Sabtu, 10 Disember 2011

Wahai bakal guru

Rasa simpati yang amat mendalam terhadap situasi terkini yang dihadapi oleh para guru dan bakal guru di negara ini. Pelbagai masalah dan kerenah melanda Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menular menjangkiti sektor pendidikan negara kita. Harapan agar Kerajaan menyelesaikan dengan segera beberapa kemelut yang berlaku.


Pertama 
Isu penghinaan kepada mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan dan di fakulti-fakulti pendidikan. Menteri Pelajaran dilaporkan telah membuat kenyataan yang menghiris hati mahasiswa dengan mengatakan mahasiswa perlu mencari kerja lain berikutan tiada kekosongan jawatan. Ia telah membawa kepada perhimpunan aman yang telah dianjurkan di Universiti Perguruan Sultan Idris yang dihadiri oleh ribuan mahasiswa.

Kedua 
Kementerian perlu menyatakan kesahihan dakwaan yang mengatakan berlaku kelewatan penempatan sehingga 7 bulan. Graduan ISMP seolah-olah dipermainkan dan diperbodohkan oleh KPM. Persoalan yang timbul ialah apakah ia berpunca daripada tiada perjawatan ataupun kerajaan tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pegawai pendidikan.Apa tidaknya, dari bulan ke bulan menanti hingga sekarang borang online masih belum ada bayangnya. KPM hanya menjawab sila semak laman web KPM dari semasa ke semasa.

Ketiga
Menteri Kewangan membuat pengumuman umur persaraan dinaikkan daripada 58 ke 60 tahun lewat bajet 2011. Apakah kesan pertama dirasai oleh sektor pendidikan? Berlakunya pembekuan kenaikan pangkat dan pengambilan kakitangan baru seperti yang dibahaskan di parlimen yang dinafikan oleh menteri rupanya terjawab. Ia tetap melibatkan guru.

Keempat
Pengumuman dan kenyataan bersimpang siur KPM juga mengecewakan graduan. Termasuklah maklumat yang mengatakan graduan tidak perlu lagi mengisi borang. Tunggu sahaja dan mereka akan terus dipanggil temuduga. Termasuk juga persoalan pihak manakah yang sebenarnya menguruskan penempatan guru. KPM atau Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang menguruskan penempatan guru.

Kelima
Polisi KPM membingungkan. Bagi pengambilan 2007, berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia pengambilan dua kali mahasiswa untuk Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Tanpa perlu mengikut proses biasa; tidak perlu mengisi borang UPU, tanpa ujian kelayakan guru dan ujian sakhsiah. Hanya dengan borang yang disediakan KPM mereka terus bergelar mahasiswa dengan alasan unjuran KPM kekurangan guru untuk 2011. 80 000 dilaporkan memohon, 5000 dipilih. Akhirnya mereka diminta mencari kerja lain!

Keenam
Kenyataan terbaru berkenaan 5000 graduan sudah ditemuduga juga dilihat amat mengelirukan. Bangunnya ramai graduan ISMP yang mempertikaikan kenyataan beliau. Apa sudah jadi wahai KPM dan Timbalan Menteri. Janganlah buat kenyataan yang bertentangan dengan realiti.

Ketujuh
Kenyataan kerajaan yang ingin membawa 13 000 guru asing juga menambahserabutkan lagi polisi KPM. Kera di hutan disusukan, anak bini di rumah kelaparan dan dihina.

Kelapan
KPM wajar menstrukturkan semula kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan atau tutup sahaja fakulti dan Universiti Pendidikan sekirannya ia tidak perlu. Janganlah struktur itu akan menambahkan lagi kadar pengangguran warga Malaysia yang sudah dianggarkan 400 000. Pemegang ISMP adalah amat sukar diterima oleh mana-mana majikan apabila tertera pendidikan. Majikan menolak kerana biasanya pemegang ijazah ini biasanya akan berhenti apabila dipanggil untuk bertugas di sekolah.

Cukuplah dengan pelbagai isu yang boleh menimbulkan kegelisahan warga pendidik yang menjadi tonggak pembangunan ilmu warga Malaysia. Isu kuarters guru, isu 9 jam bekerja dan isu elaun pengangkutan dan perpindahan yang belum kesudahan.

Justeru, Kementerian wajib menyelesaikan segera isu ini. Kepada warga guru yang menghabiskan empat tahun di universiti mempelajari ilmu pedagogi, falsafah, sosiologi, psikologi pendidikan. Seterusnya dua minggu menjalani Rancangan Orientasi Sekolah dan 14 minggu menjalani praktikum di sekolah. Fikir-fikirkan dan buat pilihan tepat demi masa depan anda..!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan