Rabu, 14 Januari 2026

Revenge

 "Dimalukan Depan 100,000 Orang, Jurutera Ini Balas Dendam Dengan Cipta Empayar Bernilai Berbilion Dolar."


Oleh: Mazlan Syafie


Tuan-tuan pernah tak rasa dikhianati? Rasa macam kena tikam belakang oleh orang yang kita percaya?


Rasa sakit tu, pedih kan?


Tapi hari ini saya nak cerita pasal seorang jurutera Jepun yang mengubah rasa sakit tu jadi "senjata nuklear" yang memusnahkan musuhnya.


Nama dia Ken Kutaragi. Umur 35 tahun.


Dia kerja di Sony.


Zaman tu (80-an), Sony ni syarikat "kayangan".


Dorang buat TV Trinitron, dorang buat Walkman. Barang dorang semua high class.


Video game? Bagi bos-bos Sony, itu mainan budak-budak. Takde kelas. Buat malu kompeni je.


Tapi Kutaragi ni lain macam sikit. Dia obses.


Dia tengok anak perempuan dia main Nintendo Famicom kat rumah. Mata dia nampak sesuatu yang orang lain tak nampak.


Dia nampak masa depan.


Dia tahu, satu hari nanti, "mainan budak-budak" ni akan jadi industri hiburan paling besar di dunia, potong wayang gambar dan muzik.


Jadi apa dia buat?


Dia buat kerja gila. Dia cipta cip bunyi (sound chip) untuk Nintendo secara senyap-senyap.


Dia buat kat rumah, malam-malam lepas balik kerja. Dia sorok daripada bos Sony.


Bila kantoi, bos besar Sony mengamuk sakan.


"Kau guna harta syarikat untuk buat benda bodoh ni?"


"Kau nak kena pecat ke?"


"Video game bukan bisnes kita!"


Nyaris-nyaris dia kena tendang keluar. Tapi nasib dia baik. CEO Sony masa tu, Norio Ohga, nampak bakat dia.


Ohga selamatkan Kutaragi. "Bagi budak ni teruskan," katanya.


Maka bermulalah kerjasama bersejarah antara Sony dan Nintendo pada tahun 1988.


Dorang setuju nak buat projek "Super Disc". Sony buat alat, Nintendo buat game.


Bos-bos Sony suka lah. Dorang dapat tumpang nama Nintendo, Raja Gaming masa tu.


Semua nampak cantik. Sampailah tarikh keramat Jun 1991.


Lokasi: Consumer Electronics Show (CES), Chicago.


Ini event teknologi paling besar dalam dunia. Semua mata tertumpu kat pentas.


Bos-bos Sony duduk barisan depan. Senyum lebar. Pakai sut mahal. Bersedia nak naik pentas raikan kerjasama dengan Nintendo.


Sekali... Naib Presiden Nintendo, Howard Lincoln, pegang mikrofon.


Dengar baik-baik apa dia cakap.


Dia tak sebut pun nama Sony.


Sebaliknya, depan 100,000 orang, depan wartawan satu dunia, dia umumkan Nintendo akan bekerjasama dengan Philips (pesaing Sony).


Dia batalkan deal dengan Sony secara live atas pentas!


Tuan-tuan bayangkan muka bos-bos Sony masa tu.


Terkedu. Jatuh rahang. Muka merah padam menahan malu.


Dorang dikhianati hidup-hidup. Dimalukan di pentas dunia.


Balik ke Tokyo, bilik mesyuarat Sony meletup.


"Kan aku dah cakap! Jangan main dengan industri game ni!"


"Buat malu kaum je!"


"Tutup projek ni! Kita fokus jual TV balik!"


Semua orang nak give up. Semua orang nak lari menyorok dalam gua. Malu weh. 


Tapi Kutaragi bangun.


Dia tak minta maaf. Dia tak tunduk.

Dia tanya satu soalan cepumas kat bos-bos besar tu.


"Adakah kita nak biar je syarikat mainan tu malukan kita macam ni?"


Bilik tu senyap sunyi.


Kutaragi sambung lagi, "Kita buat konsol sendiri.


Kita buat lagi power dari dorang. Kita tak payah partner. Kita lawan dorang."


Semua orang geleng kepala. Gila ke apa mamat ni?


"Kita takde game. Kita takde developer. Kita takde Mario. Kita takde Sonic."


"Nintendo dengan Sega pegang 95% pasaran. Kau nak lawan macam mana?"


"Kau akan mati dalam masa setahun."


Tapi Kutaragi tak peduli. Dia ada dendam yang perlu dilunas. Dan dendam tu adalah bahan bakar paling power.


Akhirnya, dengan berat hati, Sony bagi lampu hijau. Projek "PlayStation" bermula.


Tapi laluan dia bukan karpet merah. Laluan dia penuh duri.


Kutaragi sedar dia tak boleh lawan Nintendo guna cara Nintendo. Dia kena main taktik kotor sikit.


Taktik dia: Curi Hati Developer.


Selama ni, Nintendo layan pembangun game (developer) macam kuli batak.


Kontrak Nintendo kejam. Royalti sikit. Takde kebebasan kreatif. Nintendo berlagak sebab dorang monopoli.


Kutaragi masuk jarum. Dia pergi jumpa developer-developer ni. Namco, Capcom, Konami.


Dia tawarkan "syurga".


"Korang buat game untuk Sony, aku bagi royalti tinggi. Aku bagi kebebasan. Kita partner, bukan kuli."


Satu demi satu developer mula beralih arah.


Paling pedih bagi Nintendo, syarikat Square (pembuat Final Fantasy) pun lari masuk Sony.


Final Fantasy tu permata Nintendo kot! Tu pun kena rembat.


Kemudian, Kutaragi buat satu lagi pertaruhan besar.


Grafik 3D.


Masa tu, semua game 2D (macam Mario). Pakar industri kata 3D ni mustahil untuk konsol rumah.


Mahal sangat. Panas sangat.


Kutaragi gelak je. Dia jurutera genius.


Dia bina cip yang boleh proses polygon masa nyata.


Bila dia tunjuk demo T-Rex bergerak dalam 3D kat developer... semua ternganga.


Masa tu lah dorang sedar. Zaman Mario lompat-lompat 2D dah tamat. Zaman PlayStation dah bermula.


Disember 3, 1994. PlayStation dilancarkan di Jepun.


Hari pertama je dah jual 100,000 unit.


Bila masuk Amerika tahun 1995, ia bukan setakat bersaing. Ia membunuh.


Dalam masa dua tahun, PlayStation jual lagi banyak daripada gabungan Nintendo 64 dan Sega Saturn!


Menjelang tahun 2000, PlayStation jadi konsol pertama dalam sejarah jual 100 JUTA unit.


Nintendo? Terduduk.


Sega? Terus bungkus kain baju, keluar terus dari bisnes konsol. Mati katak.


Tapi Kutaragi tak puas lagi. Dendam dia belum habis.


Tahun 2000, dia keluarkan PlayStation 2 (PS2).

Ini bukan konsol. Ini raksasa.


Boleh main DVD. Boleh main game lama. Paling power dalam dunia.


PS2 jual 155 Juta unit! Rekod dunia yang sampai hari ini takde siapa boleh pecahkan.


Apa jadi kat Nintendo?


Syarikat yang malukan Sony atas pentas CES tu, terpaksa makan asap selama lebih 10 tahun.

Dorang jadi nombor dua.


Kutaragi?


Jurutera yang hampir kena pecat sebab buat cip bunyi senyap-senyap tu, naik pangkat jadi CEO Sony Computer Entertainment.


Dia bina divisyen yang untung berbilion dolar. Menyelamatkan Sony masa bisnes TV dorang merundum.


Hari ini, jenama PlayStation dah jual lebih 500 juta konsol merentas 5 generasi.


Hasil jualan tahunan? Lebih USD 30 Bilion.


Semuanya bermula sebab seorang lelaki berumur 35 tahun enggan menyerah kalah bila dimalukan.


Tuan-tuan nampak tak permainan dia?


Kutaragi ajar kita satu benda mahal tentang bisnes dan kehidupan.


Pengkhianatan bukan penamat. Ia adalah minyak petrol.


Bila orang kata "NO", itu bukan bermakna idea kita bodoh. Itu bermakna kita bebas untuk buat sendiri tanpa dorang.


Bila orang malukan kita depan orang ramai, jangan lari balik rumah nangis bucu katil.


Balik ofis, kunci pintu dan bina satu benda yang akan buat dorang menyesal seumur hidup.


Jangan dendam dengan pukul orang. Dendam dengan kejayaan.


Biarkan orang yang tikam belakang kita tu tengok kita dari jauh, sambil gigit jari, menyesal sebab lepaskan peluang untuk berada di sisi kita masa kita kat puncak.


Inilah kisah bagaimana Nintendo secara tak sengaja mencipta musuh paling besar dorang sendiri.


Dan inilah kisah bagaimana Ken Kutaragi membuktikan bahawa kadang-kadang, cara terbaik untuk menang adalah dengan membiarkan musuh gelak dulu.


Sebab siapa yang gelak paling akhir, dialah pemenang sebenar.


MasyaAllah, hebat sungguh percaturan rezeki Tuhan.


Kadangkala Allah hadirkan ujian berbentuk penghinaan dan penolakan manusia bukan untuk melemahkan kita, tetapi untuk mengeluarkan potensi "raksasa" yang terpendam dalam diri kita.


Jika Ken Kutaragi tidak dimalukan hari itu, mungkin PlayStation tidak akan wujud hari ini.


Moga kita semua dikurniakan semangat juang yang tinggi, tidak mudah patah semangat dengan caci maki manusia dan terus berusaha membina legasi yang memberi manfaat kepada ummah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan