Rabu, 18 September 2013

pelajar derhaka

Assalaamu'alaikum w.b.t.......  Kebetulan emak saya adalah seorang guru mengaji Al-Quran sama ada kepada kanak-kanak mahupun orang dewasa, maka saya coretkan serba sedikit tentang senario kanak-kanak mengaji Al-Quran yang saya tengok pada zaman sekarang dan cuba bandingkan dengan zaman saya kecik-kecik dulu.
Ada satu kes sebelum ini, dimana beberapa orang kanak-kanak, yang sebelumnya mengaji Al-Quran di kelas KAFA, secara beramai-ramai, datang mengaji dengan emak saya. Kononnya mereka sudah KHATAM Al-Quran. Tetapi setelah diperhatikan bacaan mereka oleh emak, rata-rata mereka tak MENGENAL pun lagi sebenarnya. Ntah bagaimana mereka boleh termasuk dalam kategori kanak-kanak yang khatam Al-Quran pun saya tak tahu.
Cuma apa yang saya tahu, emak saya beritahu saya, di kelas KAFA itu mereka baca beramai-ramai dalam satu masa. Maka kalau kita fikir logik pun, kalau dah baca beramai-ramai begitu, bagaimana guru mengaji dapat mengesan kesalahan setiap individu? Adakah guru mengaji tersebut mempunyai kelebihan 'super' atau seperti 'mutant'? :D
Sudah tentu lah kalau baca ramai-ramai begitu, kita tidak dapat membetulkan bacaan setiap pelajar. Maka akan wujud lah pelajar yang hanya pandai menghafal bacaan tetapi tidak mengenal pun tulisan yang dibaca oleh mereka. Baiklah, saya stop dulu, kalau nak ceritakan tentang perkara ini, jadi panjang lah pulak nanti tulisan ni. Maka saya teruskan saja kepada perbandingan kanak-kanak mengaji zaman dahulu dengan zaman sekarang.
Perbandingan zaman dahulu dengan zaman sekarang
- Kalau dahulu, kanak-kanak biasanya sangat takut kepada guru Al-Quran. Jika datang mengaji terus senyap tak terkata dan tidak berani untuk buat bising. Kalau tidak ada yang menangis kerana dirotan atau dihukum, tidak sah.
Tetapi zaman sekarang, kanak-kanak takut guru pun hanya ketika guru marah sahaja, kemudian apabila guru tenang balik, mereka akan lupa dan buat bising atau lalai kembali. Malah ada juga kanak-kanak yang jenis 'tidak makan saman'.
Ada yang datang mengaji waktu orang azan maghrib. Apabila ditanya pada mereka sudah solat ke belum, mereka jawab sudah huhu. Kemudian buat bising pula ketika guru sedang solat, macam mana guru tidak marah. Kalau sekali dua mungkin biasa, tetapi kalau hari-hari begitu, hilang sabar juga guru.
Ini menunjukkan sudah semakin kurang dan tipis rasa hormat murid terhadap guru, maka bagaimana untuk berkat belajar mengaji? Apakah ibubapa mereka tidak pesan agar JANGAN BUAT BISING, HORMAT GURU, perhati Al-Quran betul-betul apabila datang mengaji dan sebagainya?
- Waktu saya kecil dahulu (sekitar tahun 1980an), saya lihat dalam ramai-ramai kanak-kanak yang datang mengaji, ada lah seorang dua yang benak dan merangkak membaca, serta lambat faham.
Zaman ini pula, seramai kanak-kanak yang datang mengaji, ada lah seorang dua yang mahir dan mudah ingat. Dah terbalik terus.
Mungkin kerana pemakanan zaman moden yang banyak boleh menyebabkan lemah ingatan dan daya fikir. Ditambah lagi dengan kurang keberkatan kerana menyebabkan guru marah selalu kerana bising dan seumpamanya.
- Zaman dahulu, biasa kita dengar ada murid yang bantu kerja-kerja rumah guru. Ibarat seseorang yang mahu menuntut ilmu persilatan, mesti bersusah-payah membantu kerja-kerja guru (untuk melatih ketahanan mental dan fizikal murid sebenarnya).
Tetapi zaman sekarang, murid-murid pula yang menyebabkan guru bertambah kerja rumah. Dengan membuat pecah barang, mengotorkan tempat dan seumpamanya. Aiyya! :)
- Dulu kita mengulang bacaan banyak kali juga, mungkin lebih dari 3. Tetapi sekarang, mengulang bacaan 2 kali itu sudah tersangat banyak dirasakan mereka. Sudah lah waktu sekarang sudah dirasakan semakin singkat, waktu membaca mereka pun mahu dipendekkan lagi. 
Begitulah sedikit contoh berkenaan apa yang berlaku di sekitar tempat tinggal saya, mungkin berlainan dengan apa yang berlaku di tempat anda.
Penutup
Ibubapa yang menghantar anak-anak mereka mengaji pun sepatutnya monitor atau cek balik bacaan anak-anak mereka di rumah. Ini untuk memastikan bahawa anak-anak betul-betul dapat mengikuti perjalanan pengajian. Jangan sampai mereka sudah besar, tiba-tiba baru tahu bahawa mereka sebenarnya tidak pandai mengaji lagi, tetapi cuma ingat berdasarkan hafalan yang diulang-ulang ketika belajar mengaji dulu saja.
Dan yang paling penting, bukan kanak-kanak itu pandai membaca semata-mata, tetapi mesti belajar juga agar faham apa yang Allah nak sampaikan melalui Al-Quran , agar nanti dia dapat patuh dan laksanakan perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan dari Allah S.w.t.  Wallahu a'laa a'lam .......

umat keliru

Jika orang awam gagal ‘menguruskan perbezaan’, masih tidak mengapa. Itu masih boleh diterima. Ini kerana orang awam kebanyakannya masih  kurang ilmu.  Selain kurang cerdik, orang awam juga kurang terdidik. Justeru, emosi yang panas acap kali mendahului fikiran yang bernas dalam menghadapi perbezaan pendapat atau pandangan. Namun, apabila para ulama yang sewajar sudah cerdik dan terdidik juga terjebak dalam pertelingkahan yang tidak berkesudahan, ini sesungguhnya satu tragedi yang sangat menyedihkan.   
Sesungguhnya, ini adalah salah satu cabaran untuk ahli-ahli agama masakini. Cabaran yang boleh merobek kewibawaan ilmu dan ketinggian peribadi mereka. Betapa sekarang kita dapat melihat ulama sesama ulama telah tega bertelagah dan bertikam lidah. Yang dijadikan senjata bukan ilmu dan fakta, tetapi sindiran dan tempelakkan yang sangat menjelikkan. Ada di antaranya yang berani mencabar pihak lawan untuk berdebat bagai ayam sabung yang berkokok dengan sombong. Ada yang mencemik, mencebir dan senyum sinis ketika membahaskan pandangan pihak lain.  
Tidak salah untuk berbeza, tetapi biarlah dengan nada dan nuansa yang mengekalkan kasih sayang dan silaturahim. Apa gunanya kelulusan yang berjela-jela, dengan gelaran yang beraneka rupa, tetapi adab dan akhlak tidak terjaga.  Pada hal, seorang ulama silam, Ibnu Mubarak berkata: “Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu. “
Jika benar yang dicari ialah kebenaran, masakan ada sikap sombong yang menonjol. Keangkuhan itu boleh dibaca melalui sikap, tulisan dan kata-kata. Cabar sana, perleceh sini. Pelbagai label juga telah dilontarkan… Ini ‘sunni jumud’, itu ‘wahabi sesat’, sipolan ‘sufi menyeleweng’ dan sipolan ‘salafi tegar’. Subhanallah, lupakah pada pesan  Ibnu Umar ini : “Tiadalah seseorang lelaki itu dianggap alim sehinggalah dia tidak hasad dengki kepada orang yang lebih alim daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya serta tidak mencari dengan ilmunya upahan kebendaan.”
Timbul pertanyaan, apa benar pergeseran ini disebabkan oleh perbezaan ilmu, hujah dan prinsip? Atau sebab sebenar tidak lain hanya sifat hasad dengki. Berbeza bukan kerana ilmu atau amalan, tetapi kerana tidak senang melihat yang di sebelah ‘sana’ lebih ramai pengikutnya, lebih banyak hartanya dan lebih tersohor namanya. Alasan perbezaan ilmu cuma mainan bibir.  Apa yang berkecamuk di dalam hati hanyalah sifat hasad dengki. wallahua’lam.
Harapan kita, para ulama janganlah sekali-kali merelakan diri dijadikan ‘ayam sabung’  oleh pihak berkepentingan. Akibatnya, hukum agama akan dijadikan modal untuk mengaut keuntungan duniawi. Ulama menyerang ulama umpama dua ekor gajah yang berjuang… akibatnya umat akan jadi seperti pelanduk yang mati di tengah.
Broker kuasa dan harta akan tertawa apabila ulama merelakan diri mereka digunakan sebagai batang kayu pada kapak untuk menebang kayu. Bukankah ulama adalah pewaris para nabi?  Maka pada siapa lagi umat ini hendak berlindung jika ulama sendiri pun  sudah diperalatkan oleh yang punya harta dan kuasa? Jadi tidak hairan jika ada pihak secara sinins menyindir, satu fatwa berapa harganya?
Pergeseran di kalangan ulama bukan sahaja mengelirukan, bahkan merugikan… Bayangkan seseorang yang baru berjinak-jinak hendak berzikir, tiba-tiba diterjah oleh mereka yang dianggap ulama dengan kata,  “Zikir semacam itu bid’ah”. Bagaimana pula reaksi seorang pelajar yang sekian lama belajar ilmu Tauhid di sekolahnya menerusi pendekatan Tauhid Rububiyah dan  Uluhiyyah dianggap sesat oleh ulama A? Manakala ada pula pelajar yang mengambil pendekatan belajar Tauhid mengikut pendekatan ‘Sifat Dua puluh’ dianggap sesat oleh ulama B?
Itu belum dikira, ada individu yang mufarakah daripada solat berjemaah dengan imam yang dakwanya  ’musyabbihah’ dan  ’mujassimah’ kerana kaedah belajar tauhidnya tidak sah. Dan pihak yang terdakwa pula membalas dengan menuduh pihak lawannya ‘bid’ah dalalah’ dan ‘syirik’ kerana berdoa dengan wasilah dan istighasah.  
Apa nanti akan berlaku anak dara dari kelompok ‘sifat dua puluh’ akan menolak untuk dijodohkan dengan pemuda yang datang daripada golongan ‘tauhid uluhiyah dan rububuyah? Bagaimana pula dengan sembelihan, kenduri-kendara dan aktiviti-aktiviti muamalat antara kelompok sufi dan salafi?  Sedangkan jika diteliti, semua pihak yang saling bertelagah ini masih mengucap kalimah syahadah. Masih beriman dengan Allah dan RasulNya.  
Bukan sahaja mereka yang bertelagah ini duduk sekampung, tinggal setaman, rakan kerja, malah ada kalanya terdiri daripada sanak saudara sendiri. Musibah dan nikmat mereka masih saling berkaitan. Kenduri kahwin, sakit demam, kemalangan dan urusan jenazah (apabila menghadapi kematian) masih saling memerlukan. Alangkah baiknya jika pergeseran ini mampu didamaikan. Berbeza tidak semestinya menimbulkan sengketa.
Teladanilah sifat lapang dada Imam Safie rhm yang  pernah berkata, “pandangan ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga. “ Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak tanpa menafikan keyakinannya terhadap diri sendiri. Imam-imam besar itu bukan sahaja mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak dan keperibadian yang tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri mereka.
Justeru, sekalipun ada masanya para ulama zaman dahulu berbeza pendapat, namun masyarakat banyak mendapat manfaaat hasil perbezaan ilmu dan hujah di kalangan mereka. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. ‘Pertarungan ilmu’ di dalam gelanggang adab ini sangat bermanfat dalam usaha membudayakan ilmu. Pada zaman itu jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarakat.
Berbeza pendapat di kalangan ulama tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah dan sunatullah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. Namun, yang menjadi masalah ialah sikap ulama dalam menghadapi perbezaan. Sikap negatif hanya akan menimbulkan perbalahan yang tidak akan berkesudahan. Pertikaian yang dulu-dulu, yang hakikatnya telahun istirehat pada titik ‘kami bersetuju untuk tidak bersetuju’  telah dibongkar kembali. Kononnya untuk mencari kebenaran. Ironinya, hasilnya, masih yang itu-itu juga.  
Bagi yang sangat sayang Imam Safie, mendakwa sangat berpegang teguh dengan mazhabnya, lihat adab Imam yang hebat ini ketika beliau  mempunyai pandangan yang berbeza dengan gurunya Imam Malik.  Dengan penuh rasa sayang beliau berkata, “ apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintangnya.” Apa kurangnya dengan keperibadian Imam Ahmad, murid kepada Imam Shafie, yang walaupun mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan gurunya namun masih mengakui, “ demi Allah, aku tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Shafie.”
Perbezaan dikalangan para ulama silam benar-benar bersumber dari hati yang inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu  dan rasa yang tulus ikhlas kerana Allah semata. Lalu Allah menjaga hati mereka… tetap punya rasa cinta walaupun berbeza. Berbeza benar keadaannya dengan ahli agama masa kini. Kita kurang mendapat mendapat manfaat hasil perbezaan di kalangan mereka. Yang kita dengar hanyalah lontaran cemuhan, sikap memperlekehkan dan mengejek antara satu sama lain.
Sesungguhnya,  umat akhir zaman ini tidak hanya memerlukan ulama yang luas ilmunya, tetapi juga jujur lagi amanah sikapnya. Ulama yang bukan hanya petah berhujah dengan Al Quran dan Al Hadis tetapi mempunyai adab dan akhlak.  Ulama yang bukan hanya mempunyai kelulusan tetapi punya ketulusan. Yang hebat dalam pengajian dan pergaulan. Ulama yang bukan hanya mewarisi ilmu, malah akhlak para nabi.
Ulama perlu bebas dari gamitan harta dan  belitan kuasa.  Jika ada perbezaan dikalangan mereka, apa salahnya bertemu empat mata, berbincang dan bermuzakarahlah dengan penuh tenang dan dalam keadaan tertutup. Kata bijak pandai, “people dont care how much you know untill they know how much you care – manusia tidak peduli berapa banyak ilmu kamu, sehingga mereka tahu sejauh mana kamu ambil peduli.” Lalu, seorang ulama sudah semestinya bersikap prihatin, simpati dan empati itu ketika menghadapi perbezaan dengan ulama lain!

kaunseling

Sabda Rasulullah s.a.w,
"Jalan untuk beribadat kepada Allah itu banyak, sebanyak nafas makhluk."

Ada beza antara sympathy & empathy. Dua perkataan yang seakan sama bunyinya tapi membawa makna yang sangat berbeza.

Scene 1 –
A: Aku sedih sangat. Sem ni aku terpaksa repeat dua paper. Cgpa aku jatuh teruk. Macam mana ni? Aku buntu. Mesti mak ayah aku kat kampung terlalu kecewa dengan keputusan aku sem ni.
B: Ye ke? Oh, aku faham sangat perasaan kau tu. Memang mak ayah kita ni, tak lain yang mereka nak, hanya kejayaan kita. Tu la . Sem ni aku nasib baik sikit kalau nk compare dengan sem yang lain. Alhamdulillah DL. Aku tak sangka jugak sebenarnya. Maybe sebab aku pulun habis malam killer paper tu. .

Scene 2 –
A: Kemana aku nak pergi lepas ni? Suami aku ceraikan aku. Dah la aku tak bekerja. Umur bukan muda lagi. Aku tak sangka. Tak sangka dia sebelum kawin & selepas kawin sangat berbeza. Betul la kata orang. Kecantikan paras rupa tak menjamin kebahagian hakiki dalam rumahtangga..
B: Takpe, Som. Banyakkan bersabar. Ajal, maut, rezeki & jodoh sudah ditentukan. Aku bersyukur sangat. Alhamdulillah suami aku ni terima aku apa adanya. Dia sangat memahami. Walaupun dia selalu outstation, tapi dia tak pernah buat aku rasa sunyi.

Aku, kau & kita adalah kaunselor antara satu sama lain. Tak perlu majoring in counselling dan psychology dulu baru layak motivate & nasihat orang lain. Kerana kita manusia yang sama mempunyai hati & perasaan. Terusik bila disakiti. Sedih bila dibenci. Terasing bila diabaikan. Sakit bila diperkecikan. Normal kan?

Apa yang kita ada & miliki, bukannya milik kita hakiki. Itu kan pinjaman. Apa yang kita ada & miliki, bukan hasil titik peluh kita mutlak. Itu kan ujian. Apa kata kita jadi kaunselor buat orang sekeliling kita? Tak susah, sekurang-kurangnya fahamilah situasi mereka. Bukan menjatuhkan. Jadikan cerita jatuh & bangun dalam hidup kita, mampu memberi inspirasi kepada orang lain. 

Jangan hanya berfikir untuk menuntut hak. Sentiasa berusaha untuk memberi & menunaikan hak buat orang sekeliling. Sebagai contoh, dalam perkahwinan. Banyaknya perselisihan berlaku kerana manusia hanya inginkan hak mereka & tanpa menunaikan hak yang sepatutnya. Mereka tercari-cari kebahagian dalam rumahtangga sehingga terlupa membawa kebahagian dalam rumahtangga.

Manusia terlalu memikirkan hati & perasaan sendiri sehingga terlupa menitikberatkan hati & perasaan orang lain. Dan akhirnya hanya menyakitkan orang lain. Adil ke? Selalu terbaca, 'kawan ketika kita senang  & berjaya mudah sangat dicari & kawan kita susah & gagal sangat sukar dijejaki.' Tapi betul ke kita sentiasa ada buat kawan kita ketika dia sangat memerlukan?

Percayalah. Hidup kita ibarat depan cermin. Apa yang kita buat, itulah yang akan kita dapat balik. Kalau jahat yang kita lakukan, buruklah kesannya. Kalau baik yang kita lakukan, bahagia & tenanglah hati kita. Cuma cepat & lambat itu urusan Allah. Kalau tak didunia, di akhirat sana itu pasti.

Jangan terlalu mencari kebahagiaan & kejayaan sampai terlupa untuk membahagiakan & membantu orang sekeliling kita untuk berjaya sehingga mampu menyakitkan mereka. Percaya cakap saya. Kita akan tenang & bahagia jika kita sentiasa membawa suasana ketenangan & kebahagiaan buat orang sekeliling kita sebab Allah sayang mereka yang menjalin hubungan yang baik sesama kita :)


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Allah yang Maha Agung  & Mulia menjumpaiku (iaitu dalam tidurku),
kemudian berfirman kepadaku:
Wahai Muhammad , katakanlah: 'Ya Allah, aku memohon kepada-Mu untuk mencintai-Mu, mencintai sesiapa sahaja yang mencintai-Mu serta mencintai perbuatan yang menghantarkan aku untuk mencintai-Mu."
(Riwayat Imam al-Tirmizi)

Selasa, 17 September 2013

amanat pelajar

Antara intipati Bicara Tokoh Unggul 2013, Dato' Sri H. Syed Zainal Abidin bin Hj. Syed Mohamed Tahir, di DSM pagi tadi adalah sepertimana berikut:

A) Kena ada di dalam diri setiap orang khususnya pada yang menuntut ilmu:

i. Kena ada cita-cita/tujuan
ii. Carilah role-model--Seseorang yang kita mahu jadi sepertinya
iii. Kena rajin berusaha
iv. Kena pandai menguruskan masa
v. Kena belajar untuk memahami
vi. Kena ada keyakinan diri tapi jangan over confident
vii. Kena belajar berkumpulan
viii. Kena ada disiplin
ix. Kena pandai pilih kawan

 Dalam hidup, jangan buat perkara-perkara ini:

i. Jangan malu bertanya
ii. Jangan ponteng kelas/majlis ilmu
iii. Jangan rasa kitalah tahu semuanya
iv. Jangan menangguh kerja/tugasan
v. Jangan sesekali putus asa
vi. Jangan hilang fokus
vii. Jangan takut buat salah
viii. Jangan suka bagi alasan
ix. Jangan tiada keseimbangan--jangan study ja, benda lain/tanggungjawab lain lupa ('healthy minds come from healthy body')

C) Above all..dan yang PALING PENTING SEKALI adalah jangan lupa:

i. Jangan lupa solat !
ii. Jangan lupa untuk selalu berdoa pada Allah berpanjangan
iii. Jangan lupa bersyukur
iv. Jangan lupa berdoa, berinteraksi dan berkomunikasi dengan mak dan ayah
v. Jangan lupa hormati dan hargai guru-guru anda
vi. Jangan lupa zikir dan selawat
vii. Jangan lupa solat hajat, jadikanlah rutin

Very inspiring talk by him and ini adalah sekadar perkongsian...Wallahualam...Insya Allah

Isnin, 16 September 2013

tips studi


:: TIPS BELAJAR for MUSLIM STUDENT! ::

1) Sebelum belajar, niat bahawa aku belajar ini kerana Allah S.W.T.

Setiap kali mahu keluar bilik untuk pergi kuliah, sentiasa ingatkan diri, aku menuntut ilmu ni kerana Allah S.W.T. Banyak kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu.

Jangan rasa tertekan jika kelas bermula seawal jam lapan pagi dan habisnya pula dalam pukul lima petang. Tetapi fikir bahawa sepanjang proses menuntut ilmu ini, Malaikat akan sentiasa mendoakan kita. Jadi, kita tidak akan rasa terlalu tertekan jika kelas itu tersangatlah lama.

2) Disiplinkan diri.

Setiap kali mahu study, mesti baca satu muka surat al-Quran sebelum bermula waktu study itu. Jadi, pasti kita tidak tinggalkan al-Quran walau sesibuk mana pun kita.

3) Kembalikan cas-cas positif dalam diri supaya tiada ruang untuk syaitan menghalang kita menuntut ilmu.

Apaila kita rasa tertekan kerana berkali-kali sudah membaca topik tersebut, tetapi tetap tidak faham, dan akhirnya, kita rasa putus asa dan terus tutup buku. Dan yang lebih bahaya, mind setting akan mengatakan topik ini sangat susah dan tidak menarik. Akhirnya, kita tinggalkan terus topik itu hingga akhirnya kelam kabut waktu menjelang peperiksaan.

Jadi, apa kata kita cuba tips daripada ‘salafus soleh’ terdahulu. Apabila ada sesuatu yang menghalang fokus, mereka pergi perbaharui wudhuk dan solat sunat dua rakaat.Jika kita seperti ini, sekurang-kurangnya dapat perbaharui wudhuk sudah memadai.

4) Utamakan seruan Allah S.W.T.

Part paling penting! Apabila sedang khusyuk study, tiba-tiba azan berkumandang. Berhentilah sebentar untuk menyahut seruan Allah S.W.T. Tidak lama pun solat ini. Jadikan ia sebagai terapi diri selepas penat belajar. Imam Ghazali ada mengatakan bahawa:

"Orang yang menyahut seruan azan dengan serta merta meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat berjema’ah, di akhirat kelak, dia akan dijemput oleh Allah S.W.T dengan penuh lemah-lembut dan menjadi tetamu-Nya."

Jadi, setiap kali rasa berat punggung mahu berhenti study untuk solat, ingat kembali, jika aku mahu dijemput oleh Allah S.W.T di Akhirat kelak, aku perlu utamakan solat dahulu daripada kerja lain. Mana kita tahu bukan, kita lagi rasa mudah apabila belajar selepas selesai solat itu. Inilah namanya berkat. Apabila kita utamakan Allah S.W.T daripada benda lain.

5) Jangan lupa membaca doa dan ambillah wudhuk sebelum mula belajar.

Doa mohon Allah S.W.T memberi kekuatan dalam menuntut ilmu. Apabila kita ada wudhuk ini, kita akan sentiasa ingat bahawa belajar ini adalah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan memudahkan lagi untuk kita terus solat jika sedang belajar, tiba-tiba azan. Kita tidak tahu dengan wudhuk itu, kita belajar lebih berkat.

……………………..……………………..………

Kesimpulannya, selamat beramal. Cubalah praktis tips belajar ini, matlamat kita bukanlah cemerlang dalam belajar semata, tetapi kita juga mahu keberkatan daripada Allah S.W.T. Ihfazillah yahfazka, ihfazillah tajidhu tijaahak (Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu).

Jadilah seperti Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang hidupnya seimbang dunia akhirat, walaupun sibuk di medan perang dan sibuk mentadbir negara. Mereka lagi sibuk daripada kita, tetapi masih ada waktu untuk bangun tahajjud dan membaca al-Quran.

Buat pemburu dunia, jangan pula kita memberi alasan, mereka tidak sama macam kita, Iman mereka mantap kerana Rasulullah S.A.W ada di sisi. Kita tidak sehebat mereka. Andai itulah pemikiran kita, percayalah, selamanya kita akan menunduk ke bawah tanpa mendongak langit yang cerah di atas.