‘Exit Policy’: Henti kakitangan awam lemah prestasi mula 2012, kata JPA
TERKINI @ 08:03:25 PM 07-12-2011
December 07, 2011
PUTRAJAYA, 7 Dis — Kakitangan kerajaan yang tidak memperlihatkan prestasi baik akan dinilai mulai Januari depan, susulan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan akan dihentikan kerja jika terus gagal memperbaiki kedudukan mereka, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam hari ini.
Ketika berkongsi kandungan pekeliling SBPA selepas melancarkannya di pejabatnya hari ini, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, penilaian akan dibuat ke atas kakitangan awam yang memperoleh markah 70 peratus ke bawah.
“Kita akan menilai mulai tahun depan. Mereka akan dinilai oleh panel dan akan diberi peluang untuk memperbaiki prestasi masing-masing, dan jika masih tidak berubah, mereka akan dibuang kerja,” kata beliau merujuk kepada peruntukan dasar pemisah atau “exit policy” — salah satu perkara yang terkandung dalam SBPA.
SBPA akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Abu Bakar berkata, mereka bukan dihentikan secara automatik jika gagal mempamerakan prestasi tidak memuaskan, sebaliknya akan diberi peluang bagi memperbaiki keadaan.
“Tetapi akan dinilai oleh panel, selama enam bulan, mungkin ada sebab mengapa seseorang kakitangan awam tidak berkhidmat dengan baik. Kita semua manusiakan,” katanya.
“Kita kena beri mereka peluang untuk memperbaiki keadaan, dan jika masih tiada perubahan, baru akan diminta berhenti kerja,” kata beliau lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut mereka yang gagal mempamerkan perkhidmatan memuaskan selama tiga tahun berturut-turut dengan memperoleh markhah kurang 70 peratus akan dibuang kerja.
Pada masa yang sama kata beliau, mereka yang menunjukkan perkhidmatan baik tetapi ingin keluar dari sektor awam awal secara sukarela untuk berkhidmat di sektor swasta juga akan dibenarkan berbuat demikian di bawah SBPA.
“Mereka yang berbuat demikian boleh mengekalkan tempoh perkhidmatan masing-masing untuk mendapatkan pencen sekiranya kembali ke sektor awam kemudian,” katanya lagi.
Kata beliau, dasar pemisah itu akan melibatkan kesemua 1.4 juta pekerja sektor awam semua peringkat.
Tambah beliau, JPA memberi jaminan tidak akan menganiaya mana-mana kakitangan menerusi dasar pemisah kerana hanya bertujuan memperbaiki sektor awam.
“Itu jaminan yang saya boleh berikan,” kata beliau sambil menambah, bilangan mereka yang tidak mempamerkan prestasi baik sangat minimal buat masa sekarang.
“Saya tiada bilangan sekarang, tetapi ia sangat minimal,” katanya ketika ditanya sejauh mana seriusnya masalah itu
komen teman : So.... when DAP announced to reduce civil servants, they are called racist and opressing Malays. But when JPA aka Govt does it, it's an awesome initiative. LOL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan