Jumaat, 16 Disember 2011

Bulan bahasa

DI NEGARA kita, kalau kita tahu sedikit sebanyak mengenai bahasa, kita boleh tahu dhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi4XgBMdPNHs8lltO1RsBjpvzkzjFWykrEXZhLeghpE6q5kU-SZntuf9ndCIpVG4GePWMJjax8v8MmJh8XW-33_JY9_KevzRUxyd_qiH_PgefQn1sPM8j8Oj0ANzFjJYtw_y7HPYQ_0J9U/s1600/utamakanbahasamelayu.jpgaripada aliran pendidikan mana seseorang itu melalui pertuturannya.

Baru-baru ini, saya ditemu ramah melalui telefon oleh seorang wartawan Cina mengenai apa yang patut Senator Shahrizat Abdul Jalil lakukan. Dia merujuk kepada saya sebagai “kamu”,

Jelaslah daripada loghat, tata bahasa dan nada percakapannya dia belajar di sekolah Cina dan pergaulan antara kaumnya sangat terhad. Jadi bahasa Melayunya adalah bahasa Melayu sekolah Cina yang digunakan hanya ketika belajar mata pelajaran bahasa Melayu. Dan dia pun bekerja untuk sebuah institusi yang dikawal oleh orang Cina.

Di pihak yang lain, saya ada seorang “murid” Cina yang lulus ijazah dari Universiti Tunku Abdul Rahman dan belajar di Sekolah Kebangsaan di Petaling Jaya. Dia tidak boleh berbahasa Cina.

Dalam bahasa harian masyarakat Cina, orang seperti beliau dipanggil “banana Chinese” atau Cina Pisang iaitu Cina pada warna kulit saja. Bahasa utama Cina Pisang adalah Inggeris, walaupun ramai daripada mereka yang fasih bahasa Kebangsaan.

Melayu pun macam itu juga. Ada Melayu sekolah Kebangsaan yang hanya boleh cakap Melayu yang tebal dengan loghat tempatan. Bahasa Inggeris sekadar lulus peperiksaan sahaja, itu pun tidak ramai. Malangnya, bahasa Melayu mereka juga tidaklah hebat mana.

Kemudian kita ada sekumpulan orang Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu sama ada kerana di rumah tidak bercakap Melayu atau kerana dihantar ke sekolah antarabangsa atau sekolah persendirian yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Antara mereka termasuklah anak Menteri dan orang kaya Melayu.

Saya hantar semua anak-anak saya ke sekolah aliran kebangsaan. Oleh sebab sekolah mereka dalam bandar dan di kawasan campuran, maka mereka berkawan dengan semua kaum dan fasih sekurang-kurang dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris.

Ini membawa saya kepada laporan Malaysiakini mengenai Ahli Dewan Rakyat DAP Bakri, Muar, Er Teck Hwa, yang tidak fasih bahasa Kebangsaan.
Portal berita itu melaporkan adalah sangat mencabar menjadi Ahli Parlimen apabila seseorang itu tidak fasih bahasa Malaysia.

Dalam laporan itu, Er mengaku yang dia terpaksa berusaha keras kerana tidak fasih bahasa Kebangsaan kerana belajar di sekolah aliran Cina.
Anehnya, menurut laporan Malaysiakini, Er mengaku yang dia kerap mendapat bantuan bagi menyatakan hujah-hujahnya daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional seperti veteran Mohamad Aziz dari Sri Gading, Halimah Mohd Sadique (Tenggara) dan Noraini Ahmad (Parit Sulong).

Secara peribadi, sebagai produk Bulan Bahasa Kebangsaan (1965 dan 1966) dan pengguna tetap bahasa Melayu dan Inggeris, saya sudah lama hilang keyakinan kepada kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa sejagat di Malaysia.

Kegagalan melaksanakan Sistem Pendidikan Kebangsaan adalah punca kelemahan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu serta semakin teruknya polarisasi kaum di negara kita sekarang. Bukti mutakhir kegagalan ini adalah kempen Bulan Bahasa Kebangsaan yang terpaksa diadakan setiap tahun selepas lebih 50 tahun kita merdeka. 

Adalah tidak keterlaluan kalau saya kata yang kita bukan saja gagal menghapuskan polarisasi kaum yang ditinggalkan oleh dasar pecah dan perintah penjajah, malah memburukkannya lagi.

Wallahualam, apa akan jadi dengan bahasa Melayu dan perpaduan kaum sukar hendak dibayangkan. Apa yang jelas adalah polarisasi ini telah merebak ke dalam bidang ekonomi dan pemikiran politik.

 http://kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan