*PENCEN YANG MEMBUNUH POTENSI*
Sejak kebelakangan ini, aku perasan satu fenomena yang menyentuh hati tetapi dalam masa yang sama, membuat aku rasa sedih
Ramai yang sudah pencen.
Dan ramai di antara mereka berkata :
“Saya dah pencen, fokus akhirat jer sekarang. Dunia saya dah tinggal, sekarang hanya kelas agama, kelas Al-Quran”
Niat mereka baik,
Hati mereka lembut,
Mereka mahu dekat dengan Allah. Dan itu sangat mulia
Tapi ada satu hakikat yang tiba-tiba menikam fikiran aku
Pencen adalah istilah kapitalis. Dalam Islam, pencen ertinya mati
Islam tak pernah ajar manusia berhenti memberi manfaat selagi dia masih hidup. Allah dan Rasulnya tidak pernah cakap :
“Bila umur dah 55 - 60, berhenti menyumbang.”
Tidak
Selagi nafas ada, selagi tangan boleh bergerak, selagi lidah boleh bercakap, selagi akal masih waras, Allah masih menuntut kita memberi manfaat
Bukan kerana dunia,
tetapi kerana itu juga ibadah
Allah beri ilmu bukan untuk disimpan,
Allah beri skill bukan untuk dibawa ke kubur
Aku teringat kata-kata Ustaz Nouman Ali Khan di World Quran Convention :
“Jika Allah beri kamu ilmu, pengalaman dan skill,
itu tanda Allah mahu kamu bantu ummah. Kamu ada tanggungjawab untuk melatih generasi muda, bukan berhenti hanya kerana kamu sudah ‘pencen’.”
Kata-kata itu membuatkan aku terdiam lama
Ramai yang dulu jurutera hebat, tapi selepas pencen, skill itu dibiarkan berhabuk
Ramai yang dulu guru terbaik,
tapi selepas pencen, tak lagi mengajar walau satu pelajaran kecil
Ramai yang dulu pakar pentadbiran, pakar kewangan, pakar pertanian, pakar teknologi, tapi hari ini mereka rasa dunia tak perlukan mereka
Padahal, merekalah harta terbesar umat Islam
Siapa lagi nak melatih generasi muda? Kalau bukan mereka yang sudah melalui hidup di masa lampau?
Ada anak muda terkapai-kapai nak belajar kerja. Ada anak muda mahu belajar bisnes tapi tak ada mentor. Ada anak muda mahu jadi baik, tapi tak ada orang tua yang membimbing
Sementara ramai yang sudah pencen, diam di rumah, hadir kelas agama, hadir kelas Al-Quran yang itu sangat bagus
Tapi mereka lupa satu lagi ibadah besar :
Mengalirkan manafaat kepada manusia. Mengajar apa yang mereka tahu. Membimbing generasi baru. Membangun dunia sambil membangun akhirat
Pencen bukan bermaksud berhenti. Pencen bermaksud fasa baru untuk memberi lebih banyak
Bayangkan…
Kalau seorang guru pencen ajarkan 5 anak muda mengaji, mengurus hidup, membina karakter, itu adalah pahala berterusan
Kalau seorang jurutera ajarkan 3 anak muda kemahiran teknikal, itu sedekah jariah
Kalau seorang bekas pengurus ajar adab kerja, disiplin, leadership, itu pahala yang terus menaik walaupun dia tidur
Membantu dunia juga ibadah
Mengajar manusia juga ibadah
Menyebar manfaat juga ibadah
Dan semua ini boleh dibuat tanpa meninggalkan kelas agama atau kelas Al-Quran.
Selagi kita masih dipinjamkan usia, kita belum pencen dari berbuat baik
Aku pandang sekeliling dan aku terfikir :
Bila Allah masih biarkan kita hidup, itu tanda Allah masih mahu kita memberi manfaat
Kerana dalam Islam, pencen hanya ada satu
Pencen sebenar adalah ketika kita mati. Sebelum itu, kita masih pekerja Allah yang wajib memberi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan