan lagi, dia tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan tidak memahami apa-apa dalam bahasa kebangsaan—walaupun telah menetap di Malaysia seumur hidupnya.


​Inilah pengalaman saya dengan seorang graduan UEC  straight As dan mendapat CGPA tinggi dari UTAR. Berdasarkan apa yang saya lihat, saya tidak dapat lari daripada mempersoalkan kredibiliti keputusan akademik sebegitu dari UEC dan UTAR.


​Ia membuatkan saya tertanya-tanya sama ada CGPA melebihi 3.75 diberikan dengan terlalu mudah—mungkin untuk membantu pelajar memanipulasikan fakta untuk mendapat biasiswa penuh PTPTN daripada kerajaan walaupun mereka sebenarnya tidak layak untuk mereka yang belajar di sana.

Isnin, 8 Disember 2025

Isteri solehah

 *Kisah Syaikh Abdul Qadir al-Jilani dan Isterinya yang Tak Pernah Mengeluh.* 


Syaikh Abdul Qadir al-Jilani as sebelum menjadi Qutb al-Awliya' yang masyhur, pernah hidup dalam kemiskinan vang sangat berat di Baghdad. 

Rumahnva kecil, tanah berdebu, atap bocor bila hujan. Beliau belajar siang malam di madrasah, dan nafkah hariannya sering tak sampai lima dirham.


Isterinya, Sayyidah Fatimah binti Abi Shalih Abdullah al-Jili, seorang wanita solehah, hidup bersamanva dalam keadaan itu bertahun-tahun. Kadang-kadang di rumah hanya ada tepung gandum secupak, kadang-kadang kosong sama sekali.


Suatu hari, sudah tiga hari tiada apa yang masuk dapur. Anak-anak kecil menanqis lapar. Savvidah Fatimah memanaskan periuk kosong di atas tungku, tuang air dan sedikit garam, lalu kacau-kacau sambil berzikir supaya anak-anak rasa ada sesuatu yang dimasak. 


Svaikh Abdul Qadir pulang petang itu dengan wajah letih. Beliau lihat periuk kosong, lihat anak-anak yang duduk senyap menahan lapar, lihat isterinya vang tetap tersenyum.


Sayyidah Fatimah angkat periuk, tunjuk isinya yang hanya air garam.

"Ini sahaja vang ada, va Abd al-Qadir

Tapi aku beritahu anak-anak: 'Ini sup istimewa ibu, tunggu ayah balik kita makan sama-sama.'"


Syaikh Abdul Qadir duduk di lantai, tarik isterinya duduk di sisinya, lalu pegang tangannya erat-erat "Fatimah, engkau boleh marah kepadaku. Engkau boleh mengeluh. Engkau boleh minta aku cari kerja |ain, tinggalkan pelajaran ini. Aku tak akan salahkan engkau."


Sayyidah Fatimah tersenyum, mata berkaca-kaca lalu iawab:

"Ya Abd al-Qadir, Aku kahwin dengan engkau, bukan dengan duit engkau.

Aku serahkan nafkah zahirku kepada engkau,dan engkau serahkan nafkah batinmu kepada Allah. Kalau aku mengeluh sekarang, bermakna aku tak percaya pada pilihan engkau,dan engkau tak percaya pada janji Allah.Kami berdua akan rugi."


Malam itu mereka makan roti kering vang tinggal sehelai, dibahagi tujuh bahagian kecil untuk tujuh orang. Anak-anak tidur dengan perut separuh kosong, tapi hati mereka tenang kerana ibu bapanya tidak bertengkar.


Tepat tengah malam, pintu rumah kecil itu diketuk kuat. Syaikh Abdul Qadir buka pintu.

Di luar berdiri seorang lelaki tua berjubah hijau, bawa dua karung besar. Dia tunduk di kaki Syaikh, lalu berkata:

"Ya Syaikh, tadi malam aku bermimpi bertemu Rasulullah . Baginda berpesan:'Pergi ke rumah Abdul Qadir di daerah ini. Berikan semua vana kau ada kepadanya dan keluarganya, kerana malam in mereka tidur dalam kelaparan, tapi lidah mereka basah dengan zikir.

Ini emas, perak, gandum, kurma, minyak, pakaian... semuanva milik tuan sekarang.''


Syaikh Abdul Qadir menangis. Beliau tak terus ambil karung itu. Beliau pandang isterinya yang berdiri di belakang, lalu bertanya:

"Fatimah, apa kau mahu aku terima semua ini sekarang?"

Sayyidah Fatimah menjawab dengan tenang: "Terima sahaja, ya Abd al-Qadir.Bukan kerana kita perlukan,tapi kerana Allah mahu kita tahu: Dia tak pernah lupa hamba-Nya yang tak pernah mengeluh atas ketentuan-Nva."


Seiak malam itu. rumah kecil mereka tak pernah kosong lagi. Tapi yang lebih ajaib, Sayyidah Fatimah tetap memasak dengan periuk vang sama, tetap hidup sederhana, dan setiap kali ada orang datang minta bantuan, dialah yang paling cepat membuka karung dan memberi.


Syaikh Abdul Qadir kemudian berkata kepada murid-muridnya:

"Nafkah seorang suami bukan hanya emas dan perak vang dia bawa pulang.

Nafkah yang paling besar ialah ketenangan yang dia berikan kepada hati isterinya. 


Dan nafkah seorang isteri yang paling maha ialah sabar dan redha yang dia hadiahkan kepada suaminya

Apabila kedua-duanya bertemu, Allah sendiri yang turun menjadi penjaga dapur mereka.'


Kisah ini diriwavatkan dalam al-Bahjat al-Saniyvah dan manaqib Syaikh Abdul Qadir, dan meniadi ibrah besar dalam tariqat Qadiriyyah hingga hari ini. 

Rumah yang paling kaya bukan yang penuh dengan harta,tapi yang kosong dari keluhan.


Wallahu a'lam.