Dunia teknologi, manusia makin kurang sosial
KETIKA teknologi manusia masih kuno, pergerakan mereka daripada satu tempat ke satu tempat amat lambat. Kenderaan yang perlahan kerana menggunakan tenaga binatang kemudiannya dipercepatkan dengan tenaga enjin. Tugas memasak bagi suri rumah yang mengambil masa begitu lama dengan menggunakan kayu api, dipermudahkan dengan penggunaan dapur minyak tanah, kemudian dapur gas dan kini memasak diperlekaskan dengan penggunaan oven gelombang mikro.
Kerja-kerja di pejabat yang pada asasnya menggunakan mesin taip yang lambat sudah diganti dengan menggunakan komputer. Salinan dokumen yang pada asalnya menggunakan kertas karbon yang boleh membuat paling banyak tiga salinan terang, dengan mudah sahaja digandakan kepada beratus-ratus helai melalui mesin fotostat.
Kehidupan seharian manusia yang perlahan itu dipercepatkan dengan kemodenan pengangkutan. Penggunaan barangan seharian konsumer dan peralatan pejabat pula diperkemas menggunakan elektrik. Mesin dan jentera besar pula menggunakan kuasa enjin bagi memudahkan manusia menyudahkan urusan dalam masa yang lebih pantas daripada biasa.
Malangnya, semakin singkat masa yang manusia gunakan untuk melakukan sesuatu, terjadi pula masa dan fokus manusia yang teralih dengan hal-hal lain. Pada tahun-tahun 40an lagi, tumpuan manusia terhadap apa yang dilakukannya itu dikatakan terganggu dengan kemunculan perang pemasaran melalui iklan. Iklan muncul di mana-mana sama ada di radio, televisyen, akhbar, papan tanda, bill board, sepanduk dan poster di tempat-tempat jualan di pasar raya.
Kemunculan televisyen kabel yang mula popular pada dekad 50an, diikuti dengan televisyen satelit pada dekad 60an itu menjadi lebih hebat dengan kemunculan konsep pemberitaan 24 jam pada era 80an CNN. Di negara kita, siaran telivisyen setelit menjadikan tumpuan kehidupan seharian kita dipengaruhi dengan siaran tanpa henti.
Penggunaan internet pada tahun 80an pula meletuskan satu fenomena komunikasi pada era 90an. Dunia diistilahkan sebagai komuniti global. Istilah yang sebelum ini hanya dikonotasikan kepada kumpulan kecil masyarakat yang seragam citarasanya, kini digunakan untuk menggambarkan masyarakat global yang mempunyai satu identiti. Betapa internet telah mengecilkan sempadan fizikal yang dahulunya dibatasi dengan gunung, padang pasir, sungai dan lautan kepada dunia yang tanpa sempadan.
Apabila dunia internet meletuskan fenomena komunikasi tanpa sempadan fizikal melalui ruang dan jarak, tanpa disedari, kita seolah-olah disedut ke dalam lohong hitam alam siber yang manusia sendiri cipta. Kini, kehidupan seharian kita sentiasa diterjah dan diacah dunia alam siber. Jika sebelum ini, dunia internet membolehkan kita meluncur laju dari laman ke laman web di alam siber, pelayaran kita diperlahankan dengan kemunculan dunia blog. Melalui dunia blog, kita mula gemar berjalan ke sana ke mari dengan apa yang dinamakan sebagai blogwalking.
Kemunculan laman sosial melalui laman-laman forum, facebook dan akhirnya twitter menjadikan kita tidak sahaja berjalan, malah mundar-mandir bertemu dan bertegur sapa dengan kawan-kawan di alam siber. Akhirnya, kita sudah tidak ada masa peribadi lagi. Dunia yang perlahan dahulu dipantaskan dengan teknologi, kini kembali diperlahankan dengan teknologi juga.
Pada hari ini, sebuah keluarga boleh duduk semeja menghadap hidangan malam, tetapi masing-masing sebenarnya tenggelam timbul di dunia siber masing-masing. Di pejabat, kalau dahulu kebosanan diri menghadiri mesyuarat dilayan dengan contengan-contengan di kertas minit mesyuarat, kini tumpuan teralih dengan pelbagai cerita tentang bola, fesyen, gosip artis atau apa sahaja bersama kawan beribu kilometer jaraknya melalui internet.
Secara zahirnya kita tampak bersendirian di khalayak ramai, tapi rupa-rupanya kita bising dalam kesunyian. Hubungan kita dengan manusia lain secara fizikal telah berubah menjadi perhubungan dengan beribu-ribu kawan di alam ghaib siber. Kerana asyik tenggelam timbul berselang-seli di antara dunia realiti dan dunia siber, ada di antara kita bagai orang yang gila isim bila tidak dapat mengawal di alam manakah dia berada. Apa yang dahulunya bertujuan untuk menjimatkan masa rupa-rupanya membuang masa bila kita hilang fokus dan hilang prioriti.
Ironinya, kecanggihan teknologi siber pada hari ini membolehkan kita berada di mana-mana sahaja di dunia ini kecuali di tempat kita berdiri pada saat ini.
Artikel ini diterbitkan di akhbar Sinar Harian pada 21.9.2011.