Tips untuk mencari calon isteri, satu daripadanya telah saya kongsi sebelum ini, iaitu kalau isteri pernah menaikkan gambarnya di media sosial, minta dia menurunkannya kesemuanya. Jika dia enggan, ertinya dia degil dan belum bersedia untuk menyerahkan kecantikan dirinya hanya untuk suami.
Tips kedua, pastikan dia bukan seorang antita‘addud. Jika dia bersedia untuk bermadu walaupun dengan syarat dia yang mencari, itu bonus dan salah satu keajaiban zaman ini. Kalau dia mengatakan dia berat, tetapi masih boleh menerima, ini sudah bernasib baik. Tetapi, kalau dia mengatakan dia enggan dimadukan (jika isteri tunggal), atau ingin menjadi yang terakhir (dalam keluarga berpoligami), cari yang lain. Saya nasihatkan, cari yang lain.
Ini kerana, dia berkemungkinan seorang antita'addud, dan daripada fakta-fakta kes yang saya terima dan pemerhatian yang lama, antita‘addud tidak akan menjadi isteri yang baik. Dia tidak semata-mata menghalang suami sendiri, malah suami orang lain yang tiada kaitan langsung pun dikeji kalau berkahwin lagi, meskipun isteri pertamanya rela hati. Antita‘addud percaya bahawa dia satu-satunya anugerah Tuhan yang sempurna tanpa cacat cela untuk suaminya. Berkahwin lagi adalah istilah lain bagi penghinaan kepada isteri, atau contoh bagi curang yang lebih terhormat. Dan kadang-kadang dia merasakan dirinya setaraf dengan anak perempuan Nabi SAW dan bakal madu setaraf dengan anak perempuan Abu Jahal.
Antita‘addud suka mengikuti kisah-kisah negatif rumah tangga orang khususnya yang mempunyai isteri lebih daripada satu. Dia sihat walafiat ketika membaca cerita-cerita buruk keluarga berpoligami, tetapi lumpuh serta-merta ketika membaca cerita-cerita ta‘addud yang harmoni. Anti ta‘addud menghalalkan sangka buruk dan tajassus kepada suami sendiri dengan alasan amar makruf nahi mungkar. Mengumpat suami dan menjaja aibnya adalah harus demi maslahat umat sejagat.
Anti ta‘addud suka membaca dan berkempen tentang hak-hak isteri yang patut dipenuhi oleh si suami. Dia mahu isteri tidak diwajibkan melakukan kerja rumah dan suami memberikan wang belanja selain nafkah, seperti yang termaktub dalam kitab fiqh dan undang-undang. Tetapi, dia tidak mengiktiraf hak suami untuk berkahwin lagi, walaupun termaktub dalam al-Quran, atau membuat definisi adil dan mampu mengikut mazhab sendiri.
Boleh jadi antita‘addud seorang yang baik hati kepada orang yang kesusahan, tetapi tidak untuk janda dan ibu tunggal. Janda dan ibu tunggal perlu dijauhi kerana mengancam “kebahagiaan” rumah tangganya. Antita‘addud mungkin pilih kasih kepada anak sendiri, tetapi lelaki yang ingin berpoligami wajib berlaku adil tidak boleh miring sebelah walau seberat zarah. Menipu isteri berdosa besar dan tidak berkat, tetapi berkonspirasi menghalang suami mendapatkan haknya, bagi seorang antipoligami, amalan yang mulia.
Ramai antipoligami sambalewa melayan suami, tetapi marah jika suaminya tidak berpuas hati. Bagi antipoligami, berkahwin diam-diam ertinya suami menipu tetapi berkahwin terang-terangan tidak bermakna suami cuba berlaku jujur. Adil dan saksama dalam kamus antipoligami, merujuk kepada perbuatan melebihkan diri sendiri berbanding orang lain. Ketika meminta suaminya membelikan itu ini, suaminya seorang yang kaya raya, tetapi apabila si suami meminta berkahwin lain, tiba-tiba suaminya menjadi papa kedana.
Bagi antipoligami, ketua rumah tangga yang sebenar adalah isteri pertama. Oleh itu, untuk berkahwin lagi, si suami perlu menagih redanya. Katanya, daripada situlah datangnya rezeki suami, dan kalau boleh dia ingin mengatakan, syurga suami terletak di bawah kakinya. Hati dan perasaan suami adalah perkara kedua, hati dan perasaan isteri pertama itulah yang utama. Kalaupun haram derhaka kepada suami, itu selagi suami patuh kepada arahannya untuk tidak berkahwin lagi.
Ramai antita‘addud yang bertudung labuh, malah berniqab marah jika ada yang menolak syariat, tetapi dia sendiri mempertikaikan syariat poligami dengan pelbagai takwilan dan alasan, kadang-kadang secara berlapik, dan kadang-kadang secara terang-terangan. Walaupun khilaf, ada antita'addud yang bersetuju bahawa poligami itu sunnah, tetapi tidak seperti sunnah menyimpan janggut dan tidak isbal, apabila bercakap tentang sunnah poligami, katanya, banyak lagi sunnah lain yang boleh diamalkan.
Dan terakhir, antita'addud berpendapat bahawa menjadi fitrah wanita untuk cemburu, tetapi bukan fitrah lelaki untuk mempunyai nafsu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan