Sabtu, 26 Oktober 2013

12 :)



















zimbabwe


NAJIB dah bentang Bajet, duit rakyat kena kebas. Hari ni pujian juak juak melambung lambung.. Keluar paper, keluar segala media kononnya HEBAT! Ok.. Untuk permulan aku nak sentuh pasal GST. Tapi sebelum terlupa, aku SYOR pada orang2 Umno. 

Lepas ni ramai2 nyanyi lagu P.Ramlee filem 1961 Ali Baba Bujang Lapok: "Beginilah nasib diriku yang malang, ooh Tuhan.." Kah kah kaaaaaaaahh!! Habis semua rakyat kena cukai GST 6%. Najib kata cukai ni banyak negara lain buat, contohnya Zimbabwe. Nasib badan. 

Dapat PM janji dicapati. NAJIB sebut Zimbabwe pun dah laksana GST. Dia bohong kering live 27juta rakyat Malaysia. Aku dah research seharian tentang GST Zimbabwe? Mane ade? FAKTANYA Zimbabwe Revenue Authority dah hapus Sales Tax pada 2004. Diganti Value Added Tax (VAT). Najib kencing hidup hidup 27juta rakyat M'sia secara live! GST adalah cukai regresif yg tindas golongan pendapatan rendah dan telah ditolak banyak negara2 maju dunia. CGT, VAT cukai progresif yg ditanggung lebih oleh golongan berada pendapatan tinggi. Pada MACAI UMNO-BN yg nak hujah tunjuk terer, please buat homework & heavy reading. Gi buat research bebetul, jangan jd macam menteri2 tu!! Ada MACAI bedal aku konon Najib x sebut pun Zimbabwe laksana GST. Dia x perasan agaknya. Takpa. Memang ada. 

Sila rujuk teks rasmi perenggan 106 ayat akhir. DAH tunjuk bukti, dia kata GST & VAT tu sama pulak!!! Bab tu I'm sorry. Certain level of stupidity is beyond repair. Cukai, GST & VAT dikatakan sama? Budu ngan kicap sama x? Walau dah hujah berfakta pun org Umno ni tak faham2. Nak wat apa lg. Yg jenis perangai lembu aku hantar balik kandang Umno. Dalam ucapan Najib dengan jelas menyebut pelaksanaan GST di Zimbabwe. Padahal Zimbabwe tak laksanapun. Auta lebih! Anak sape la yang siapkan teks untuk Najib nih? GST ngan VAT pun x pandai nak bezakan. SAH x buat research! Yang membacanya pulak main bedal je.. Yang percaya dan menyokong pulak SAH BEBAL!!! Elok la tuh, selaras dengan kerajaan mengurangkan subsidi secara berperingkat, rakyat juga sedang mengurangkan UMNO-BN secara berperingkat.. 

Hukum hudud

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Juned menempelak mereka yang mempertikaikan Undang-Undang Jenayah Syar’iah dilaksanakan di negara ini dengan alasan akan menyebabkan pelancong tidak mahu datang ke Brunei kerana takut tangan mereka dipotong.

Menerusi Ceramah Perdana, Majlis Ilmu 2013 pagi ini, Yang Berhormat Pehin menjawab dengan menekankan bahawa jika tujuan para pelancong itu datang ke Brunei bukan untuk mencuri, mereka tidak perlu takut bahkan merasa selamat kerana akan mendapat perlindungan yang sempurna di bawah Undang-Undang Jenayah Syar’iah sehingga kehormatan, wang ringgit dan nyawa mereka Insya Allah terjamin selamat.


Jaminan keselamatan di atas bukan retorik, tegasnya sambil menghuraikan bukti sebagaimana berlaku di Tanah Hijaz Semenanjung Arab pada zaman silam, yang sebelum hukuman jenayah syar’iah dilaksanakan adalah penuh dengan jenayah curi, rompak dan bunuh.

Akan tetapi sejak hukuman berkenaan dilaksanakan oleh Kerajaan Arab Saudi, jenayah-jenayah itu hapus, menyebabkan manusia aman dan bebas daripada pencuri dan perompak, tambah Yang Berhormat Pehin.

“Nah! Sekarang, siapa kata orang takut ke Mekah? Siapa kata pelancong-pelancong takut? Tidak! Jemaah haji saja, pada setiap tahun, berduyun-duyun membanjiri Kota Mekah sehingga dua ke tiga juta jumlahnya, dan malah sehingga memaksa Kerajaan Arab Saudi mengehadkan pemberian kuota untuk mengawal kebanjiran berkenaan.

“Siapakah yang mahu menyangkal ini? Tahukah tuan, tahukah saudara, bahawa inilah namanya berkat, tandanya ada berkat di situ,” ujarnya sambil menambah kata bahawa Undang-Undang Allah bukan kosong tetapi penuh dengan berkat dan penuh dengan hikmah.

Dari itu janganlah takut kepada Undang-Undang Allah kerana Allah itu sama sekali tidak pernah salah macam kita salah, sama sekali tidak pernah lupa seperti kita lupa, sama sekali tidak pernah keliru seperti kita keliru, serunya.
“Oleh itu, janganlah Undang-Undang Allah diragui. Siapa kita untuk meragui Undang-Undang Allah? Ya, Allah sendiri yang menggubalnya untuk kita, sepatutnya kita wajib bersyukur dan berterima kasih,” nasihat Yang Berhormat Pehin Mufti Kerajaan.

Yang membuat kita Kuat adalah Doa.
Yang membuat kita Dewasa adalah Masalah.
Yang membuat kita Maju adalah Usaha Keras.
Yang membuat kita Hancur adalah Putus Asa.
Yang membuat kita Semangat adalah Harapan dan Impian.
Yang membuat kita menjadi yang Terbaik adalah mengakrabkan diri dgn keheningan jiwa dan memperbanyak Sujud dan mengingati Allah Azza Wa Jalla.


Tidak ada kebaikan bagi pembicaraan kecuali dengan amalan.
Tidak ada kebaikan bagi harta kecuali dengan kedermawanan.
Tidak ada kebaikan bagi sahabat kecuali dengan kesetiaan.
Tidak ada kebaikan bagi shadaqah kecuali niat yang ikhlas.
Tidak ada kebaikan bagi kehidupan kecuali kesihatan dan keamanan.

Jumaat, 25 Oktober 2013

Istidraj

Pembaziran melampau dan ketidak-tirisan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun seolah-olah menunjukkan negara kita terlalu mewah namun sejumlah rakyat terutama pemimpin yang diamanahkan untuk mentadbir dan mengurus kewangan negara adalah pengkhianat kepada agama, negara dan bangsa. ,

 Bayangkan apa tidak membazirnya jika aktiviti lagha (kumpulan muzik K-pop Korea) dibayar jutaan ringgit untuk satu persembahan sedangkan masih ada rakyat di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak belum menikmati 'api dalam kaca' dan 'air dalam besi'!

 Kini sesetengah pemimpin itu kerap kali mendabik dada dan dihebahkan secara-besaran oleh media massa tajaan mereka kononnya apa dinikmati sekarang ini (kekayaan dan kemewahan) adalah hasil kebijaksanaan mereka mentadbir negara termasuk mengurus ekonomi, pihak lain tidak pandai, justeru hanya mereka layak memerintah negara ini.


Tentunya jika dilihat secara zahir, seolah-olah benar apa yang direpekkan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan. Benar sejumlah rakyat kelihatan hidup mewah tetapi persoalannya golongan manakah ini? Apakah 'golongan feudal' saja mahu kaya dulu, kini dan selamanya sedangkan rakyat bawahan hidupnya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Allah SWT telah melempahkan sumber alam yang cukup kaya kepada negara ini – petroleum, kelapa sawit, getah dan sebagainya – tetapi apakah kekayaan ini mendasar kepada kehidupan majoriti rakyat terutama yang tinggal di desa dan pedalaman?

Jika dari segi ekonomi dan taraf hidup sesetengah rakyat ketinggalan terlalu jauh, kini masalah sosial pula menambah derita dan ketakutan rakyat kebanyakan. Jenayah seperti pembunuhan, perompakan, ragut, rogol, zina dan membuang bayi semakin menjadi-jadi. Daripada setinggi-tinggi jenayah berprofil tinggi termasuk pembunuhan warga asing termasuk dari Mongolia sehingga pembulian di sekolah, semuanya membimbangkan, membayangkan terlalu banyak perkara tidak beres dalam masyarakat kita.

Jenayah kejam yang tidak terfikirkan dulu seperti anak membunuh bapa dan anggota keluarga lain termasuk suami isteri, perlu dimuhasabah; apa sebenarnya sudah menimpa masyarakat kita? Apa sebenarnya sudah berlaku kepada generasi muda yang kita didik di sekolah-sekolah kita hari ini? *
Kita percaya ada kaitan antara jenayah yang semakin menjadi-jadi dan moral masyarakat yang semakin buruk ini dengan kemewahan dalam negara yang didakwa pemimpin berkenaan. Kita bimbang jika berlaku istidraj, iaitu adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredai-Nya.

Rasullulah s. a. w. bersabda: ”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi, manusia termasuk pemimpin yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya dan pengampunya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.

Sekarang kita dapat saksikan betapa sejumlah pemimpin dan rakyat (pengampu) yang bermaksiat seperti terbabit dalam amalan rasuah, perjudian dan jenayah seksual, hidup mereka semakin senang dan masih berkuasa dan berkedudukan tinggi. Mereka masih memegang jawatan tinggi termasuk dalam parti politik.

Sebagai kebalikannya, orang taat dan baik termasuk pemimpin, ramai yang hidup sederhana saja malah ada yang susah. Manusia istidraj adalah orang yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal, mereka tidak tahu sebenarnya, Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkan mereka. Manusia, apabila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah SWT, termasuk hukum-Nya. Hukum hudud diperlekehkannya, ingatlah Firaun yang ada segala-galanya itu pun akhirnya binasa, apalah sangat pemimpin dan rakyat takabur negara ini!

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud pula cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredai-Nya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredaan-Nya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.

Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya.

Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredai Allah. Apabila tujuan hidup kita untuk mencari keredaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Negara Kaya

Oleh Anas Alam Faizli
Struktur semasa sosio ekonomi Malaysia boleh disimpulkan dalam empat perkataan, “Negara Kaya, Rakyat Miskin.” Malaysia dirahmati dengan sumber alam semulajadi yang pelbagai dengan petroleum sebagai sumber yang paling bernilai. Diberkati dengan tanah subur, hasil mahsul, dan populasi golongan belia yang besar, Malaysia mempunyai semua ramuan penting yang diperlukan untuk jauh maju kehadapan.


Bagaimanakah sebuah negara kecil dengan rakyat sekecil 30 juta orang akhirnya mempunyai jurang pendapatan antara paling lebar di rantau ini? Beza kaya dan miskin paling luas! Inilah persoalannya. Apakah yang telah berlaku?

DEB: Niat Yang Mulia, Awalnya

DEB ialah dasar gah yang digerakkan oleh dua iltizam: tindakan proaktif kita untuk mula membangunkan sebuah negara yang baru merdeka, dan reaksi kita kepada sistem pecah dan perintah British.

Buku teks mencatatkan yang DEB mempunyai strategi serampang dua mata: penghapusan kemiskinan dan penstrukturan semula masyarakat.  Tetapi budaya popular dan artikulasi massa tidak boleh mengelak dengan mengaitkan DEB dengan agenda Bumiputera yang sangat mendalam terbenam dalam terasnya, yang mana menyasarkan pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam ekonomi Malaysia.

Tetapi “perkongsian ekonomi” di sini rupa-rupanya mempunyai konotasi dan implikasi yang lebih luas. Ia merentasi daripada aset dan pemilikan ekuiti, sehinggalah kepada perolehan kontrak, kuota pendidikan, dan dasar pekerjaan. Bumiputera ialah kumpulan etnik termiskin. Maka ideanya ialah untuk melakukan diskriminasi positif untuk Bumiputera, meletakkan mereka dalam landasan yang sepatutnya, seterusnya menjayakan pemilikan ekuiti yang lebih tinggi dalam ekonomi.  Dan kita memulakan perjalanan yang memilukan dalam perjuangan sebuah tindakan afirmatif.

Seiring dengan masa dan pelbagai rancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia yang telah dilaksanakan, perubahan yang menakjubkan telah berlaku. Bumiputera dan semua rakyat Malaysia, secara umumnya, pada masa kini memiliki lebih banyak aset daripada ibubapa mereka. Kelas pertengahan muncul dan berkembang. Tahap kemiskinan, diukur daripada ukuran tersendiri, telah jatuh daripada 49.1% kepada 1.7% seperti yang dilaporkan dalam Kajian Pendapatan Isirumah 2012 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Bencana “Trickle-Down”


Malangnya, pada tahun 1990 sasaran ekuiti masih jauh untuk dicapai. Masa sudah semakin suntuk dan  Malaysia mengambil jalan mudah dengan rancangan kesan “trickledown” yang tidak di rancang dengan sempurna. Malaysia melakukan cara mudah dengan mengkayakan dan memperkasakan beberapa orang Bumiputera yang akan menjadi usahawan berjaya dan pemilik aset dan percaya kesan penggandaan berterusan, yang akan mengalir dan memberi kesan kepada keseluruhan komuniti Bumiputera. Ketika itu dipercayai,  falsafah untuk kesan “trickledown”  tidak akan dapat dielakkan.

Kesan “trickledown” tidak berkesan dahulu dan tidak juga berkesan pada masa sekarang dan akan datang. Malah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak sendiri mengakuinya dalam temu bual baru-baru ini dengan Martin Soong daripada CNBC. Hakikatnya, ia memperluaskan lagi jurang kaya dan miskin dalam strata rakyat Malaysia.  Ia telah menjadi sesuatu yang kita berpaut kepadanya sekuat  mungkin dan masih mempercayainya sebagai kebenaran.

Belum lagi berjaya dengan matlamat lama, kita mengorak langkah dengan mimpi baru, iaitu sebuah “Impian Malaysia” yang baru. Sudah tentu, secara semula jadi langkah seterusnya adalah untuk memperkembang dan memperbesarkan saiz kelas menengah yang sudah ada. Soalnya, adakah ini benar berlaku?

Satu Lagi Sasaran Tidak Tercapai?


Impian baru ini adalah mimpi dan cita-cita supaya Malaysia mencapai status Negara Berpendapatan Tinggi.  Ini akan menjadi kenyataan dengan mencapai pendapatan per kapita USD$15,000 menjelang tahun 2020. Untuk mereka yang tidak terlatih dalam bidang ekonomi, jangan khuatir. Ia hanya bermakna yang Pendapatan Negara Kasar (GNI) negara ini, yang diukur daripada pengeluaran dalam negara dijumlahkan dengan pendapatan tetap daripada luar negara, yang apabila dibahagikan dengan jumlah penduduk negara ini, mestilah bernilai USD$15,000. Buat masa ini, Malaysia berada pada tahap USD$9,970 dan kita telah dijamin yang sasaran ini boleh dicapai sekitar tahun 2017-2018.

Abaikan sahaja yang kebanyakan isi rumah yang relatifnya berpendapatan rendah masih menemukan diri mereka dalam situasi yang tidak banyak berubah. Abaikan sahaja yang isi rumah Bumiputera masih berada dalam kelompok 40 peratus terbawah dalam strata isi rumah di Malaysia. Abaikan sahaja yang walaupun kebanyakkan pendapatan negara ini pada tahun 2020 berkelompok dan berfokus hanya kepada 100 orang di negara ini, kita masih boleh mencapai sasaran USD$15,000 per kapita kerana ia dibahagikan secara kasar dengan keseluruhan populasi. Sasaran ini hanyalah satu nombor yang tiada makna jika relatifnya rakyat susah!

Indikator yang digunakan untuk mengukur konsep Negara Berpendapatan Tinggi sangat bermasalah. Banyak pihak dalam komuniti penyelidikan dan gerakan awam sudah menyuarakan kebimbangan mereka kepada kaedah yang digunakan untuk mengukur pendapatan menggunakan Dollar Amerika. Ia bukanlah matawang yang majoriti rakyat Malaysia perolehi dan gunakan. Jadi, apabila Ringgit lebih kukuh daripada Dollar Amerika tahun lepas, kita mempunyai seribu alasan untuk mempersoalkan adakah GNI per kapita yang diukur dalam terma Dollar Amerika benar-benar melambangkan pertumbuhan sebenar per kapita, dan sama ada sasaran ini sebenarnya dapat dicapai.

Sungguhpun begitu, walaupun kita meletakkan soal pertukaran matawang ini ditepi, di sini izinkan saya buktikan mengapa sasaran USD$15,000 per kapita tidak boleh menjadi “impian”  bersama yang dapat dibanggakan sepenuhnya, jika dicapai kelak.

Di bawah ialah di antara sebab-musababnya:

Negara Kaya Raya, Rakyat Papa Kedana

Pertamanya, majoriti isi rumah rakyat Malaysia, yakni hampir 90 peratus pendapatan mereka hanya bersumberkan daripada upah dan gaji, termasuklah yang bekerja sendiri. Malah kepada sebahagian yang mampu memiliki sedikit aset, hakikat ini masih benar. Apatah lagi bagi mereka yang langsung tidak memilik aset, dan seterusnya tidak memperolehi pendapatan daripada aset yang dimiliki.

Perlu diingatkan bahawa KDNK Malaysia (jika diukur menggunakan kaedah pendapatan) akan dipecahkan kepada beberapa bahagian: 28 peratus upah dan gaji, 67 peratus keuntungan perniagaan (termasuklah pendapatan bersama) dan 5 peratus cukai dan subsidi. Apakah yang dimaksudkan dengan ini? Ia bermakna daripada keseluruhan KDNK, hanya 28 peratus terhasil daripada sumbangan upah dah gaji populasi Malaysia yang bekerja. Ini adalah sangat rendah!

Sepanjang 15 tahun yang lepas, sumbangan daripada upah dan gaji kepada KDNK Malaysia berolak-alik di antara 26 hingga 32 peratus dan satu-satunya sebab ia mencapai 32 peratus ialah kerana kegawatan ekonomi 2008 apabila keuntungan syarikat berkurangan. Di Singapura, angka upah dan gaji yang menyumbang kepada KDNK sudah setinggi 42 peratus pada tahun 1997.

Di negara-negara maju seperti Korea, Kanada, UK dan Jepun, jumlah upah dan gaji masing-masing ialah sebanyak 46 peratus, 51 peratus, 55 peratus dan 52 peratus. Rakyat Malaysia tidak memperolehi pecahan besar daripada pengeluaran negara yang masuk ke dalam poket mereka! Perkara ini menjadi lebih buruk; dokumen ETP (A Roadmap for Malaysia: Chapter 2) sendiri meletakkan ukuran yang meramalkan upah di dalam KDNK untuk NKEA akan jatuh sehingga 21 peratus pada tahun 2020! Apa yang kita cuba hebahkan dan apakah keutamaan kita yang sebenarnya?

Malah, sepanjang 15 tahun lepas, gaji untuk pekerja di Malaysia telah terkebelakang dengan pengeluaran kita. Kadar pertumbuhan pengeluaran adalah selari dengan kadar pertumbuhan upah sekitar 1998, tetapi selepas itu perlahan-lahan ia jatuh ketinggalan di belakang.  Sehingga tahun lepas, pengeluaran dalam sektor pembuatan ialah 45 peratus melebihi upah. Ia boleh diterjemahkan secara kasar yang pekerja kita menerima gaji kurang daripada sepatutnya dalam kadar 45 peratus. Semua ini menunjukkan yang GNI per kapita tidak mewakili dengan baik pendapatan majoriti rakyat Malaysia yang menikmatinya sebagai upah dan gaji. Malah tiada makna apa-pun yang relevan dengan rakyat umum.

Keduanya, lebih daripada 90% tenaga kerja penerima upah tidakpun menerima gaji yang banyak. Hanya 11.0 peratus daripada pendapatan negara diterima daripada cukai pendapatan individu  dan hanya 1.0 juta daripada 10.8 juta tenaga kerja layak untuk membayar cukai. KWSP melaporkan yang 78.6% daripada penyumbangnya memperolehi RM 3,000 sebulan atau kurang. Ini sekali lagi menunjukkan betapa rendahnya pendapatan majoriti rakyat Malaysia pada tahap individu. Jadi apakah Negara Berpendapatan Tinggi yang kita ingin capai dalam masa beberapa tahun akan datang? Adakah sebuah Negara Berpendapatan Tinggi dengan majoriti rakyatnya berpendapatan rendah?

Ketiganya, satu lagi isu besar ialah kuasa membeli rakyat.  Pendapatan tinggi semata-mata tidak semestinya diterjemahkan ke dalam kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup yang lebih baik sekiranya pendapatan tinggi tidak boleh memberi rakyat kuasa membeli yang tinggi. Analisis mudah akan menunjukkan bagaimana seorang graduan pada 1980 mempunyai kuasa membeli lebih tinggi dibandingkan dengan graduan pada hari ini.  Dengan anggaran gaji asas RM1,000 seorang graduan boleh memiliki sebuah Opel Gemini berharga RM12,400 atau 12 bulan gajinya dan membeli sebuah rumah yang baik, mungkin di Taman Tun, berharga RM62,000 atau 56 bulan gajinya.

Hari ini, dengan bayaran pokok sebanyak RM2,500 atau hanya 2.5 peratus tinggi daripada graduan tahun 1980, sebuah Mazda 6 sekarang berharga RM178,000 atau lebih kurang 71 bulan gaji bulanannya dan sebuah rumah yang baik jauh di luar Kuala Lumpur, katakan di Nilai yang berharga RM 350,000 atau 140 bulan gaji bulanannya.  Kos sara hidup telah meningkat dengan sangat tidak masuk akal dan kuasa membeli seorang pekerja secara puratanya telah berkurangan dengan sangat nyata.

Keempat ialah isu jurang kaya dan miskin, dan sehingga kini isu ini ialah hujah terkuat untuk menentang sasaran Negara Berpendapatan Tinggi USD $15,000. Ada sebab mengapa ahli akademik, kumpulan masyarakat sivil dan rakyat  melaungkan sepanduk ketidaksamarataan; Malaysia antara negara yang tinggi jurang kaya dan miskin di rantau ini. Pada 3 Ogos 2013, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni mengakui perkara ini.

Pertumbuhan pendapatan diukur daripada tahun 1970 telah menunjukkan yang 20 peratus kelompok teratas jauh meninggalkan kelas pertengahan yang mewakili sebanyak 40 peratus dan 40 peratus selebihnya tergolong dalam kelompok terbawah isi rumah, sementara jurang pendapatan antara mereka secara puratanya membesar. Pekali GINI, yang mengukur darjah jurang antara pendapatan tertinggi dan pendapatan terendah, kekal tinggi di antara 0.43 sehingga 0.44 tanpa perubahan sepanjang 20 tahun di Malaysia.

Memperolehi RM10,000 sebulan dalam sebuah isi rumah sudah pun meletakkan anda dalam kedudukan 4 peratus teratas dalam isi rumah Malaysia, dan secara asasnya tergolong dalam kumpulan yang sama dengan kelompok hartawan Malaysia seperti Ananda Krishnan. 73 peratus isi rumah memperolehi kurang daripada RM 5,000, dengan purata dua orang dewasa yang bekerja untuk setiap isi rumah. Ini sahaja sudah menunjukkan betapa luasnya jurang yang wujud.  Keadaan ini, walaupun membolehkan sasaran USD $15,000 Negara Berpendapatan Tinggi dicapai, ia hanyalah dalam bentuk angka kuantiti terpilih, tetapi mempunyai kualiti yang sangat lemah dalam semangat perkongsian kekayaan dan isi keadilannya.

Bagaimana ketidaksamarataan yang tinggi dan berterusan ini berlaku? Sumbangan terbesar ialah kegagalan “kesan trickledown”. Pengayaan berterusan kepada beberapa pihak terpilih secara berterusan meluaskan lagi jurang dalam kitaran yang panjang dan berulang. Ketidaksamarataan dalam sistem pendidikan kita juga menyumbang kepada 77 peratus tenaga kerja Malaysia hanya berkelulusan SPM dan ke bawah, seterusnya menyebabkan kadar gaji yang rendah.

Hanya kerana keuntungan, sektor perniagaan tidak bersedia untuk melabur dalam produktiviti dan latihan orang tempatan.  Kita memuaskan komunti peniaga dengan membenarkan kemasukan besar-besaran pekerja asing, terutama di kilang, untuk menggantikan pekerja tempatan yang relatifnya lebih mahal. Mitos bahawa orang tempatan memilih pekerjaan dan tidak bersedia untuk bekerja di kilang kemudiannya dibesar-besarkan, walaupun orang tempatan bersedia untuk bekerja di kilang sekiranya di upah sewajarnya. Ini terbukti benar dalam industri minyak dan gas; pekerja yang bekerja keras semuanya orang Malaysia, walaupun terpaksa membanting tulang di bawah bahang terik matahari, kerana ganjarannya besar.

Jadi Apakah Sebenarnya Impian Rakyat Malaysia?


Kita tidak ada satupun! Tetapi jika kita merancang untuk mempunyai satu impian bersama, kita tidak boleh meninggalkan pekerja biasa di belakang, kelompok yang membentuk lebih 80 peratus daripada populasi Malaysia. Kita memerlukan impian yang  merangkumi dan menyeluruh serta menitik beratkan kualiti kehidupan kepada semua rakyat Malaysia, bukan hanya kelompok terpilih.

Ketidaksamarataan pendapatan ialah ancaman serius kepada harapan kita untuk membentuk sebuah negara maju.  Satu ironi yang besar sekiranya majoriti rakyat Malaysia tidak merasai pengalaman status pendapatan tinggi, secara nyata, sebaik sahaja kita mencapai sasaran USD$15,000. Bagaimana kita hendak mengisytiharkan diri sebagai berpendapatan tinggi apabila kesan ketidaksamarataan seperti jenayah, penggangguran, kesihatan dan kebejatan sosial serta penurunan kebajikan sosial menjadi lebih ketara? Malah jika kita memang mencapai tahap pendapatan tinggi, masalah yang timbul daripada ketidaksamarataan menghasilkan persoalan serius tentang kemandirian status pendapatan tinggi.

Selagi mana kita tidak bersatu, bersama-sama mengatakan tidak kepada ketidaksamarataan secara menyeluruh, dan membantu meningkatkan kelompok 60 peratus terbawah yang berpotensi menjadi penjana ekonomi yang signifikan, masalah ini tidak akan selesai dengan sendirinya dan akan kembali menghantui kita semua. Bergerak ke hadapan, dasar kita sewajarnya dibentuk dan dibina berasaskan pemahaman ini. Kita tidak akan mencadangkan GST yang menekan rakyat untuk meningkatkan sumber pendapatan jika kita memahami fakta ini. Sebaliknya kita akan cuba meningkatkan pendapatan daripada sumber lain yang tidak akan menyakiti majoriti rakyat seperti cukai warisan, cukai progresif dan cukai laba modal.

Tetapi hujahan perkara-perkara itu, ialah untuk hari yang lain.

"Perlu ada dalam warga bukannya kemiskinan melata tidak juga kekayaan menggunung, kerana keduanya adalah usaha keras kejahatan." (Plato)

*Anas Alam Faizli ialah profesional dalam industri minyak dan gas. Beliau sedang menyambung pengajian peringkat kedoktoran, pengasas bersama BLINDSPOT dan BANTAH TPPA, tweet di @aafaizli 

banjir lumpur CH



















Strok

Penyakit angin ahmar atau strok berlaku apabila bekalan darah ke sebahagian otak terputus tiba-tiba. Otak memerlukan bekalan oksigen berterusan daripada darah. Jika bekalan darah terputus, sel otak yang terjejas akan rosak atau mati.

Kadangkala strok dipanggil 'serangan otak'. Terdapat dua jenis strok iaitu Strok Iskemia dan Strok Haemoragik.

Strok Iskemia berlaku bila terdapat darah beku di dalam saluran darah di otak menyebabkan tersumbat. Iskemia bermaksud pengurangan bekalan darah dan oksigen ke bahagian badan tertentu.

Dalam setengah penyakit strok, darah beku boleh terbentuk dalam saluran darah otak sendiri dan menyebabkan strok iskemia. Dalam kes strok iskemia lain, darah beku boleh terbentuk di luar otak dan bergerak ke otak seterusnya menyumbat saluran darah otak.

Strok Haemoragik (pendarahan) berlaku apabila saluran darah otak lemah, rosak dan pecah menyebabkan pendarahan dalam otak.

Terdapat dua jenis pendarahan otak iaitu Pendarahan Intracerebral dan Pendarahan Subarachnoid.

Pendarahan Intracerebral berlaku apabila saluran darah pecah di dalam otak kemudian mengalir ke dalam otak menyebabkan bekalan darah ke sel otak terputus dan sel otak akan rosak atau mati. Pendarahan jenis ini berlaku dalam satu daripada 10 kes strok.

Pendarahan Subarachnoid berlaku jika saluran darah pecah di ruang antara otak dan tengkorak. Ruang tersebut biasanya diisi cecair otak - cerebrospinal. Setiap satu daripada 20 kes disebabkan jenis ini.

Strok di Malaysia Menurut Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM), setiap seorang daripada enam orang di Malaysia akan diserang strok.

Setiap tahun dianggarkan 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok. Strok adalah punca kematian ketiga terbesar selepas sakit jantung dan kanser. Strok menyerang sesiapa sahaja.

Punca Punca berisiko tinggi berlaku strok terbahagi kepada dua tidak boleh diubah dan boleh diubah.

Risiko tidak boleh diubah:

* Umur

* Genetik

* Jantina

* Sejarah serangan jantung atau strok Risiko boleh diubah:

* Tekanan darah tinggi

* Merokok

* Kencing manis

* Kolesterol

* Obesiti

Simptom serangan strok Setiap fungsi tubuh yang berbeza dikawal oleh bahagian otak berbeza. Oleh itu, setiap simptom strok berbeza mengikut bahagian otak terjejas dan saiz otak yang rosak.

Satu atau lebih simptom tiba-tiba:

1. Tangan kaki lemah atau lumpuh.

2. Sebelah muka lemah. Air liur sentiasa

meleleh tanpa kawalan.

3. Masalah kestabilan, koordinasi badan,

percakapan, penglihatan, sukar menelan.

4. Rasa pening atau sakit kepala

5. Kebas di sebahagian daripada badan

6. Pengsan atau menjadi keliru

Kesan jangka panjang Jenis dan kadar kelumpuhan disebabkan serangan strok berbeza mengikut kadar kerosakan otak selepas serangan strok.

Serangan teruk boleh menyebabkan kematian. Jenis kesan jangka panjang serangan strok adalah seperti berikut:

1. Sebelah badan lemah.

2. Masalah kestabilan, koordinasi badan.

3. Masalah menelan.

4. Masalah percakapan dan komunikasi.

5. Masalah penglihatan.

Apa yang tersenarai di atas adalah contoh yang mungkin berlaku selepas serangan strok. Setiap strok berbeza dan kesan strok harus diteliti untuk setiap seorang pesakit.

Minggu terawal selepas strok, bengkak di sekeliling bahagian otak yang rosak akan kurang. Sebahagian simptom mungkin kurang atau hilang. Dengan rehabilitasi dan terapi, keadaan pesakit mungkin bertambah baik.

Rawatan moden Rawatan untuk strok melibatkan rawatan kecemasan sebaik sahaja serangan strok berlaku dan rawatan rehabilitasi atau fisioterapi selepas pesakit strok stabil. Pesakit strok yang mengalami simptom awal serangan harus dihantar ke wad kecemasan secepat mungkin.

Rawatan segera penting untuk mengelak kematian. Rawatan kecemasan awal boleh mengurangkan kerosakan otak dan meningkatkan kesembuhan.

Rawatan kecemasan melibatkan penggunaan ubatan dan/atau pembedahan akan mengeluarkan darah beku dari otak.

Rawatan rehabilitasi dilakukan selepas pesakit stabil untuk membantu mendapat kekuatan fizikal, mengembalikan keupayaan fungsi badan dan membolehkan pesakit berdikari.

Rawatan al-Quran Ayat al-Quran memiliki mukjizat membantu penyembuhan strok. Daripada pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengubati pesakit strok, ramai mengalami perubahan sangat positif selepas rawatan menggunakan ayat suci al-Quran.

Kami mendapati ada unsur gangguan makhluk halus menyebabkan serangan strok dalam sebahagian pesakit.

Sejenis jin digelar Jin Ahmar masuk dalam badan pesakit dan merosakkan saluran darah dalam otak menyebabkan pendarahan dan mengakibatkan pesakit mendapat strok.

Perubatan moden mengakui strok disebabkan pendarahan dalam otak, tetapi sukar menerangkan puncanya. Kita selalu mendengar pesakit muda, tiada sejarah keluarga, sihat, tiada darah tinggi atau diabetes tetapi mendapat strok.

Dalam kes demikian selalunya mereka diganggu Jin Ahmar dan perlu dikeluarkan daripada badan pesakit sebelum dirawat.

Setiap pesakit strok yang datang berubat, akan diperiksa jika ada gangguan Jin Ahmar. Selalunya jin Ahmar berada di dalam otak atau tulang belakang pesakit. Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah dengan izin Allah mengeluarkannya jika ada dan memberikan ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. InsyaAllah ayat al-Quran yang dibaca pesakit dapat merangsang sel otak yang rosak akibat strok berfungsi semula.

Ayat-ayat tersebut adalah:

Surah Al-Israa' ayat 40 hingga 55

Surah An-Nahli ayat 81 hingga 89

Surah Az-Zumaar ayat 24 hingga 37

Surah An-Nahli ayat 35 hingga 47

Cara amalan ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali waktu malam dan surah kedua tiga kali pada siang. Pembacaan diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu.

Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa penyembuhan kepada Allah.

Pesakit harus ingat penyembuhan hanya dengan izin Allah. Kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah. Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; "….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."

Penutup Kita sebagai umat Islam yang diberi nikmat Islam dan iman harus berpegang teguh, beramal dan yakin mukjizat al-Quran.

Keistimewaan al-Quran pasti membantu setiap insan di dalam kehidupan dunia yang silih berganti antara bahagia dan sengsara.

Apabila kita atau insan tersayang ditimpa strok, kita kena kuat dan tabah. Kadangkala keluarga pesakit tertekan menjaga pesakit strok. Ramai keluarga pesakit mengadu susahnya menjaga pesakit strok.

Bersabar, berikhtiar dan percaya semua dugaan dan ujian Allah ada hikmahnya. Antara cara memperkuatkan rohani dan hati apabila dilanda penyakit hati akibat musibah strok adalah membaca al-Quran setiap hari.

Penawar rohani paling mujarab sudah lama diberi kepada manusia, iaitu al-Quran. Allah berfirman di dalam surah Yunus ayat 57: "Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman."

Bacalah surat istimewa daripada Allah kepada hamba-Nya setiap hari. Jadikan amalan ini rutin, semoga kita mendapat keberkatan.

*Sumber dari al-bakriah.com.my