Sabtu, 20 Julai 2013

pameran nabi SAW

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.
Di sebelah Masjid Nabawi, Madinah baru-baru ini sedang dilangsungkan pameran mengenai sirah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.
Maklumat dan bahan pameran yang dipamerkan sangat mengujakan para pengunjung.  Ia bukan sahaja dalam bentuk maklumat bacaan, gambar dan gambarajah, bahkan terdapat juga model-model mini yang dibina bagi memberikan gambaran rupabentuk asal beberapa bangunan dan objek penting dalam sirah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  SubhanaALLAH!
DSC_0882
‘Roadshow Exhibition’ mengenai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam yang terletak di sebelah Masjid Nabawi, Madinah.
Berikut adalah beberapa bahan pameran dalam bentuk model yang sempat dirakam pada 30 Jun 2013:
DSC_0869
Model gambaran rumah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam
DSC_0872
Gambaran pemandangan sekitar Madinah pada hayat Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam
DSC_0873
Lagi gambaran pemandangan Madinah
DSC_0874
Model rupabentuk asal Masjid Nabawi
DSC_0875
Model rupabentuk asal Masjid Nabawi dari sudut lain.
DSC_0876
Model rupabentuk asal tiang-tiang utama Masjid Nabawi
DSC_0877
Di sebelah Masjid Nabawi ialah rumah `A’ishah (isteri Nabi), Fatimah (puteri Nabi) dan lain-lain isteri-isteri Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam – radhiAllahu `anhunna.
DSC_0878
Gambaran lokasi rumah `A’ishah dan Fatimah radhiAllahu `anhuma.
DSC_0879
Model rupabentuk asal mimbar Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam yang mempunyai 3 anak tangga.

ramadhan

Zaharuddin Abd Rahman
Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم

Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net 

Jumaat, 19 Julai 2013

guru mesia

"Terkejut kita apabila mendengar berita Astro Awani melaporkan komen seorang bekas Pengarah Pendidikan Malaysia Allaudin Mat Dom mengatakan guru pelatih yang ada di IPG dan sudah menamatkan latihan perguruan di IPG perlu bersedia menukar profession kerana jawatan guru sudah kurang atau tiada. Kita tidak tahu bahawa mungkin ini bukan idea dia tetapi idea Menteri Pendidikan Baru Deris Jusoh yang sengaja dilontar untuk test market.

Persoalan nya mengapa pihak kementerian beriya-iya sangat mahu pelajar cemerlang melayu menjadi guru kalau mereka akan di campak macam sampah di hujung latihan perguruan mereka.Sekarang pemohon pre service teacher dengar dengar nya kena 7A.

Perlu di ingat bahawa status guru pelatih di IPG ialah pre service teacher yang bermakna mereka telah menjadi guru tetapi perlu di latih dahulu saperti juga polis tentera nurse dan bomba. Sebab itu lah mereka mendapat elaun sebelum mendapat gaji apabila di lantik kelak.

Alangkah rugi nya masyarakat Melayu apabila pelajar cemerlang mereka yang sepatutnya menjadi engineer oil and gas dan scientist tiba tiba di perdaya sebegini rupa. Ini jelas satu kezaliman kepada guru pelatih, masyarakat guru dan ibu bapa guru pelatih.

Untuk menyalahkan kes lanjutan pencen umur 60 sebagai alasan melakukan zalim kepada guru pelatih juga ada lah satu helah yang jahat. Adakah Kementerian Pelajaran tidak ada jawatan kuasa unjuran keperluan guru negara mengikut ratio bilangan rakyat per guru serta bukankan mereka dengan senang dapat mengetahu berapa ramai guru akan bersara pada tahun hadapan 2014 ( batch pertama saraan 60) dan berapa ramai patut di latih 5 tahun sebelum itu.

Adakah kementerian pelajaran yang dapat mengeluar Pelan Induk Pendidikan Negara versi 2 tidak berkeupayaan mengurus pendidikan negara sehingga tidak dapat unjurkan pengambilan dan penamatan perkhidmatan guru. Yang paling kartun nya pula guru sekolah yang ada yang sudah tidak minat belajar di galakkan untuk menyambung part time degree pendidikan di university swasta dan universiti tempatan. Kalau dah tahu bilangan guru berlebihan mengapa di sponsor lagi guru yang tua membuat degree. Bukankah ini menjejaskan lagi guru pelatih muda.

Kalau lah masaalah kewangan menjadi masaalah negara mengapa pula ada yang mencadang guru bahasa inggeris dari india untuk mengambil alih tempat guru pelatih tesl. Adakah sekarang kroni BN sudah mencium wujud nya peluang dari kontrak membekal guru dari luar negara ke sekolah Malaysia walau pun menjejas peluang orang Melayu menjadi guru.

Sebenarnya sekarang pihak Kroni BN sudah merintis jalan untuk mencuri duit melalui sistem pendidikan malaysia sehingga terdengar desus desas ada kroni BN sendiri yang sudah merancang membina pusat latihan guru swasta untuk melatih guru tempatan dan luar negara.

Kita harap kerajaan jangan mempermain mainkan sistem pendidikan Malaysia kerana sudah beberapa kali sistem pendidikan kita di peringkat rendah menengah dan tinggi sudah gagal namun rakyat masih bersabar.

Lihat saja kegagalan pengajaran sain dan math dalam BI yang menyebabkan tercicir anak luar bandar. Lihat saja kegagalan pengajian tinggi menghasilkan pelajar yang di kehendaki oleh pasaran kerja, Lihat saja bagaimana BN menghancurkan pasaran kerja tempatan dengan mengambil pekerja asing. Saya rasa Menteri Pelajaran sekarang elok lah meletak jawatan kerana gagal merancang dengan baik masaalah pendidikan negara."
 


http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=7430

Hunain

Ustaz Abu Muhammad Harits,17 Jul 2013
Rasulullah  SAW berangkat dari Makkah pada hari Sabtu di bulan Syawwal tahun ke-8 hijrah.

Menyusun barisan Muslimin

Setelah mendekati wilayah pertahanan musuh, Rasulullah SAW mulai menyusun barisan para sahabatnya dan menyerahkan bendera kepada beberapa orang Muhajirin dan Anshar:
i. Bendera Muhajirin dipegang oleh ‘Ali bin Abi Thalib RA
ii. Bendera juga dipegang oleh ‘Umar bin Al-Khaththab RA
iii. Satu bendera diserahkan kepada Sa’d bin Abi Waqqash RA
iv. Bendera Khazraj dipegang oleh Hubaib bin Al-Mundzir RA
v.  Sedangkan bendera Aus dipegang oleh Usaid bin Hudhair RA

Rasulullah SAW juga menyusun barisan kabilah-kabilah ‘Arab dan menyerahkan bendera kepada mereka. Pada waktu itu beliau mengenakan dua lapis baju perang, topi besi, dan menaiki baghalnya. Di bahagian depan pasukan, beliau menempatkan Khalid bin Al-Walid RA.

Sementara itu, Malik bin ‘Auf mengirimkan mata-matanya mengintai kekuatan kaum muslimin bersama Rasulullah  SAW. Para pengintai itu kembali dalam keadaan ketakutan dan menyarankan agar pasukan Hawazin kembali. Malik menjadi marah dan menuduh mereka pengecut serta menahan mereka di dekatnya agar tidak menimbulkan keresahan di tengah-tengah pasukan.

Serangan mendadak

Begitu tiba di Hunain dan mulai menyusuri lembah, masih dalam keremangan subuh, pasukan Hawazin secara serempak dan tiba-tiba menyerang kaum muslimin yang belum bersiap sepenuhnya. Ternyata pasukan Hawazin telah bersembunyi lebih dahulu di balik-balik bukit lembah Hunain. Mereka betul-betul menjalankan strategi Duraid bin Ash-Shimmah untuk melakukan serangan mendadak dan serempak.

Mendapat serangan mendadak ini, meskipun tersentak, kaum muslimin dapat juga melakukan pembalasan dan menyerang mereka dengan hebat. Akhirnya pasukan musuh kewalahan dan melarikan diri serta meninggalkan kaum muslimin dengan ghanimah yang cukup banyak. Kejadian ini mungkin persis dengan peristiwa Uhud, sebelum mereka dihabisi oleh pasukan berkuda yang ketika itu dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid.

Kaum muslimin akhirnya sibuk dengan ghanimah, lupa jalannya pertempuran dan lengah, padahal musuh belum ditumpas seluruhnya, dan mereka masih bersembunyi.

Melihat keadaan ini, pasukan musuh mulai melancarkan serangan mematikan. Ratusan panah dan tombak bahkan batu-batu meluncur bagai hujan yang sangat deras menyerang kaum muslimin. Jeritan kematian berkumandang, pekik kesakitan terdengar riuh. Sebagian pasukan muslimin melarikan diri meninggalkan gelanggang pertempuran. Mereka terus berlari kucar-kacir meninggalkan Rasulullah  SAW dengan beberapa sahabatnya, di antaranya Abu Bakr dan ‘Umar RA. Sementara itu, tali baghal beliau dipegang oleh saudaranya Abu Sufyan bin Al-Harits bersama ‘Abbas bin ‘Abdul Muththalib RA.

Pasukan kaum muslimin semakin terdesak. Kekalahan mulai membayang. Allah SWT berfirman menceritakan peristiwa ini:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu ketika kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.” (Surah at-Taubah : ayat 25)

Pasukan berkuda Bani Sulaim mulai tercerai-berai, lari meninggalkan Nabi SAW lalu diikuti orang-orang Makkah dan yang lainnya.

Nabi  SAW sendiri mengambil posisi di sebelah kanan sambil memanggil: “Wahai kaum muslimin, ke sini! Aku Rasulullah. Aku Muhammad bin ‘Abdullah!” Tapi tak ada yang menoleh. Orang-orang berlarian, kecuali beberapa gelintir sahabat dan ahli bait beliau, seperti ‘Ali, ‘Abbas, Abu Sufyan, Fadhl bin ‘Abbas, dan lainnya.

Di saat yang genting itu, orang-orang yang masih menyimpan dendam terhadap Rasulullah  SAW mencoba mengambil kesempatan untuk membunuh beliau diam-diam.

Ibnu Ishaq mengisahkan dalam Sirahnya:

Syaibah bin ‘Utsman Al-Hajibi bercerita: “Setelah pembebasan kota Makkah, aku ikut bersama Quraisy menuju Hawazin, dengan harapan dapat membunuh Muhammad SAW, agar akulah yang menuntaskan dendam Quraisy. Aku katakan: ‘Seandainya tidak tersisa satupun Arab dan ajam melainkan mengikutinya, nescaya aku tetap tidak akan mengikutinya, selama-lamanya’.”

Setelah kedua pasukan mulai saling serang, aku pun menghunus pedang sambil mendekati Rasulullah  SAW. Ketika aku menghayunkn pedang, tiba-tiba api menyambar bagai kilat. Aku menutupi mata karena takut melihat api tersebut. Rasulullah SAW menoleh ke arahku lalu memanggilku: “Wahai Syaib, kemarilah!”

Aku pun menghampiri baginda lalu Nabi SAW mengusap dadaku dan berdoa: “Ya Allah, lindungilah dia dari syaitan.”

Sungguh, demi Allah. Saat itu juga baginda bertukar menjadi orang yang lebih aku cintai dari penglihatan dan pendengaranku serta diriku sendiri.

“Kemarilahlah dan seranglah musuh-musuh itu,” kata beliau. Aku pun maju menyerang dan sungguh, seandainya aku bertemu ayahku waktu itu juga tentu aku tikamkan pedangku ke tubuhnya.

Akhirnya, aku pun selalu bersama baginda sehingga pasukan berkumpul kembali. Aku mendekatkan baghal kepada Rasulullah  SAW hingga beliau duduk di atasnya. Beliau pun bergabung dengan pasukan muslimin.

Ketika aku masuk ke dalam khemah baginda, Nabi SAW berkata kepadaku: “Wahai Syaib, apa yang diinginkan Allah untuk dirimu lebih baik daripada apa yang engkau inginkan untuk dirimu sendiri.”

Keberanian Rasulullah  SAW

Rasulullah SAW yang dalam peperangan selalu di barisan depan, berseru memanggil para sahabatnya: “Wahai kaum muslimin, kemari! Aku Muhammad bin ‘Abdillah.”

Tetapi tidak ada yang menoleh memerhatikan beliau. Setiap orang berusaha menyelamatkan dirinya sendiri dari serangan mendadak yang dilancarkan pasukan Hawazin. Kaum muslimin betul-betul bercerai-berai. Jumlah banyak yang mereka banggakan tak sedikitpun menolong.

Memang kenyataannya demikian. Kemenangan dalam sebuah pertempuran bukan ditentukan oleh jumlah kekuatan dan perbekalan serta keahlian perang semata. Allah SWT berfirman, maksudnya:

“Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah.”
 (Surah al-Baqarah : ayat 249)

Kemenangan dan pertolongan itu murni dari sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman, maksudnya:

“Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
 (Surah ali-Imran : ayat 126)

Dengan diapit Abu Sufyan dan ‘Abbas bin ‘Abdul Muththalib RA, Rasulullah  SAW terus menuju ke arah barisan pertahanan musuh. Bahkan dengan sengaja beliau berseru lantang:

“Aku adalah Nabi, bukan pendusta! Aku putra ‘Abdul Muththalib!”

Pernyataan ini membuat beliau menjadi sasaran empuk panah dan tombak musuh yang menyerbu dengan derasnya. Kerana seruan beliau ini seolah-oleh memberitahukan kepada musuh siapa dan di mana kedudukan beliau. Pasukan musuh yang memang bercita-cita melenyapkan beliau dan menumpas dakwah beliau mengarahkan panah serta tombak mereka kepada beliau.

Derasnya panah dan tombak musuh tidak membuat luntur semangat beliau. Bahkan beberapa sahabat yang menyertai beliau semakin merapat ke dekat beliau.

Kemenangan sesudah kekalahan

Allah SWT berfirman:

“Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentara yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir.”
(Surah at-Taubah : ayat 26)

Melihat pasukan muslimin semakin lemah, Rasulullah  SAW memerintahkan ‘Abbas untuk berseru lantang: “Wahai ‘Abbas, panggil para pengikut Bai’at Ridhwan (Ash-habus Samurah).”

‘Abbas mulai berseru: “Wahai orang-orang Anshar yang menampung dan membela. Wahai kaum Muhajirin yang bersumpah setia di bawah pohon. Ini Muhammad masih hidup, kemari!”

‘Abbas mengulangi seruannya: “Wahai Ash-habus Samurah. Wahai penghafal Surah al-Baqarah!”

Teriakan ‘Abbas menggema mengalahkan dentingan pedang dan tombak yang beradu. Menembus ke dalam jantung mereka yang mengerti erti panggilan itu.

Serta-merta dengan izin Allah SWT, terbangkitlah semangat kaum muslimin. Bagaikan sapi betina yang meradang melihat anaknya terancam bahaya, perajurit muslimin berbalik menyambut seruan ‘Abbas: “Labbaik, labbaik.”

Mereka yang berada di atas kuda dan untanya berusaha membelokkan unta dan kudanya ke arah Rasulullah  SAW yang berada di tengah-tengah kepungan musuh.

Kuda dan unta itu menolak kembali bersama tuannya. Akhirnya, mereka lemparkan pedang, tombak dan perisai ke tanah, lalu mereka lepaskan tunggangan mereka. Sedangkan mereka segera berlari mengikuti suara ‘Abbas menembus kepungan musuh terhadap Rasulullah SAW.

Perlahan tapi pasti, mulai terkumpul kembali seratus orang di sekitar Rasulullah SAW. Rasulullah  SAW memungut beberapa butir batu lalu melemparkannya ke arah musuh sambil berkata: “Wajah-wajah buruk.” Muka yang terkena lemparan menjadi hitam. Perang semakin memuncak.

Ternyata pasukan musuh tidak berani berhadapan langsung dengan pasukan kaum muslimin. Keadaan bertukar.

Pasukan muslimin yang tadi melarikan diri, mulai merapat ke arah Rasulullah  SAW. Pertempuran sengit semakin berkobar. Satu demi satu korban dari pihak musuh mulai bertambah. Ali bin ‘Abi Talib RA menewaskan lebih dari 40 orang. Sementara Khalid bin Al-Walid RA terluka cukup berat.

Kali ini, Malik bin ‘Auf dan pasukannya benar-benar terdesak. Kekalahan mulai nampak. Mental pasukannya sudah jatuh. Akhirnya mereka melarikan diri meninggalkan harta dan keluarga mereka. Jatuhlah ke tangan kaum muslimin ribuan tawanan perang yang terdiri daripada anak-anak dan kaum wanita. Juga puluhan ribu ternak terdiri dari 40,000 ekor unta dan ribuan ekor kambing serta ribuan uqiah perak.

Setelah menempatkan ghanimah tersebut di tempat yang aman, mulailah kaum muslimin menyiapkan senjata untuk mengejar musuh yang melarikan diri.

Kaum musyrikin yang dipimpin Malik bin ‘Auf berlari menuju Thaif dan menyusun pasukan di Authas. Ketika mereka di Authas, Rasulullah SAW mengirim pasukan dipimpin oleh Abu ‘Amir Al-Asy’ari. Terjadi pertempuran dan Abu ‘Amir terkena panah musuh dan gugur sebagai syahid.

Bendera pasukan dipegang oleh Abu Musa Al-Asy’ari. Dia pun memerangi mereka dengan hebat dan Allah SWT pun memenangkan mereka.

Malik bin ‘Auf terus melarikan diri berlindung ke benteng Tsaqif.

Membahagi ghanimah

Sengaja Rasulullah SAW menunggu beberapa hari dengan harapan ada pihak Hawazin yang datang masuk Islam, meminta tawanan dan harta mereka. Namun sudah ketetapan Allah SWT bahawa ghanimah berupa harta itu menjadi hak kaum muslimin. Kemudian mulailah Rasulullah SAW membagikan ghanimah yang diperoleh dalam perang Hunain itu.

Beliau memberi harta itu kepada orang-orang yang dilunakkan hati mereka kepada Islam. Abu Sufyan diberi seratus ekor unta dan 40 uqiyah perak. Dia berkata: “Puteraku Yazid?” Kata Rasulullah  SAW: “Beri dia seratus ekor unta dan 40 uqiyah perak.” Abu Sufyan menukas: “Anakku, Mu’awiyah?”

Akhirnya Mu’awiyah juga menerima jumlah yang sama. Setelah itu, beliau memberi Hakim bin Hizam seratus ekor unta dan dia minta seratus lagi, beliau memberinya. Kemudian An-Nadhr bin Al-Harits bin Kaladah menerima seratus ekor unta. Kemudian beberapa orang lainnya dari pembesar Quraisy. Ghanimah yang dibagikan itu hampir mencapai 14,850 ekor unta, yang diambil dari khumus.

Termasuk yang ada dalam ghanimah tersebut adalah Asy-Syaima`, saudara perempuan Rasulullah  SAW satu susuan. Ketika dia dihadapkan kepada Rasulullah SAW, dia menerangkan siapa dirinya. Rasulullah SAW bertanya kepadanya apa tanda buktinya. Asy-Syaima` mengatakan bahwa di bahagian punggungnya masih ada bekas gigitan Rasulullah SAW ketika dia dahulu menggendong beliau. Setelah beliau mengenalnya, beliau menghormatinya, membentangkan kainnya dan mendudukkannya di atas kain itu lalu memberinya pilihan.

Asy-Syaima` masuk Islam dan memilih pulang ke kampung halamannya. Oleh Rasulullah  SAW, dia diberi sepasang budak yang kemudian mereka nikahkan. Wallahu a’lam.

Setelah itu beliau perintahkan Zaid bin Tsabit menghitung kambing dan jumlah pasukan. Baru kemudian beliau bahagikan kepada pasukan. Setiap orang menerima empat ekor unta dan 40 ekor kambing. Kalau dia dari pasukan berkuda, dia menerima 12 ekor unta dan 120 ekor kambing.

http://www.salafy.or.id

Beragama

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil,18 Jul 2013
“Abah tak paksa. Terpulang kepada kamu. Cuma dulu arwah Tok ada pesan, keluarga kita keluarga ulama. Kalau boleh biarlah ada anaknya yang mengikut jejak. Tak dapat anak, cucu pun Alhamdulillah” itu sisa-sisa memori saya tentang dialog bersama abah lebih 20 tahun yang lalu.

Dialog itu mengisi perbualan kami semasa abah menghantar saya ke peperiksaan kemasukan MRSM di Sekolah Cator Avenue.

Saya termenung.

Biar pun latar belakang kehidupan saya semasa kecil, tidaklah terlalu berhias dengan agama, namun kecenderungan itu terjadi sendiri. Bermula dengan aktiviti mewakili sekolah dalam pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan minat yang mendalam kepada subjek agama di sekolah rendah yang tidak seberapa itu.

Lalu dilorongkan Allah, semua tawaran menyambung pengajian yang saya terima semasa melangkah ke alam sekolah menengah, terdiri daripada sekolah agama belaka. SMKA Sultan Azlan Shah, SMAP Labu Negeri Sembilan, SMA Idrisiah Kuala Kangsar dan SMA Izzuddin Shah Ipoh. Atas sebab yang pelbagai, SMA Izzuddin Shah jua yang dipilih. Saya mensyukurinya.

Tidak perlu menunggu lama, semenjak di minggu orientasi lagi, saya sudah mengalami keributan jiwa. Seakan-akan lahir semula, perasaan beragama jadi begitu mendalam. Sering sahaja mata basah dengan air mata mengenang kehidupan, dan mula belajar mengikat serban. Saya suka ke depan, dan kini saya bertemu dengan sebab yang lebih tulen untuk ke depan. Kerana agama.

Simpang Kehidupan


Panjang likunya.

Keputusan peperiksaan yang baik di simpang SRP, SPM dan semasa temuduga biasiswa, akan mencabar nekad diri untuk menjadi ‘orang agama’. Tatkala dibentangkan dengan pelbagai peluang dan ruang untuk memilih jalan yang lain, saya terus dilorongkan dan melorongkan diri hingga akhirnya sampai ke tempat saya bakal diacu menjadi ‘orang agama’.

1993 saya tiba di Jordan.

“Kenapa ambil bidang agama? Kenapa tidak buat ekonomi?” tanya bapa saudara saya.

Terkejut dengan pilihan yang saya buat.

Saya hanya mampu tersenyum, kelat. Tidak berkata-kata. Malah harus kuat semangat untuk melawan persepsi yang bertentangan.

Kejutan


Keberadaan saya di gelanggang ilmu selama bermastautin di Jordan banyak likunya. Saya tersepit di antara pengajian yang saya sendiri pilih, dengan kegagalan mencari kepuasan di dalam apa yang saya lakukan. Entah di mana silapnya, serba serbi jadi tidak kena. Minat kepada subjek-subjek Syariah tidak hilang, tetapi keghairahannya berpindah, tumpah ke bidang Sejarah.

Apabila direnung-renungkan balik, syukurlah bidang itu bidang yang saya pilih. Bukan sesuatu yang dipaksakan ke atas saya. Tatkala dihinggap kejemuan, teringat kembali kepada segala peluang lain yang dilepaskan untuk ini. Bukan saya sendirian, malah rakan-rakan yang lain juga.

Dalam komuniti pelajar agama, pelbagai kerenah dan insiden yang berlaku. Bukan sedikit nanah yang membusung. Semuanya mencetuskan jatuh bangunnya maruah pelajar Malaysia di rantau orang. Apatah lagi pelajar agama. Tatkala puncanya cuba dikesan, bertemu kita dengan beberapa peringatan.

Antara yang paling utama, jangan sesekali berjuang dalam paksaan. Ibu bapa, paksalah anak belajar dan faham agama, tetapi jangan dipaksa anak itu menjadi ‘orang agama’. Ilmu agama itu perlu untuk bekalan diri, tetapi memaksa anak menjadi ‘orang agama’ tanpa kerelaan hati si anak, bukan sahaja merosakkan dirinya, malah anak itu ada upaya pula merosakkan orang lain.

Ayah dan ibu manakah yang tidak mahu melihat anaknya mendalam pengetahuan dan penghayatannya terhadap agama? Segala kepedihan, cabaran dan pengorbanan selama membesarkan anak, terasa berbaloi dan berbayar kembali tatkala si anak merendangkan seisi keluarga di bawah teduhan agama.

Bacaan al-Qurannya…

Kepimpinannya di dalam solat…

Penghargaan yang diterimanya dari masyarakat…

Itulah anak soleh juga solehah, yang bakal mendoakan si ayah dan ibu tatkala berangkat pergi, di suatu hari nanti.

Impian itu diterjemahkan di dalam keinginan ibu bapa melihat anaknya memilih bidang agama. Mungkin manifestasi awalnya ialah pada memasukkan si anak ke sekolah Tahfiz. Mungkin dimasukkan ke sekolah agama. Atau apa-apa platform ke arah menjadikan anak itu beragama.

Tetapi ada kalanya ibu bapa keliru di antara menjadikan si anak beragama dengan menjadikannya orang agama. Apa yang dihajatkan oleh seorang ibu dan seorang bapa itu hakikatnya sudah sempurna tercapai apabila si anak menjadi manusia beragama. Tidak semestinya hingga jadi orang agama.

Sedangkan usaha menjadikan anak sebagai orang agama, adalah sesuatu yang mesti dinilai dan dipertimbangkan dari banyak sudut.

Minat dan Kecenderungan


Pertama, apakah si anak itu ada minat dan kecenderungan?

Pengalaman saya di sekolah agama, dan kemudiannya pergi bermusafir di negara Arab dan menuntut di fakulti agama, memperlihatkan banyak ‘sampel’ yang sulit, antaranya berpunca daripada anak yang dipaksa ibu bapa melakukan sesuatu yang anak itu langsung tidak minat. Hidup bertahun dalam jiwa yang memberontak, bukanlah sesuatu yang sihat.

Sama sahaja dengan bidang-bidang yang lain. Ibu bapa yang menentukan destinasi kerjaya anak-anak mungkin berhasil dalam keluarga tertentu, tetapi ia adalah suatu penderitaan dan beban yang besar bagi kebanyakan.

Minat anak-anak berkembang dan bercambah hasil interaksi dirinya dengan persekitaran, semenjak kecil. Tidak semestinya anak seorang doktor akan terpengaruh untuk turut sama menjadi seorang doktor suatu hari ini. Ia bergantung kepada cara si anak diperkenalkan dengan kerjaya ibu atau bapanya yang doktor itu, serta bagaimanakah beliau menafsirkannya.

Mungkin si anak kagum dengan kerjaya kedoktoran orang tuanya, mungkin sahaja si anak membenci kerjaya itu, kalau tak kena gaya. Atau mungkin sahaja si anak tidak menunjukkan rasa benci atau suka, sebaliknya cenderung sahaja kepada minat-minat yang lain.

Maka, memaksakan kerjaya tertentu kepada anak, bukanlah suatu pendekatan yang mudah. Ia terlalu subjektif untuk saya katakan positif atau negatif, tetapi bagi diri saya… anak-anak bebas memilih kerjaya yang sesuai dengan bakat, minat dan kelebihan yang ada pada dirinya.

Daripada Jabir bin ‘Abdillah, sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat untuk manusia.” [al-Jami' al-Saghir oleh al-Suyuti no. 4044]

Itulah yang seharusnya diberi perhatian. Bahawa kerjaya yang dipilih itu harus menjadi saluran manfaat dirinya kepada manusia. Dan untuk nilai ini menjadi asas pemilihan kerjayanya, si anak harus dibentuk dari awal untuk menjadi manusia yang berakhlaq dengan sikap berbudi dalam berbahasa dan memberi dalam menerima.

Saluran manfaat itu pelbagai. Seeloknya biarlah saluran itu saluran yang berjaya mengahwinkan manfaat dengan minat.

Kilang Manusia Tercemar


Terlalu berat untuk saya ungkapkan di sini, tetapi saya khuatir dengan nasib sekolah agama malah fakulti-fakulti agama. Kita meyakini bahawa agama adalah bahan paling utama dalam membentuk manusia kita. Maka amat besarlah musibahnya apabila institusi agama menjadi tempat berkumpulnya manusia yang runtuh jiwanya, musnah akhlaknya, dan kebanyakan kelakuan tidak senonoh dalam kalangan bakal ‘orang agama’ ini adalah berpunca daripada paksaan ibu bapa ke atas mereka.

Paksa anak belajar agama, tetapi jangan paksa anak jadi orang agama!

Keduanya, jika anak mahu dipaksa masuk ke bidang agama untuk menjadi orang agama, apakah telah jelas di fikiran ibu bapa dan anak-anak apakah kerjaya yang bakal disandang oleh anak selepas tamat pengajian nanti?

Soalan yang sering saya tanya, KENAPA MAHU JADI USTAZ?

Saya sudah pun mengungkapkan dengan panjang lebar di dalam artikel saya dengan tajuk yang sama. Tetapi perspektif ibu bapa terhadap hal ini juga mesti dinilai kembali.

Kita mahu anak kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa, atas keyakinan kita bahawa anak seperti ini ‘menyelamatkan’. Inilah anak yang bakal mengemudi keluarga, menghulurkan doa selepas ketiadaan kita, menyejukkan mata, jiwa dan telinga dengan bacaan al-Quran dan lafaz hadis pada bibirnya, tetapi perlukah untuk mencapai semua itu, seorang anak menjadi ‘orang agama’?

Menjadi orang agama dengan menjadi orang yang beragama adalah dua perkara yang boleh bertindan, tetapi nyata ia adalah dua identiti yang berbeza. Khususnya apabila ia dikaitkan dengan kerjaya.

Peluang pekerjaan untuk orang agama itu agak berbeza. Jika dia mahu mengikut spesifikasi kerja yang bersesuaian dengan kelulusannya, maka berapakah jumlah tenaga manusia yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru KPLI, J-QAF, jabatan-jabatan agama, Baitulmal dan guru-guru di pelbagai sektor lain? Berapakah jumlah kekosongan untuk menjadi pensyarah di bidang agama?

Pendek kata, persaingannya sangat tinggi. Untuk si anak pergi mengisi kekosongan ini, mereka harus outstanding dengan kelebihan masing-masing.

Malah sebelum mereka pergi mengisi kekosongan itu, apakah selaras minat mereka di bidang agama dengan minat mereka untuk mengisi kerja-kerja admin di jabatan-jabatan agama?

Bagaimana pula dengan tugasan sebagai Imam sepenuh masa di sebuah masjid? Tidak dinafikan, status sosial seorang Imam di dalam komunitinya memang baik. Tetapi penghormatan yang diberikan oleh masyarakat mungkin tidak setimpal dengan keperluan hidupnya. Bertugas sebagai imam belum lagi secara umumnya boleh menjadi suatu profesyen di negara kita.

Saya bukan sahaja memaksudkan ia dari aspek penggajian, malah Imam-imam di masjid kita masih dibayar secara elaun, bekerja dengan taraf kontrak, tiada pencen, EPF atau yang seumpama dengannya, malah skop kerja yang membosankan. Disebabkan oleh kongkongan pelbagai pihak terhadap peranan sebuah masjid, para Imamnya juga turut terbantut perkembangan diri.

Semasa saya bertugas sebagai Imam sepenuh masa di Ireland Utara, kebebasan yang dinikmati oleh masjid-masjid di sana telah menjadikan tugasan saya bercabang kepada peranan-peranan berikut:

* Mengimamkan solat lima waktu dan Jumaat.
* Mengajar jemaah masjid kitab Nuzhat al-Muttaqin Sharh Riyadh al-Salihin.
* Menjadi jurunikah untuk menikah kahwinkan pasangan, serta menguruskan hal ehwal rumahtangga termasuk penceraian dan konflik rumahtangga.
* Menjadi pegawai agama (Muslim Chaplain) di hospital, penjara dan universiti (QUB).
* Menjadi pengetua sekolah.
* Menjadi guru pada masa yang sama.
* Membangunkan silibus pendidikan sekolah.
* Mengendalikan dialog interfaith dengan tetamu masjid.
* Menjadi webmaster halaman web masjid.
* Bertindak sebagai ‘kaunselor’ untuk membantu menyelesaikan masalah yang pelbagai oleh komuniti

Skop kerja ini memang agak ‘gila’ dan saya tidak dapat menafikan trauma yang saya alami akibat beban kerja yang teramat sangat itu. Tetapi tekanan itulah yang kemudiannya tanpa sedar telah memaksa diri saya untuk berkembang.

Apakah seorang imam di dalam sistem yang menguruskan masjid kita (jika ada sistem) memberi ruang yang luas untuk seorang anak muda berkembang? Tatkala seorang imam muda bertemu dengan rakan-rakannya yang menyambung pengajian peringkat sarjana, atau masuk ke bidang kerja yang kelihatannya punya prospek yang lebih baik, ditambah dengan rutin kerja seorang imam yang sangat hambar lagi membosankan, saya tidak terkejut jika perjawatan imam tidak mampu kekal lama. Sering sahaja berganti.

Jika seorang ibu dan bapa mahu menyalurkan anak kepada kehidupan seperti ini, mereka harus cuba untuk memahami apakah bentuk dilema dan cabaran yang bakal membelenggu mereka.

Terjun ke masyarakat sebagai seorang ustaz dan ustazah jadi lebih mencabar apabila dirinya tidak cukup kompetetif dalam menangani keperluan masyarakat. Seorang Imam yang hafiz 30 juzuk, menjadi Imam di sebuah masjid yang dikelilingi masyarakat korporat dalam keadaan Imam itu tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mengetahui dan memahami kehidupan ahli jemaahnya yang sangat urban itu, pasti akan berdepan dengan konflik.

Jika tidak dengan kaum ibu dan kaum bapa, mungkin sahaja berdepan dengan konflik tatkala berinteraksi dengan anak-anak mereka yang English Oriented itu.

Kesimpulannya, apabila seorang anak muda memilih atau dipaksa memilih untuk menjadi orang agama, dirinya harus membuat persediaan yang sesuai dengan cabaran yang bakal menanti. Pelajar yang cemerlang semasa di alam persekolahan, tetapi kemudiannya memilih untuk menjadi orang agama, harus bersedia untuk mungkin bertemu semula dengan rakan sekolah 15 tahun selepas SPM dalam keadaan taraf kerjaya yang jauh berbeza. Mungkin yang paling cemerlang itu bukan yang hidupnya paling senang.

Kemampuan


Terakhir, jika soal minat dan kesediaan terhadap cabaran itu sudah diambil kira, maka keputusan untuk membuat pengkhususan di bidang agama mestilah pula mengambil kira soal keupayaan.

Kita tidak mahu bidang agama menjadi ‘tong sampah’ tempat mengumpul manusia buangan yang tidak mempunyai peluang di tempat lain. Kita tidak punya harapan yang tinggi jika bidang agama dipenuhi oleh pelajar yang lemah kemampuan. Ketika agama semakin dicabar oleh masyarakat hari ini, ia diburukkan lagi oleh agama yang dipimpin oleh orang agama yang mundur, tiada keupayaan untuk berdiri sama ada dengan kesarjanaan yang baik, mahu pun jati diri yang cemerlang.

Orang agama yang selekeh ilmu dan selekeh sikap hanya memburukkan lagi keadaan masyarakat kita.

“Susah sangatkah bidang agama ini?”, mungkin ada yang bertanya begitu.

Memang tidak susah. Jika sasarannya ialah sekadar mahu lulus. Cukup sekadar pulang dengan maqbul.

Tetapi jika seseorang itu mahu menjadi orang agama yang ada kesediaan terhadap challenge and response yang sentiasa berubah dan menuntut perubahan, bidang agama memerlukan pelajar yang ada kelayakan untuk ke bidang perubatan, kejuruteraan dan undang-undang.

Antara Beragama dan Menjadi Orang Agama


Justeru, ibu bapa harus mempertimbangkan sebaiknya, bahawa untuk waladun sooleh yad’uu lahu (anak soleh yang mendoakannya) itu berhasil, mungkin anak itu tidak perlu dipaksa untuk menjadi orang agama. Keutamaannya ialah pada memastikan si anak menjadi manusia beragama.

Tiada masalah untuk anak-anak meneruskan minat mereka di bidang Sunnatullah, kerana jalan untuk mereka itu melengkapkan diri dengan Syariatullah itu pelbagai dan terus ada sepanjang masa. Namun untuk seorang anak yang cemerlang masuk ke bidang Syariatullah, biarlah ia berlaku hasil minat, kemahuan dan kemampuan anak itu sendiri. Paksaan ibu bapa untuk anak ‘berkorban’ dengan masuk ke bidang agama, tanpa kesediaan minda yang betul, akan menjadi racun yang membinasakan.

Alternatif
Mungkin kini, peluang melanjutkan pelajaran ke bidang perubatan di negara-negara seperti Mesir, Jordan malah mungkin juga di negara seperti Indonesia dan India, anak-anak ini mempunyai peluang yang luas terbuka untuk turut sama mengambil peluang mengukuhkan ilmu agama mereka. Selain dari silibus yang mengintegrasikan di antara subjek-subjek teras perubatan dan agama, peluang menambah ilmu melalui universiti yang didominasi bidang pengajian Islam, peluang bertalaqqi dan mengambil manfaat dari ulama’ yang ramai… boleh membantu.

Soal anak menjadi orang agama atau tidak, seeloknya biarlah atas pilihan dan perancangan. Namun untuk menjadi orang yang beragama, ia bukan pilihan, biar pun mungkin dengan sebuah paksaan!

Saya bercakap tentang realiti, jauh dari ilusi dan fantasi. Anda mungkin tidak enak membacanya.

http://saifulislam.com/