Khamis, 6 September 2012

sekolah rumah


MELEPASKAN karier sebagai ketua kepada sebuah firma perubatan bagi meluangkan masa di rumah membacakan buku cerita kanak-kanak merupakan pilihan sukar bagi seorang bapa, Zhang Qiaofeng.
Qiaofeng adalah sebahagian kecil daripada kelompok ibu bapa di China yang menolak sistem persekolahan berasaskan peperiksaan negara mereka. Kumpulan tersebut merasakan mereka tiada pilihan.
"Sistem pendidikan China mempunyai masalah serius. Saya mahukan anak saya menerima pembelajaran yang lebih kepada penyertaan murid-murid dan bukan sekadar mendengar guru bercakap. Kebanyakan waktu anak lelaki saya kini digunakan bagi mengikuti minatnya atau bermain," ujar Qiaofeng yang merupakan graduan di sebuah universiti terkemuka negara tersebut.
Dari sebuah apartmen kecil yang terletak di pinggir Beijing, Qiaofeng mengajar anaknya, Hongwu selama empat jam setiap hari. Ia berbeza dengan pembelajaran enam jam yang wajib dijalani majoriti murid sekolah rendah berumur tujuh tahun.
Di ruang tamu rumahnya yang menjadi bilik darjah, Qiaofeng menyenaraikan satu persatu kelemahan sistem pendidikan China yang dianggap terlalu obses terhadap keputusan peperiksaan. Hal tersebut menjurus kepada stail pembelajaran bersifat autoritarian.
China menunjukkan pencapaian membanggakan dalam penawaran pendidikan universal ke serata negara dengan kawasan urban seperti Shanghai dikatakan sebagai sekolah terbaik dari segi nisbah pendaftaran.
Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan China memiliki kadar celik huruf golongan muda sebanyak 99 peratus.
Walaupun perkembangan itu positif, ramai ibu bapa merungut tentang fokus kepada pembelajaran berbentuk menghafal dan lulus peperiksaan yang bermaksud murid-murid perlu meluangkan masa yang panjang di dalam kelas.
Berdasarkan kajian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Belia dan Kanak-kanak China pada tahun 2007, kanak-kanak China berada di sekolah kira-kira 8.6 jam sehari secara purata dengan segelintir daripada mereka meluangkan 12 jam masa mereka di dalam kelas.

SISTEM pendidikan di sekolah China yang berteraskan peperiksaan semata-mata menyebabkan ramai ibu bapa mengajar anak mereka di rumah.


Semakin bertambah
Penyelidik polisi pendidikan di Universiti Beijing Normal, Lao Kaisheng mengatakan ibu bapa China yang tidak berpuas hati terhadap sistem pendidikan negara kian bertambah.
"Terdapat peningkatan pantas terhadap sekolah di rumah terutamanya sejak beberapa tahun lepas. Ibu bapa yang memilih sekolah di rumah mempunyai keperluan ketat terhadap pendidikan anak-anak mereka," jelas Kaisheng kepada AFP.
Tiada data rasmi bagi menunjukkan jumlah ibu bapa China yang mengajar anak mereka di rumah, namun Kaisheng menganggarkan ia kurang daripada satu peratus.
Salah seorang individu yang paling menonjol dalam perjuangan sekolah di rumah ialah Xu Xuejin. Beliau sanggup berpindah dari kawasan hab perkilangan di Zhejiang ke kawasan terpencil di barat daya bandar Dali, semata-mata mahu memberikan suasana terbaik untuk anak-anaknya belajar.
"Anak-anak China memang diajar untuk bersaing sejak kecil. Murid-murid yang tidak mampu bersaing akan disingkirkan," kongsi Xuejin menerusi perbualan telefon .
Tambah Xuejin, beliau mahu memberikan pendidikan berteraskan agama Kristian yang tidak diterima di sekolah biasa. Menurutnya, ia menjadi penggerak kepada kejayaan sama seperti ibu bapa di Amerika Syarikat (AS) yang semakin galak menjalankan sekolah di rumah.
"Kementerian Pendidikan China bagaimanapun masih berbelah-bahagi dalam sistem persekolahan tersebut. Sebahagian mereka mahu memaksa kanak-kanak dimasukkan ke sekolah, sementara sebahagian lagi memilih untuk meluluskan sekolah di rumah menyebabkan tiada penguatkuasaan baharu diumumkan," ujar Kaisheng.
Persoalan berkenaan pengesahan sekolah di rumah yang belum menemui kepastian bagaimanapun tidak menggugat pendirian Qiaofeng yang berharap anak lelakinya tidak akan kembali ke sekolah China.
"Skil Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris anak saya lebih tinggi berbanding kanak-kanak seusianya," ujar Qiaofeng sambil menunjukkan rak buku yang dipenuhi bahan bacaan untuk anaknya.
"Saya bercadang untuk mengajar anak saya di rumah sehingga dia bersedia untuk masuk ke universiti. Saya berharap dia boleh memasuki universiti yang hebat seperti Harvard, Oxford atau Cambridge. Saya yakin 95 peratus dia boleh menggapainya." - AFP

isteri

seorang isteri menangis2 nak mandikan jenazah suami dia.. bapak mertua dgn polis forensik x bagi.. sambil menangis isteri berkata ini janji kami suami isteri.. jika abang mati dulu kamu (isteri) mandikanlah jenazah abang, Andai kamu (isteri) mati dulu dari abang, abang akan mandikan jenazah kamu.. 

dari luar bilik mayat hospital seorang ustaz masuk tanye ape hal then ustaz tu kate x pe kalau isteri nak mandikan jenazah suami.. ustaz tadi bersama beberapa org lagi temankan si isteri mandikan jenazah suaminya.. 
dengan tenang isteri membasuh muka suaminya sambil berdoa, "Inilah wajah suami yang ku sayang tetapi Allah lebih sayangkan abang.. Moga Allah ampunkan dosa abang dan satukan kite di akhirat nanti.."
membasuh tangan jenazah suami sambil berkata "Tangan inilah yang mencari rezeki yang halal untuk kami, masuk ke mulut kami. moga Allah beri pahala untuk mu suami ku.."
membasuh tubuh jenazah suami smbil berkata "tubuh inilah yg memberi pelukan kasih syg pd ku dan ank2,moga Allah beri pahala berganda untukmu wahai suamiku"
membasuh kaki jenazah suami smbil berkata "dgn kaki ini abang kluar mencari rezki utk kami, berjalan dan berdiri sepanjang hari semata2 untuk mencari sesuap nasi,terima kasih abang...moga Allah beri kau kenikmatan hidup d akhirat dan pahala yg berlipat kali gandanya"

selesai memandikan jenazah suaminya, si isteri mengucup sayu suaminya dan berkata "trima ksih abang krana aku bahagia sepanjang mnjadi isterimu dan terlalu bahagia dan trima kasih krna meninggalkan aku bersama permata hatimu yg persis dirimu dan aku sbg seorang istri redha akn pemergianmu krna ksih syg Allah pd mu."

Betapa sucinya hati seorang isteri pada suaminya..

demo

Adakah hudud boleh tunduk kepada demokrasi?

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa PAS akan melaksanakan hukum hudud melalui proses demokrasi yang sedia ada adalah sesuatu yang amat ganjil dan bersifat khayalan. Kenyataan sebegini memperlihatkan seolah-olah jika sesuatu hukum Islam itu ingin diterapkan, maka ia terpaksa tunduk kepada sistem kufur demokrasi bagi mendapatkan restu. Bukankah Islam itu yang tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya? Inilah kejayaan terbesar musuh-musuh Islam apabila mereka berjaya menarik gerakan-gerakan Islam agar berjuang dan memperhambakan diri mereka kepada sistem kufur tersebut.

Apa yang pasti, Islam sebagai suatu cara hidup yang wajib untuk diterapkan dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara sama sekali tidak akan dapat dilaksanakan secara sempurna jika terus berada dalam kongkongan sistem demokrasi. Terlampau banyak perangkap yang dipasang dan racun yang disuntik oleh demokrasi bagi membunuh sistem Islam daripada hidup serta diterapkan di tengah-tengah kehidupan umat sebagaimana yang dapat kita saksikan pada hari ini. Adalah amat malang bagi kebanyakan gerakan Islam yang berjuang pada hari ini masih gagal untuk melihat dan sedar tentang betapa bahayanya racun yang dibawa oleh demokrasi ini. Realiti telah menunjukkan kepada kita di depan mata di mana satu persatu negara umat Islam telah dikuasai sepenuhnya oleh parti yang beraliran Islam dan telah menang secara suara majoriti melalui pilihanraya demokrasi. Tetapi sayang sekali, tidak ada satu pun daripada negara-negara demokrasi tersebut yang menerapkan hukum Islam secara kaffah dalam negara mereka, walhal negara mereka majoritinya adalah umat Islam dan parti yang memerintah adalah parti Islam yang langsung tidak bersekongkol dengan mana-mana parti kufur.

Jika dalam situasi sebegitu pun Islam tidak dapat dilaksanakan, apatah lagi dalam negara ini yang mana parti Islamnya bersekutu dengan dengan parti-parti yang bukan sahaja kufur, malah secara terang-terangan menentang penerapan Islam secara kaffah. Ketahuilah, demokrasi adalah racun yang akan terus merosakkan Islam dan umat Islam. Demokrasi hanya menjadikan akal dan suara majoriti sebagai kayu ukur dalam kebenaran. Ini berbeza dengan Islam di mana hukum syarak adalah satu-satunya kayu ukur kebenaran, walaupun ia bertentangan dengan akal dan hawa nafsu manusia. Dalam Islam, akal berfungsi dan digunakan untuk memahami hukum syarak dan bukannya sebagai kayu ukur bagi kebenaran. Akal sebagai makhluk ciptaan Allah yang serba dangkal dan kekurangan adalah sesuatu yang pasti akan menghasilkan perbezaan, perselisihan, pertentangan dan terpengaruh dengan persekitaran. Islam tidak akan sekali-kali tunduk kepada suara majoriti untuk ia diterapkan. Dengan menuruti suara majoriti, ia akan menyimpangkan kita sepenuhnya daripada deen Allah sepertimana firmanNya:

“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Yang mereka ikuti hanyalah sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta” [TMQ Al-An'am (6) : 116].

Kepada mereka yang masih mengharapkan demokrasi sebagai kononnya 'kenderaan' yang akan menghantarkan mereka kepada penerapan Islam, maka mereka akan pasti kecewa dan akan terus dikecewakan serta menemui kegagalan. Ini adalah kerana demokrasi dan suara majoriti bukanlah jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dalam perjuangan baginda untuk meraih tampuk kekuasaan di Madinah dan ia sama sekali bertentangan dengan perintah Allah SWT.

Aptb


SONG A-HYUN percaya dia akan mengikut jejak langkah ayahnya, graduan salah sebuah universiti terbaik di Korea Selatan yang bekerja di firma terkemuka dan menikmati zaman kerjaya penuh kehebatan.
Bagaimanapun, impian gadis berusia 23 tahun itu tidak kesampaian. Sejak setahun lalu, dia sudah menghantar lebih 40 resume menjelang konvokesyennya Ogos ini. Namun, semuanya ditolak mentah-mentah.
Memiliki ijazah di universiti wanita terkenal di Ewha dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.7, pernah berada di Hong Kong selama setahun untuk program pertukaran pelajar, fasih berbahasa Inggeris dan menjalani dua latihan praktikal rupa-rupanya masih belum mencukupi untuk melayakkan A-Hyun mendapatkan pekerjaan.
"Semua orang mendapat Purata Nilai Gred (GPA) yang baik, menguasai ujian kemahiran bahasa Inggeris dan telah melakukan satu atau dua latihan praktikal. Jadi, mungkin tiada apa yang istimewa dalam resume saya.
"Saya bekerja keras untuk mendapatkan semua kelayakan ini. Namun, masalahnya terdapat ramai pelajar seperti saya dan terlalu sedikit kerja yang ada untuk kami," keluh A-Hyun.
A-Hyun merupakan salah seorang daripada anak muda Korea Selatan yang berpendidikan tinggi dan jumlah itu semakin meningkat. Ia menyebabkan golongan tersebut berhadapan dengan prospek pekerjaan yang suram untuk masa depan mereka.
Dilema pendidikan Korea Selatan telah lama dianggap sebagai pencetus kepada peningkatan cemerlang daripada kemiskinan teruk selepas bergelut dengan kuasa ekonomi global.
Tekanan belajar
Kanak-kanak dan remaja menghabiskan zaman kecil mereka dengan penuh tekanan untuk memasuki universiti berprestij atau sekurang-kurangnya kolej-kolej ternama. Ia dilihat amat penting untuk kemakmuran, kedudukan sosial dan malah terhadap prospek perkahwinan.
Universiti-universiti yang dipanggil SKY iaitu Universiti Kebangsaan Seoul, Universiti Korea dan Yonsei adalah merupakan universiti paling berprestij di negara tersebut.
Namun, peningkatan kadar pengangguran graduan menyebabkan kerajaan melancarkan kempen bagi menggalakkan lebih ramai anak muda untuk memintas sesi universiti atau kolej. Ia menyeru lebih banyak perniagaan agar mengambil pelajar lepasan sekolah untuk terus bekerja.
Kira-kira 72 peratus daripada lulusan sekolah akan menyambung pengajian ke kolej atau universiti tahun lalu. Jumlah itu sedikit lebih rendah daripada rekod 83.8 peratus pada tahun 2008, namun ia masih antara angka tertinggi di dunia.
Presiden Lee Myuang-Bank telah berkali-kali menggesa pelajar-pelajar kolej untuk menurunkan standard mereka dan mencari pekerjaan di syarikat yang kurang terkenal.
Selain itu, pihaknya turut mengambil inisiatif menerima pakai lebih banyak program untuk menyokong sekolah tinggi vokasional.
"Inflasi pendidikan yang berlebihan di negara kita menyebabkan begitu banyak masalah sosial dan ekonomi," kata Myuang-Bank awal tahun ini.
Malah, beliau juga mencadangkan penetapan kuota pengambilan pekerja di badan-badan kerajaan untuk graduan sekolah tinggi. Ia satu langkah yang bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai remaja mencari kerja selepas tamat sekolah dan bukannya menyambung pengajian di kolej tanpa matlamat yang jelas.
Statistik meresahkan
Kadar pengangguran keseluruhan rasmi adalah serendah kira-kira tiga peratus, tetapi kadar bagi individu berusia 25 hingga 29 tahun adalah dua kali ganda lebih tinggi.
Dalam suku kedua pengangguran lulusan kolej atau universiti dianggarkan berjumlah 373,000. Ia mengatasi kadar pengangguran lepasan sekolah tinggi untuk kali pertama dalam tempoh lebih 10 tahun.
Malah di Universiti Kebangsaan Seoul, hampir 30 peratus daripada pemegang Ijazah Doktor Falsafah tidak bekerja atau menganggur pada tahun 2011 berbanding kira-kira 15 peratus dua tahun sebelumnya.
Firma-firma gergasi ternyata memberi respons kepada desakan rasmi untuk mengambil lebih ramai lepasan sekolah bekerja dan melantik mereka ke jawatan tertinggi.
Samsung dalam satu perubahan drastik tahun ini telah mengambil kira-kira 700 pekerja lepasan sekolah tinggi untuk melakukan tugas-tugas pejabat.
"Mempunyai ramai penduduk dengan ijazah lanjutan adalah satu perkara yang baik. Tetapi di negara ini, jumlah yang terlalu banyak menyebabkan kesukaran untuk mereka mendapatkan pekerjaan sesuai," tegas Kim Hi-Sam, penyelidik di Institut Pembangunan Korea.
"Konglomerat seperti Samsung, LG, atau Hyundai hanya menawarkan 10 peratus daripada pasaran kerja di Korea. Bagaimanapun, tanyalah kepada mana-mana pelajar kolej, semua akan mengatakan bahawa mereka layak untuk bekerja di firma-firma tersebut dan bukan syarikat yang lebih kecil daripada itu." - AFP

Jumaat, 31 Ogos 2012

Krisis 98


Rahsia Tun Dr Mahathir Mohamad yang ramai tak tahu.
Sama2 sebarkan pada senua..

Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad – Pada Mei tahun itu (1997), saya mengambil keputusan untuk bercuti selama dua bulan dan menyerahkan tanggungjawab kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pemangku Perdana Menteri. Saya menganggap ini sebagai satu peluang baik untuk memerhati bagaimana beliau menjalankan tugas kerana saya sudah pun berfikir untuk bersara pada tahun berikutnya. Saya mahu pastikan yang apabila Anwar mengambil alih, beliau mampu mentadbir negara dengan baik.

Ketika berada di Bledisloe dalam daerah Cotswolds, England, saya menerima berita mengenai serangan ke atas baht Thailand oleh peniaga mata wang. Apa yang berlaku adalah ahli perniagaan Thai telah meminjam sejumlah besar mata wang asing pada kadar faedah yang rendah berbanding pinjaman dalam mata wang baht.

Mereka boleh membuat keuntungan segera daripada perbezaan dua kadar faedah itu dengan syarat nilai baht stabil. Peniaga mata wang antarabangsa adalah orang yang mencari keuntungan dengan memerhati dan mengambil kesempatan daripada ketidakwajaran dan kelemahan seperti yang berlaku di Thailand ketika itu. Ia diibarat pucuk dicita ulam mendatang kepada kegiatan mereka.

Mereka menyebarkan berita kononnya nilai baht terlalu tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara itu mustahil dapat dipertahankan. Mereka kemudian menjual sejumlah besar baht menyebabkan nilainya merosot berbanding dolar Amerika. Kejatuhan nilai baht menyebabkan orang Thai yang meminjam dolar menghadapi kesulitan.

Mereka terpaksa mendapatkan lebih banyak baht bagi membayar balik pinjaman mata wang asing mereka kerana kalau keuntungan perniagaan mereka tidak mencukupi, mereka mungkin tidak dapat membayar balik pinjaman.

Sekiranya mereka gagal membayar balik hutang maka terbukti benarlah dakwaan peniaga mata wang bahawa ekonomi Thai lemah.

Kemudian mereka melambakkan lebih banyak baht menyebabkan nilainya merudum lagi. Maka semakin ramailah orang Thai yang meminjam mata wang asing gagal membayar balik hutang mereka. Sementara itu, peniaga tersebut kelihatan seolah-olah mereka tidak ada kaitan langsung dengan krisis berkenaan. Apa yang mereka lakukan hanyalah sekadar bertindak balas. Hakikatnya, merekalah yang mencetuskan malapetaka itu.

Kitaran tindakan kejam (vicious cycle) ini pantas merebak. Lebih teruk nilai baht menyusut, lebih ramai peminjam yang gagal membayar balik hutang dan semakin lemah pula ekonomi Thailand.


Kerajaan Thai cuba membeli baht bagi mempertahankan nilainya dengan menggunakan rizab dolar. Bagaimanapun, peniaga mata wang nampaknya memiliki bekalan baht yang tidak terbatas untuk terus dilambakkan dalam pasaran.

Akhirnya, kerajaan Thai dibebani rizab baht yang banyak, tetapi bernilai rendah manakala simpanan mata wang asingnya merosot teruk. Ini mencetuskan satu lagi pusingan penjualan baht apabila ia menjadi lebih lemah akibat tanggapan bahawa ia tidak disokong oleh rizab mata wang asing yang secukupnya.

Apabila saya pulang daripada bercuti pada bulan Ogos, di Thailand sangat teruk. Kita mengambil keputusan untuk meminjamkan mata wang utama bagi memperkuatkan rizab antarabangsanya, tetapi tidak berhasil. Nilai baht terus jatuh.

Kewangan Malaysia berada dalam keadaan baik pada masa itu kerana kerajaan dan peniaga tidak perlu meminjam dengan banyak mata wang asing. Kadar faedah kita sentiasa rendah dan pinjaman mata wang asing tidak akan memberikan apa-apa kelebihan. Rizab mata wang asing Bank Negara juga mencukupi, setidak-tidaknya cukup untuk menyokong ringgit kalau diserang. Namun, itu hanyalah andaian.

Kita juga tidak membuatkan diri kita terdedah seperti orang Thai dengan meminjam mata wang asing dan berurus niaga dengan peniaga mata wang, jadi apa yang harus kita bimbangkan?

Kemudian kita mula mendengar mengenai jangkitan kewangan, iaitu bagaimana masalah jiran kita mungkin menjangkiti kita. Walaupun ekonomi dan kewangan kita nampak sihat, ringgit mungkin akan diserang juga.

Kalau peniaga mata wang mencetuskan kehilangan keyakinan terhadap Malaysia, nilai ringgit akan turut jatuh. Saya langsung tidak faham mengapa hal seperti ini harus berlaku, tetapi pakar ekonomi pasti ia akan terjadi.

Mereka betul. Peniaga mata wang mula menjual ringgit secara besar-besaran menyebabkan nilainya merosot. Sebelum serangan itu bermula pada pertengahan 1997, kadar mata wang kita ialah RM2.50 bagi satu dolar Amerika. Bagaimanapun, menjelang hujung tahun nilai ringgit tinggal separuh sahaja. Kita tidak tahu siapa yang menjual ringgit atau kepada siapa mereka menjualnya.

Saya diberitahu mengenai seorang lelaki bernama George Soros yang pernah menyerang paun British dan lira Itali. Kedua-dua buah negara itu menghadapi saat genting mempertahankan mata wang mereka yang disusutkan nilainya secara paksa.

Tanpa mengetahui peniaga mana yang terbabit, saya mengandaikan bahawa Soros adalah salah seorang daripadanya. Tidak kira siapa mereka, saya amat marah.

Bagaimanakah orang luar boleh dengan sewenang-wenangnya memiskinkan negara dan rakyat kita? Bagaimanakah mereka tergamak berbuat demikian secara sedar dan sengaja? Sekalipun itu bukan tujuan utama mereka, mengapakah mereka memilih untuk menjahanamkan kita sebagai produk sampingan strategi perniagaan mata wang mereka? Semua ini tidak masuk akal kepada saya, sama ada dari segi ekonomi mahupun moral.

Rakyat Malaysia, khususnya golongan peniaga mula merasai kesan penurunan nilai ringgit. Pengimport misalnya, tidak dapat mengumpulkan cukup ringgit untuk membeli dolar yang mereka perlukan bagi membayar kos barangan yang dipesan daripada pembekal asing. Akibat kekurangan wang, mereka gagal membayar balik hutang.

Rakyat Malaysia yang gemar ke luar negara pula mendapati kos perjalanan mereka terlalu mahal. Eksport kita biasanya menggunakan dolar. Jadi, dengan kenaikan nilai dolar kita sepatutnya memperoleh lebih banyak mata wang ringgit daripada eksport.

Pembeli asing pula mahu membayar harga yang lebih rendah untuk eksport kita. Mereka mendakwa kos pengeluaran kita telah berkurangan kerana nilai ringgit merosot. Apa yang mereka tidak sebut adalah, akibat kenaikan nilai dolar maka bahan mentah, komponen dan barangan modal (capital goods) yang kita import menjadi lebih mahal.

Kejatuhan nilai ringgit tidak menjadikan kita lebih berdaya saing, terutama jika dibandingkan dengan jiran kita yang nilai mata wang mereka juga jatuh.

Kita berasa tidak berdaya apabila nilai ringgit terus merosot dan ekonomi menuju ke arah kemelesetan. Sebelum itu, selama hampir 10 tahun berturut-turut, ekonomi kita berkembang pada kadar lapan peratus setahun.

Kini, kita berdepan dengan kemungkinan pertumbuhan negatif. Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai peniaga mata wang – setiap kali saya membuat kenyataan terbuka, nilai ringgit jatuh lagi.

Pada 17 Jun 1997, sebelum serangan ke atas mata wang Asia bermula, Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF) waktu itu, Michael Camdessus memuji Gabenor Bank Negara kerana pengurusan ekonomi dan kewangan Malaysia yang baik.

Pujian itu dibuatnya pada Majlis Hal Ehwal Ekonomi Dunia, Los Angeles. Katanya: “Malaysia adalah negara contoh di mana pihak berkuasanya sedar mengenai cabaran menguruskan tekanan akibat pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mengekalkan sistem kewangan yang sihat di tengah-tengah pengaliran masuk modal yang banyak dan pasaran hartanah berkembang pesat.”

Inflasi, kata beliau, adalah rendah dan tukaran ringgit kekal pada kadar RM2.50 kepada AS$1 untuk jangka masa yang lama. Ringgit, tambah beliau lagi, adalah mata wang yang benar-benar kukuh yang mencerminkan kemantapan kewangan Malaysia.

Namun, apabila serangan ke atas mata wang Asia berlaku, orang yang sama berkata ekonomi kita terlalu panas dan ini menyebabkan mata wang kita merudum diserang oleh peniaga mata wang. Saya tidak percaya yang nilai ringgit susut kerana ekonomi kita lemah atau kerana pasaran hilang keyakinan terhadap Malaysia.

Saya membeli beberapa buah buku mengenai perniagaan mata wang untuk lebih memahami mekanismenya. Saya yakin punca kejatuhan ringgit adalah dagangan mata wang bukannya ekonomi atau mata wang kita.

Saya pernah bertemu dengan Camdessus sebelum itu dan beliau nampaknya seorang yang baik. Anwar yang ketika itu adalah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri lebih kerap berjumpa beliau.

Saya meminta Anwar merayu kepada Camdessus supaya berusaha menghentikan dagangan mata wang. Saya berkata, kegiatan itu tidak perlu dan merosakkan ekonomi negara membangun. Saya tidak tahu sama ada Anwar menyatakan atau tidak hal itu kepada Camdessus, tetapi tidak ada usaha diambil bagi menghentikan kegiatan tersebut.

Bagi saya, mendagangkan mata wang seolah-olah ia satu barangan adalah tidak masuk akal sama sekali. Kopi, gula, getah dan seumpamanya adalah barangan sebenar dan mempunyai kegunaan yang sahih, tetapi mata wang tidak mempunyai nilai secara sendiri. Ini adalah perantara bagi mendapatkan komoditi sebenar. Ia tidak boleh digunakan dengan cara lain dan tidak boleh dimakan.

Kita bukan lagi berada pada Zaman Pertengahan (Middle Ages) di mana ekonomi Eropah tidak mempunyai sebarang mata wang yang diyakini. Ketika itu, peniaga-peniaga di pasar Perancis menggunakan lada hitam dari Asia Tenggara sebagai mata wang dan pertukaran barang. Hari ini, kita guna lada hitam dan rempah ratus untuk menambah kesedapan makanan dan kita guna wang untuk membeli-belah.

Saya teringat pernah membaca mengenai orang Brazil mencampakkan kopi keluaran mereka ke dalam laut sewaktu bekalan bahan itu berlebihan dan harganya murah. Ia bertujuan untuk mewujudkan kekurangan bekalan dan dengan itu dapat menaikkan harganya.

Bagaimanapun, apakah kita perlu mencampak atau membakar wang untuk menaikkan nilainya? Dalam hal mata wang, keadaan sebenar yang berlaku adalah lebih teruk kerana wujud lebih banyak wang dalam edaran berbanding yang diterbitkan oleh bank pusat dan lembaga mata wang.

Bekalan yang berlebihan itu berlaku kerana bukan mata wang sahaja digunakan untuk jual beli, tetapi juga cek, kad kredit dan pemindahan elektronik. Jumlah yang diwakili oleh instrumen tersebut pastinya melebihi jumlah mata wang kertas yang dikeluarkan dan berada dalam edaran. Hakikatnya, wang sudah bertukar bentuk menjadi maya (virtual).

Apabila menoleh ke belakang sekarang, jelaslah saya menerima secara literal klise ekonomi, iaitu wang adalah darah daging kepada sistem kewangan dan ekonomi.

Sebagai seorang doktor, saya tahu tentang wujudnya sejumlah darah yang berpusing dalam badan seseorang pada setiap masa (walaupun kadangkala ia terpaksa ditambah melalui pemindahan darah).

Bagaimanapun, saya belajar untuk tidak mengguna pakai kiasan itu secara literal dalam hubungannya dengan ekonomi. Wang bukan macam hutang kerana wujud lebih banyak hutang daripada jumlah wang dalam edaran bagi menyokong dan menyukatnya. Cara pakar ekonomi berfikir berbeza daripada doktor. Bagi mereka, dua campur dua kadangkala boleh menjadi lebih daripada empat.

Setelah Amerika Syarikat muncul daripada Perang Dunia Kedua sebagai kuasa tentera dan ekonomi dominan, dunia menerima dolarnya sebagai mata wang rasmi bagi perdagangan antarabangsa dan juga sebagai mata wang rizab.

Perjanjian Bretton Woods (1) telah menetapkan nilai dolar pada kadar AS$35 bagi setiap auns emas. Kemudian, semua negara menetapkan nilai mata wang mereka berdasarkan nilai dolar yang pada asasnya bermakna nilai emas.

Ekonomi dunia selepas perang kembali pulih dalam jangka masa peraturan itu dikuatkuasakan. Bagaimanapun, apabila pada 1971, Amerika keluar daripada piawaian emas, umumnya bagi membiayai kos perbelanjaan Perang Vietnam yang bertimbun, maka kedudukan mata wang dunia menjadi tidak stabil. Kuasa pasaran kini menentukan kadar tukaran mata wang dan kebanyakannya “terapung” dalam hubungan antara satu sama lain.

Bagi saya, tindakan ini merosakkan kedaulatan nasional dan menyebabkan negara terdedah kepada kezaliman pasaran serta ketamakan manusia. Orang tamak tidak akan peduli tentang kebajikan orang lain, dan pastinya juga tidak peka kepada keperluan negara membangun. Mereka akan menjahanamkan mana-mana negara dan memiskinkan penduduknya atas nama keuntungan.

Kita terpaksa menerima keadaan itu walaupun kita tahu mekanisme dan kuasa pasaran boleh dimanipulasikan. Ia tidak mengambil masa yang lama bagi spekulator untuk mula menyalahgunakan sistem berkenaan. Sebelum itu, mereka telah mencipta kaedah jualan singkat komoditi dan saham. Kini, mereka mencipta pula jualan singkat mata wang.

Mereka mengaut keuntungan besar dengan membuatkan negara muflis, terutama negara membangun. Tindakan mereka ini jelas satu pembunuhan kewangan. Mereka menubuhkan dana lindung nilai atau hedge fund dan mempelawa golongan kaya untuk mencarum. Umumnya, pulangan yang diterima jauh lebih besar daripada pelaburan lain, tetapi operasi dana itu tidak menghasilkan apa-apa yang boleh digunakan oleh pasaran atau orang ramai.

Paling tidak pun tindakan yang boleh diambil adalah mengawal selia kegiatan tersebut, tetapi masalahnya orang yang menuntut ketelusan bagi setiap urusniaga dan rancangan orang lain itu sendiri yang membenarkan operasi dana diselubungi misteri. Bukankah pelabur serius tidak akan sanggup mengambil risiko ke atas wang mereka dalam kegiatan yang penuh rahsia?

Namun, pengendalian dana tersebut terus dibenarkan menjadi satu misteri. Siapakah peniaga itu? Daripada manakah mereka memperoleh modal? Berapa banyak mereka meminjam? Kepada siapa mereka menjualnya dan siapa yang membeli mata wang yang mereka jual itu?

Kita tidak tahu jawapan kepada semua soalan ini. Dana itu boleh diniagakan sehingga 20 kali ganda modalnya. Bagi pengurus tabung ini, perkara paling penting dalam ekonomi adalah perluasan hutang yang jauh melebihi bekalan mata wang sehingga tidak ada kaitan lagi antara kedua-duanya. Kesan operasi mereka mengakibatkan kebinasaan.

Camdessus adalah orang Perancis, dan saya dengar beliau bersahabat dengan Presiden Chirac. Jadi, disebabkan saya kenal baik dengan Chirac maka saya menulis kepada beliau mengenai penjarahan oleh peniaga mata wang dan saya meminta beliau bercakap dengan Camdessus agar membantu menghentikan kegiatan itu.

Kemudian, sewaktu Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel atau Commonwealth Heads of Government Meeting (CHOGM) di Edinburgh, Scotland pada 1997, saya bertemu Tony Blair yang baru sahaja menjadi Perdana Menteri Britain bagi membincangkan perkara itu. Saya menjelaskan dengan panjang lebar kesan mata wang dan meminta beliau membawa perkara itu kepada IMF. Bagaimanapun, segala usaha saya di peringkat itu tidak menghasilkan apa-apa.

Sebelum itu, Malaysia memperoleh sedikit pengalaman dalam perniagaan mata wang. Kita mengambil bahagian dalam kegiatan itu bagi memastikan nilai rizab antarabangsa kita tidak susut akibat naik turun nilai mata wang yang kita simpan.

Ketika itu kita hanya berurusan dengan menggunakan mata wang negara-negara maju sahaja. Seperti mana orang lain, kita juga membuat spekulasi, tetapi tidak memanipulasi. Apa yang kita lakukan adalah memperincikan risiko yang kita ambil, tetapi apabila salah satu spekulasi kita songsang, kita telah kehilangan sejumlah besar wang. Selepas pengalaman itu, kita keluar daripada perniagaan mata wang.

Pada September 1997, saya dijemput berucap pada mesyuarat tahunan Bank Dunia dan IMF di Hong Kong. Saya mengambil kesempatan membelasah peniaga mata wang dengan menuduh mereka telah memiskinkan lagi negara-negara yang sedia miskin di dunia. Saya menyebut nama Soros sebagai salah seorang peniaga yang memanipulasi mata wang negara-negara Asia Tenggara dan menggangu gugat pembangunan mereka.

Hari berikutnya, Anwar berucap pada mesyuarat yang sama. Ketika itu, saya sudah berlepas ke Sabah dan beliau menelefon saya. Nada suaranya seperti orang marah. Beliau memberitahu saya bahawa ucapan saya menyebabkan nilai ringgit bertambah susut, cuma beliau tidak memberitahu saya agar jangan bercakap lagi. Namun, saya terus mengkritik IMF dan peniaga mata wang.

Dalam satu perjumpaan di Santiago, Chile, saya mengulangi kutukan ke atas mereka dan sekali lagi nilai ringgit jatuh. Perkembangan itu membuktikan kepada saya bahawa peniaga mata wang adalah punca yang menekan turun nilai ringgit.

Ia tidak mungkin disebabkan oleh reaksi pasaran kerana tindak balasnya begitu pantas. Ini juga bukan disebabkan persetujuan am pasaran, tetapi kerja beberapa pemain utama yang mempunyai pengaruh besar terhadap pasaran. Dan atas alasan mereka yang tersendiri, saya mendapati sesetengah orang sengaja cuba menyekat saya daripada bercakap mengenai peniaga mata wang.

Di dalam negara, Anwar memulakan apa yang dikenali sebagai “penyelesaian IMF tanpa IMF.” Pada dasarnya, kita tidak dilanda masalah ekonomi yang teruk. Kita tidak perlu meminjam daripada IMF bagi melangsaikan hutang luar kerana kita tidak banyak berhutang. Antara hutang yang ada masih belum sampai masanya untuk dibayar balik. Hutang yang telah sampai masanya untuk dibayar balik pula sudah pun kita langsaikan.

Namun, sama ada kita perlu meminjam daripada IMF atau tidak, Anwar berpendapat bahawa Malaysia perlu menerima nasihat IMF. Beliau percaya bahawa untuk mengekalkan keyakinan antarabangsa terhadap pengurusan ekonomi kita, kita perlu melakukan apa yang diberitahu oleh mereka dan menguruskan ekonomi kita mengikut cara yang mereka kehendaki.

Anwar berpendapat yang ubat IMF adalah baik untuk kita dan akan membantu kita pulih daripada penyakit antarabangsa walaupun kita sebenarnya belum lagi jatuh sakit. Jadi, beliau menaikkan kadar faedah dan memotong perbelanjaan kerajaan.

Saya memberi amaran kepada Anwar yang tindakannya itu mungkin menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang diperlukan bagi membayar gaji kakitangan awam.

Beliau juga cuba memendekkan tempoh ingkar pembayaran balik hutang daripada enam bulan kepada tiga sebelum mengisytiharkannya sebagai hutang lapuk. Ini sekaligus menaikkan nisbah hutang lapuk bank dan menyebabkan ramai peminjam muflis. Perniagaan merosot. Penyakit yang kita cuba elakkan, muncul.

Ubat IMF gagal menghalang penyakit itu, sebaliknya menjadi punca penyakit. Dalam pada itu pun, Anwar tetap meneruskan dasar pro-IMF beliau.

Ekonomi kita jelas menuju ke arah kemelesetan. Banyak syarikat muflis manakala yang lain gagal melangsaikan hutang bank, lebih-lebih lagi selepas Anwar memendekkan tempoh ingkar bayar hutang daripada enam bulan kepada tiga dan menaikkan kadar faedah kepada 12 peratus.

Kita memutuskan supaya ditubuhkan sebuah badan operasi seperti Majlis Gerakan Negara yang ditubuhkan untuk menangani kesan rusuhan kaum pada 1969. Bagi mengurangkan perbalahan politik maka kita menjemput semua Ketua Menteri dan Menteri Besar, termasuk daripada PAS untuk menganggotai sebuah badan yang kita panggil Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) (2). Pemimpin kesatuan sekerja dan perniagaan serta ketua badan pemikir juga diajak bersama.

Dengan itu, kita dapat menjelaskan kepada mereka masalah yang dihadapi oleh negara dan mendengar pandangan mereka mengenai cara menanganinya. Bagaimanapun, disebabkan bilangan ahli yang ramai maka Majlis itu tidak dapat bermesyuarat lebih kerap. Jadi, saya memutuskan supaya diwujudkan sebuah panel penasihat kecil untuk memantau perkembangan, di samping mencadangkan cara mengatasinya.

Ia perlu disokong oleh keseluruhan Kabinet walaupun hanya sebilangan Menteri sahaja yang menganggotainya. Mujurlah Kabinet tidak mempersoalkan bidang kuasa atau syarat-syarat penubuhan badan yang berpengaruh itu.

Anggota panel penasihat termasuklah Anwar; Datuk Mustapa Mohamed, iaitu seorang ahli ekonomi yang dihormati dan kini berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Samsuddin Hitam; Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Fong Weng Phak (entah apa sebabnya, Gabenor tidak pernah menghadiri mesyuarat kami); Ketua Unit Perancangan Ekonomi, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman; Oh Siew Nam, seorang eksekutif sektor swasta yang arif mengenai perbankan dan pasaran kewangan serta Ketua Pengarah ISIS, Tan Sri Dr Noordin Sopiee.

Panel penasihat kecil itu bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga jam setiap pagi di pejabat saya. Kami meneliti semua perangkaan mengenai ekonomi dan mentauliahkan penyelidikan berhubung sebarang isu yang kami rasa mungkin mempengaruhi prestasi ekonomi atau prospek negara.

Kami memanggil pakar bagi memberi penerangan dan membuat cadangan mengenai perkembangan semasa. Kami mendengar banyak taklimat dan sering membuat keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan.

Mujurlah kita tidak mengalami ketegangan sosial sewaktu krisis kewangan. Rakyat Malaysia mungkin telah terjejas teruk akibat krisis tersebut, tetapi keganasan bukanlah tindak balas mereka. Pada masa yang sama, kita sedang membuat persiapan akhir bagi Sukan Komanwel yang akan diadakan pada tahun berikutnya, jadi, kita tidak mampu untuk menghadapi sebarang bentuk ketidakstabilan.

Sambil menangani krisis itu, saya meneruskan tugas ke luar negara untuk melaksanakan usaha ekonomi dan diplomatik. Saya berada di Buenos Aires, Argentina apabila saya tiba-tiba teringat kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang mengetuai operasi perniagaan mata wang Bank Negara sewaktu kita mengalami kerugian.

Saya ternampak beliau sedang berjalan-jalan di Kuala Lumpur sebelum saya berlepas ke Buenos Aires. Wajah beliau muncul dalam fikiran saya dan saya memutuskan yang beliau mungkin boleh memberi penjelasan mengenai perniagaan mata wang serta mencadangkan cara untuk mengatasinya.

Urus niaga mata wang asing kita yang merugikan itu mungkin boleh menghasilkan suatu kebaikan dan menyelamatkan kita pada saat-saat kita dikepung oleh peniaga mata wang.

Perkara itu amat mendesak dan saya tidak boleh menunggu sehingga pulang ke tanah air, lalu saya meminta pejabat saya mencari dan menerbangkan Nor Mohamed ke Argentina. Tidak lama selepas itu, beliau dan saya duduk di dalam bilik hotel saya dan beliau menjelaskan selok-belok perniagaan mata wang serta sebab kita mengalami kerugian.

Saya bertanya, apakah pengajaran daripada pengalaman itu yang boleh kita gunakan untuk mengatasi masalah yang sedang kita hadapi?

Beliau mencadangkan agar kita mengenal pasti beberapa buah institusi yang memiliki sumber kewangan yang besar dan menubuhkan sebuah tabung khas untuk membeli ringgit. Kita terima cadangan itu dan melaksanakannya.

Namun, sekali lagi kita tidak dapat melawan kekuatan peniaga mata wang. Mereka boleh membuat spekulasi sehingga 20 kali ganda modal mereka dan kita mungkin kehabisan rizab antarabangsa kalau kita cuba melawan mereka dengan cara itu. Kita bukan berdepan dengan sebuah dana spekulasi mata wang, tetapi beberapa buah.

Ternyata percubaan kita itu gagal. Saya tahu yang Nor Mohamed berpengetahuan lalu memutuskan untuk melantik beliau menjadi Penasihat Kewangan saya dan salah seorang anggota MTEN.

Kita mengajukan banyak soalan kepada beliau dalam usaha untuk memahami dan mengawal perniagaan mata wang. Saya perlu memahami sedalam-dalamya mengenai sistem perbankan dan kewangan, dan Nor Mohamed berjaya memperjelaskan semuanya.

Disebabkan kita tidak faham selok-beloknya maka kita telah memperkenalkan langkah-langkah yang terbukti tidak berkesan. Pada satu peringkat, terlintas dalam fikiran saya untuk menurunkan nilai ringgit dan menaikkan gaji bagi mengimbangi kesan penyusutan nilainya.

Apabila saya membincangkan idea itu dengan beberapa orang kawan dan Menteri, mereka berkeras mengatakan bahawa ia tidak akan berkesan. Namun, saya terus yakin mesti ada sesuatu yang boleh dilakukan secara sah oleh kerajaan bagi menghentikan manipulasi mata wang kita. Sehingga saat itu, saya masih beranggapan yang mata wang sebenar telah bertukar tangan dalam urus niaga berkenaan.

Saya masih belum memahami perdagangan mata wang yang dijalankan dalam bentuk abstrak dan maya serta bagaimana transaksi atas kertas yang bernilai berbilion-bilion dolar boleh mengalir merentasi dunia dengan lebih pantas berbanding kita membayar RM10 untuk membeli sayur di pasar.

Itulah sebabnya apabila kita diberitahu yang mata wang kita dibawa keluar, kita menyangka orang yang terlibat benar-benar membawa wang kita ketika mereka keluar dari Malaysia. Jadi, kita meminta pegawai kastam di pintu keluar supaya memeriksa beg pengembara. Kita kehairanan kerana tidak ada wang tunai yang cuba dibawa keluar.

Bagaimanapun, kita mendapati jumlah wang dalam edaran di Malaysia berkurangan dengan begitu banyak dan berjuta-juta ringgit Malaysia telah mengalir ke Singapura. Atas sebab itulah kita meminta kerajaan Singapura mendepositkan sejumlah pegangan ringgit mereka ke dalam bank Malaysia.

Kita juga hairan bagaimana peniaga mata wang di luar Malaysia boleh memiliki berbilion ringgit duit kita untuk dijual. Saya tertanya-tanya dari mana penyerang mata wang antarabangsa itu memperoleh ringgit?

Mereka melakukan jualan singkat dengan mengikat kontrak untuk menyerahkan ringgit yang sebenarnya tidak mereka miliki. Bagaimanapun lambat-laun mereka perlu juga membuat penyerahan.

Saya bertanya kepada Nor Mohamed bagaimana sejumlah besar mata wang kita boleh meninggalkan Malaysia tanpa dikesan dan bagaimana peniaga boleh membawa keluar berbilion-bilion ringgit. Kita juga tidak mempunyai rekod pembelian ringgit sebelum mereka mula memperdagangkannya sebagai satu komoditi dan dalam proses itu merosakkan kestabilan kadar tukarannya.

Pada satu peringkat, saya membuat kesimpulan bahawa mereka tentu telah membeli sejumlah besar ringgit sebelum memperdagangkannya di pasaran.

Nor Mohamed menjelaskan kepada MTEN bahawa sebenarnya tidak ada wang tunai yang dipindahkan. Sejuta ringgit, walaupun dalam bentuk wang kertas RM100, sudah cukup berat untuk diangkut. Jadi, tentulah mustahil untuk memindahkan ratusan juta ringgit, apatah lagi berbilion ringgit. Lagipun, ringgit hanya sah diperlakukan di Malaysia. Ia tidak boleh digunakan di luar negara.

Bank dan penukar wang di negara lain mungkin menerima ringgit untuk ditukarkan dengan mata wang tempatan, tetapi jumlahnya kecil sahaja. Di penghujungnya, mereka pasti memulangkan mata wang kertas itu kepada Malaysia untuk ditukarkan dengan mata wang pilihan mereka. Bagaimanapun, ini jelas tidak berlaku. Kalau berlaku pun, kita tentu dapat melihat barisan van perisai berulang-alik di antara Singapura dan Malaysia.

Jadi, apakah mata wang yang diperdagangkan sebenarnya? Nor Mohamed menjelaskan bahawa tidak ada wang yang terlibat secara fizikal. Sebaliknya wang sebenar ada di dalam bank-bank Malaysia, kebanyakannya di dalam akaun pemilik wang itu.

Saya bertanya kepada kepada Nor Mohamed apa yang berlaku apabila wang itu dijual atau dibeli. Menurut beliau, sejumlah kecil daripadanya mungkin dimasukkan ke dalam bank atau diambil sebagai tunai. Namun, biasanya wang itu dikreditkan ke dalam akaun penerima atau didebitkan daripada akaun pembayar. Tidak ada transaksi wang tunai berlaku sama sekali. Jual beli dibuat di atas kertas semata-mata. Yang berubah hanyalah angka-angka di dalam akaun bank.

Apabila ringgit didagangkan, tidak ada wang yang menyeberangi sempadan. Dalam erti kata lain, tidak ada wang yang keluar dari Malaysia ataupun masuk ke dalam Malaysia secara fizikal. Proses itu mungkin rumit sedikit bagi dagangan yang melibatkan akaun mata wang asing di bank-bank asing. Begitu pun, ringgit yang diperdagangkan tidak akan sama sekali meninggalkan Malaysia.

Saya sedar bahawa itu mestilah caranya. Jadi, kita meminta Bank Negara menarik balik wang kertas bernilai RM500 dan RM1,000 bagi menyekat orang ramai menyeludup keluar wang. Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku selama ini adalah ringgit Malaysia yang diperdagangkan itu kekal di dalam akaun orang asing di bank-bank Malaysia. Disebabkan wang itu dimiliki oleh orang asing, maka kita tidak boleh menggunakannya.

Ini adalah sesuatu yang baru kepada saya. Saya bukan seorang ahli perbankan dan urusan saya dengan bank juga terhad. Saya selalu membuat pembayaran menggunakan cek tanpa memikirkan bagaimana angka di dalam akaun saya berubah. Transaksi saya umumnya kecil dan diuruskan oleh pembantu peribadi saya.

Saya mula berasa gerun apabila menyedari yang saya telah membelanjakan begitu banyak wang negara tanpa mengetahui apa-apa mengenai operasi bank. Namun, sejak mempelajari bahawa ringgit yang diperdagangkan itu tidak pernah keluar dari Malaysia secara fizikal dan jual belinya hanya membabitkan pemindahan hak milik daripada satu akuan kepada akaun yang lain di dalam bank, maka saya mula berfikir bagaimana kerajaan boleh menggunakan kuasa kawalan Bank Negara ke atas bank-bank di Malaysia untuk menghentikan perniagaan mata wang.

Saya yakin ramai rakan-rakan saya di dalam MTEN tahu bahawa sistem kewangan mewujudkan lebih banyak kredit berbanding mata wang yang dikeluarkan oleh bank pusat. Bagaimanapun, mereka tidak nampak bagaimana maklumat itu mungkin boleh membantu mewujudkan kawalan rasmi ke atas perdagangan mata wang. Mungkin ada baiknya juga kejahilan saya mengenai sistem kewangan sebelum ini kerana ia memberi saya peluang untuk melihat dengan persepktif baru tentang bagaimana boleh menggagalkan peniaga mata wang.

Saya bertanya Nor Mohamed sama ada kerajaan boleh mengarahkan bank agar tidak memindahkan hak milik apabila peniaga mata wang membeli dan menjual ringgit. Beliau menjawab, boleh. Saya pun memikirkan kemungkinan untuk melaksanakannya.

Serentak itu, Tun Daim, Nor Mohamed dan ahli-ahli perbankan di dalam MTEN mula membincangkan kemungkinan menyekat peniaga mata wang daripada memperoleh ringgit. Pada masa yang sama, kita perlu menghentikan jual beli saham syarikat Malaysia melalui Central Limit Order Book (CLOB) di Singapura atau apa yang disebut sebagai dagangan “atas kaunter.”

Ia diwujudkan oleh Singapura untuk meneruskan kegiatan jual beli saham-saham Malaysia selepas kita memisahkan bursa saham kita daripada bursa saham Singapura pada 1989. Urus niaga CLOB menyebabkan harga saham kita merosot terus-menerus.

Indeks Komposit kita, iaitu Kuala Lumpur Composite Index (KLCI) berada di sekitar 1,200 mata apabila serangan ke atas ringgit bermula. Bagi mengelakkan kehilangan wang yang dilaburkan di Malaysia, maka pelabur asing berpusu-pusu keluar dengan menjual saham milik mereka dan menukar ringgit yang mereka peroleh kepada dolar Amerika atau mata wang lain.

Penjualan ini menyebabkan kejatuhan harga saham kita menjadi lebih teruk. Pada satu peringkat, ia jatuh sehingga di bawah 300 mata. Modal pasaran saham yang disenaraikan di bursa saham kita tinggal satu perempat sahaja daripada nilai sebelum krisis.

Kita mendapati bahawa saham yang diniagakan melalui CLOB telah didaftarkan atas nama syarikat-syarikat pemegang amanah. Amalan ini sah dari segi undang-undang, tetapi apabila saham itu dijual dalam lingkungan syarikat pemegang amanah maka pemilikannya tidak berubah; ia kekal dalam tangan syarikat pemegang amanah terbabit. Atas dasar itu maka jual-beli tersebut tidak perlu dimaklumkan kepada Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Yang menjadi masalah adalah penjualan berterusan saham-saham itu menyebabkan harganya jatuh. BSKL tidak dapat berbuat apa-apa mengenai kegiatan CLOB. Transaksi saham-saham Malaysia di CLOB tidak perlu didaftarkan dengan BSKL selagi ia kekal sebagai urusan atas kertas oleh syarikat pemegang amanah yang sama.

Kita perlu menghentikan amalan itu dan memutuskan bahawa tidak ada jual-beli akan diiktiraf kecuali pemilik sebenar mendaftar dengan BSKL. Kegagalan mereka berbuat demikian boleh menyebabkan transaksi berkenaan tidak diiktiraf dan saham yang terlibat, dari segi undang-undang akan dianggap sebagai hak milik penjual.

Sebaik sahaja kita mengenakan syarat itu, saham-saham tidak mungkin boleh diniagakan lagi di CLOB tanpa mendaftarkannya dengan BSKL. Tiada siapa akan membeli kalau saham itu tidak menjadi milik mereka dari segi undang-undang. Ini memaksa pemilik sebenar untuk mendaftar urus niaga mereka dengan BSKL sebagai syarat untuk mendapatkan pengiktirafan.

Tindakan kita itu berjaya menamatkan peranan syarikat pemegang amanah sebagai orang depan dalam perdagangan CLOB. Semua pemilik perlu mendaftar dengan BSKL. CLOB tidak lagi berperanan menjual-beli saham Malaysia. Ia terpaksa ditutup.

Sementara itu, kita juga memutuskan untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika – satu langkah yang pastinya menimbulkan kontroversi. Bagaimanapun, kita perlu menentukan kadar tukaran ringgit sebaik sahaja selepas mengarahkan bank agar tidak memindahkan wang akaun mereka dalam sebarang transaksi.

Kita juga perlu menyediakan rizab mata wang asing, terutama dolar Amerika yang mencukupi dalam bank tempatan dan di Bank Negara sekiranya diperlukan oleh pedagang bagi membayar import mereka. Dan sudah tentulah kita perlu menjamin bekalan ringgit yang mencukupi di bank untuk ditukarkan dengan mata wang asing pada kadar yang kita tetapkan.

Kita sentiasa mendesak agar pendapatan penjualan barangan buatan Malaysia kepada pembeli asing dibawa balik dan didepositkan di dalam bank Malaysia. Sesetengah negara membangun seperti Argentina membenarkan pendapatan eksport disimpan di luar negara.

Dalam kes negara pengeluar minyak Timur Tengah pula, sebahagian mereka tidak pernah membawa pulang perolehan eksport minyak mereka. sebaliknya, mereka membiarkan pendapatan eksport minyak mereka yang sering disebut sebagai “petrodollar”, mengelilingi dunia mencari pelaburan yang paling menguntungkan.

Bagi kita pula, kalau kita benarkan hal ini berlaku maka ia akan mengakibatkan pengaliran keluar yang berterusan pendapatan eksport negara. Kalau kita tidak dapat menggunakan tukaran asing hasil eksport kita, maka kita tidak akan dapat membayar kos import atau melunaskan hutang.

Kesan daripada amalan membawa balik pendapatan eksport itu menyebabkan Malaysia sentiasa mempunyai rizab mata wang asing yang mencukupi untuk digunakan oleh pengimport bagi membeli barangan dan perkhidmatan asing. Apabila kerajaan menetapkan kadar tukaran, ia harus menjamin bekalan mata wang asing yang mencukupi untuk membayar kos import utama pada kadar yang ditetapkan itu.

Kita mungkin boleh memperkayakan diri kita dengan mengukuhkan ringgit kepada paras sebelum krisis, iaitu RM2.50 bagi satu dolar Amerika memandangkan pada masa itu ringgit sudah mula pulih perlahan-lahan. Pada kadar paling rendah, nilai ringgit susut kepada hampir RM5 bagi setiap dolar Amerika. Ia kemudian berkisar sekitar RM3.80 dan RM4.

Kalau ringgit terlalu kukuh pula kerana kita menetapkan kadar tukaran yang amat tinggi maka produk Malaysia tidak dapat bersaing dalam pasaran antarabangsa dengan produk yang serupa dari Thailand, Filipina dan Indonesia. Kita perlu menetapkan kadar tukaran yang tidak terlalu memiskinkan kita dan pada masa yang sama menjamin persaingan produk keluaran kita. Oleh itu, kita memutuskan kadar RM3.80 bagi satu dolar Amerika.

Kita merahsiakan perkara itu, tetapi kita mahu Bank Negara dan BSKL melaksanakannya. Kerajaan perlu menyelia pelaksanaan rancangan itu hampir setiap minit.

Apabila kita mula melaksanakannya, kita tidak pasti sama ada kawalan itu akan memberi sebarang kesan atau tidak. Kita pun tidak tahu sama ada keputusan mengenai pendaftaran wajib jual-beli saham CLOB boleh dilaksanakan atau terbukti tidak praktikal.

Perlu ditegaskan bahawa sewaktu kita mengambil keputusan tersebut di dalam MTEN, Anwar masih menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau tidak membantah rancangan untuk menyekat kegiatan peniaga mata wang dan mengawal urus niaga CLOB.

Dr Noordin Sopiee tampil dengan lebih 30 sebab mengapa kita tidak harus melaksanakan semua rancangan itu. Tidak semestinya beliau tidak bersetuju dengan hujah itu, tetapi beliau mengemukakannya bagi mencabar pemikiran kita.

Saya terpaksa berhujah mematikan setiap bantahan yang beliau kemukakan. Ahli MTEN yang lain menunjukkan tahap sokongan berbeza-beza, dengan sesetengahnya mengatakan bahawa langkah yang kita cadangkan itu tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun sebelum ini.

Memang betul ia berisiko, termasuklah kemungkinan keutuhan mutlak mata wang ringgit. Pasaran gelap mungkin muncul bagi menjual ringgit dengan harga yang lebih murah daripada kadar yang kita tetapkan. Kewangan dan ekonomi negara mungkin menjunam dan tidak boleh dikawal lagi.

Kita sama sekali tidak boleh menjangka apa yang akan terjadi. Bagaimanapun, hujah yang mengatakan kita tidak patut melakukannya kerana ia belum pernah dilakukan oleh sesiapa sebelum ini mungkin sesuai bagi orang yang penakut dan berfikiran kolot. Pendirian itu pastinya tidak sesuai bagi seorang yang bertanggungjawab kepada negara dalam menghadapi saat kesukaran yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Ada orang membangkitkan bahawa wujud keadaan di mana penduduk di kebanyakan negara membangun enggan dibayar dalam mata wang tempatan, sebaliknya mereka mendesak agar dibayar dengan dolar Amerika. Ringgit juga mungkin ditolak sebagai bayaran. Jika ini berlaku maka nilainya tidak lebih tinggi daripada harga kertas yang diguna untuk mencetaknya.

Saya mendapat tahu kemudian bahawa setengah ahli MTEN telah memberitahu beberapa orang Menteri Besar supaya menghalang saya daripada meneruskan langkah yang dirancang. Malangnya, mereka tidak bersedia untuk berdepan dengan saya bagi berbahas mengenai perdagangan mata wang dan CLOB kerana mereka tidak memahaminya.

Malah, pemahaman mereka juga sangat kurang mengenai betapa kompleksnya langkah yang sedang kami rancang dan risikonya. Kalau pun ada antara mereka mempunyai keraguan yang berasas, mereka tidak berkebolehan untuk menyatakan pandangan mereka.

Keadaan itu memberikan kelebihan kepada saya. Saya berasa lega dengan keputusan yang diambil, tetapi itu bukan bermakna saya tidak bimbang dengan kemungkinan rancangan kita akan membawa bencana kepada negara.

Saya berasa gerun mengambil tindakan yang bertentangan dengan kebijaksanaan konvensional serta bercanggah dengan pendapat pakar, termasuk daripada IMF dan Bank Dunia.

Strategi kita tidak syak lagi bercanggah dengan pendapat umum yang dilabelkan oleh pengkritik ekonomi sebagai “contrarian”. Ia bertentangan dengan amalan konvensional dan kalau ekonomi kita runtuh akibat daripadanya maka tidak ada sesiapa pun yang akan menolong kita. Saya sendiri mungkin terpaksa berundur dalam keaiban – sesuatu yang amat saya takuti.

Bagaimanapun, saya lebih takut kepada kemungkinan kita akan hilang kawalan ke atas negara kita sendiri seperti kerajaan Indonesia yang hilang kuasa kepada IMF. Saya amat tidak suka melihat gambar Camdessus berdiri berpeluk tubuh bersebelahan Presiden Suharto ketika menyaksikan pemimpin Indonesia itu menandatangani perjanjian dengan IMF.

Camdessus kelihatan begitu puas dan sinis menyaksikan Presiden Suharto melepaskan kawalan ke atas ekonomi Indonesia yang berupa asas kedaulatan negara itu – kedaulatan yang diperjuangkan dengan begitu gigih dan berani menentang Belanda pada 1940-an.

Saya tentunya tidak mahu Malaysia menderita nasib yang sama. Kita telah cuba memujuk Indonesia agar tidak menyerah kepada IMF.

Menteri Kewangan Indonesia ketika itu, Marie Muhammad berhubung rapat dengan Anwar yang mengatakan beliau ada meminta Marie supaya menasihatkan Suharto agar tidak menurunkan tandatangan.

Saya diberitahu bahawa menjelang waktu itu. Presiden Suharto sudah tidak boleh tidur. Seramai kira-kira 40 juta rakyat Indonesia telah hilang pekerjaan. Rupiah sudah runtuh. Nilainya merudum daripada 2,000 bagi setiap satu dolar Amerika kepada 16,000.

Rusuhan tercetus di ibu negara, Jakarta. Kedai dibakar dan ramai yang terbunuh. Rakyat peribumi Indonesia menyalahkan krisis itu kepada orang Cina Indonesia. Mereka tidak menganggap Amerika dan penguasaannya ke atas IMF sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap krisis mata wang.

Apabila IMF mengambil alih kawalan ke atas kewangan Indonesia, langkah yang mereka paksakan terhadap Indonesia seperti menghentikan subsidi makanan dan minyak telah memburukkan lagi penderitaan rakyat dan lebih banyak rusuhan berlaku.

Thailand dan Filipina yang turut menyerah kepada IMF juga menerima nasib serupa. Hanya Korea Selatan berjaya melakukan pemulihan ketara selepas menyerah kepada IMF.

Saya tidak sedikit pun yakin terhadap kaedah penyelesaian IMF yang dipaksakan oleh Anwar ke atas negara. Menteri-menteri mula mengadu bahawa mereka tidak ada peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan. Semua faedah dan keistimewaan dikurangkan dan langkah jimat cermat mula memberi kesan negatif.

Anwar mahu melihat lebihan belanjawan di mana pendapatan mengatasi perbelanjaan, tetapi mustahil boleh dicapai memandangkan kemerosotan kuasa membeli mata wang ringgit. Jadi, beliau mengurangkan peruntukan belanjawan sebanyak 25 peratus. Kalau kita terus mengurangkan belanjawan maka akan tiba masanya nanti kita kehabisan wang di dalam Perbendaharaan. Kemelesetan ekonomi akan menjadi lebih teruk dan kita mungkin terpaksa menyerahkan kedaulatan ekonomi kita kepada pihak luar.

Saya berazam untuk meneruskan pelaksanaan strategi penyelesaian yang telah dipersetujui. Kemudian pada saat akhir, Anwar menelefon saya untuk memberitahu yang Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohd Don dan Timbalannya, Fong Weng Phak telah menghantar surat peletakan jawatan. Saya terkejut, tetapi tetap bertekad mahu melaksanakan langkah yang telah diputuskan.

Saya meminta pegawai ketiga paling kanan di Bank Negara supaya datang menemui saya. Pada masa itu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah Penolong Gabenor yang bertanggungjawab bagi hal ehwal ekonomi, operasi luar dan pasaran mata wang serta kawalan tukaran asing .(3)

Saya kenal beliau, tetapi tidaklah rapat. Kita kesuntukan masa untuk mencari Gabenor baru, jadi saya serta-merta melantik beliau menjadi Pemangku Gabenor. Beliau datang ke kediaman saya dan saya jelaskan kepadanya apa yang sedang berlaku serta apa yang harus beliau lakukan.

Mujurlah beliau seorang yang berkebolehan dan memberikan sepenuh kerjasama. Menurutnya, beliau akan menghubungi bank dan menghentikan semua pemindahan besar wang yang terbabit dalam perdagangan mata wang. Dalam pada itu, beliau juga akan memastikan pembayaran untuk transaksi perniagaan biasa diteruskan.

Pada 1 September 1998, Zeti secara rasmi mengumumkan pelaksanaan kawalan mata wang dan ikatan ringgit kepada dolar Amerika. Beliau memberitahu media massa: “Kita perlu bertindak bersendirian memandangkan masyarakat antarabangsa telah gagal mengemukakan sebarang penyelesaian yang bermakna kepada keadaan huru-hara kewangan global. Sebaik-baiknya dunia patut bertindak seiringan dan bukannya memaksa negara bertindak sendirian.”

Zeti yang kemudiannya dilantik menjadi Gabenor telah dijemput untuk menyertai MTEN. Beliau memberi maklum balas yang baik mengenai keadaan semasa pasaran dan pergerakan ringgit. Sejak menjadi Gabenor, Zeti telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa kerana kepemimpinannya di Bank Pusat.

Antara perkembangan lain yang diperhatikan adalah kemungkinan munculnya pasaran gelap mata wang ringgit. Kita memantau harga barang bagi memastikan tidak ada pihak cuba membuat keuntungan berlebihan. Kita memastikan bekalan semua barang keperluan utama adalah mencukupi.

Mesyuarat harian MTEN diteruskan. Bank disyaratkan supaya mendepositkan semua tukaran asing yang mereka terima di Bank Negara. Dengan itu, kita tidak pernah kekurangan mata wang asing untuk dijual kepada pengimport tulen. Ikatan ringgit kepada dolar Amerika pada kadar RM3.80 bagi setiap dolar telah dikuatkuasakan dengan begitu tegas sekali dan ini terbukti baik bagi pengimport serta pengeksport.

Kalangan ahli perniagaan gembira menerima ringgit pada kadar RM3.80 setiap kali mereka menukar dolar Amerika atau mata wang lain. Mereka juga selesa dengan jaminan bahawa kita akan mengekalkan kadar tukaran sehinggalah keadaan menjadi stabil semula. Mereka kini boleh merangka belanjawan untuk sepanjang tahun tanpa perlu membabitkan diri dalam kegiatan melindungi nilai ringgit. Ini secara langsung mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Tindakan mensyaratkan pemilik saham mendaftar dengan BSKL dan menghentikan penjualan saham Malaysia yang dipegang oleh syarikat pemegang amanah juga telah membantu menyekat kejatuhan harga di BSKL. Dalam jangka masa singkat, indeks komposit BSKL yang jatuh di bawah 300 mata telah naik semula kepada lebih 800 mata.

Jumlah hutang lapuk turut berkurangan selepas tempoh gagal bayar dinaikkan semula kepada enam bulan dan ekonomi mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Sewaktu krisis, kita memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan masalah yang tercetus. Misalnya, apabila jualan hartanah membeku maka kita menganjurkan kempen pemilikan rumah yang menggabungkan pemaju, pembeli, pembiaya, pegawai kerajaan dan peguam. Pada pameran promosi pertama, kira-kira RM3 bilion hartanah dijual.

Bagi menggerakkan semula industri pembinaan maka kita memutuskan supaya dibina 40,000 unit pangsapuri untuk menempatkan penghuni setinggan. Memandangkan jualan runcit tidak berkembang mengikut keadaan yang sepatutnya maka kita menyediakan tempat pameran untuk peruncit dan di mana perlu, kita membantu mereka merundingkan bekalan pada harga yang lebih murah.

Di samping itu, kita meneliti laporan penggunaan elektrik, pergerakan kargo dan kontena di pelabuhan, ketibaan pelancong, penumpang kapal terbang, pendaftaran kenderaan baru dan banyak lagi. Jadi kita tahu secara terperinci prestasi ekonomi dan sering mencari jalan untuk merangsangnya.

MTEN memberi perhatian utama kepada operasi Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, Danamodal Nasional Bhd dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat yang semuanya ditubuhkan untuk menangani masalah hutang lapuk serta permodalan semula bank.

Kita tidak membenarkan penjualan serta-merta saham yang diperoleh melalui CLOB kerana ini akan menyebabkan kejatuhan harga semua saham. Pemilik saham juga perlu mendaftar terlebih dahulu dengan BSKL. Kemudian kita menubuhkan pula sebuah syarikat khas untuk membeli saham berkenaan, memantau kepulangannya dan akhir sekali menjualnya secara beransur-ansur supaya tidak mengganggu harga saham di BSKL.

Pada mulanya, pemilik saham CLOB itu tidak begitu gembira. Namun, hasil pemulihan pesat BSKL menyebabkan harga saham naik 200 peratus sewaktu syarikat khas yang kita tubuhkan itu mula membeli saham-saham CLOB.

Jadi, mereka terselamat daripada mengalami kerugian besar kewangan yang amat mereka takuti. Mereka juga menunggu seketika sebelum menjual saham mereka dan memperoleh keuntungan besar. Syarikat khas berkenaan turut membuat keuntungan dan kerajaan mendapat balik modalnya yang diberikan dalam usaha menyelamat yang berani.

Dunia mengutuk kawalan mata wang yang kita lakukan dan ramai ahli ekonomi berkata bahawa ia tidak selari dengan sistem perdagangan terbuka. Pakar-pakar meramalkan kemusnahan Malaysia dan dengan gembira menunggu kepulangan kita ke pasaran dunia sebagai pengemis.

Kita bagaimanapun tidak gentar. Kita percaya yang kita telah menemui jawapan tepat kepada penjarahan negara kecil oleh peniaga mata wang. Cara kita mungkin tidak konvensional, tetapi berkesan.

Biarlah orang lain mempertahankan doktrin ekonomi, tetapi bagi kita, yang lebih utama adalah menyelamatkan negara dan diri kita. Akhirnya, kita pulih dengan lebih cepat daripada semua negara yang menerima pinjaman IMF, sama ada secara sukarela atau kerana tekanan. Negara-negara itu telah menyerah diri kepada langkah penyelesaian yang sama untuk semua.

Peniaga mata wang menghentikan operasi mereka. bahkan IMF pun akhirnya mengakui yang cara kita berkesan walaupun mereka tidak memperakukannya kepada negara lain. Pakar ekonomi dan pemenang Hadia Nobel, Joseph Stiglitz menyokong pandangan kita.(4)

Malah, Soros turut mengakui bahawa Malaysia telah mengambil langkah yang betul dengan tidak menyerah kepada IMF.

Dasar yang kita laksanakan berkesan untuk negara kita, tetapi tidak banyak negara membangun berada dalam keadaan yang serupa dengan kita. Ia berkesan bagi kita kerana selain keazaman politik dan kepakaran merangka dasar yang praktikal, kita juga mempunyai simpanan mata wang asing yang banyak di Bank Negara untuk digunakan bagi melindungi kedaulatan ekonomi kita. Selain itu, kita mempunyai simpanan yang besar hasil pengurusan ekonomi yang bertanggungjawab selama ini.

Kejayaan kita menyekat kemaraan peniaga mata wang dan menolak campur tangan IMF bukanlah semata-mata kerana tindakan tegas kita pada masa itu. Ia sebaliknya berpaksikan kepemimpinan ekonomi yang mantap oleh kerajaan dan ketetapan dasar yang dilaksanakan, khususnya dalam dekad 70-an dan 80-an.

Bagaimanapun, krisis mata wang bukanlah satu-satunya masalah yang terpaksa kita tangani. Sehari selepas Zeti mengumumkan kawalan terhad mata wang, masalah saya dengan Anwar meletus.

(1) Perwakilan daripada 44 buah negara bertemu tidak lama sebelum Perang Dunia II untuk berbincang bagaimana memulihkan semula ekonomi dunia.
(2) MTEN ditubuhkan pada 7 Januari 1998 untuk menasihat kerajaan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan krisis kewangan.
(3) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah satu-satunya Gabenor wanita Bank Pusat di Asia. Beliau adalah anak kepada Profesor Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid, pakar Ekonomi Melaya negara yang pertama dan bekas Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Beliau juga adalah cucu saudara Datuk Onn Jaafar, Pengasas UMNO.

 —