Jumaat, 16 September 2011

TNB sila jawab bil elektrik RM6,647.50.


Aduan Rakyat Online, 13 Sep 2011. Bil elektrik meningkat sebanyak RM6,504.13 dalam masa 1 bulan - Saya adalah pengguna bekalan elektrik biasa. Saya sekeluarga tinggal di rumah teres 2 tingkat yang biasa. Kebiasaannya, bil elektrik bulanan saya adalah di dalam lingkungan RM100.00 – RM 175.00 sebulan. Namun, pada bil bulan Jun (17/06/2011) amaun yang tercatat adalah sebanyak RM 6,539.85.


Saya berasa amat terkejut dengan amaun yang dikenakan ini dan berasa amat teraniaya. Saya telah pergi ke Kedai Tenaga TNB di Seksyen 11 Shah Alam pada 17/06/2011 untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak TNB.  

Pegawai Kedai Tenaga TNB Shah Alam tersebut berjanji akan cuba menyelesaikan masalah pembilan yang melampau ini. Beliau juga menyatakan bahawa kes ini adalah ganjil kerana amaun pembilan meningkat secara mendadak dalam masa 1 bulan.
 
Alasan yang dikemukakan adalah mungkin kerana amaun tersebut adalah disebabkan pelarasan average bil bulanan saya. Mungkin pada pembilan seterusnya, amaun 6,539.85 akan lupus setelah bacaan sebenar meter dibuat.
 
Tindakan yang telah dijanjikan oleh pegawai Kedai Tenaga TNB Shah Alam ini sementara menanti bil elektrik rumah menjadi normal adalah beliau akan memaklumkan kepada pasukan teknikal untuk menahan notis pemotongan bekalan elektrik rumah saya daripada dihantar kepada saya.
 
Ini kerana, jika notis tersebut telah dihantar, saya perlulah membuat bayaran penuh amaun pembilan atau berhadapan dengan kemungkinan rumah saya akan bergelap serta merta kerana bekalan elektrik dipotong serta merta. Saya pun berasa lega dengan janji tersebut.
 
Seterusnya, pada 17/07/2011 saya telah menerima bil bekalan elektrik bulan Julai daripada TNB dan amaun yang tercatat adalah RM 6,691.60. Sekali lagi pada 28/07/2011 saya telah pergi menemui pegawai Kedai Tenaga TNB Shah Alam ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung keganjilan bil elektrik saya.
 
Pegawai Kedai Tenaga TNB Shah Alam ini memberitahu bahawa pembilan bulan Julai adalah dibuat secara estimation atau anggaran. Itulah sebabnya, bil yang tercatat masih lagi tinggi. Beliau juga memberitahu bahawa bil pada bulan Ogos akan dibuat secara normal iaitu bacaan tenaga yang digunakan dibuat secara terus daripada meter pelanggan.
 
Seperti bulan sebelumnya, pegawai Kedai Tenaga TNB Shah Alam ini berjanji untuk menahan notis pemotongan bekalan elektrik rumah saya daripada dihantar kepada saya bagi mengelakkan sebarang pemotongan bekalan elektrik ke rumah saya daripada berlaku.
 
Namun, pada 19/08/2011 saya sekali lagi masih menerima bil bekalan elektrik dengan amaun yang sangat mengejutkan iaitu RM 6,647.50. Jadi, disebabkan saya sudah muak dengan jawapan yang telah saya terima sejak 17/06/2011, maka saya memajukan aduan ini kepada Aduan Rakyat agar masalah yang saya hadapi ini dipandang serius oleh pihak TNB terutamanya pihak TNB Shah Alam yang pada hemat saya bersikap dolak dalik dan tidak telus dalam tindakan menyelesaikan masalah pengguna.
 
Semoga kes saya ini menjadi iktibar kepada pengguna-pengguna lain yang menghadapi masalah serupa.
 
Saya pohon kepada pihak TNB untuk menyiasat kes amaun bil elektrik melampau yang dibilkan kepada saya SEGERA!
 
By: Rokhiza

Buruh Majikan


Mat Indera. Cetusan Idea Haji Mohamad Sabu Presiden Pas, satu Inovasi!, itulah pada pandangan saya. Ketika ini riuh rendah Kisah Mat Sabu dan Mat Indera diperkatakan. Ini mendatangkan keterujaan saya untuk mengetahuinya. Haji Mohamad Sabu saya tahu dia seorang Timbalan Presiden Pas masa kini yang mencetuskan kisah ini, tetapi siapa Mat Indera.
Cetusan idea Haji Mat Sabu membangkitkan reaksi daripada pelbagai pihak hingga kepada professor-professor. Mat Indera diceritakan menjadi orang penting dalam peristiwa Bukit Kepong pada tahun 1950. Saya mencari dari segenap sumber untuk mengetahui siapa Mat Indera. Macam-macam  versi saya temui. Tetapi apa yang menarik, saya temui ialah fakta tentang pengkisahan ini. Fakta pada tanggapan sendiri bukan fakta umum, nanti Prof. Ramlah Adam murka kerana fakta sejarah hanya sejarahwan yang berhak menyatakannya. Mana mungkin rakyat bawahan yang berpendidikan rendah memandai-mandai tentang fakta sejarah.
Saya tidak ingin mengulas atau mentafsir tentang kisah ini tetapi saya ingin mengaitkan kisah ini dengan situasi sekarang, kerana ia tidak memerlukan pengkajian yang mendalam. Saya bukanlah orang berpendidikan tinggi yang membolehkan mengkaji sejarah secara mendalam. Apa yang berlaku sekarang adalah lebih sesuai kerana tidak memerlukan fakta sejarah iaitu ada mata tengok, ada telinga dengar, ada otak fikir, ada mulut bercakap, ada hati nukilkan yang tersirat menjadi tersurat.  
Izinkan saya menyatakan fakta yang diperolehi dan menghubungkan dengan situasi sekarang. Fakta itu ialah Mat Indera mengetuai parti buruh dan kenapa parti buruh diminati.
Saya memperolehi fakta Mat Indera mengetuai parti buruh daripada ahkbar Sinar Harian 7 September 2011 muka surat 6 iaitu kenyataan daripada Baharom adik kepada Mat Indera, “Baharom memberitahu, ketika Mat Indera mengetuai Parti Buruh di Pelabuhan Muar, abangnya seorang yang disenangi pekerja buruh yang lain”. Fakta kenapa parti buruh diminati. Saya perolehi dari akhbar Mingguan Malaysia m2  Ahad 11 September 2011 muka surat 2, “Penyebaran ini mendapat tempat di kalangan kesatuan sekerja berikutan tindakan majikan yang tidak mesra pekerja”. Fakta inilah yang akan dihubungkan dengan situasi sekarang ini.
Penjawat awam Malaysia adalah buruh dan majikannya adalah kerajaan Malaysia. Buruh yang dimaksudkan ini bukan pegawai atasan kerana mereka adalah pembuat dasar bagi pihak kerajaan. Kumpulan sokongan adalah buruh kerana mereka sebagai perlaksana arahan. Kerajaan Malaysia sebenarnya tidak adil kepada kakitangan perkhidmatan lama. Kakitangan lama yang sampai tempoh bersara rata-rata berkhidmat lebih tiga puluh tahun. Ini adalah kerana kakitangan sokongan dalam perkhidmatan lama ada yang telah dinafikan untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi walaupun mempunyai ijazah dan bersara ditahap kumpulan sokongan. Ini amatlah tidak adil jika seseorang berada di tempat tersebut.
Diberikan contoh di sini. Seorang rakan yang mempunyai kelulusan ijazah tetapi pihak kerajaan Malaysia tidak pernah memberi peluang menjawat jawatan dengan kelulusan ijazah walaupun beliau berpengalaman lebih tiga puluh tahun sehinggalah bersara ditahap kumpulan sokongan dengan gred yang sama disandang sewaktu mula.
Beliau berusaha menuntut ilmu tanpa mendapat apa-apa kemudahan dari pihak kerajaan. Sejak dari ijazah asas membawa ke ijazah sarjana. Kemudian beliau diterima dan mendaftar pula untuk ijazah doktor falsafah. Memandangkan kesukaran yang akan ditempuhi apabila menjadi penuntut Phd beliau telah bersara sebelum tempoh umur persaraan yang ditandatangani iaitu 58.
Beliau bersara pada gred sokongan dengan pencen lebih kurang seribu dan graduiti lebih kurang tujuh puluh ribu untuk perkhidmatan selama 32 tahun. Wang graduitinya untuk membeli rumah kos rendah pun tak lepas. Kalau pun ada pemilik flat kos rendah seksyen 3 Petaling Jaya Lama yang ingin menjualnya harga tidak kurang 90 ribu. Dengan wang itulah dia berjimat untuk meneruskan hidup disamping membiayai pengajiannya.
Suka juga dinyatakan kakitangan yang mendapat segala kemudahan daripada kerajaan untuk melanjutkan pelajaran bukan semuanya dengan niat untuk menuntut ilmu melainkan mereka sekadar merebut peluang yang tersedia lebih-lebih lagi yang dapat pergi keluar negara disamping dapat lari seketika daripada tugasan kerja dan apabila kembali status akademik lebih tinggi. Mereka dari kumpulan ini sekiranya tidak mendapat segala keistimewaan tidak akan bersusah payah meneruskan pengajian.
Berbalik rakan yang disebutkan di atas, beliau dengan perbelanjaan sendiri bersusah payah dan di tempat kerja pula ditekan oleh pegawai yang lebih atas selalunya yang lebih muda. Di tempat kerja berhempas pulas menjalankan kerja, di masa tidak bekerja ketika itulah diisi dengan menunut ilmu. Malangnya dia bersara pada gred rendah yang disandangnya sejak mula bertugas 32 tahun lalu. Di mana keadilannya. Pencapaian apa yang kerajaan Malaysia utamakan. 
Saya ingin mengucapkan syabas kepada Tuan Haji Mohamad Sabu Timbalan Presiden Pas yang melahirkan inovasi dengan mencetuskan isu Mat Indera. Cetusan ideanya bukan sekadar kajian sejarah Malaysia tetapi menjangkau kelain cabang yang untuk difikirkan oleh selain orang sejarah tetapi juga terhadap keadilan kerajaan Malaysia sebagai majikan kepada buruhnya penjawat awam perkhidmatan lama.
Oleh yang demikian bukan semua rakyat Malaysia seperti Prof. Ramlah Adam, Prof. Zainal Kling dan lain-lain yang mesra kerajaan Malaysia. Mereka ini sudah tentu mesra kerajaan Malaysia dengan nama sentiasa dijulang dan kedudukan usah nak cakap. Tetapi buruh kerajaan yang disebutkan di atas adalah kategori yang tidak dapat menjadi mesra kerajaan Malaysia.
oleh: saleha
rujukan: harakahdaily

Bacalah sendiri 2


Jika Umno mendakwa negara ini tidak pernah dijajah, ia menjadikan parti itu pembela terbesar penaklukan Inggeris ke atas negara ini, kata blogger ahli Umno, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Malah, tegas beliau, ia sekaligus bererti Umno adalah pembelot bangsa Melayu yang membuli bangsa Melayu

Jika benar negara ini tidak pernah dijajah seperti yang didakwa, Mohd Ariff mempersoalkan apa sebenarnya peranan Umno dalam sejarah orang Melayu?

"Jika ia tidak pernah berjuang untuk kemerdekaan kerana kita tidak pernah di jajah dan para pemimpinnya memperakui hal demikian, maka Umno sebenarnya tali barut imperialism Inggeris.

"Umno merupakan the biggest apologist ke atas penaklukan Inggeris ke atas negara kita. Ini juga bererti Umno itu pembelot bangsa Melayu yang membuli bangsa Melayu tapi amat bongkok tunduk nya kepada kuasa imperialis seperti Inggeris," kata beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis dalam kawasan Parlimen Pekan.

Jika British hadir hanya untuk memberi perlindungan dan memainkan peranan sebagai sheriff, kata Mohd Ariff, kita tidak ada pilihan lain daripada memperakui bahawa selama ini, Tanah Melayu adalah sebuah negara atau koleksi negeri-negeri yang berdaulat.

Jika ini pendirian Umno yakni selama ini, katanya lagi, semenjak British datang ke Tanah Melayu, negeri Melayu semuanya adalah negeri-negeri berdaulat, maka semua mereka yang berkhidmat dan bermatian untuk negeri-negeri tersebut adalah pendukung negeri-negeri yang berdaulat.

Mereka, katanya lagi, adalah "loyal subjects" dan sesiapa yang membunuh "loyal subjects" adalah pengkhianat.

"Maka demikian, celaka sungguhlah Umno. Tok nenek saya dari Tembeling dan Tebing TInggi yang bertombak dan berlembing melawan Inggeris semua adalah pengkhianat rupa-rupa nya.

"Mat Kilau, Mat Kelubi, Bahaman, Tok Gajah, Tok Janggut, Pa Andak Endut dan Maharajalela semua adalalah pengkhianat?" Mohd Ariff mempersoalkan.

Beliau juga mempersoalkan, adakah Umno menipu kita selama ini dan deskripsi bahawa kita dijajah sebenarnya suatu pembohongan Umno yang di perpanjangkan oleh Umno untuk menghamba abdikan fikiran orang Melayu?

Beliau berkata, kekeliruan yang terbit dari kontroversi cetusan fikiran Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tentang status Mat Indera sebagai pejuang penentang penjajah telahpun menyebabkan kesan yang beliau khuatir akan terjadi.

Kesan yang beliau maksudkan itu ialah kajian menyeluruh ke atas peranan dan sumbangan Umno di dalam merdeka tahun 1957.

"Maka dari tahun 1957 sehingga 1963 apabila Malaysia di tubuhkan, tahun-tahun tersebut tahun apa? Adakah ianya penjajahan dalam bentuk yang abstrak yang dicipta oleh pimpinan Umno.

"Adakah Umno penipu terbesar kerana memanjangkan penipuan dan pembohongan kita dijajah?

"Tujuan Umno tidak lain dan tidak bukan untuk menjadikan orang Melayu itu bergantung kepadanya dan menghamba abdikan fikiran orang Melayu," kata beliau.

Rabu, 14 September 2011

Gambar sem I



















Tulang-Tulang Berserakan


Oleh Dinsman
KETIKA ditimbulkan isu siapakah sebenarnya berjuang untuk negara, antara khttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjkRmpH5rrFjTgdjNKnilRAOGq_ivKZq-g6vbQBy_H6_AYH4WkAf925q2TrYykQKOWXLAvIUotimwD4yPHGMZzmSUV8Byp7DQq0cep3kRH_L8IXxJpWdACwlovY9zvdrzCIOxTjbntddnF7/s320/SN_USMAN_AWANG-15Jun2006-124232.jpgumpulan Mat Indera dengan pasukan polis dalam tragedi pertempuran di Bukit Kepong dalam zaman darurat itu, saya teringat pada novel Usman Awang satu-satunya itu, iaitu Tulang-Tulang Berserakan (TTB).
Saya telah beberapa kali membaca novel ini, dan pernah menulis beberapa ulasan mengenainya.




Memang saya ingat betul ceritanya. Sebab itu apabila ada beberapa orang pembaca SMS saya minta penjelasan mengenai isu kontroversi yang ditimbulkan oleh Mohamad Sabu itu, saya jawab mudah saja. “Itulah sebabnya Usman Awang berhenti jadi polis waktu itu. Nak tahu lebih jelas ceritanya, baca novel Tulang- Tulang Berserakan.”

TTB adalah buku (novel) atau dokumen yang terbaik yang menjelaskan keadaan di zaman darurat sebelum merdeka, khasnya hal-hal yang menyentuh soal kedudukan polis, perjuangan kemerdekaan, nasionalisme, dan soal keselamatan negara waktu itu. Ia ditulis oleh orang yang berpengalaman secara langsung di dalam kancah persoalan itu. Dan orang ini pula bukannya sebarang orang, dia adalah seniman besar yang pernah dilahirkan oleh negara ini - Sasterawan Negara Usman Awang.

TTB adalah sebuah novel autobiografi Usman Awang. Novel yang di dalamnya terdapat beberapa keping gambar foto Usman Awang sewaktu dia berkhidmat sebagai polis di Melaka, seolah-olah mengatakan bahawa watak Leman di dalam novel itu adalah penulis sendiri, yang dibuktikan dengan kehadiran gambar- gambar tersebut.
Leman seorang anggota polis biasa. Masih muda. Belum berkahwin. Dia seperti kawan-kawannya, polis-polis yang lain, menjalankan tugas mengikut arahan pihak atasannya, tanpa memahami situasi atau pergolakan politik yang turut menentukan tugas-tugas yang diarahkan supaya mereka laksanakan.

Diarah bersiap sedia untuk keluar menjalankan tugas, mereka pun ikut arahan, keluar menaiki jip atau lori polis, tanpa terlebih dahulu mengetahui ke mana tujunya dan apa tujuannya. Kalau tugas untuk menangkap orang, tugas pun dilaksanakan tanpa mengetahui siapa orang itu dan kenapa dia perlu ditangkap. Namun pengalaman yang tak difahaminya itu tidak pula menghalang perasaannya bersimpati dengan keluarga yang suaminya atau ayahnya ditangkap itu.

Apabila rumah-rumah pekebun Cina diarah supaya dibakar, dengan anjing, kucing dan ayam-itik terpaksa berlari ke sana-sini menyelamatkan diri, hati Leman menjadi terguris juga, dan bertanya-tanya mengapa semua itu perlu dilakukan.

Beberapa kali juga digambarkan peristiwa mereka dikejarkan ke rumah pengurus besar estet, orang Inggeris, untuk menembak musuh yang dikatakan sedang mengancam keselamatan orang Inggeris itu bersama keluarganya di dalam rumah besar mereka.

Kemuncak peristiwanya ialah apabila mereka bertempur dengan kumpulan komunis. Bacalah novel ini dan perhatikan bagaimana Usman Awang menggambarkan lelaki-lelaki dan wanita-wanita yang dikatakan komunis itu. Keberanian mereka, dan muka mereka yang tenang dan penuh keyakinan. Kasih sayang di kalangan keluarga mereka dan sebagainya.

Contohnya, dia menggambarkan seorang wanita komunis yang telah ditawan mereka, begini: “Pada wajahnya tidak kelihatan sebarang kengerian atau rasa cemas menghadapi pasukan polis. Dia tetap tenang dan agung dalam kesederhanaannya. Dia kelihatan lembut bagai air tetapi daripada matanya kelihatan suatu sinar keberanian dan ketabahan yang tahan uji.” (muka surat 239)

Antara dua pasukan yang bertempur itu, Usman membuat perbandingannya begini: “Mereka harus bertembak-tembakan dan saling merebahkan pada suatu tempat dan daerah tertentu; suatu pihak berjuang kerana keyakinannya dan satu pihak lain melakukan kerana tarikan kehidupan nafkahnya.” (muka surat 235)

Bandingkanlah gambaran yang diberikannya kepada keluarga komunis dan kepada keluarga polis. Kepada keluarga komunis digambarkannya: “Dan mereka sentiasa memikul tugas itu dengan rela dan ikhlas, walaupun dengan memberikan seluruh kepunyaan mereka yang paling disayangi.” (muka surat.243)

Manakala kematian anggota polis pula digambarkannya: “Dia telah mengakhiri hidupnya. Suatu pengakhiran hayat yang tidak direlakannya sama sekali, juga oleh isterinya, oleh anak gadisnya, oleh kawan-kawannya, malah oleh undang-undang.” (muka surat.259)

TTB adalah sebuah novel. Ditulis pada tahun 1962, mengisahkan kehidupan di zaman darurat sebelum merdeka. Dalam kata Pendahuluan untuk buku “Koleksi Terpilih Usman Awang” (1995, DBP) saya catatkan begini mengenai TTB: “…melalui dilema yang dihadapi oleh watak Leman, Usman mempersoalkan apakah maknanya ‘pengorbanan’ yang dilakukan oleh anggota-anggota pasukan polis itu.

Apakah benar mereka itu telah ‘gugur sebagai bunga bangsa’ seperti yang sering disifatkan oleh pihak-pihak tertentu, atau tidakkah mereka itu hanya ‘mati katak’ sahaja? Apakah mereka telah berjuang untuk bangsa dan negara ataupun untuk mempertahankan kepentingan golongan penjajah?” (muka surat.xlii)

Demikianlah sebuah novel yang baik. Ia terus berkata-kata, merentasi zaman, sambil membuka intepretasinya. Terpulanglah kepada kebijaksanaan kita untuk ‘membacanya’ kembali, dari semasa ke semasa. Dan janganlah pula hari ini kita tiba-tiba memandang serong pula kepada penulisnya yang telah kita anugerahkan Sasterawan Negara itu, apabila situasi hari ini dapat ‘membaca’ sesuatu yang baru daripada novelnya ini.

Untuk berlaku adil, saya anjurkan supaya kita membaca semula novel ini. Baca sendiri, dan buatlah interpretasi serta penilaian sendiri. Usman Awang telah lama menceritakan pengalamannya. Tentunya dia sedikit pun tidak berniat hendak mempolitikkan pengalamannya itu. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.