Jumaat, 16 Disember 2011

MASA

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Saya kembali semula ke Oxford. Bandar ini agak kurang meriah sekarang kerana chttp://andyhowtt.com/wp-content/uploads/2011/03/e5cda9c666598a50c9f234ceb95c12e1.jpguti. Saya tidak sangka yang saya akan pulang ke Malaysia sepanjang dua minggu lepas. Selepas dua bulan berada di sini, saya sempat balik sekejap. Seseorang yang berjumpa saya semasa pulang baru-baru ini berkata: “Rasanya baru sahaja hantar ke airport”.


Ya, dua bulan lepas dia rasakan baru sahaja. Namun, bagi saya yang duduk di Oxport bersendirian, walaupun sibuk dengan pelbagai urusan merasakan agak lama. Sudah berapa artikel saya telah tulis sepanjang tempoh tersebut. Sudah berapa banyak seminar dan syarahan yang telah saya hadir. Sudah banyak orang yang sempat saya temui. Masa saya, mungkin agak lebih panjang dari masa sahabat tersebut. Masa orang lain mungkin lebih panjang dari masa saya. Bahkan masa seseorang itu mungkin berbeza antara satu waktu ke waktu yang lain.
Konsep Masa
Saya pernah menulis artikel tentang ‘Mencari Keberkatan Masa’. Saya pernah sebutkan bahawa masa adalah ciptaan Allah yang paling hebat. Ya, sehingga hari ini ahli fizik dan falsafah masih lagi kebingungan dalam mencari formula atau memahami ‘the concept of time’.
Allah Tuhan yang menciptakan masa. DIA menciptakan sekelian makhluk dan menempatkan mereka dalam sistem masa. Masa adalah makhluk Allah. Allah pencipta segalanya. DIA tidak terikat dengan masa, bahkan DIAlah yang menentukan masa. Sebab itu DIA bersumpah dalam al-Quran dengan pelbagai masa; fajar, dhuha, malam, siang dan seterusnya. Ini satu persoalan yang dapati difahami tetapi sukar untuk dimengertikan sepenuhnya. Apakah itu masa? Suatu keajaiban yang sedang diburu oleh saintis; ‘time and space’.
Jarak Masa
Mendekati persoalan ini membolehkan kita memahami perkara yang berhubung dengan keimanan kita kepada nas-nas Allah dan rasulNYA. Umpamanya, antara tanda-tanda kiamat yang sebut oleh Nabi s.a.w:
“Zaman menjadi dekat (pendek), ilmu berkurangan, dicampakkan kebakhilan (dalam jiwa) dan banyaknya haraj”. Sahabat bertanya, ‘apa itu haraj’. Nabi s.a.w: bersabda: ‘bunuh dan bunuh’. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Zaman menjadi dekat diulas dengan pelbagai andaian, antaranya umur menjadi pendek, atau peralatan canggih yang ada memendekkan waktu yang diperlukan untuk sesuatu urusan dan seumpamanya. Itulah tafsiran-tafsiran yang dibuat tanpa mengandaikan bagaimana 24 jam sehari yang kita berada dalamnya boleh menjadi pendek atau dekat jaraknya.
Namun, bagi sesiapa melihat dari teori ‘relativity of time’ akan memahami maksud hadis ini. Walaupun jam yang kita memiliki menunjukkan setiap insan memiliki 24 jam sehari, namun setiap kita dapat merasai panjang dan pendek jarak waktu yang berlainan hari adalah tidak sama. Ada masa, kita rasa agak lama. Ada masa kita rasa terlalu sekejap.
Berdasarkan hadis ini, waktu kita pendek dan waktu yang dimiliki oleh orang terdahulu lebih panjang dari yang kita miliki. Bayangkan, tanpa teknologi internet, tanpa handphone, tanpa semua yang kita miliki sekarang, mereka dapat menghasilkan pelbagai kerja-kerja besar. Karya-karya besar dan bangunan-bangunan besar. Tanpa mengira tamadun, sama ada sebelum atau selepas kedatangan Islam, manusia berjaya mewarisi khazanah ilmu yang hebat tanpa peralatan canggih seperti kita.
Walaupun hari ini, dengan segala kelebihan yang ada, yang boleh memintas jarak; seperti telepon dan internet yang memboleh kita menghubungi mereka yang jauh tanpa bergerak ke tempat berkenaan secara fizikal, atau kenderaan canggih yang membolehkan kita sampai ke sesuatu tempat dengan pantas, namun di zaman inilah manusia banyak mengadu ‘tidak cukup waktu’. Tidak cukup untuk Tuhan, tidak untuk dirinya, tidak untuk keluarganya. Ke manakah masa 24 sehari itu pergi? Ia sebenarnya telah menjadi pendek.

Tidak Sama
Di samping waktu itu tidak sama masa antara seorang dengan seorang yang lain. Walaupun setiap orang memiliki 24 jam pada hitungan jarum jam, namun jarak waktu atau space of time yang dilalui oleh seseorang mungkin berbeza. Seseorang yang diberikan Allah kenikmatan tertentu selama setahun mungkin merasainya lebih lama dari seseorang yang diberikan nikmat yang sama dalam tempoh sepuluh tahun. Seseorang yang dilihat menderita sepuluh tahun mungkin merasainya lebih pendek dari seseorang yang menderita perkara yang sama selama setahun.
Maka jangan hairan jika kesabaran manusia berbeza. Jangan hairan juga syukur manusia itu berbeza. Sebab, apa yang sama pada zahirnya, belum tentu sama pada batinnya. Tapi hairanlah bagaimana kehebatan Allah membahagikan kurniaanNYA yang kelihatan sama tetapi berbeza disebabkan jarak waktu dan masa.
Masa adalah penentuan Allah yang mutlak maka insan tidak perlu hairan tentang banyak persoalan berhubung dengan keadilan Allah. Seseorang mungkin bertanya di manakah keadilan bagi insan zalim yang meninggal ratusan tahun dahulu yang diazab di kuburnya sehingga kiamat dengan si zalim yang baru meninggal. Jika kiamat masih lambat, seakan tidak adil orang yang mati terdahulu terpaksa melalui waktu azab yang lebih panjang. Semua persoalan ini pada asasnya, kita meyakini keadilan Allah. Kedua, dengan memahami bahawa waktu itu sesuatu yang relatif maka kita akan faham secara umum hal ini.
Perbezaan Alam
Masa atau waktu sesuatu alam juga tidak sama. Alam dunia dan alam barzakh mempunyai konsep waktu yang berbeza. Kehidupan dunia dan kehidupan akhirat juga mempunyai konsep waktu yang berbeza. Allah berfirman: (maksudnya)
“dan mereka meminta kepadamu (Muhammad) agar menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNYA; dan (katakanla): sesungguhnya satu hari (dari hari-hari azab) di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung”. (Surah al-Hajj, 47).
Demikian ketika Allah menceritakan tentang penciptaan lagi dan bumi dengan firmanNYA: (maksudnya)
“Allah mentadbirkan dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepadaNYA (urusan) pada satu hari yang kadarnya seribu tahun menurut apa yang kamu hitung” (Surah al-Sajdah, 5).
Banyak ayat-ayat ini telah diterjemahkan dalam sesetengah al-Quran terjemahan melayu secara semberono disebabkan penterjemah itu gagal memahami konsep masa yang hendak dijelaskan oleh al-Quran. Mereka telah mengubah terjemahan kerana perasaan ganjil mereka terhadap maksud ayat-ayat ini. Terjemahan bebas mereka telah merosakkan maksud asal yang terkandung dalam bahasa arab yang indah.
Apa yang al-Quran jelaskan ialah masa itu tidak sama antara satu alam dengan alam yang lain. Bumi ini terlalu ‘halus’ bagaikan debu jika dibanding alam semesta yang luas. Masa yang dirasai oleh penduduk bumi tentu tidak sama dengan masa yang ada di tempat lain selain bumi. Dengan melihat keagungan Allah yang menentukan kadar masa yang berbeza bagi tempat yang sama dan yang berlainan, alam yang sama dan yang berlainan, maka dapat kita fahami betapa halus dan teliti kuasa dan keadilanNYA.
Orang di sebelah kita mungkin hidup dalam satu lingkungan masa yang berbeza dengan kita. Seorang yang sedang sakit bertahun di atas katilnya mungkin merasainya hanya beberapa hari, namun yang menjaganya telah melaluinya bertahun lamanya.
Allah mengatur segalanya dengan kehendak dan hikmah yang dalam banyak keadaan kita insan yang kerdil ini gagal memahaminya. Justeru Allah menceritakan tentang Ashabul Kahf yang tidur ratusan tahun tetapi dirasai hanya sehari atau separuh hari. Firman Allah : (maksudnya)
“Dan Demikianlah pula Kami (Allah) bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang antara mereka bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” Mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Surah al-Kahf, 19).
Tiga ratus tahun hanya dirasai bagaikan sehari atau separuh hari. Ajaibnya masa!
Dalam ayat lain Allah menceritakan bagaimana seorang lelaki yang dimatikan Allah selama 100 tahun tapi merasainya bagaikan sehari. Firman Allah: (maksudnya)
“Atau (tidakkah engkau hairan) tentang seorang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, dia berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (semula) negeri ini sesudah matinya (binasanya)? ” Lalu Allah matikannya selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkannya semula lantas bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?”. Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”.
Allah berfirman:” (tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (yang telah hancur), dan Kami (Allah) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan kami) bagi manusia”. (Surah al-Baqarah 259).
Demikian apabila manusia mati, konsep waktunya juga berbeza.
Sementara di akhirat manusia menjawab tentang masanya di bumi apabila ditanya:mereka menjawab: (maksudnya)
“Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari” (Surah al-Mukminun 113).
Ya! masa di sana berbeza dengan masa di sini. Masa di syurga dan neraka berbeza dengan masa di dunia. Masa di barzakh berbeza dengan masa di dunia fana. Masa antara kita dengan jenerasi lepas berbeza. Bahkan masa antara kita juga tidak sama. Maha Suci Allah dengan kehebatan ciptaaanNYA!

Penjawat awam terlalu ramai?


Kecoh seketika apabila isu jumlah kakitangan kerajaan sama ada di persekutuan dan pentadbiran negeri dikatakan terlalu ramai sehinggakan terdapat usul untuk mengurangkannya oleh seorang Ahli Parlimen baru-baru ini.


Permis pertama, bilangan penduduk negara kini mencecah hampir 28 juta orang dan daripada maklumat sumber JPA, kakitangan awam kini mencecah 1.4 juta orang; Itu adalah fakta. Bukan menjadi pertikaian lagi.


Premis kedua. Saban tahun kakitangan awam ditambah, dan saban tahun akan berlaku kenaikan gaji dan imbuhan bonus kepada mereka; kos yang amat tinggi yang perlu ditanggung oleh kerajaan. Terbaru dalam Bajet 2012, pihak kerajaan mengumumkan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimum lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus. Malah usia wajib bersara dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.


Kewajipan pihak kerajaan


Tapi itu bukan isunya. Memang menjadi kewajipan sesebuah kerajaan perlu malah wajib menjaga dan membela kebajikan kakitangan mereka.


Isunya di sini nisbah antara jumlah kakitangan awam dan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia membawa kepada 1:20, satu angka yang agak besar bagi sebuah negara yang kecil seperti Malaysia. Isunya juga di sini, bagaimana pihak kerajaan mahu memastikan rakyat Malaysia yang di luar penjawat awam turut terbela ?


Guru 400 ribu, polis-tentera 200 ribu


Di negara kita, bilangan guru-guru sahaja sudah menjangkau 400 ribu orang, ditambah pula dengan bilangan polis seramai 100 ribu orang, ditambah lagi dengan pasukan tentera seramai 100 ribu orang, bilangan ini telah menduduki separuh daripada bilangan kakitangan awam yang lain.


Harus difahami isu di sini, 1.4 juta orang kakitangan awam adalah meliputi kakitangan awam yang berada di peringkat kerajaan negeri serta kerajaan tempatan. Faktanya adalah memang benar kakitangan awam kita ramai, sebuah organisasi yang menggelembung besar (big fat in small bottle).


Antara salah satu faktor berlaku limpahan 'gelembung besar' itu kerana banyak jawatan dan fungsi yang bertindan berlaku antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan. Berlaku masalah bertindan dari segi struktur dan fungsinya ataupun tugas yang berulang.


Contohnya jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pertanian & Asas Tani, banyak bertindan dengan fungsi jabatan-jabatan pertanian di bawah pentadbiran negeri yang menjadikan asas tani sebagai komoditi seperti negeri Kedah, Kelantan dan Perlis. (MADA, KEDA, KESEDAR)


Apa yang dikemukakan Ahli Parlimen tersebut yang mahu kurangkan jumlah kakitangan awam itu, mungkin dialu-alukan oleh rakyat marhaen, sebaliknya kakitangan awam pula yang merasa tidak senang dengan cadangan tersebut. Justeru atas sebab itu Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dengan mudah membidas kembali cadangan tersebut sehari selepas cadangan tersebut dikemukakan.


Harapan mahasiswa


Di peringkat mahasiswa, yang mungkin sebilangan bercita-cita ingin bekerja di sektor awam, amat mengharapkan isu ini, sama ada mahu menambah dan mengurangkan kakitangan awam tidak sepatutnya dijadikan bahan politik antara ahli parlimen, dengan memanipulasi permainan angka dan bilangan tersebut dijadikan isu.


Sebaliknya yang lebih penting adalah menyelesaikan organisasi dan struktur serta fungsi kakitangan awam yang bertindan itu atau tugas yang berulang itu sama ada mahu dibaiki atau tidak, perlu dilakukan dalam perhatian serius dalam kadar segera.


Atau sekurang-kurangnya bagi kami mahasiswa yang mungkin 'tidak berkesempatan' memasuki sektor awam, pihak kerajaan wajar menyediakan ruang dan peluang pekerjaan yang sesuai dengan komposisi dan kapasiti seorang graduan Universiti


http://gm-ukm.blogspot.com

Khamis, 15 Disember 2011

Al Khaliq

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

AJARAN paling agung yang dibawa para rasul melalui kalimah toiyibah “Lailaha illallah,” menjadi asas utama pembinaan akidah. Bagi mengenali dan meyakini sifat-sifat Allah SWT yang Maha Sempurna. Antara sifat Allah SWT yang Kamalat ialah bersifat “Al- Khaliq” (Maha Pencipta), Dia merekacipta pelbagai makhluk secara sendirian.

Mencipta begitu banyak makhluk dengan beraneka rupa bentuk yang pelbagai, semuanya mudah bagi Allah SWT yang bersifat “Al-Mushauwir”. Dia juga Maha Mengetahui, maklumat yang meliputi setinggi-tinggi langit dan seluas angkasa raya. Semua tersimpan kemas dalam perbendaharaan maklumat-Nya yang Maha Canggih.

Tiada yang di luar daripada Pengetahuan-Nya, walaupun sebutir debu melayang di ruang angkasa atau di mana jua, hatta semut mayat yang merayap di permukaan batu pejal yang hitam pada malam kelam dan gelap gelita.

Semua makhluk-Nya hatta debu yang tidak berharga itu tidak terbiar begitu saja, sebaliknya ia dalam pengawasan dan kawalan-Nya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Segala puji pujian bagi Allah, Tuhan yang mentarbiyah semesta alam.” (Surah Al Fatihah ayat 2)

Lebih-lebih lagi manusia sebaik-baik makhluk ciptaan- Nya, mereka ditarbiyah selengkapnya untuk memikul tugas penting selepas penciptaannya.

Makhluk istimewa ini dikurniakan akal fikiran, yang melayakkan mereka menerima kehadiran para pembimbing daripada kalangan nabi dan rasul. Agar sentiasa mulia di sisi-Nya sebagai makhluk berakal, beramal dan bermaklumat.

Insan sentiasa dalam pemerhatian Allah SWT. Mereka tidak perlu runsing di mana saja mereka berada, tidak akan berlaku kebuluran jika tidak dikhianati pihak lain. Tidak mati jika ajal belum sampai. Tidak berlaku pengkhianatan suatu makhluk  jika tidak menepati apa yang ditakdirkan Allah SWT.

Rezeki yang dijanjikan Tuhan tetap ada baginya selagi manusia masih hidup. Jika berlaku kebuluran di suatu negara adalah kerana wujud penyelewengan, menyebabkan berlaku ketidakadilan pembahagian rezeki.

Justeru itu Allah SWT datangkan para nabi dan rasul membawa peraturan syariat, untuk mengatasi kezaliman yang dilakukan oleh segolongan manusia terhadap pihak yang lain.

Ilmu Allah SWT meliputi daripada titik pertama di tengah-tengah perut bumi hingga ke langit yang tertinggi. Tiada yang terlindung daripada pengetahuan-Nya, walau benda sehalus atom terapung di ruang angkasa raya.

Planet bumi dicipta sebagai pentas kehidupan manusia dan seluruh makhluk bernyawa, udara dan oksigen serta lain lain sumber rezeki disediakan secukupnya untuk makhluk bernyawa serta tumbuhtumbuhan, juga gelombang udara untuk keperluan insan berkomunikasi melalui suara.

Tuhan ciptakan air sebagai sumber kehidupan, kecairan dan ketwarannya bukan saja boleh menghilangkan dahaga.

Malah kepelbagaian kandungan zat dan meneral di dalamnya menyempurnakan hayat tubuh makhluk bernyawa, juga menumbuhkan pepohon buah buahan dan sayur sayuran sebagai sumber rezeki.

Lautan luas meskipun dipenuhi air masin, namun kaya dengan hidupan segar sumber protein. Kecairannya boleh mengapungkan kapal kapal berat di permukaannya, untuk menghantar muatan keperluan perdagangan ke serata destinasi seluruh alam jagat.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui segala gerak detik dalam lipatan hati, meskipun ia dianggap sulit dan terlalu rahsia bagi manusia.

Namun ia amat terpampang dalam ilmu Tuhan yang Maha Mengetahui. Firman-Nya yang bermaksud: “Dia Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al An’aam ayat 73)

Allah SWT Mengetahui perkara yang tersembunyi, antaranya ialah dosa syirik yang berlaku dalam hati.Syirik bukan sekadar menyembah berhala, sebaliknya syirik yang paling halus ialah ‘syirik khafi’ iaitu beramal kerana ‘riyak.’ Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka kecelakaanlah bagi orang orang yang solat, (iaitu) orang orang yang lalai daripada solatnya, orang orang yang berbuat riyak.” (Surah Al-Ma’un ayat 4 dan 5)

Riyak ialah melakukan sesuatu ibadah bukan untuk mencari keredaan Allah, sebaliknya untuk mencari sanjungan atau kemasyhuran di kalangan masyarakat. Walaupun syirik khafi lebih halus dan senyap daripada semut mayat yang merayap di atas batu hitam di malam yang gelita, namun Allah SWT tetap melihat dan mendengarnya dengan jelas.

Manusia yang sering muhasabah diri akan menyedari syirik khafi itu. Akan tercetus rasa sebak dan keluh kesah di dada, apabila syirik khafi berlaku. Situasi itu membuktikan hatinya masih berfungsi dan harapan masih ada untuk mendapat taufik dan hidayah Allah SWT.

Jika tiada keluh kesah meskipun sedar syirik khafi berlaku dihatinya, menunjukkan hati orang itu telah mati.
Hati yang mati tidak dapat dilembutkan walaupun dengan berita syurga dan neraka. Kerana hati yang mati bererti deria rasa turut mati, tidak merasa gerun dengan ancaman neraka dan tidak terliur dengan kenikmatan syurga.

Dengan sifat Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, tiada yang berlaku di alam fana dan di alam malakut (alam langit) melainkan dengan qadha dan qadar serta Kebijaksanaan- Nya jua.

Semua perkara yang dikehendaki Allah SWT itulah yang terjadi. Tidak siapa yang boleh keritik keputusan Tuhan, segala tindakan-Nya muktamat, kerana Dialah Tuhan yang mempunyai Kuasa Maha Mutlak

4P












Library

Cuba tengok gambar ni.. kan best kalau perpustakaan kat Malaysia ada yang macam ni kan? ekeke



P/s : memang cool