Selasa, 8 Mei 2012

Dunia hanya sementara


MOHD AFIQ MOHD SALEH

Jika Pengerusi Fatwa Kebangsaan tidak mengeluarkan fatwa seperti inipun saya pasti semua yang bergelar "allazina aamanu" sudah arif lagi mengetahui akan pengharaman jika membuat kerosakan. Tetapi nyatanya, fatwa sebegini telah menyerlahkan lagi siapa di sebalik topeng Majlis Fatwa. Jika mereka makan gaji dengan kerajaan sekalipun, namun mesti beringat-ingat, ketua terbesar bukanlah kerajaan tetapi Allah Azzawajalla. Menutup pekung kerajaan dengan menyalahkan rakyat melalui jalan fatwa adalah suatu pengkhianatan terhadap agama!

Saya melihat, fatwa sebegini menjadi nyawa terakhir kepada kerajaan apabila isu demi isu yang mereka mainkan tidak mendapat perhatian rakyat jelata. Bermula isu syurga neraka sampailah kepada isu seks, semuanya tidak berpihak kepada mereka, bahkan ludah yang dihampurkan terpalit ke wajah sendiri. Akhirnya, mereka mengambil kesempatan ini untuk menimbulkan isu lain, mufti dijadikan boneka, agama pula dijual atas nama politik demi meraih sokongan. Sungguh jijik sekali feel seperti ini.

Mengistinbatkan sesebuah fatwa bukan seperti menulis rencana, baik buruknya harus diteliti dari segenap sudut. Kondisi dan situasinya harus disesuaikan dengan masyarakat, dan perbahasannya bukan seperti perbahasan di dalam dewan parlimen! Fatwa dosa dan pahala, haram atau halal tidak sama dengan peraturan sekolah.

Saya percaya, pertikaian terhadap majlis fatwa rentetan fatwa yg dikeluarkan bukan sahaja pada badan pengeluar bahkan pertikaian juga terhadap fatwa yang dikeluarkan. Seolah-olah berat sebelah dan kelihatan seperti menyebelahi pihak kerajaan, dan yang lebih ditakuti jika ia berpihak kepada kemungkaran. Yang sewajarnya diharamkan tidak pula diharamkan atas kepentingan pihak tertentu.

Saya amat menghormati majlis fatwa kebangsaan atas nama autoriti mereka memegang tanggungjawab agama di dalam negara Malaysia, tetapi mereka tidak wajar menggunakan kuasa ini untuk mengambil kesempatan. Setidak-tidaknya, mereka mengambil langkah diam jika ditakuti fatwa yang dikeluarkan bersalahan dengan kehendak agama.

Saya pasti, jika fatwa yang dikeluarkan ini menepati ciri-ciri sebuah fatwa dan digazetkan secara saksama serta adil, rakyat tidak akan melenting. Rakyat hari ini semakin dekat dengan ugama dan telah tahu apa perkara yang haram dan yang halal. Pertimbangan majlis fatwa yang berat sebelah inilah yg mugkin menjadi pertikaian oleh rakyat terutamanya golongan agamawan.

Menyifatkan BERSIH 3.0 secara khusus sebagai hukum haram atas illah mencetuskan keadaan huru-hara adalah kesilapan yang sengaja mengundang padah. Pertamanya kerana matlamat dan tujuan perhimpunan itu diadakan bukan untuk menghuru-harakan keadaan jauh sekali mahu menumbangkan kerajaan. Keduanya, dalam pada mereka mengharamkan BERSIH, masih banyak maksiat yang sepatutnya terlebih dahulu diharamkan tidak pula difatwakan sebagai haram. Inilah antara penyebab timbulnya kemarahan pelbagai pihak.

Sewajarnya, dalam mengeluarkan fatwa biarlah bersifat menyeluruh dan adil. Jika satu maksiat HARAM, maka seluruh perkara yang mempunyai ciri-ciri maksiat mesti di-HARAM kan. Kondisi di Malaysia sudah terbalik, seolahnya, yang meminum arak itu haram, sebaliknya yang membuat arak tidak pula haram. Merokok diharamkan, tetapi penjualan rokok masih lagi berluasa. Begitu juga halnya perjudian, walaupun perbuatan judi telah lama difatwakan haram, namun tempat perjudian terbesar masih wujud di Malaysia.

Jika mahu berfatwa, lakukanlah ia secara adil dan saksama dalam semua hukum.


Jika tidak, apa yang akan berlaku, Itulah yang ALLAH sebutkan dalam surah Al-Baqarah, "beriman dengan sebahagian dan kufur dengan sebahagian" Apa yang mempunyai kepentingan oleh pihak tertentu dihalalkan, sebaliknya yg tidak berkepentingan pula diharamkan secara semberono.

Akhirnya, saya menyeru kepada majlis fatwa kebangsaan agar kembali kepada tugas asal mereka tanpa mengira latar politik. Walaupun terpaksa menempelak & menegur kerajaan, maka itu yang harus mereka lakukan demi melihat institusi agama terus mendapat penghormatan dan kepercayaan. Setidak-tidaknya mereka akan dihormati kerana kewibawaannya menjaga kredibiliti hukum dan agama.

AL al-Bayt University, Kingdom of Jordan.
Syariah, Fiqh wa usuluh.

Allah bersamamu..>! TAKBIR!


Izwan Abdul Halim,08 Mei 2012

Menghayati wajah-wajah dan perilaku para demonstran Bersih 3.0, saya dapat melihat bahawa mereka serius untuk menuntut perubahan. Pun begitu, suasana tetap harmoni dan muhibah walaupun kebanyakannya kali pertama bersua muka. Ia berbeza dengan Bersih 1.0 dan 2.0 di mana kelihatan mereka-mereka yang hadir hanya untuk suka-suka atau tanpa mesej jelas. Tetapi penyaksian terpenting saya pada Bersih 3.0 adalah soal sifat diri manusia yakni antara ketamadunan dan kebinatangan.

Saya memulakan perhimpunan dengan menyertai peserta di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR). Selepas mengambil gambar suasana himpunan dan agak lama di situ, saya beralih pula ke Jalan Raja Laut. Sehinggalah pihak polis melepaskan gas pemedih mata dan semburan air asid, saya turut berundur bersama peserta lain. Saya melihat semangat tolong-menolong yang tinggi di kalangan peserta pelbagai kaum menghadapi kesan gas dan air tersebut.

Provokasi 

Ketika berada hampir Stesen LRT Bandaraya, sebuah kereta polis bergerak dengan membunyikan siren dalam arus pergerakan peserta yang sedang berundur itu. Kelihatan peserta-peserta membaling botol minuman. Seterusnya diikuti sebuah lagi kereta polis dengan aksi sama dan mengalami tindakan serupa dari peserta. Namun anggota polis di dalam kedua-dua kereta itu kelihatan tidak bimbang pun, malah tingkap kereta juga ada yang dibuka.

Selepas beberapa ketika, saya kembali ke Jalan TAR dan berbual-bual dengan peserta di Bangunan Mara bertanyakan pengalaman mereka. Ketika berada di situ, secara tiba-tiba kenderaan awam masuk dengan banyaknya dan mereka terperangkap kerana keadaan peserta yang padat. Pun begitu, peserta bertindak hemah hingga akhirnya kenderaan-kenderaan tersebut dapat keluar dari keadaan itu.

Namun saya dilanda rasa curiga, bagaimana kenderaan-kenderaan ini dapat masuk dalam jumlah yang banyak? Tentu sekali sekatan di hujung jalan telah dibuka. Termasuk yang lalu di jalan itu juga adalah dua ambulan. Seketika kemudian datang pula berderetan kenderaan Pasukan Perubatan dan berhenti dihadapan Kompleks Pertama. Rupanya mereka datang membawa minuman botol dalam jumlah yang banyak. Pergerakan mereka kemas ala-ala gaya CSI. Perkara menarik perhatian saya ialah wajah mereka tidak seperti orang yang ingin menyantuni orang, menimbulkan seribu tanda tanya.

Setelah itu, lalunya sebuah kenderaan SUV polis dengan membunyikan siren dalam lagak memprovokasi peserta. Akibatnya mereka dibaling botol minuman yang berisi air. Diikuti kereta waja polis (dengan tingkapnya terbuka) turut menyaksikan aksi sama. Tetapi dari Kompleks Pertama saya dapat melihat dengan jelas kereta waja itu meningkatkan kelajuan sebagaimana insiden yang telah ramai tonton di internet.

Kemudian sekumpulan polis trafik bermotosikal melalui jalan itu dan mereka mengalami tindakan dari peserta. Namun anggota-anggota beruniform Unit Amal segera meluru kepada kumpulan polis trafik bagi mengawal keadaan dan saya turut serta. Empat anggota polis trafik memberhentikan motosikal mereka disebabkan kejadian itu dan dua dari mereka mengacukan pistol kepada orang awam. Saya sempat merakamkan aksi tersebut dan turut perasan terdapat berkotak-kotak lagi air yang tidak teredar kepada peserta. Kenderaan polis tadi juga diserang dengan botol yang masih belum dibuka. Kenapa mereka tidak minum? Apakah ia sengaja dijadikan senjata oleh orang-orang tertentu yang menyerang polis?

Selepas itu polis trafik tersebut diiring anggota Unit Amal dan mereka diberikan kawalan keselamatan di Bangunan Sogo dari dikasari peserta. Malah, motosikal mereka juga dijaga dengan baik walaupun terdapat cubaan peserta yang emosi. Di sinilah saya melihat betapa tingginya tamadun ditunjukkan peserta himpunan, mereka menjadi penyelamat kepada anggota pasukan keselamatan.

Keganasan

Beberapa ketika kemudian, kumpulan besar polis beruniform biru tiba dan menyuraikan peserta dengan cara yang kasar. Malah, kumpulan peserta yang mengawal keselamatan anggota polis trafik tadi juga dihalau tanpa ucapan terima kasih pun kecuali oleh beberapa Pegawai Polis. Ketika sama juga saya melihat polis sudah bertindak mengasari peserta.

Anggota trafik bermotosikal yang datang dalam kumpulan besar juga ‘mengambil bahagian’ membelasah peserta. Dahsyatnya ialah seorang peserta dibelasah tidak kurang 10 anggota beruniform. Saya mengambil gambar semua kejadian tersebut sehinggalah saya diherdik seorang anggota dan tidak lagi mengambil gambar. Tiba-tiba anggota yang sama bertindak menangkap saya di Bangunan Mara itu, kamera diambil dan diserahkan kepada anggota seorang lagi.

Anggota itu terus memaksa saya berjalan sambil berleter panjang mendakwa saya mengambil gambar untuk memburukkan polis. Disebabkan beliau enggan mendengar penjelasan saya, maka saya memberitahu anggota seorang lagi bahawa saya wartawan dan memintanya tidak melakukan sesuatu kepada kamera saya. Kejadian itu sekitar jam 4 petang.

Saya dibawa melalui Jalan Raja Laut, ketika dipersimpangan trafik itu, anggota yang menangkap saya telah melaungkan pada sekumpulan kira-kira 50 anggota beruniform mengenai tindakan saya. Ada mereka yang ‘nakal’ menyepak kaki saya dan memaki hamun. Ketika melalui pasukan FRU di situ, dua anggota mengambil kesempatan memukul kaki saya dengan cota, saya hanya beristighfar. Anggota yang menangkap saya terus memprovokasi polis lain dengan ungkapan serupa. Saya dimaki hamun dengan pelbagai kata termasuk digelar “Yahudi”. Malah, anggota beruniform Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut mengambil kesempatan sama.

Saya dikumpulkan bersama Orang Kena Tahan (OKT) lain berhampiran Bangunan Sultan Abdul Samad. Anggota tadi membawa saya kepada Pegawai Tinggi Polis tetapi tindakannya itu ditegur. Saya berterusan memerhatikan kamera saya, ketika itu OKT lain diminta menyerahkan kad pengenalan mereka. Saya tertinggal semua dokumen, hanya sepucuk surat di dalam beg kamera dijadikan dokumen pengenalan.

Gaya Samseng

Kami semua dibawa untuk dikumpulkan di belakang Bangunan Kelab DiRaja Selangor. Ketika itu polis yang menahan saya datang mengembalikan kamera saya dan mendakwa beliau tidak mengusik sebarangan serta meminta saya tidak melakukan lagi di masa akan datang. Saya menegaskan padanya bahawa saya Wartawan Harakah dan bersalam dengannya. Anggota di situ hanya terkelu bila saya memperkenalkan diri.

Di belakang Bangunan Kelab DiRaja Selangor, saya dapati Profesor Dr Aziz Bari juga ditahan di situ. Beberapa pertengkaran kecil berlaku antara OKT dengan polis yang bertindak macam samseng. Mata saya tertumpu kepada beberapa OKT yang cedera di bahagian kepala dan dibiarkan polis dari sebarang rawatan. Ketika sama orang awam yang mengambil gambar kami diberi kata amaran anggota polis.

Dalam kawalan polis, kami bersolat berjamaah diimamkan saya. Kebanyakan mereka diminta bertayamum kerana tiada air. Selesai solat jamak asar zohor, peserta meminta saya teruskan dengan solat hajat. Ketika berdoa, saya membacakan lafaz doa qunut nazilah sekuat-kuatnya.

Ada mereka yang bersimpati datang memberikan minuman kepada kami. Ketika itu juga didatangkan lebih ramai OKT, tetapi keadaan kecederaan mereka sangat teruk dan terus dibelasah polis. Tindakan keterlaluan itu menyebabkan kami bangun memprotes tindakan polis. Keadaan sedikit tegang antara kumpulan OKT dengan kumpulan polis hingga terpaksa ditenangkan Pegawai Polis. Saya melihat kamera, barulah disedari kad memorinya telah diambil.

Semangat OKT kian membara apabila Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dibawa kepada kami. Aksi-aksi kasar polis ke atas OKT yang dihadirkan berikutnya menyebabkan kami memprotes. Apatah lagi Tian Chua juga mempersoalkan tindakan anggota bawahan tersebut. Pegawai Tinggi Polis yang berada di situ juga tidak mampu menangani keadaan, beliau hanya meminta OKT bertenang.

Semua OKT dibawa dengan trak dan bas polis ke Pulapol. Saya kelompok terakhir yang menaiki bas. Ketika menunggu itu saya dapat menyaksikan anggota-anggota trafik juga seperti samseng apabila bertindak mengejar orang awam yang berhenti mengambil gambar kami. Ketika menaiki bas, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin @ Chegubard baru dibawa ke situ. Beliau dibelasah semahu-mahunya oleh lebih 10 anggota beruniform walaupun beliau tidak melawan dan telah mengalami pendarahan.

Kami semua menyaksikan, mereka yang baru ditangkap ketika itu semuanya dalam pendarahan atau dibelasah seperti haiwan. Sepak, terajang bahkan tandukan kepala dilakukan kepada OKT. Lebih memeranjatkan saya, OKT yang berada ditangan Pegawai Tinggi Polis juga turut diterkam anggota tanpa pangkat. Rasa marah kian membengkak dalam hati saya, namun kejadian itu sudah tidak dapat dirakam kamera.

Polis Tangkap Polis?

Tiba di Pulapol sudah maghrib, saya mahu duduk kerana kesakitan di kaki baru terasa menjalar. Lepas solat jamak maghrib isyak, barulah saya mencari-cari kenalan dari Kedah untuk dilaporkan kepada pimpinan PAS Kedah yang menunggu di luar Pulapol. Jumlah OKT ada sekitar 500 orang. Sambil-sambil berbual dengan OKT lain yang sedang berehat dan menikmati makan malam, saya juga membuat beberapa panggilan. Saya tidak mahu menjamah makan, sekadar minum sahaja.

Kesakitan di kaki menyebabkan saya lebih banyak duduk sambil melayani panggilan. Semua OKT juga kelihatan berehat dan berbual sesama berdekatan. Namun sekali sekala kami tetap ceria. Selepas tengah malam barulah saya dipanggil untuk diambil butiran peribadi diikuti sesi gambar. Walaupun dilihat banyak kaunter dan anggota bertugas, tetapi proses tersebut lambat sekali. Tepat jam 1:55 pagi barulah saya dibebaskan dan turun di pagar belakang Pulapol sebelum berehat di kediaman berhampiran bersama sahabat-sahabat yang menunggu.

Keesoknya, bila membaca di akhbar bahawa jumlah 388 OKT Bersih 3.0, saya musykil. Ini kerana nombor tahanan saya adalah 381, sedangkan yang beratur selepas itu masih ramai. Mungkinkah polis (special branch) turut ditangkap?

Namun penglibatan aktif anggota polis sebagai agen provokator bukanlah mustahil. Hasil penelitian ke atas hampir 1,000 keping gambar dari pelbagai sumber bersama sahabat dan ingatan saya ketika detik-detik keganasan kepada peserta, terdapat empat kelompok polis yang disimpulkan.

Pertama memakai baju berbelang melintang atau membawanya. Kedua, memakai baju warna merah dengan vest. Ketiga memakai baju Bersih atau baju kuning dengan vest. Keempat menutup mulut dengan bandana atau tuala kecil atau menyangkut tuala kecil di leher.

Saya juga jelek membaca pujian Ketua Polis Negara bahawa anggotanya berani. Bagaimana pula dengan anggota kamu yang seperti samseng itu? Apapun, terlalu banyak persoalan yang saya pasti sukar dijawab KPN secara telus kepada masyarakat awam.
*Penulis adalah wartawan Harakah negeri Kedah

feldaku terchenta


Mazlan Aliman,08 Mei 2012


'Durian runtuh' yang diumumkan YAB Perdana Menteri di Felda Jengka 8 hari ini sangat di alu-alukan. Namun tidak memeranjatkan saya. Ia telah dimaklumkan 4 hari yang lalu kepada saya dan telah pun saya sebut dengan tepat dalam kenyataan media saya dan di ulang dalam ceramah-ceramah saya.

Meskipun jumlah 1.689 bilion yang diagihkan kepada 112,635 orang peneroka Felda adalah agak besar, tetapi tidaklah sampai 'peneroka tersandar dalam kejutan' seperti PM katakan sebelum ini di Felda Triang 3, Bera. Ia diberi dalam tiga fasa untuk Peneroka, Penerokawati dan Generasi Kedua. Bonus Khas dua bulan setengah gaji untuk 23 ribu kakitangan Felda sesuatu yang tidak berbaloi dengan pengorbanan mereka lebih 25 tahun berkhidmat dengan Felda.

ANAK tidak pernah menolak sebarang pemberian atau insentif yang mahu diberikan kepada para peneroka. Tetapi biarlah kita berhujah secara matang. Kenapa baru sekarang setelah lebih 55 tahun Felda ditubuhkan?

Adakah ini sandiwara politik kerana bimbang akan senario perubahan sikap warga Felda kepada Barisan Nasional?

Siri-siri saman di Kemahang 3, Gugusan Serting, Bera, Jengka, Maokil dan yang terkini di Gugusan Chini, kawasan Parlimen Pekan; tempat PM sendiri?

Gelombang kebangkitan anak-anak muda Felda dapat disaksikan melalui sokongan mereka bersama program-program ANAK dan ceramah Pakatan Rakyat. Saya yakin ini dalam makluman PM dan membimbangkan beliau. 54 Parlimen yang ada Felda adalah kubu terakhir BN.

Walau bagaimanapun, memandang kehadapan; adakah berbaloi gula-gula one off seperti ini?
Berapa lama lagi BN nak bermain politik dengan taktik lama untuk mendodoikan rakyat agar terus menyokong mereka?

Atau; ini dilakukan untuk 'menutup mulut' peneroka agar jangan mempersoalkan keghairahan Kerajaan menyenaraikan Felda Global Venture di Bursa Malaysia?

Penipuan mereka melalui 7 buah Bank iaitu CIMB,BIMB,Maybank, OCBC, Am Islamic Bank, Muamalat dan Affin Bank yang diperalat membiayai pinjaman tawaran saham FGVH sangat ketara. Borang pinjaman yang dikosongkan jumlah pinjaman, interest 5 peratus, borang dalam bahasa Inggeris, tidak ditaklimatkan isi kandungannya dan tidak dinyatakan risiko kerugian seperti 'Surat Tanggung Kerugian' adalah antara penipuan dan pengkhianatan kepada para peneroka!

125 peneroka Felda adalah sebahagian daripada ribuan lagi peneroka yang telah tertipu kerana menandatangani Borang Perjanjian Pinjaman yang mereka tidak tahu apa-apa. Mereka tidak dapat membezakan antara 'durian runtuh' dengan pinjaman saham FGVH. Mereka memfailkan Injunksi di Mahkamah Tinggi Seremban semalam kerana teramat bimbang daripada risiko pinjaman yang boleh sahaja TERGADAI aset mereka.

Perdana Menteri beri jaminan tanah peneroka tidak akan tergadai. Adakah PM tidak membaca hampir 70 mukasurat dalam Borang Pinjaman FGVH yang secara jelas dinyatakan dengan terperinci nasib peneroka jika harga saham merudum dan segala risiko di tanggung Peneroka?

Adakah PM tidak mengambil iktibar nasib Felda Cahaya Baru, Felda Sg Buaya, Felda Labu Johnson dan Sendayan yang hilang tanah mereka dan hidup menderita  seperti pepatah ' menang sorak kampung tergadai'?

Mana pergi pemimpin BN tatkala Amanah Saham Negeri-negeri gulung tikar hingga menyebabkan rakyat hilang harta dan diisytiharkan muflis kerana meminjam bank untuk melabur?

Amanah Saham Johor adalah bukti yang amat jelas. Adakah PM, Ahmad Maslan dan Isa Samad boleh beri jaminan bertulis yang saham FGVH tidak rugi sepertimana nasib pelabur Amanah Saham Negeri-negeri dan juga saham-saham lain seperti KUB, BERNAS dsbnya?

PM tidak perlu sebut ' haram jadah' yang di ulang dua kali dalam ucapannya tadi kalau dia rasional. Datuk Ahmad Maslan tidak perlu hentam dan cabar saya seperti diungkapkannya tadi. Kenapa terlalu marah hingga tega memaki hamun di hadapan khalayak ribuan warga Felda.

Sebagai pemimpin biarlah ada wawasan. Peneroka Felda sudah ada tanah dan rumah. Untuk survive, telah memadai. Daripada 1.6 juta warga Felda, 65 peratus adalah generasi kedua. Ini tempoh peralihan yang sangat kritikal untuk mereka.

Mana dia halatuju anak muda Felda?

Perumahan mereka, pendapatan yang lebih stabil atau mereka cuma penonton yang melihat para kroni pemimpin BN memunggah kekayaan setiap hari?

Fikir dulu mana rumah Generasi Ke 2 daripada beri peruntukan RM5 ribu untuk orang lain.
Tidakkah kewujudan Techno Plant Sdn adalah untuk tembolok pemimpin Umno?

Sama juga wujudnya Felda Global Venture bagi tujuan memindahkan harta peneroka berbilion ringgit untuk digunakan UMNO/BN bagi PRU 13?

Saya cabar PM umum peruntukan RM1,689 bilion datang dari mana?

Berapa yang kroni bayar kepada Isa Samad, Sabri Ahmad, adik PM Nazir Razak(CIMB)para penasihat umpamanya Omar Ong (Ethos) dan lain-lain?

Mereka ini ibarat Sadeq Sigara dalam Filem 3 Abdul yang membuat untung dengan menipu peneroka... akhirnya peneroka dilelong dengan harga yang murah!

ANAK konsisten dengan perjuangan bagi kehidupan Generasi Kedua Felda. Para cendekiawan, intelektual dan umumnya anak-anak peneroka bersedia untuk menerajui perubahan di Felda. Seharusnya mereka di beri peluang merencana transformsi di Felda.

Kenapa Isa Samad dilantik PM sebagai Pengerusi Felda?
Mana perginya karisma puluhan ribu cerdik pandai anak-anak peneroka?
Tidak layakkah mereka jadi Pengerusi Felda dan memegang jawatan penting dalam Anak-anak Syarikat Felda?

Kenapa semuanya dibolot Isa Samad dan kroni-kroninya?

Seharusnya halatuju Felda diterajui oleh Anak Felda. Penambahbaikan Koperasi Felda, pengendalian kebun peneroka, aktiviti tanam semula, pembangunan infrastruktur, pengembangan Anak-anak Syarikat dll berilah kepercayaan dan amanah ini kepada mereka. Bukan diterajui oleh ' para lanun' yang tidak ada seinci tanah pun di Felda!

Pengumuman PM bukan suatu Transformasi. Sebenarnya beliau dan pemimpin BN lah 'jaguh kampung' yang tidak punya kreativiti strategik. ANAK dan Pakatan Rakyat menawarkan gagasan seperti Buku Jingga yang bersifat menyeluruh untuk tempoh yang panjang.

Pengagihan Tanah Felda Plantation, penubuhan Universiti Felda, Kouta penguasaan Anak Peneroka dalam Anak-anak Syarikat Felda; hakikatnya inilah pemikiran global yang menjanjikan kehidupan lebih meyakinkan untuk Anak-anak peneroka Felda.

Bagi saya, pengumuman PM tidak lebih untuk mengekalkan kuasa politik BN di Felda semata-mata. Ia mungkin menyukakan peneroka tetapi amat mengecewakan anak muda Felda. Generasi ke 2 dan ke 3 akan terus termenung panjang memikirkan nasib mereka pada hari-hari mendatang yang kian samar.

Isnin, 7 Mei 2012

ayat sempurna

Saya rasa la, kita ini kena berhentilah sebar 'ayat-ayat serba sempurna' dalam Facebook dan apa-apa medium penyebaran yang lain. Sebab saya nampak, ianya merosakkan pemikiran masyarakat.

Contoh 1:
"Aku cintakan dikau kerana agamamu, maka jika hilang agamamu, maka hilanglah juga cintaku."

Ayat ini sempurna, sampai tak praktikal buat manusia. Iman manusia ini turun dan naik. Ada masa dia baik mengalahkan malaikat, ada masa dia khilaf dan tersilap sampai kadangkala kita nampak rendah lagi dari haiwan. Jadi apakah seseorang itu, bila dia tersilap, bila dia khilaf, bila dia tiba-tiba imannya jatuh, kita terus tinggalkan dia?

Kalau lepas kahwin jadi macam itu? Nak cerai?
Kalau bersahabat pula, kalau tiba-tiba sahabat kita 'terpesong', mahu tinggalkan terus begitu sahaja?

Ayat ini langsung tidak praktikal sebenarnya. Sebab pada saya, kalau cinta, mesti hendak ke syurga bersama-sama. Jadi bila orang yang kita cintai, baik pasangan, keluarga, sahabat dan sebagainya, bila dia jatuh kita kenalah tarik tangannya semula. Kata cinta? Pelikkan kalau kita kata cinta, tapi masa dia tengah kelemahan, kesilapan, terpesong, kita pergi tinggalkan dia? ^^

Sebab itu quote saya adalah sentiasa:
"Kalau benar cinta, mesti hendak bersama ke syurga. Apa-apa yang melempar ke neraka, itu bukan cinta namanya."

So, kita tak nak lempar dia ke neraka kan?
Kita nak sama-sama dengan dia ke syurga kan?
Jadi takkan kita tinggalkan dia semata-mata dia ada kekurangan, kesilapan dan kekhilafan? Kata cinta?
^^

Contoh 2:
"Perempuan yang solehah itu tidak memandang, dan tidak juga dipandang."

Ayat ini juga terlalu sempurna. Sampai langsung tidak praktikal buat kehidupan. Siti Khadijah memandang Rasulullah SAW sebelum mereka bernikah, maka apakah Ummi kita Khadijah RH itu seorang yang tidak solehah? ^^

Pernah ada sahabat Rasulullah SAW memandang seorang wanita(yang semestinya bertaraf sohabiah Rasulullah SAW juga) hingga dua kali, kemudian Rasulullah SAW mengalihkan pandangan wajah sahabatnya kali kedua.

Apakah wanita itu tidak solehah? Haa...

Jadi, mustahil begitu ukuran ke'solehah'an seseorang.

Kalau perempuan solehah itu tidak memandang, maka dia sendiri tidak akan dapat mencari pasangan yang baik buatnya. Kalau perempuan solehah itu tidak dipandang, maka bagaimana manusia hendak memperisterikan seorang wanita yang solehah?

Salah ke kalau kita sekadar cakap:
"Perempuan solehah itu adalah perempuan yang tidak liar pandangan dan akhlaknya." Hah, setel. Dia boleh memandang, tetapi tidak liar. Dia boleh dipandang, tetapi bukan sebab dia gedik, namun sebab dia solehah. ^^

---------------------------------------------------------
Henti-hentikanlah ya quote-quote sempurna sampai tahap tak praktikal ini.

Islam itu, sempurna, tetapi praktikal. Kena dengan fitrah manusia.
Sebab itu Rasulullah SAW adalah seorang yang tidur, seorang yang berbuka, seorang yang berkahwin.

Sebab itu Islam sangat indah.
Sederhana.
Dan amat menyenangkan.

Ahad, 6 Mei 2012

hadis palsu

2 minggu dari sekarang kita akan memasuki bulan Rejab (bulan 7). Bulan Rejab biasanya terdapat banyak hadith-hadith palsu yang akan memenuhi wall laman sosial facebook. Antara hadith palsu yang popular ialah,

“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”.

Ini adalah hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Syria: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah)

Kemudian selepas Rejab akan datang pula bulan Sya'aban (bulan 8) dan akan hadir lagi hadith palsu berkenaaan bulan Sya'aban,

“Apabila masuk bulan Sya'aban perbaikilah niat kamu kerana bulan Sya'aban atas bulan lain seperti kelebihanku atas para Nabi”.

Ibn Hajar mengatakan bahawa Hadis ini mawdu’ kerana al-Saqti, salah seorang perawinya terkenal sebagai pemalsu hadis dan pereka sanad (تركيب الأسانيد). Perawi-perawi lain dalam sanad ini sama sekali tidak pernah meriwayatkan hadis ini. Jadi jelaslah bahawa sanad dan hadis ini adalah rekaan al-Saqti. (lihat- Ibn Hajar. Abu Fadl Ahmad Bin Ali al-Asqalani. 1988. Tabyin al-a’jaib bima wurid fi fadl Rajab. Dar al-Kutub Ilmiah Bairut.)

Selepas berakhirnya Sya'aban maka akan muncullah bulan Ramadhan (bulan ke 9). Rasa2nya tahun ini lebih dahsyat dari tahun sebelum ini sebab ada satu lagi hadith palsu yang sangat masyur telah tersebar luas,

Dari Nu’aim bin Hammad meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Bila telah muncul suara di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di bulan itu”. Kami bertanya: “Suara apakah, ya Rasulullah? ” Beliau menjawab: “Suara keras di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jumaat, akan muncul suara keras yang membangunkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari pingitannya, pada malam Jumaat di tahun terjadinya banyak gempa. Jika kalian telah melaksanakan solat Subuh pada hari Jumaat, masuklah kalian ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah telinga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara menggelegar, maka bersujudlah kalian kepada Allah dan ucapkanlah: ” Mahasuci Al-Quddus, Mahasuci Al-Quddus, Rabb kami Al-Quddus “, kerana barangsiapa melakukan hal itu akan selamat, tetapi barangsiapa yang tidak melakukan hal itu akan binasa”. (Al Hadis)

Ini juga adalah hadith palsu dan ia dikaitkan dengan tahun 2012 kononnya sebuah planet bernama Planet X atau Nibiru akan menghentam bumi.

Pasti ramai antara kita nak akan berasa takut mendengar hadith tersebut. Walaupun ia bertujuan memberi keinsafan atau kesedaran beragama kepada para pembaca tetapi aia adalah suatu perbuatan yang di larang oleh Rasulullah saw. Sesiapa yang mencipta, mengguna dan menyebarkan hadis "palsu" dianggap telah melakukan pendustaan besar terhadap Nabi Muhammad SAW.

Ayohlah rakan2ku dalam facebook jangan kita melakukan dosa sewaktu kita beranggapan kita sedang melakukan kebaikan.


Salam Ukhuwah..~