Sabtu, 28 Mei 2011

aku kau & aku....

Mat, pakai jeans koyak. Punya telefon bimbit yang tak boleh 3G. Cukup sekadar hantar SMS, dan buat bergayut dengan awek sampai pukul dua tiga pagi. Mat jual burger. Burger Mat kadang-kadang laku. Tambah laku bila Manchester United sesah pasukan lawan di Old Trafford di paparan sebesar gajah restoran mamak yang memberi tumpang dia buka gerai burger. Mat tak belajar tinggi.


Waktu tingkatan empat, dia sudah ada lesen motor. Arwah bapa Mat suruh dia ambil lesen motor supaya senang dia pergi sekolah, dan sekali sekala tolong ibunya ke kedai, beli perkakas dapur. Gula, garam, telur, bawang. Mat guna motor untuk bawa ceweknya pusing kotaraya. Kadang-kadang bila ceweknya itu buat perangai, Mat guna motornya untuk lepas geram. Mat bawa motornya itu, jumpa kawan-kawan, yang turut bermotor juga. Mereka beradu motor siapa lebih hebat. Motor siapa lebih ‘blah’.

Mat tidak baca surat khabar. Kalau Mat lalu di kedai runcit untuk beli sekotak rokok seludup, dia cuma jeling muka depan. Nampak satu dua tajuk utama yang selalunya punya kata seperti ‘bogel’, ‘seks’, ‘video’ dan ‘laknat’; kemudian Mat akan blah. Mat juga tidak tonton berita di televisyen. Rumah Mat tak ada pun televisyen. Arwah bapa Mat jual televisyen, supaya boleh bagi duit belanja untuk adik-adik Mat yang lagi sembilan orang. Supaya adik-adik Mat boleh makan minum dan tidak terliur tengok kawan makan di waktu rehat. Mat tak peduli Buletin Utama TV3. Mat langsung tak tahu ada TV Hijrah. Mat hanya kadang-kadang ikut ceweknya itu duduk restoran tomyam, tonton drama petang-petang, atau pertandingan nyanyi-nyanyi.

Cewek Mat ini, namanya Minah. Tapi disebabkan cewek Mat ini tak mahu digelar ‘kampung’ maka panggilnya Min sahaja. Min, juga pakai jeans koyak. Cumanya jeans Min ini melekat di punggung. Mat suka. Ada sekali-sekala Mat tepuk-tepuk, tapi tak boleh di khalayak. Min akan menjeling manja bila Mat buat begitu. Cinta dan sayangnya pada Mat menghapus apa batas yang ada dicadangkan orang. Min sudah tiada dara. Min, bertuah sedikit badannya, punya telefon bimbit yang boleh 3G. Min kerja kerani pejabat loyar. Hari-hari Min sembang dengan kerani lain; tentang pertandingan nyanyi-nyanyi yang dia paksa Mat tonton bersama. Kadang-kadang tentang angan-angannya mau kenduri kahwin macam Kate Middleton. Tapi Mat bukan anak raja. Maka Min boleh angan-angan saja.

Min dulu ada sambung mengaji. Tapi tengah-tengah rajin menaip tutoran, Mat akan hantar SMS, mahu manja-manja. Selesai manja-manja, Mat akan ajak bergayut. Min tak kisah. Super saver ada. Lagipun Min dapat duit dari papa dan mamanya setiap minggu. Maka kerja Min terbengkalai. Dan Min tak bercita-cita untuk sambung mengaji. Dia hanya mahu peluk Mat, dengan penuh kasih sayang. Kemudian ubah lelaki itu menjadi Prince William bila nanti Mat buat keputusan jantan mengajaknya bernikah. Ajak kahwin sudah berkali-kali. Kahwinnya juga sudah berkali-kali. Cuma nikah sahaja belum. Min tak kisah. Min sayang Mat. Cinta mereka sama sebiji macam kisah cinta yang Min tonton di Panggung Sabtu. Atau macam cerita cinta yang Min baca dalam novel-novel cinta yang dia pinjam dari abang angkatnya waktu belajar dulu. Abang angkat Min baik. Suka tolong Min. Tapi Mat tak tahu. Mat tak perlu tahu. Abang angkat Min, namanya Dolah.

Dolah, pakai seluar slack. Sepatu murahnya sudah lama tidak dikilat. Tapi apa dia kisah. Dolah kerja pejabat pos. Duduk belakang kaunter, tunggu orang datang bayar bil air api. Dolah, ada kereta. Dolah guna keretanya itu untuk hantar anak-anaknya pergi sekolah, sebelum hantar isterinya pergi kerja. Ada masanya juga, Dolah guna keretanya untuk bawa Min jalan-jalan. Hiburkan hati. Dolah tak boleh dipersalahkan. Dia punya tanggungjawab besar untuk cari rezeki buat beri makan anak bini. Dolah mahu masa untuk diri sendiri juga. Kasihan Dolah.

Dolah, punya beban berat. Pada usia baru lewat dua-puluhan, dia punya beban hutang belajar, walau pun belajarnya tak habis. Dicampur itu dengan beban hutang kereta. Kemudian campur lagi hutang rumah. Kemudian kira sama belanja anak bini. Campur sekali duit untuk orang tua di kampung. Campur pula duit yang dia belanja untuk hiburkan hati yang lara disebabkan hutang-hutangnya. Dolah, jarang punya masa untuk tonton televisyen. Menonton televisyen di rumah sepulangnya dari kerja, ertinya merelakan telinganya mendengar anak bini memekak. Dolah buat salah besar kahwin pada usia ini, pada janda anak dua.

Siti ini, bininya si Dolah. Siti janda. Lakinya mati sakit jantung. Dia selalu salahkan dirinya, kerana suka masak makanan berminyak. Tapi Siti pandai. Siti tak makan apa yang dia masak. Maka Siti hidup sihat. Siti masih bergetah. Sebab itu Dolah tergoda. Siti tak buang masa. Siti goda Dolah. Siti menikah lagi. Siti suka. Dolah sayang Siti. Dolah akan korban apa saja untuk Siti. Sebab Siti pandai layan Dolah.

Siti kerja bank. Hari-hari Siti bergosip dengan kawan-kawannya tentang pelanggan bank yang tak bayar hutang. Tentang pelanggan mana yang duitnya banyak. Tentang pelanggan mana yang beli rumah, beli kereta. Siti tahu ekonomi negara merosot. Siti tahu nilai matawang dunia menyusut. Siti tahu harga barang naik. Siti sedar harga petrol naik. Siti tengok orang datang minta pinjam wang hari-hari. Mahu buka perniagaan, mahu kerja sendiri, mahu cari duit; supaya boleh sara anak bini.

Siti tonton televisyen dengan anak-anak. Sambil anak-anak buat kerja sekolah, dan curi pandang pada kaca televisyen. Siti tengok berita TV3. Anak Siti tanya, “Mak.. liwat tu apa?” Siti sengih. Siti kata, “Dia salah sebut. LEWAT la. L-e-w-a-t.” Siti padam televisyen. Tunggu Dolah balik kerja. Malam tu malam Jumaat.
Anak Siti ketawa mengekek. Anak Siti kata dalam hati, “Mak ni, ingat aku bodoh ke.” Anak Siti masuk internet. Anak Siti buka Google.

Mat, Minah, Dolah dan Siti ini semuanya rakyat Malaysia. Mereka punya kerisauan masing-masing dan harapan serta cita-cita tersendiri. Mat, Minah, Dolah dan Siti; sebenarnya tak banyak beza dengan kau dan aku. Kita ini semua punya persamaan yang jelas. Mungkin cuma satu persamaan, atau barangkali lebih. Apa yang nyata, kita ini semua rakyat Malaysia yang punya tekanan-tekanan dan situasi ekonomi yang mengharukan.

Anak-anak muda seperti Mat dan Min, tidak sangat peduli dengan politik idea. Dolah juga serupa. Dia lebih peduli tentang duit. Kerisauan dia itu lebih material, dibanding dengan kerisauan tentang pihak-pihak yang tidak memberi banyak kesan padanya, seperti puak yang sebar video lucah. Seperti kelas pertengahan yang hampir tidak membaca, politik hanya difahami sebagai pertarungan parti-parti politik untuk merebut kekuasaan untuk memperjuangkan kepentingan masing-masing.

Anak muda memandang politisi sebagai grup yang ‘poyo’ dan tidak selari dengan gaya mereka. Maka ide politik tidak menjadi tarikan. Kerana ide politik tidak ‘cool’. Semahunya mereka ini, supaya tidak mengambil garis partisan, supaya tak nampak ‘poyo’ dan tua sebelum usia. Namun hakikatnya anak muda tidak bisa lari jauh, dari efek politisi dan politik. Mahu tidak mahu, perlu peduli juga. Terutamanya bila Mat nak merempit, mahu beli minyak rasa macam lebih baik makan nasi ayam. Atau bila Min mahu buat kueh raya, tidak bisa guna gula. Bila Dolah hampir bankrap dan tidak lagi boleh hora-hora. Bila Siti punya anak-anak, terlebih bijak dan tidak teringin masuk sorga kerana tidak rasa perlu agama. Semua itu politik belaka.

Ketika setiap sensitiviti kita diruntun, dan marah kita dipetik; di waktu itu baru mau bangkit melawan dan mengaku peduli. Mungkin dah lambat beb.

Amin Ya Rabbal Alamin...!!!

Kami tidak gelojoh untuk jadi sekaya kamu. Kami tidak perlukan banglo dan kereta besar. Kami tidak perlukan emas dan berlian. Kami tidak perlu keluar negara dan tinggal di hotel-hotel mewah. Kami hanya perlukan sesuap nasi untuk anak-anak kami yang masih kecil, memadai untuk mereka, kami hantar ke sekolah dalam keadaan perut yang berisi walaupun sedikit sahaja supaya satu hari nanti mereka dapat berbakti kepada agama dan negara. 

Memadai bagi kami untuk berteduh di bawah rumah yang lusuh dari hujan dan panas terik. Memadai bagi kami 5 sekeluarga untuk terpaksa berhimpit ketika menunggang motorsikal buruk yang kami beli 10 tahun yang lalu. Kami redha dengan kurniaan ilahi walaupun terpaksa bangun awal pagi dan kembali mencari rezeki di malam hari.



Itu sahaja yang kami, sebagai rakyat biasa pohon dari pimpinan negara. Pimpinan yang kami lantik dari tangan-tangan kami sendiri yang kami sangkakan bekerja untuk kami.

Tidak cukupkah dengan ujian hidup kami kini, sehingga perlu ditambah lagi?, tidak henti-henti dibebani dengan kenaikan harga ayam, ikan, daging, sayur, tepung, petrol, diesel, gas, bil letrik, bil air, cukai perkhidmatan, cukai pendapatan, tiket bas, tol, caj hospital, skim pinjaman buku teks, yuran peperiksaan dan sebagainya, malah di tambah pula dengan saman ekor dan masalah insurans kenderaan tua?.

Dari mana lagikah sumber kewangan yang harus kami cari untuk menampung bebanan tambahan itu? Kami buntu dan tertekan. Tidakkah kamu simpati lagi kepada kami yang memilih kamu wahai pimpinan ku?

Kami kucupi dahi anak-anak kami setiap pagi sebelum mereka ke sekolah, sambil kami usapi bedak di dahi dan pipi mereka, kami renungi mata mereka sambil mengukir satu senyuman sayang beserta pohonan kepada Allah S.W.T yang berkuasa, agar ujian ini hanya terbatas kepada kami, ibu dan ayah dan bukan kepada anak-anak kami yang tidak berdosa.

Wahai pimpinan ku, kami tidak menyumbang kepada Indeks Rasuah Negara yang kini di tangga ke-56, tetapi kenapa kami juga yang harus menerima akibatnya?

Wahai pimpinan ku, Kami juga tidak menyumbang kepada isu PKFZ, tetapi kenapa kami juga yang harus menanggungnya? Wahai pimpinan ku, Kami juga tidak menyumbang kepada runtuhnya Stadium Sultan Mizan di Kuala Terengganu, tetapi kenapa kami juga yang terpaksa terseksa dengan kesannya?

Sebab kami tahu, ketirisan dan kebocoran ada berlaku dalam pengurusan kewangan negara sehingga menyebabkan berlakunya kekurangan sumber kewangan sehingga ia memaksa kamu untuk menzalimi kami.
Sudah jatuh ditimpa tangga, kamu bercadang pula memansuhkan subsidi kami hanya semata-mata kerana bajet defisit? Hanya kerana ia meliputi 54% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)?

Bukankah bajet defisit itu boleh diatasi dengan perbelanjaan dan pengurusan berhemah PKFZ, Stadium Sultan Mirzan, Projek Bakun, Projek Landasan Berkembar dan bermacam lagi? tanpa perlu dahulu menyerang subsidi kami.
Bukankah masalah yang sebenar adalah kerana hutang negara di sekitar 53.7% daripada KDNK seperti yang tercatat dalam laboran audit negara? dan adakah hutang negara adalah semata-mata kerana sumbangan subsidi ?

Janganlah engkau wahai pimpinan ku, menjadikan keangkuhan kamu itu, setelah sekian lama dilimpahi nikmat dunia oleh tuhan untuk engkar dengan amanah itu, amanah yang kami serahkan kepada kamu satu ketika dulu.
Tidak takutkah engkau wahai pimpinan apabila doa kami yang dizalimi itu tidak ada hijabnya yang menghalang?.

Kami berdoa dan kami pohon Ya Allah kepada kamu untuk melindungi kami dan anak-anak kami dari semua kezaliman ini.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Dengki cemburu iri hati hasad

"Pernah tak kita lihat dalam masyarakat kita budaya santau-menyantau, fitnah-memfitnah, berburuk sangka, saling menjatuhkan antara satu sama lain dan pelbagai lagi budaya yang sama waktu dengannya??? Rasanya perkara seperti ini sudah tidak perlu dipersoalkan kerana ianya perkara yang sering terjadi di kalangan masyarakat kita. Semua perkara ini terjadi hasil daripada suatu sifat atau penyakit hati yang dipanggil hasad dengki. Apa makna hasad dengki ini? Saya pinjam makna hasad dengki ini dari sebuah buku yang mana buku itu menyebut

Hasad adalah satu perkataan yang diambil dari perkataan bahasa arab yang membawa erti dengki. Ramai orang yang menyamakan iri hati dan dengki. Padahal kedua-dua perkara ini berbeza. Iri ertinya cemburu melihat nikmat atau kelebihan yang diperoleh orang lain dan dia ingin seandainya dialah yang mendapatkan nikmat itu dan bukan orang lain. Sedangkan dengki pula adalah benci melihat nikmat yang diterima orang lain dan berusahasupaya nikmat itu hilang.

Natijah dari sifat dengki ini sekiranya tidak dibendung akan mendatangkan pelbagai kesan negatif sama ada kepada orang yang dengki itu ataupun mangsa orang dengki itu. Antaranya ialah apa yang saya telah disebutkan di awal tadi. Dan antara kesan yang dipetik dari al-Quran ialah

Sombong

Gara-gara dengki dengan nabi Adam menyebabkan iblis menjadi sombong sehingga menggagalkan dirinya untuk menuruti perintah Allah agar bersujud kepada nabi Adam sebagai penghormatan. Akibat dari kesombongannya itu maka saat itu terlucutlah segala kenikmatan yang dikecapi selama berada di dalam syurga dan tika itu juga iblis menjadi makhluk yang dilaknati oleh Allah dan diusir dari syurga. Firman Allah yang bermaksud

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina". (al-'Araf : 11-13)

Berbunuhan

Pertumpahan darah pertama yang berlaku di muka bumi dapat diketahui sebagaimana tercatat di dalam al-Quran melalui kisah Habil dan Qobil. Disebabkan dengkinya Qobil kepada Habil kerana Allah menerima kurban Habil dari kurbannya maka Qobil mengambil keputusan untuk membunuh saudaranya. Firman Allah yang bermaksud

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa; "Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;"Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim".Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi. Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal. (al-Maidah : 27-31)

Dendam

(Ramai di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna". Ini antara kalimat yang diucapkan oleh salah seorang saudara nabi Yusuf dek kerana dengki kerana nabi Yusuf lebih disayangi dan dicintai oleh bapa mereka Nabi Yaakub dari diri mereka sendiri. Dari sifat dengki itu maka timbullah rasa dendam terhadap nabi Yusuf sehingga mereka berpakat untuk melakukan perkara yang tidak baik terhadap nabi Yusuf. Kisah ini tercatat dalam surah Yusuf. Firman Allah yang bermaksud

(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata." (Ramai di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna". Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu".
(Yusuf : 9-10)

Ini antara perkara yang akan berlaku sekiranya kita terus membiarkan perasaan dengki itu menyubur dalam diri kita. Dan banyak lagi perkara-perkara yang tidak baik akan berlaku hasil dari sifat dengki. Oleh itu, jangan kita biarkan sifat dengki ini tumbuh segar dalam diri. Andainya perasaan itu terbit maka removelah ia secepatnya dengan cara kita redho dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada setiap makhlukNya. Sekiranya terbit juga perasaan dengki itu bermakna kita tidak redho denga apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Adakah kita layak untuk melakukan sedemikian rupa itu terhadap tuhan yang Maha Agung??? Ingatlah dengan sabda Nabi yang bermaksud

"Sesungguhnya hasad dan dengki itu akan memakan amal-amal baik sebagaimana api memakan (menghanguskan) kayu bakar"

Allah merupakan pencipta kita dan dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk-makhlukNya. Oleh itu, redholah dengan semua yang telah Allah takdirkan untuk kita. Tidak perlu untuk kita hasad dengki dengan orang lain. Dan sudah pasti besar ganjarannya di sisi Allah andainya kita redho dengan segala ketentuan dan ketetapan tuhan yang Maha Esa insyaALLAH.

Pantang larang melayu

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya, apakah hukum mempercayai petua-petua, pesan dan pantang larang orang dahulu kala yang disebut 'kenan'. Sebagai contoh ada pesan orang tua mengatakan jangan menyapu rumah ketika waktu malam kerana ditakuti rezeki akan "disapu keluar". 

Apakah kesan mempercayai kesan seperti ini kepada akidah kita dan apakah dalil yang ada untuk membenarkan atau menyangkal perkara ini?

Soalan tambahan saya, bagaimanakah caranya untuk kita mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu yang boleh diikuti serta tidak menjejaskan akidah dan amalan yang mana harus dielakkan?

Jawapan;

Semua jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya harus diamalkan jika ia tidak bercanggah dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, antaranya;

1. Tidak membawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut iaitu mempercayai perkara ghaib di luar dari skop yang diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran atau melalui RasulNya di dalam as-Sunnah. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”. (an-Naml: 65) 

2. Tidak memalingkan seseorang dari keyakinan bahawa segala yang berlaku -sama ada baik atau buruk- adalah dari ketetapan Allah (Qadarullah). Begitu juga, keyakinan hanya Allah yang mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang beriman”. (al-A’raf: 188) 

3. Tidak membawa kepada pengamalan yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah atau terpaksa meninggalkan amalan yang disuruh al-Quran dan as-Sunnah kerana ingin beramal dengan petua atau pantang larang.

4. Tidak membawa kepada mengubah hukum Allah terhadap sesuatu iaitu sama ada mengharamkan apa yang halal atau menghalalkan apa yang haram. Ini kerana hak untuk menentukan halal atau haramnya sesuatu bukan milik manusia, akan tetapi milik Allah.

5. Tidak berupa kepercayaan kepada sial sesuatu kerana kepercayaan sebegitu dilarang oleh sabda Nabi; "Tidak ada sial sesuatu (di dalam Islam)" (HR Imam al-Bukhari dari Anas). Nabi juga bersabda; “Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a./ al-Jami’ as-Saghir, no. 8701)

6. Tidak berupa tilikan atau tenungan kerana ia dilarang oleh Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang tilik/tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadapy apa yang diturunkan kepada Muhammad (yakni agama Islam)”. (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8285)

Oleh demikian, supaya petua dan pantang larang yang hendak diamalkan tidak bercanggah dengan agama ia mesti berlandaskan dalil-dalil yang diakui Syariat iaitu sama ada diceduk dari al-Quran atau as-Sunnah atau berdasarkan kajian atau pengalaman. Petua yang tidak berdiri di atas dasar yang tidak difahami (atau dikaitkan dengan kepercayaan tertentu tanpa dalil Syarak; yakni al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah dielakkan dari beramal dengannya. Sebagai contoh, pantang larang bagi ibu-ibu selepas bersalin selama 44 hari yang membabitkan perkara berikut;
1. Tidak boleh bersama suami (berjimak) sepanjang tempoh itu
2. Tidak boleh makan makanan sesuka hati (ada makanan yang perlu berpantang)
3. Tidak boleh turun ke tanah kerana dikhuatiri diganggu oleh jembalang tanah.

Perkara pertama ada kaitan dengan dalil Syariat di mana tempoh paling lama nifas bagi wanita bersalin ialah 40 atau 60 hari mengikut perbezaan pandangan ulamak dan dalam tempoh tersebut sememangnya tidak harus berlaku jimak, oleh demikian pantang larang tersebut harus diamalkan. Perkara kedua (berpantang makanan), ia kembali kepada pengalaman dan ia juga harus diamalkan jika kita yakin dengan pengalaman orang-orang dulu. Perkara ketiga (tidak boleh turun ke tanah), ia berkait dengan kepercayaan tentang makhluk ghaib, tidak harus diamalkan kerana ia bersifat khurafat kerana tiada dalil al-Quran maupun as-Sunnah mengesahkannya.

Begitu juga pantang larang yang dikemukakan dalam soalan di atas (jangan menyapu sampah di malam hari kerana dikhuatiri rezki akan hilang); pantang larang ini dilihat dari segi dalil al-Quran atau as-Sunnah, tiada ayat al-Quran ataupun hadis mengesahkannya. Melihat kepada kajian dan pengalaman juga tidak kuat sandarannya. Oleh demikian, tidak usahlah pantang larang sebegitu dipercayai kerana dibimbangi kita akan terbawa-bawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut atau mempercai sial sesuatu yang telah sabit larangan terhadapnya oleh ayat al-Quran dan hadis di atas tadi. Jika kita perlu menyapu sampah di malam hari kerana kebetulan ada sampah yang perlu dibersihkan, lakukanlah tanpa khuatir kepada pantang larang tersebut kerana tiada nas Syarak melarang perbuatan tersebut. Jika ditakdirkan kita mengalami kerugian selepas hari tersebut, wajiblah kita mengembalikan kerugian itu kepada qadha dan qadar Allah, bukan kerana kita telah melanggar pantang larang tersebut. 

Petua dan pantang larang yang jelas bercanggah dengan Syariat (al-Quran dan as-Sunnah) haram diamalkan. Dari segi kesan, jika ia menafikan aqidah yang wajib diiktiqadkan, mengamalkannya mungkin boleh membawa kepada rosaknya iman dan pelaku/pengamalnya boleh terjatuh dalam dosa syirik yang tidak diampunkan Allah, dan lebih jauh dari itu ia mungkin boleh murtad dari agama -sama ada secara sedar atau tanpa sedar-. Jika ia menyalahi amalan yang diredahi Allah, ia berdosa. Perbuatan dosa -sama ada besar atau kecil- wajib dijauhi oleh seorang muslim yang bertakwa kepada Allah.

Untuk mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu sama ada boleh diikuti atau tidak, ia mesti dibentangkan secara khusus setiap satunya di hadapan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam ungkapan lain, ia wajib dirujuk kepada alim-ulamak sebelum mengamalkannya jika berlaku keraguan tentangnya.

Wallahu a'lam.

air di cawan

SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas pensyarah mereka. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing. Mereka bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi. Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat kerja serta masyarakat sekeliling.


Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah. Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.

Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: "Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah! "Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!"

Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah kehidupan ini – ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah. Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!

Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al- Quran bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup. Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:

# Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain.. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan `keseronokan' atau terasa nikmat dengan pemberian itu.
# Kita terlalu banyak `komplen' dan komen (mengadu) dan mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.

# Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.

# Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah `kematian' itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar. Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.

Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki: "Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia atau mati? Jawapan baginda memeranjatkan lelaki itu: "Saya akan pilih kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak."

Moga seluruh perjalanan hidup kita diredhai dan dirahmati oleh Allah. Apa guna hidup seorang hamba tanpa keredhaan penciptaNYA.

"Bersahabat dengan penjual minyak wangi,
kita akan menerima percikkan wangiannya,
manakala bersahabat dengan tukang besi,
percikkan apinya akan mencarikkan baju kita." 

Hati vs tenang :)


Oleh: Pahrol Mohd Juoi
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang.
Ada orang berkata, "ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?"
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli).
Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan. Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli.
Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af'al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
Dimensi Kata, Rasa Dan Tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi "hadiah" kepadanya. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..." (Surah At Tahrim: 8)
Firman Allah lagi:
"... Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri." (Surah Al-Baqarah: 222)
Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan –forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita?
Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
Rasa kehambaanRasa bertuhanMemahami maksud takdirMendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.
Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Rasa Kehambaan
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
"Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman." (Surah At Taubah: 51)
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita "memberontak" hati akan bertambah kacau.
Imam Ghazali pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah "memberontak" kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.
Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya.
Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu "demonstrasi" seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja' – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
"...Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali." (Surah Al-Baqarah: 156)
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja'?
Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.
Rasa Bertuhan
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah.
Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, "la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!"
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa.
Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.
Firman Allah:
"Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat." (Surah Al-Baqarah)
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
"Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana." (Surah Al-Fath: 4)
Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: "Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan." – Al Hadis
Memahami Maksud Takdir Allah
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can't direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita adalah hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
"Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah : 216)
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, "barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang."
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan... mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: "Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik."
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih "kerja Tuhan" yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: "It's not what happens to you, but it's what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!"
Mendapat Hikmah Bila Diuji
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh "mehnah" – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!"
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.
Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah: "Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" (Surah Al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: "Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah."
Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita.
Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat... hanya berada di dalam hati sendiri!