Selasa, 11 Jun 2019

Insan

Berdasarkan hakikat ini jelas lah bahawa di antara keistimewaan insan itu ialah keupayaan memiliki ilmu dan hikmah (kebijaksanaan). Sementara jenis ilmu yang paling utama ialah ilmu tentang Allah, Sifat dan Af'alNya. Dengan ilmu sempurnalah kejadian insan dan pada kesempurnaannya terdapat kebahagiaannya dan kelayakannya untuk berada dekat dengan hadrat Jalal dan Kamal Nya.

Jasad fizikal adalah kenderaan bagi roh sementara roh pula adalah wadah bagi ilmu. Ilmu lah yang menjadi tujuan insan dijadikan dan keistimewaannya. Sepertimana kuda dan keldai berkongsi kelebihan yang sama iaitu keupayaan memikul bebanan, namun kuda memiliki keistimewaan tersendiri berbanding keldai iaitu keupayaan melompat, berlari dan memiliki rupa paras yang lebih indah. Oleh itu kuda diciptakan semata-mata kerana keistimewaan ini, namun jika ia tiada memilikinya maka martabat kuda jatuh ke bawah sehingga ke martabat keldai.

Begitu juga halnya dengan insan, ia menyertai keldai dan kuda dalam beberapa ciri dan menyalahi keduanya dalam beberapa perkara yang merupakan keistimewaannya. Keistimewaan tersebut adalah sebahagian dari sifat malaikat yang hampir dengan Allah. Justeru itu martabat insan itu berada di antara haiwan dan malaikat, dari segi ia adalah makhluk yang mengambil gizi dan memiliki zuriat maka ia seperti tumbuh-tumbuhan. Dari sudut kemampuannya untuk merasai dan bergerak ia adalah seperti haiwan.

Seterusnya dari segi rupa paras dan postur tubuhnya maka ia seolah ukiran yang terpahat pada dinding, sungguhpun begitu, keistimewaan insan ialah kemampuannya untuk mengenali segala sesuatu. Barang siapa yang menggunakan seluruh anggota tubuh dan potensinya untuk mendorongnya mendapatkan ilmu dan beramal dengannya maka dia menyerupai sifat para malaikat, maka layak lah dia bersama dengan mereka dan digelar Malaikat dan Rabbani (orang Tuhan).

Firman Allah SWT menceritakan perihal wanita-wanita di zaman Nabi Yusuf a.s.
( مَا هَـٰذَا بَشَرًا إِنۡ هَـٰذَاۤ إِلَّا مَلَكࣱ كَرِیمࣱ)
Ini bukan manusia biasa ini adalah malaikat yang mulia...
[Surat Yusuf 31]

Sebaliknya barang siapa yang menumpukan seluruh perhatiannya kepada kelazatan fizikal, makan seperti makannya haiwan ternakan maka martabatnya telah jatuh ke martabat binatang. Jika hanya memikirkan untuk memenuhkan tembolok jadilah ia seperti lembu, atau bebas menurut nafsu serakah seperti babi atau yang sentiasa menyalak sama ada diberi makan atau tidak seperti anjing atau kucing jantan atau sentiasa berdendam seperti unta atau yang sentiasa bersifat angkuh dan sombong seperti singa atau buas seperti musang atau makhluk yang menghimpunkan kesemua sifat-sifat tersebut iaitu syaitan.

Tiada anggota badan dan pancaindera yang ada pada insan melainkan dapat digunakan untuk sampai kepada makrifatuLLah...

Ihya' Ulumiddin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan