Selasa, 24 Mei 2011

Teori Ekonomi

PERTIMBANGAN sedang dibuat apakah harga runcit minyak akan naik atau kekal setakat yang ada yang rasanya sudah cukup tinggi dan membebankan. Jika naik dikatakan mungkin setinggi 20 sen seliter. Tidak lari dari berbelas-belas sen.Cakap-cakap tentang kenaikan itu ialah kerana kajian tentang harganya sudah ditentukan sekarang setiap enam bulan sekali. Genap enam bulan itu tiba pada Jun ini.

Kemungkinan naik ialah disebabkan harga minyak di pasaran dunia biasanya naik menggila. Bila ia naik maka Malaysia yang mengeluarkan minyak itu pun menaikkan harga runcitnya. Sekali pun Malaysia negara pengeluar minyak tetapi Malaysia bukan syurga bagi pengguna minyak. Ia tidak bertuah seperti lain-lain pengeluar minyak, kendati pun minyak naik di pasaran dunia tetapi pengguna minyak tempatan menikmati hanya minyak yang amat murah.

Bagi negeri itu sebotol air mineral jauh lebih mahal dari seliter minyak. Di negeri kita, air mineral mahal dan minyaknya juga mahal. Bila minyak didesas desuskan akan naik, maka ia dipercayai akan naik. Bila ia naik maka ia akan diikuti oleh naik segala-galanya. Kerajaan manusia yang ada di Malaysia tidak berupaya untuk mengelakkan membayar lebih dari harga yang ada sekarang. Dalam bahasa biasanya ialah harga barang akan naik.

Barang-barang dari dulu hingga sekarang sebenarnya tidak berupaya dicegah oleh kerajaan. Bukan kerajaan yang dapat menentu dan mengawal harga. Ia ditentukan oleh peniaga. Kerajaan tidak cukup polis untuk mencegah mana-mana saudagar dan pembekal dari menaikkan harga. Bila kerajaan tidak beri persetujuan harga dinaikkan, maka barang pun hilang dari pasaran. Buat apa pun tak jalan melainkan setuju ia dinaikkan. Bila naik barang pun ada balik.

Siapa juga jadi menteri, seiapa juga jadi menteri kewangan dan siapa juga jadi perdana menteri, maka belum ada yang benar-benar dapat mengawal harga barang kerana ia ditentukan oleh para peniaga. Sah kerajaan menjadi pihak yang tidak berkuasa mengawal harga barang dan gagal dalam membendung kenaikan harga.

Tetapi harga yang dirasakan naik itu sebenarnya bukan kerana ia sengaja hendak dinaikkan begitu saja tetapi apa yang terjadi yang menyebabkan penggsuna terpaksa membayar lebih ialah disebabkan oleh nilai wang itu jatuh. Duit seringgit 20 tahun dulu cukup untuk  secawan teh atau kopi susu bersama sekeping  rota canai dan satu kuih yang lain. Tetapi seringgit hari ini sekeping roti canai dan secawan kopi o tak cukup. Sekadar RM4 ribu dulu cukup bagi seorang naik haji ke Mekah. Tetapi sekarang duit sejumlah itu sekarang layak untuk umrah kurang dari dua minggu.

Bagi yang menabung di Tabung Haji yang mencarum tetap sekian banyak sebulan, lagi lambat dia mencukupkan keperluan yang dikehendaki bagi membolehan dia naik haji, lagi lambatlah dia naik haji, sampai bila pun keperluan itu tidak akan cukup melainkan dia terpaksa mencukupkannya dengan cara lain untuk membolehkannya naik haji.

Mengapa? Kerana kerajaan tidak dapat mengawal nilai duit. 20 dan 30 tahun dulu kita kata Indonesia tidak dapat mengawal nilai rupiahnya. Orang yang bertahun-tahun menyimpan  wang untuk membeli rumah atau motokar, apabila agak cukup simpanan itu, tiba-tiba nilai rupiah jatuh mendadak. Duit yang mereka simpan tiba-tiba nilainya tinggal separuh.

Sepuluh tahun dulu saya selalu ke Istanbul. Liranya jatuh setiap jam. Dolar Amerika yang ditukar sebelah pagi dapat sekian banyak. Jika ditangguh hingga tengah hari, lebih banyak Lira diperolehi dari dolar yang sama. Sebelah petang lagi banyak. Jika ada cukup Lira untuk membeli sesuatu barang, belilah masa itu juga. Jika tunggu esok, harganya berubah dan Lira itu tidak lagi cukup.
Kerajaan Tayyib Erdogan berjaya mengawal nilai Lira. Liranya stabil. Tidak perlu menggunakan ribu-ribu dan juta Lira lagi. Harga pun sudah stail. Ertinya kerajaan yang baik dapat mengawalnya.

Tetapi di negeri kita, harga ayam dan ikan hampir berubah setiap hari. Ringgit yang cukup untuk membeli seekor ayam enam bulan dulu, tidak boleh membelinya dengan jumlah ringgit yang dulu. Nilai duit sudah jatuh banyak.
Saya hendak menukar tayar. Saya sudah pastikan harganya. Saya tunggu hujung bulan bagi mencukupkan duit yang diperlukan. Bila ke kedai tayar hujung bulan, harganya sudah tidak sama lagi.

Sekarang kita tidak mahu lagi bercakap tentang kenaikan harga barang tetapi lebih suka bercakap tentang nilai duit jatuh setiap hari. Bila duit jatuh nilai,  gaji menteri bulan ini lebih rendah dari bulan hadapan. Di samping menimbangkan harga baru bagi barang keperluan, kabinet juga perlu menimbangkan gaji baru bagi menteri.  Ia bukan kerana barang naik tetapi kerana nilai ringgit jatuh setiap hari.

oleh Subki Latif

Inflasi

Seperti yang dijangkakan Bank Negara Malaysia mengumumkan kenaikan Overnight Policy Rate (OPR).  Kenaikan ini sekaligus menaikkan kadar pinjaman asas.  Ia kemudiannya meningkatkan beban hutang sebahagian besar rakyat yang membeli rumah dengan cara pinjaman.

2. Beberapa hari kemudian Gabenor Bank Negara menyatakan kenaikan inflasi adalah akibat kenaikan harga kos pembuatan terutamanya kenaikan harga minyak. 

 Jadi ramai rakyat biasa di bawah jadi pening lalat mengapa Bank Negara perlu naikkan OPR dan BLR jika inflasi berlaku bukan disebabkan lebihan permintaan dan lebihan wang dalam pasaran.  Rakyat biasa yang bukan pakar ekonomi tertanya-tanya bagaimana kenaikan OPR dan BLR boleh membantu mengurangkan kos pembuatan terutamanya kos bahan api atau kos tenaga sekaligus mengurangkan inflasi.

3. KDNK Malaysia suku tahun pertama yang diumumkan hanya berkembang pada kadar 4.6%.  Ini di bawah sasaran tahun ini pada sekitar 5.5 - 6%.  Maknanya inflasi bukan disebabkan pertumbuhan ekonomi yang terlalu cepat.  Malangnya, Bank Negara masih menggunakan cara lama untuk mengawal inflasi.  Mungkin ada sebab Bank Negara naikkan kadar faedah, tapi majoriti rakyat tidak faham.  Yang saya khuatir tindakan Bank Negara berterusan menaikkan kadar faedah bukan sahaja akan gagal mengawal inflasi malah mungkin akan menyebabkan kemelesetan pertumbuhan ekonomi.

4. Kalau baca akhbar The Star beberapa minggu lalu banyak kritikan terhadap tindakan Bank Negara ini dan hampir kesemuanya bersetuju tindakan Bank Negara menaikkan OPR dan BLR adalah tindakan tidak masuk akal.  Mungkin semua yang menentang salah kerana kami tidak pandai ekonomi macam Gabenor Bank Negara.  Kalau ada penjelasan logik cubalah berikan kepada rakyat, janganlah buat bodoh sahaja.

5. Rentetan masalah inflasi ini juga, beberapa Menteri mengakui inflasi di Malaysia agak serius.  Mereka juga mengakui inflasi sekarang ini disebabkan kenaikan harga minyak dunia.  Yang anehnya mereka juga menyatakan kerajaan mungkin akan menaikkan harga petrol RON 95 bagi mengurangi subsidi kerajaan.

6. Jadi kita yang di bawah ini bertambah keliru.  Kerajaan kata inflasi berlaku akibat kenaikan harga minyak dunia.  Kerajaan kata mahu kawal inflasi.  Tapi dalam mahu kawal inflasi kerajaan mahu kurangkan subsidi petrol.  Kalau ikut logiknya, pengurangan subsidi petrol ini akan tingkatkan harga petrol dan barangan sekaligus tingkatkan inflasi.

7. Baru-baru ini juga Makmal Rasionalisasi Subsidi umumkan pengurangan subsidi gula.  Harga gula pun naik.  Kalau sudah harga gula naik, susah juga nak halang pengusaha jangan naikkan harga minuman mereka.  Kerajaan kata pengusaha jangan cari untung lebih dengan naikkan harga minuman.

8. Kita pun setujulah dengan pandangan kerajaan kalau kenaikan tersebut kecil.  Namun jika telah dua kali harga gula naik (sebanyak 40 sen secara keseluruhannya) kerajaan masih tidak benarkan pengusaha naikan harga minuman susah juga.  Kalau pengusaha kedai minuman mungkin boleh lagi, tapi kalau pengusaha Industri kecil dan sederhana (IKS) dan industri besar susahlah mereka.  Kenaikan sedikit sahaja sudah boleh mencecah ratusan ribu atau jutaan ringgit kenaikan kos gula mereka.

9. Pengusaha pun rakyat juga.  Mereka pun pening juga.  Kerajaan tidak benarkan mereka naikkan harga tapi kerajaan sendiri tak mahu rugi, sebab itu kurangkan subsidi.  Jadi pengusaha jangan buat untung, kerajaan pula yang hendak buat untung?

10. Dulu saya cadangkan supaya ditutup sahaja Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana yang dibuat bukannya rasional sangat kepada rakyat.  Makmal ini harus melihat isu subsidi secara keseluruhan bukannya secara berasingan.

11. Misalnya kita kata petrol dan gula kita murah berbanding negara jiran.  Tapi di negara jiran kita pula harga beras, ikan dan sayur-sayuran jauh lebih murah dari negara ini.  Kalau kerajaan nak hapuskan subsidi kenalah juga hapuskan dasar mengawal harga untuk barangan lain yang boleh didapati murah dari negara jiran.

12. Tidak bolehlah satu keadaan kita hendak kurangkan subsidi hingga menyebabkan barangan jadi mahal, tapi ada barangan kita boleh dapat dengan murah dari luar, kerajaan pula kawal.  Memang benar kerajaan perlu lindungi industri tempatan.  Rakyat boleh faham jika hak mereka juga dilindungi melalui skim subsidi sedia ada.  Yang rakyat tidak faham ialah kerajaan tidak mahu beri subsidi untuk barang mahal tapi kawal barang murah sehingga jadi mahal.

13. Sepatutnya makmal rasionalisasi subsidi buat polisi mengurangkan subsidi yang rasional kepada rakyat.  Tapi yang terjadi hari ini ialah makmal ini buat pengurangan subsidi ikut rasional mereka sahaja.

14. Namun yang paling tidak rasional ialah apabila kerajaan cakap nak turunkan inflasi tapi tindakan kerajaan hanya meningkatkan inflasi sahaja.  Ini yang benar-benar buat rakyat pening lalat.

*Tulisan ini dipetik dari blog Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor

Kisah lelaki itu...

Seorang lelaki India tidak berpuas hati atas kenyataan Dr Haron Din yang mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya.Dia ingin berdebat dengan ulama tersohor itu atas isu yang baginya tidak adil itu.


Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; " Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.

"Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?

 "Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?"

 Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam. Ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.

PPPLD

"Sabar, kata TPM kepada guru tak naik pangkat (Malaysiakini, 20 Mei 2011)

Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kumpulan guru lepasan diploma yang tidak terlibat dengan kenaikan gred atau pangkat pada 1 Januari 2012 supaya bersabar kerana perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, ditanya pemberita mengenai pengumuman Perdana Menteri sempena Hari Guru 16 Mei lepas mengenai kenaikan pangkat dan gred guru tertentu dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah warga pendidik. 



"Kerana bilangan mereka ramai, dalam apa jua keadaan kita kena ambil kira keupayaan kerajaan. Dalam situasi sekarang kita hendak jimat belanja dan mengurangkan defisit," .

Kalau kita teliti kenyataan di atas, beliau sebenarnya menujukan kenyataannya kepada guru-guru lepasan diploma (ayat yang dihitamkan) yang kononnya tidak terlibat dengan kenaikan pangkat sebagaimana yang diumumkan pada 16 Mei lalu. Kita sering membaca kenyataan, jawapan atau reaksi dari pemimpin kerajaan yang sama ada tersasar atau terkeluar dari konteks yang sebenar. Ini adalah satu lagi sifat munafik dalam kenangani masalah guru. 



Sama ada mereka tidak faham (bebal), atau pura-pura tidak faham, adalah suatu persepsi yang abstrak. Persoalan yang sebenarnya ialah bukan kumpulan guru lepasan diploma sahaja yang tidak terlibat, tetapi semua bilangan guru selain dari 1.53% (satu perpuluhan lima tiga peratus) yang diberi ganjaran dalam pengumuman 16 Mei itu. Jumlah ini adalah lebih dari 450,000 orang warga pendidik dibawah Kementerian Pelajaran.

Isu-isu dalam profesion perguruan bukanlah terhad kepada ketidakadilan kenaikan pangkat dan gred sahaja bahkan lebih daripada itu. Isu beban tugas, kerja perkeranian, salah guna kuasa, eksploitasi waktu bekerja guru yang tidak diketahui masa/waktu baliknya sehingga kini, kursus dalam perkhidmatan yang mengarut, politik dalam sekolah dan sebagainya – semuanya tidak diselesaikan oleh kerajaan. 



Mereka bukan sekadar tidak mengambil langkah dan tindakan meringankan, malah mereka menambahkan lagi beban guru. Menulis refleksi, satu pelajar satu sukan dan yang paling akhir ialah memaksa guru mencatat BMI (Body Mass Index) pelajar dalam Kad Prestasi Pelajar.----> guru mengajar sahaja pelajar sehingga pandai dan mendidik mereka jadi manusia yang beriman kepada Allah!! kerja karut marut bukan tugas guru

Oleh kerana polisi mereka staf gomen dari Kategori Pengurusan dan profesional adalah dilarang menerajui malah tidak dibenar menubuhkan Kesatuan Sekerja (dalam Perkhidmatan Awam). Akibatnya kita lihat berlakunya kecelaruan dalam system pengurusan sumber manusia dalam sektor pendidikan. Contohnya ialah guru-guru lepasan ijazah menjadi orang bawahan kepada lulusan yang lebih rendah di seluruh sekolah rendah kebangsaan (SRK). Boleh fikir sendiri kan?

Selain itu, skim kenaikan pangkat dari DG44 ke DG48 juga melucu dan mengarut. Pihak kementerian tidak berupaya melaksanakan prinsip meritokrasi dan skim ini menghampiri ketidakrasionalannya. Contohnya guru berijazah yang sudah dua puluh (20) tahun berkhidmat masih berada di DG44. Sedangkan guru junior yang baru 12 tahun berkhidmat sudah memperolehi DG48?? Malah ada yang waktu perkhidmatan mereka yang lebih singkat daripada itu sudah menikmati DG44 apabila mereka diamanahkan mengajar di Tingkatan 6 atau Kolej Matrikulasi dalam masa 5 tahun sahaja. 



Ada juga berada di PPD dan JPN membuat percaturan kepada kroni untuk diletakkan di sekolah mana yang ada kekosongan bagi kenaikan sesuatu pangkat. Guru yang cenderung atau mempamerkan penonjolan kepada parti tertentu akan menjadi calon yang paling layak untuk menggomol kekosongan jawatan. Adakah ini realiti politik di sekolah, PPD, Jabatan dan Kementerian??? .... berani berubah---->>> berubah untuk berani.>!!

Selawat SAW

Kalau orang sedang bercinta, mereka sering katakan "Aku bertepuk sebelah
tangan" sekiranya cintanya tidak diterima orang atau dia hanya syok
sendiri. Kita pun telah mengetahui betapa banyak orang yang frust
bercinta hanya kerana cintanya tidak berbalas. Ini fenomena dalam cinta
haram atau cinta monyet. Cinta yang dianjurkan oleh Islam amat berbeza
benar, sama ada bercinta dengan Allah mahupun cinta kepada Rasulullah S.A.W.

Percintaan dengan S.A.W amat unik kerana baginda telah dahulu memulakan percintaan
ini, sebelum kita semua memulakannya. Baginda telah menyintai kita
semua sebelum kita semua menyintainya. Baginda telah menghulurkan
tangannya untuk bertepuk dengan kita sambil menunggu kita untuk
membalasnya. Ironinya, nabi S.A.W tidak memerlukan kepada balasan kita
sebenarnya. Baginda memulakannya kerana ingin melihat kita bahagia dan
senang di akhirat kelak.

Ketikamana Rasulullah bersabda "Sesiapa
yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat (berdoa) ke
atasnya (sesiapa yang berselawat) dengan 10 kali selawat", Rasulullah
amat gembira dengan kurniaan Allah S.W.T tersebut. Bukanlah gembira
dengan pujian dan limpahan doa yang bakal dilakukan oleh umat
kepadanya, akan tetapi baginda gembira dan seronok apabila Allah akan
memberikan ganjaran yang banyak kepada umatnya. Mana tidaknya, sekali
kita berselawat kepada nabi, Allah akan membalasnya dengan 10 kali
lebih baik daripada itu. Imam Sakhowi ketika mengulas perkara ini
mengatakan bahawa satu selawat Allah (doa) kepada umatnya lebih baik
daripada membuat 1000 kebajikan. Lihatlah cintanya nabi kepada kita
semua, lebih memikirkan nasib umatnya berbanding perkara lain.

Kita juga tidak boleh melupakan jasa nabi Muhammad S.A.W ketika menerima
ibadah solat fardhu pada peristiwa Isra´ Mikraj. Daripada 50 rakaat
yang ditaklifkan, nabi berusaha untuk mengurangkan bilangan tersebut
sehinggalah menjadi 5 rakaat seperti sekarang selepas mendapat signal
daripada nabi Musa yang menyatakan umat akhir zaman ini tidak mampu
melakukan ibadah sebanyak itu. Lalu turun-naik lah nabi berjumpa Allah
untuk mengurangkan bilangan tersebut lantaran memikirkan umatnya
walaupun dia sendiri `tebal muka´ untuk meminta pengurangan itu. Ada
sebahagian riwayat menyatakan daripada 50 rakaat yang disyariatkan, ia
dikurangkan 5 rakaat setiap kali nabi mengadap Allah. Secara congakan
akal yang dangkal ini, bermakna 9 kali nabi S.A.W turun-naik secara
tebal muka untuk berunding bagi urusan umatnya!! Akhirnya dengan sifat
kasih sayang Allah jua, kita hanya difardhukan untuk menunaikan 5 kali
solat sehari tetapi pahalanya tetap sama dengan 50 rakaat yang mula
disyariatkan !!

Saat-saat akhir nabi di alam ini adalah isyarat yang paling jelas kepada kita
bahawa baginda telah memulakan proses percintaan ini sebelum kita
memulakannya. Ketika baginda nazak menghadapi sakaratul maut, baginda
masih menyebut "Ummati, ummati, ummati (umatku, umatku, umatku)". Jika
kita fikir-fikirkan pun, tak mungkin orang yang sakit akan menyebut
perkara yang lain ketika sakitnya melainkan mengerang kesakitan. Akan
tetapi kerana cintanya kepada umatnya, baginda masih memikirkan umatnya
walaupun di penghujung usia.... Ya Allah !!!!