Ahad, 25 Disember 2011

Ledakkan kejayaan mU...!

Selalu kita bicara soal kejayaan. Mahu berjaya dalam pelajaran. Berjaya dalam pekerjaan. Berjaya dalam segala-galanya. Tapi...

Siapa dia kejayaan? Apa bagusnya dia, hingga dirinya amat diperlukan sebagai syarat tergolong di dalam golongan yang memiliki kesudahan yang baik? Mengapa mesti dia? Mengapa bukan yang lain?

Ini soalan psiko, supaya kita ragu-ragu tentang erti kejayaan, ciri-ciri pemilik kejayaan dan keperluan terhadapnya. Maka dengan itu, kita akan berfikir semula tentang kemahuan terhadap kejayaan. Kejayaan tentulah bererti sesuatu kebaikan yang tercapai dan itu kebaikan yang dimahukan. Untuk mencapai kebaikan yang dihajatkan pula, perlu ada cara. Tanpa cara, maka pincang dan tempang. Tidak sempurna.

Dan semestinya, cara yang hebat hanya diamalkan oleh mereka yang hebat pemikiran dan tekadnya. Jadi, bagaimana mahu berusaha untuk mencapai tahap ‘golongan yang hebat’ tersebut?

Barangkali tidak semua mampu disenaraikan di sini, tetapi resepi kejayaan sebilangan besar mereka yang mereka berjaya sebenarnya sangat mudah dan ringkas perkataannya. Namun hebat pada makna dan hasilnya. Insya-ALLAH.

1.        Matlamat
2.        Semangat
3.        Nekad
4.        Tegas
5.        Muhasabah
6.        Strategi
7.        Ikhlas
8.        Tenang
9.        Inkuiri
10.     Sangka baik
11.     Optimis

Untuk kali ini, ayuh sama-sama kita rungkai tentang salah satu ciri pemilik kejayaan- optimis.
Optimis pada definisinya diertikan sebagai harapan yang tinggi, juga jangkaan yang baik terhadap sesuatu perkara. Jika melakukan sesuatu, maka harapannya perbuatan tersebut akan berkesudahan dengan kebaikan. Jika berdepan masalah, maka jangkaannya supaya akhirnya masalah tersebut akan berjaya diselesaikan dengan penuh bijaksana.

Bererti di sini, untuk mencapai kejayaan, seseorang itu amat perlu untuk memiliki pemikiran positif. Jika kita sekarang ini tergolong dalam golongan yang bertentangan dengan ciri-ciri pemiliki kejayaan di atas, maka bermula saat ini, perlu bersama-sama kita fikirkan tentang langkah untuk berubah. Langkah pertamanya adalah mind setting.

YOU ARE WHAT YOU THINK
Di dalam Al-Quran, seringkali diperkatakan, “jika kamu orang-orang yang memikirkan.”“jika kamu orang-orang yang berakal.”“jika kamu orang-orang yang waras”. Bererti sebenarnya ALLAH sangat mahukan kita semua memikirkan dan menilai tentang setiap perkara dalam hidup. Tersurat dan tersirat.

Dalam Al-Quran juga, ALLAH berfirman,
“Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati.”
(Surah Al-Mulk, 67:13)

Isi hati. ALLAH memperkatakan soal hati. Ertinya, hati dan akal saling berkaitan. Jika kedua-duanya saling bertautan  berkerjasama, maka akan terhasil kekuatan luar biasa. Yakni, semangat dan kemahuan. Insya-ALLAH.

Maka, untuk menggapai apa juga tujuan, perlukan usaha yang serentak dari kedua-dua hati dan akal tersebut. Tidak boleh salah-satu, kerana tidak akan lengkap. Hati fungsinya sebagai pusat idea kepada segala aktiviti jasad. Akal pula berfungsi untuk mengatur dan menyeimbangi kemahuan hati. Bagi orang-orang yang hebat, akal dan hati adalah komplementari. Saling melengkapkan.

Bayangkan, jika hati saja yang mahu. Namun akal tidak. Hati berkehendak, tetapi akal tidak merancang kemahuan hati. Di situasi lain pula, akal saja yang merancang. Jika hati kosong tanpa sebarang kemahuan, maka apalah hasilnya. Merancang tanpa sebarang matlamat untuk dijadikan garis panduan pasti sia-sia.

Matlamat hebat tanpa strategi, rugi. Strategi tanpa matlamat mendalam, tenggelam.

MAKA PENYELESAIANNYA...

Lantas, bagaimana mahu mencerna matlamat dan memantapkan strategi?

Baik, kejayaan seringkali dibahagi-bahagikan kepada dua. Kejayaan di dunia, kejayaan di akhirat. Inilah sebenarnya yang membuatkan kita (umat Islam) bingung kekeliruan. Sedangkan ALLAH menetapkan bahawa kejayaan itu hanya satu. Setiap manusia, pilihan kejayaannya cuma satu. Jika beriman, maka kejayaannya dunia akhirat. Bukan dunia atau akhirat. Jika kufur, maka dunia saja perolehannya. Mengapa? Kita akan cuba rungkai satu persatu dan di penghujung nanti, kita akan melihat jawapannya. Insya-ALLAH.

Sebuah hadis menegaskan, ‘jika mahu dunia, maka dengan ilmu. Jika mahu akhirat, maka dengan ilmu. Jika mahu kedua-duanya, juga dengan ilmu.’

Kita umat Islam yang hebat. Lantas andainya benar pernyataan ini, maka jangan pilih salah satu. Dunia atau akhirat. Sebaliknya jadikan dunia dan akhirat, pilihannya adalah berjaya. Umat Islam tiada sebarang pilihan melainkan untuk berjaya dunia dan akhirat. Kerana itulah ALLAH menghantar kita ke dunia ini. Supaya tertadbir bumi ini mengikut cara-Nya. Namun jika kita sendiri lemah, hanya memilih salah satu, dunia atau akhirat, maka untuk apa ALLAH mengirimkan kita ke dunia ini? Sia-sia.

Lantas untuk langkah pertama ini, kita kupas dahulu berkenaan kejayaan di dunia.

Sebenarnya jika mahu berjaya dalam apa juga bidang, konsepnya tetap sama. Matlamat perlu muncul dimantapkan oleh strategi. Sepanjang jalan, matlamat perlu sentiasa diperbaharui supaya jelas dan mudah untuk menyusun strategi. Tujuan strategi ini hanyalah untuk memastikan kelancaran dan kekemasan perjalanan sepanjang menuju ke arah matlamat. Strategi pula dibahagikan kepada tiga. Strategi untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Untuk jangka masa pendek, kita perlu fikirkan tentang langkah pertamauntuk memulakan sesuatu yang baru dalam hidup ini. Perkara baru tentulah agak janggal untuk dipraktikkan pada awalnya. Tentu-tentunya, niat yang baik pasti dipasakkan di dalam hati. Minta redha dan bantuan ALLAH semata supaya positif hasilnya.

Lantas amat perlu untuk kita perhati dengan mata dan hati yang tajam, siapa yang sesuai dijadikan sasaran untuk dijadikan teman yang positif. Perhati pula latar masyarakat, supaya mudah kita mencelah melarikan diri dari cas-cas negatif mereka.

Ya, dengarnya seperti kita agresif mementingkan diri sendiri dan mengambil kesempatan terhadap masyarakat sekitar. Tidak sebenarnya. Kita sememangnya sedikit mementingkan diri, kerana kita yang akan menjawab segala amanah yang telah dipertanggungjawabkan pada diri. Lantas tiada salahnya jika kita sedikit individualism.

Namun bukan pula bermakna kita peralatkan teman yang positf tadi. Bayangkan jika kita dan dia sama-sama positif. Dia pasti akan semakin memperbaiki dirinya. Juga sudah tentu dia senang terhadap positifnya kita. Cas-cas negatif dari masyarakat pula bukan bereti kita ujub dan sombong. Bukan kita menjauh diri dari mereka. Sebaliknya kita kenal pasti kelemahan mereka supaya mudah kita kendalikan keadaan sekiranya muncul situasi di mana kita perlu melawan arus. Itu sebenarnya.

Seterusnya, tetapkan siapa manusia paling berjaya yang mahu dijadikan contoh, dan apa punca kejayaannya. Kemudian, tiru taktik dan caranya. Bagi manusia yang hebat, tentu saja mereka memilih Rasulullah. Kerana baginda saja yang selayaknya dijadikan contoh. Jika pelajar, maka baginda sebenarnya turut pelajar. Belajar dari Jibril. Jika peniaga, maka baginda juga peniaga. Sebut saja, apa jenis perkara. Insya-ALLAH, pasti beliau contoh terbaik sebagai ikutan.

Guru, pengatur strategi, ahli psikologi, kaunselor, imam, ustaz, sahabat, suami, pemimpin, ahli politik, pakar kesihatan, malah jurutera sekalipun. Jelas terbukti sewaktu pembinaan masjid pertama dalam Islam. Baginda bersama-sama umat Islam lainnya menyiapkan binaan.
Untuk jangka masa sederhana pula. Kategori ini merupakan ruang di mana penyelesaian terhadap setiap konflik sepanjang perjalanan nanti. Jika gagal, maka akan kecewa. Semangat luntur. Lantas bagaimana mengatasinya. Muhasabah diri, di mana silapnya. Tentukan strategi seterusnya dan bangkit semula sebelum matlamat hilang dari kotak akal. Segera dan lebih mantap.

Kemudian, sekiranya usaha telah menunjukkan hasil. Maka apa cara mengatasi konflik ini? Kita perlu ingat, sebenarnya kejayaan awal juga merupakan konflik, malah inilah konflik yang amat diberi perhatian oleh orang-orang yang hebat. Semuanya kerana kejayaan awal bukanlah penentu di penghujungnya. Bila-bila masa saja akan merudum tersungkur.

Jangan pernah berpuas hati dengan apa yang ada. Tetapi bersyukur itu wajib. Jadi apa bezanya berpuas hati dan bersyukur?

Berpuas hati, adalah istilah di mana kita guna untuk menunjukkan bahawa ini adalah yang terbaik dan tidak akan mampu lakukan atau terima yang lebih baik dari ini. Bersyukur pula, menghargai dan berbahagia dengan kebaikan yang diterima. Ini adalah yang terbaik untuk waktu ini. Namun hati meyakini bahawa selepas ini akan ada yang jauh lebih baik yang mampu kita lakukan. Amat jauh beza berpuas hati dan bersyukur. Lantas itu, usah takut untuk bersyukur. Takutlah untuk berpuas hati.

Untuk jangka masa panjang, kita seharusnya memikirkan bagaimana kesudahan perancangan ini. Setelah berjaya nanti, ke mana mahu kita teruskan langkah. Adakah terhenti setakat di situ cuma. Apa kesudahan kejayaan. Di dunia ini pasti banyak perkara perlu ditempuhi, dan semestinya amat banyak kejayaan yang kita terima. Insya-ALLAH. Lantas apa kesimpulan terhadap seluruh kejayaan itu? Secara mudahnya, mudah kita katakan di mana mahu kita dapatkan purata kejayaan?

Kejayaan memberi impak besar terhadap kehidupan. Hati akan bahagia, jiwa tenang. Wajah berseri, tubuh cergas. Namun jika difikirkan semula, masakan itu saja ganjaran terhadap segala kepayahan selama ini? Kebahagiaan akan lenyap sekelip mata, bila-bila masa saja. Lantas di mana sebenarnya mahu kita rehatkan dan sematkan kejayaan itu?

Sudah tentu pada ALLAH. Bayangkan, kejayaan membuatkan kita berada di puncak tertinggi. Semakin tinggi kejayaan, semakin tinggi puncaknya. Namun kejayaan sebenarnya bukanlah suatau perkara yang stabil. Kita perlu berusaha lebih untuk mengekalkannya. Bererti, sewaktu berada di puncak, kita tidak akan stabil untuk menjaga sendiri kejayaan. Tika itu hati sedang bergembira. Besar potensinya untuk tercuai. Sayangnya jika terlepas kejayaan itu dari genggaman. Perlu mendaki semula untuk kembali memperolehinya.

Lantas seperlunya, di awal-awal inilah kita perlu merancang ke mana harus kita serahkan kejayaan jika bukan pada ALLAH. Sewaktu kita sedang tinggi, maka ALLAH Maha Tinggi. Jika kita sedang hebat, maka ALLAH Maha Hebat. Serah pada Dia, insya-ALLAH kejayaan itu stabil dalam jagaan-Nya.

Di awal-awal inilah perlu kita jelas tentang apa yang mencetuskan niat, seterusnya menetapkan visi. Bagi mereka yang memilih kejayaan dunia akhirat, pencetus niat dan matlamat mereka hanyalah janji ALLAH dan semangat rasulullah. Visi pula tentu-tentu saja untuk meraih keredhaan ALLAH.

Dunia saham akhirat. Orang-orang yang berjaya menyedari, hidup ini diamanahkan padanya untuk dikendalikan dengan jayanya. Masa adalah amanah, saudara-saudara seagama adalah amanah, malah apa juga yang dikurniakan dalam hidup ini adalah amanah. Amanah yang menyebabkan kita terbayangkan satu beban besar menghempap diri. Lebih-lebih lagi dengan situasi dunia hari ini.

Namun, optimislah!

Usah gentar tidak mampu memikul amanah, kerana ALLAH kenal kita lebih dari kita kenal diri kita sendiri. Usah juga resah mengenang keadaan dunia hari ini. Yakinlah pada pertolongan ALLAH.

Lebih besar amanah, bererti lebih berat. Lebih berat, bererti perlu lebih bersemangat dan strategi. Setelah terbiasa dengan gaya hidup positif ini, bererti akan mantaplah peribadi, akan gempaklah hasilnya. Insya-ALLAH.

Amanah yang lebih besar juga membawa erti, lebih banyak peluang meraih keredhaan ALLAH. Masakan mahu kita bazirkan peluang ini. Maka, kejayaan demi kejayaan di dunialah yang akan mengisi ruang-ruang peluang ke arah keredhaan-Nya.
Subhanallah.

Inilah yang telah dijanjikan awal-awal tadi. Dan kini telah terjawab, insya-ALLAH. Umat Islam tiada pilihan melainkan berjaya dunia akhirat. Untuk berjaya di akhirat, maka kejayaan di dunia perlu dicapai dahulu. Itulah yang dimaksudkan ALLAH, memilih akhirat. Kerana penghujung yang sebenar-benarnya hujung adalah akhirat, bukan setakat di dunia. Disebabkan itulah, sekiranya umat Islam memilih untuk gagal di dunia dan berhajat untuk berjaya di akhirat saja, maka besar potensi untuk gagal kedua-duanya. Bererti, umat Islam tidak diberi pilihan supaya gagal, kerana muslimin dan muslimat itu, tempat paling layak buatnya adalah semata-mata dalam cinta ALLAH.

Lantas, ayuh kita berkempen kejayaan!

Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan