Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
AJARAN paling agung yang dibawa para rasul melalui kalimah toiyibah “Lailaha illallah,” menjadi asas utama pembinaan akidah. Bagi mengenali dan meyakini sifat-sifat Allah SWT yang Maha Sempurna. Antara sifat Allah SWT yang Kamalat ialah bersifat “Al- Khaliq” (Maha Pencipta), Dia merekacipta pelbagai makhluk secara sendirian.
Mencipta begitu banyak makhluk dengan beraneka rupa bentuk yang pelbagai, semuanya mudah bagi Allah SWT yang bersifat “Al-Mushauwir”. Dia juga Maha Mengetahui, maklumat yang meliputi setinggi-tinggi langit dan seluas angkasa raya. Semua tersimpan kemas dalam perbendaharaan maklumat-Nya yang Maha Canggih.
Tiada yang di luar daripada Pengetahuan-Nya, walaupun sebutir debu melayang di ruang angkasa atau di mana jua, hatta semut mayat yang merayap di permukaan batu pejal yang hitam pada malam kelam dan gelap gelita.
Semua makhluk-Nya hatta debu yang tidak berharga itu tidak terbiar begitu saja, sebaliknya ia dalam pengawasan dan kawalan-Nya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Segala puji pujian bagi Allah, Tuhan yang mentarbiyah semesta alam.” (Surah Al Fatihah ayat 2)
Lebih-lebih lagi manusia sebaik-baik makhluk ciptaan- Nya, mereka ditarbiyah selengkapnya untuk memikul tugas penting selepas penciptaannya.
Makhluk istimewa ini dikurniakan akal fikiran, yang melayakkan mereka menerima kehadiran para pembimbing daripada kalangan nabi dan rasul. Agar sentiasa mulia di sisi-Nya sebagai makhluk berakal, beramal dan bermaklumat.
Insan sentiasa dalam pemerhatian Allah SWT. Mereka tidak perlu runsing di mana saja mereka berada, tidak akan berlaku kebuluran jika tidak dikhianati pihak lain. Tidak mati jika ajal belum sampai. Tidak berlaku pengkhianatan suatu makhluk jika tidak menepati apa yang ditakdirkan Allah SWT.
Rezeki yang dijanjikan Tuhan tetap ada baginya selagi manusia masih hidup. Jika berlaku kebuluran di suatu negara adalah kerana wujud penyelewengan, menyebabkan berlaku ketidakadilan pembahagian rezeki.
Justeru itu Allah SWT datangkan para nabi dan rasul membawa peraturan syariat, untuk mengatasi kezaliman yang dilakukan oleh segolongan manusia terhadap pihak yang lain.
Ilmu Allah SWT meliputi daripada titik pertama di tengah-tengah perut bumi hingga ke langit yang tertinggi. Tiada yang terlindung daripada pengetahuan-Nya, walau benda sehalus atom terapung di ruang angkasa raya.
Planet bumi dicipta sebagai pentas kehidupan manusia dan seluruh makhluk bernyawa, udara dan oksigen serta lain lain sumber rezeki disediakan secukupnya untuk makhluk bernyawa serta tumbuhtumbuhan, juga gelombang udara untuk keperluan insan berkomunikasi melalui suara.
Tuhan ciptakan air sebagai sumber kehidupan, kecairan dan ketwarannya bukan saja boleh menghilangkan dahaga.
Malah kepelbagaian kandungan zat dan meneral di dalamnya menyempurnakan hayat tubuh makhluk bernyawa, juga menumbuhkan pepohon buah buahan dan sayur sayuran sebagai sumber rezeki.
Lautan luas meskipun dipenuhi air masin, namun kaya dengan hidupan segar sumber protein. Kecairannya boleh mengapungkan kapal kapal berat di permukaannya, untuk menghantar muatan keperluan perdagangan ke serata destinasi seluruh alam jagat.
Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui segala gerak detik dalam lipatan hati, meskipun ia dianggap sulit dan terlalu rahsia bagi manusia.
Namun ia amat terpampang dalam ilmu Tuhan yang Maha Mengetahui. Firman-Nya yang bermaksud: “Dia Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al An’aam ayat 73)
Allah SWT Mengetahui perkara yang tersembunyi, antaranya ialah dosa syirik yang berlaku dalam hati.Syirik bukan sekadar menyembah berhala, sebaliknya syirik yang paling halus ialah ‘syirik khafi’ iaitu beramal kerana ‘riyak.’ Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka kecelakaanlah bagi orang orang yang solat, (iaitu) orang orang yang lalai daripada solatnya, orang orang yang berbuat riyak.” (Surah Al-Ma’un ayat 4 dan 5)
Riyak ialah melakukan sesuatu ibadah bukan untuk mencari keredaan Allah, sebaliknya untuk mencari sanjungan atau kemasyhuran di kalangan masyarakat. Walaupun syirik khafi lebih halus dan senyap daripada semut mayat yang merayap di atas batu hitam di malam yang gelita, namun Allah SWT tetap melihat dan mendengarnya dengan jelas.
Manusia yang sering muhasabah diri akan menyedari syirik khafi itu. Akan tercetus rasa sebak dan keluh kesah di dada, apabila syirik khafi berlaku. Situasi itu membuktikan hatinya masih berfungsi dan harapan masih ada untuk mendapat taufik dan hidayah Allah SWT.
Jika tiada keluh kesah meskipun sedar syirik khafi berlaku dihatinya, menunjukkan hati orang itu telah mati.
Hati yang mati tidak dapat dilembutkan walaupun dengan berita syurga dan neraka. Kerana hati yang mati bererti deria rasa turut mati, tidak merasa gerun dengan ancaman neraka dan tidak terliur dengan kenikmatan syurga.
Dengan sifat Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, tiada yang berlaku di alam fana dan di alam malakut (alam langit) melainkan dengan qadha dan qadar serta Kebijaksanaan- Nya jua.
Semua perkara yang dikehendaki Allah SWT itulah yang terjadi. Tidak siapa yang boleh keritik keputusan Tuhan, segala tindakan-Nya muktamat, kerana Dialah Tuhan yang mempunyai Kuasa Maha Mutlak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan