Pagi tadi saya sempat meluangkan masa ke Sekolah Rendah Islam Al-Furqan untuk dengar taklimat berkenaan dengan Program Pelajar Musleh kepada ibu bapa. Saya amat tertarik apabila di dalam taklimat itu disebut "Kemenjadian pelajar dengan taufiq Allah". Pada pendapat saya inilah 'missing link' di dalam pendidikan yang kita berikan kepada anak-anak kita. Kita merancang pelbagai program untuk kecemerlangan akademik mereka tetapi kita lupa di antara program tersebut dan hasilnya nanti, perlu ada taufiq daripada Allah swt.
Tugas kita sekarang adalah mencari taufiq daripada Allah. Bagaimana hendak mendapat taufiq ini? Anak-anak perlu diasuh dari kecil lagi tentang keimanan dan ketaatan kepada Allah, menghormati ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua serta orang-orang di sekelilingnya. Kita mampu merancang tetapi tanpa taufiq daripada Allah, semua sia-sia.
"Ilmu adalah nur" dan nur ini tidak melekat kepada pelaku-pelaku maksiat. Atas dasar nur yang suci itulah, anak-anak yang gemar melanggar disiplin sekolah, tidak menunaikan solat sukar untuk mendapat kefahaman di dalam pelajaran. Sebagai ibu bapa yang lebih banyak masa bersama anak di rumah berbanding guru di sekolah, perkara ini perlu diteliti. Kesalahan kecil walaupun sekadar berbohong, jika dibiasakan ia akan menjadi satu tabiat yang tidak baik seterusnya merosakkan anak itu sendiri.
Pendidikan anak-anak adalah cabaran besar pada masa ini kerana persekitaran yang berbeza dan pelbagai pengaruh luar yang kadangkala menakutkan. Kita hanya mampu berdoa semoga generasi sekarang dan akan datang diberikan taufiq untuk berjaya di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.. Wallahu a'lam..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan