Sabtu, 31 Disember 2011

Merajuk...

Siapa yang tak pernah gagal?

Tidak pernah gagal bermakna tidak normal.  Tidak pernah susah bermakna tidak sempurna.  Yang membezakan orang yang gagal dengan orang yang berjaya ialah bagaimana mereka bangkit dari kegagalan dan kesusahan hidup.

Orang yang ‘cukup makan’ terus hidup dalam kegagalan kerana mereka hanya meratapi nasib malang yang dikatakan ‘diberi’ oleh Tuhan.  Mereka terus menerus memberikan pelbagai alasan untuk menghalalkan rasa malas mereka.  Kesudahannya, mereka akan terus kekal menjadi golongan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Manakala orang yang berjaya terus cuba bangkit dengan melupakan segala kisah silam yang melemahkan semangatnya, dan mengerah segala usaha semampu mungkin tanpa mengalah kepada nasib kerana mereka percaya, bukan nasib yang menentukan kejayaan mereka.
Jangan merajuk dengan usaha anda yang mungkin kelihatan sia-sia hari ini. 

 Jangan berhenti berusaha.  Anda mungkin perlu berehat, atau menukar arah, tetapi jangan sesekali berhenti bergerak ke hadapan.  Jangan pandang belakang lagi!  Seperti memandu, anda tidak perlu menoleh ke belakang, cukup dengan menggunakan ‘side mirror’.  Kisah silam anda boleh dianggap sebagai ‘side mirror’ untuk membantu anda terus maju.  Kalau asyik tengok ‘side mirror’ saja, accident pula nanti!  Tengok depan ya!  
Kisah Nabi Yunus ini mungkin boleh kita jadikan iktibar.

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia
Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina
Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati

Ke tepi pantai seorang diri
Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam di tengah lautan
Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora

Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira
Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya

Rugi jadi orang mudah merajuk.  Anda boleh kekal dengan rajuk anda, dan anda mungkin tidak akan mendapat apa-apa darinya.  Sebaliknya jika anda enggan mengalah dengan melupakan terus kegagalan tersebut, anda berpeluang menikmati kejayaan yang jauh lebih baik.

Jangan mudah merajuk ya!  Kuatkan semangat dan bangkit cepat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan