Melaka, 31 Dis : Isu tuntutan mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) nampaknya terus menemui jalan buntu dan tidak nampak jalan penyelesaiannya.
14 Oktober lalu, Majlis Perwakilan Pelajar UTeM berjaya menyerahkan satumemorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggesa kerajaan prihatian dalam menjaga kebajikan penuntut universiti berkenaan.
Mahasiswa universiti berkenaan sebelum ini menuntut pihak kerajaan agar segera memberi peruntukkan untuk membina asrama atau kolej kediaman di UTeM berikutan jarak pengajian yang jauh dari rumah sewa para pelajarnya.
UTeM sehingga kini masih tidak mempunyai asrama untuk memudahkan pergerakan pelajarnya ke kuliah dan situasi itu sedikit sebanyak mengganggu fokus pembelajaran dan aktiviti pelajar.
Nak tunggu ada kematian baru nak bina?
Setelah dua bulan berlalu, tanda-tanda penuntut UTeM mendengar sebarang berita gembira mengenai asrama yang dituntut mereka jelas hanya indah khabar dari rupa.
Namun, kejadian terbaru yang menimpa seorang penuntut siswi universiti berkenaan diharap dapat membuka mata hati pihak kerajaan negeri dan pusat untuk merealisasikan apa yang diimpikan pelajar selama ini.
Menurut satu sumber, semalam, satu kemalangan telah berlaku di simpang empat berhampiran lampu isyarat UTeM, mengakibatkan mangsa mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala dan otak serta luka-luka di beberapa bahagian badan lain.
Mangsa ketika itu diberitakan sedang dalam perjalanan ke kuliah namun ditimpa kecelakaan ketika berada di persimpangan terbabit.
Kemalangan yang hampir meragut nyawa siswi itu bagaimanapun mendapat simpati pentadbiran UTeM yang turut berkesempatan melawat mangsa bersama-sama wakil MPP serta rakan-rakan mangsa.
Namun, menurut sumber itu lagi yang tidak mahu identitinya disiarkan, kemalangan membabitkan penuntut universiti berkenaan itu bukanlah kali pertama berlaku, malah sudah banyak kali dibuat aduan berhubung keselamatan pelajar yang berulang-alik ke tempat kuliah.
Mangsa kini diberitakan ditempatkan di Hospital Besar Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.
MPP tuntut kebajikan pula digantung
Situasi di UTeM jelas menimbulkan seribu satu persoalan kepada ramai pihak terutama penuntut universiti berkenaan.
Setelah kerajaan bermain sikap acuh tak acuh dan bersifat talam dua muka, pentadbiran universiti pula mengambil sikap ‘pelik’ apabila tuntutan kebajikan mahasiswa disuarakan.
Setelah memorandum diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, sebulan kemudian, tiga mahasiswa yang terlibat dalam penyerahan memorandum berkenaan dipanggil pihak universiti dan diberi amaran digantung tugas kerana melanggar etika disiplin universiti.
“Saya hairan, mengapa isu kebajikan pun hendak diambil tindakan?
“Nak tunggu prosedur rasmi, memang sampai tua la tak akan dapat asrama tu.”
“Saya sangat kecewa dengan karenah birokrasi pihak universiti dan kerajaan yang jelas tidak mahu bersikap serius dalam hal ini.”, jelas satu kenyataan yang dikeluarkan wakil MPP UTeM melalui kiriman e-mail. – GZDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan