FALSAFAH PENGAJARAN
Saya percaya sebagai seorang pensyarah
subjek sains yang muslim, mengajar adalah ‘core
business’ yang mesti dilaksanakan dengan penuh amanah kepada Allah dan
penuh keikhlasan untuk mendidik generasi muda 1Malaysia dari semua peringkat
umur tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan mereka. Seorang pensyarah yang
cemerlang adalah pensyarah yang mempunyai pemahaman yang tinggi dan pengalaman
yang luas dalam subjek yang diajar sebagaimana yang terdapat di dalam teori
andragogi. Seorang pensyarah juga mesti membuat pilihan yang terbaik tentang
apa dan bagaimana untuk menstruktur dan mengorganisasi bahan-bahan pengajaran
sebagaimana yang termaktub dalam kurikulum dalam melaksanakan apa yang telah
dicita-citakan .
Saya juga wajib tahu apa yang patut
diajar dan cara terbaik yang mesti digunapakai semasa mengajar supaya pengajaran dan
pembelajaran saya menjadi berkesan dan bermakna. Setiap pensyarah wajib mengenali
pelajarnya dengan baik. Saya mesti sentiasa beringat bahawa pelajar datang ke
kelas untuk belajar bermula dari yang pertengahan sebelum mencapai peringkat
yang lebih tinggi. Mengajar adalah proses untuk menggalakkan pelajar
menghubungkaitkan dunia sebenar dengan matapelajaran yang dipelajari. Saya
harus membimbing pelajar untuk mencapai apa yang ingin dicapai oleh pelajar sebagai
mana pelajar juga harus meneroka pengalaman baru, penerangan dan kemahiran.
Mencari, mengolah dan menganalisa
maklumat adalah kemahiran asas yang perlu dikembangkan semasa di program
matrikulasi. Seorang pelajar harus mampu untuk mengembangkan idea dengan penuh
potensi diri supaya boleh menghubungkan diri mereka dengan persekitaran.
Kemahiran asas ini bertujuan menjadi pegangan untuk mencapai kejayaan yang
lebih gemilang pada masa akan datang.
Peranan seorang pensyarah adalah sebagai pemudahcara. Saya perlu
mengalakkan pelajar menjadi pelajar yang boleh berdikari di dalam kelas tutoran.
Konsep pembelajaran kendiri (Independent
Learning) sangat-sangat ditekankan sebagai bekalan pelajar sebelum
melangkah ke alam universiti. Walau bagaimana pun, saya sedar pelajar belajar
dalam pelbagai cara dan saya perlu komited terhadap penglibatan pelajar di
dalam proses pembelajaran. Saya perlu mempelbagaikan gaya, kaedah dan strategi
pengajaran dan melibatkan pelajar di dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Teknologi ICT seperti berhubung dalam aplikasi Whatsapp penting sebagai medium perantara sejak ia diperkenalkan dalam
telefon pintar kerana ini boleh menjadi alat bantu mengajar. Ia boleh
mengalakkan lagi penglibatan pelajar di dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di luar waktu rasmi.
Melalui pengajaran saya, pelajar boleh
mendapat pengalaman secara berterusan melibatkan tindak balas dalam proses
kimia. Saya juga percaya ilmu kimia milik Allah dan mesti digunakan untuk
kemashlahatan manusia sejagat. Pelajar ditekankan yang alam ini boleh musnah dengan
izin Allah jika ilmu kimia digunakan secara salah .
Saya bertanggungjawab dalam menjalinkan
perhubungan mesra dan selesa dengan pelajar. Iaitu hubungan yang baik dengan
semua pelajar di dalam kelas mahupun di luar kelas. Saya juga perlu menghormati
semua pelajar tanpa memilih bangsa, warna kulit, jantina, individu istimewa
malahan warganegara asing.
Saya percaya semua pelajar berupaya
untuk belajar dan semua pelajar boleh menyumbang di dalam persekitaran kelas.
Setiap pelajar boleh membawa perubahan di dalam suasana kelas yang harmonis dan
sejahtera. Pembelajaran di dalam kelas adalah proses yang saling berkaitan.
Saya mesti komited terhadap kejayaan pelajar dan saya dipertanggungjawabkan
untuk menjadikan matapelajaran yang diajar menyeronokkan dan menghiburkan dan
mendekatkan diri pelajar dalam mengagungkan kebesaran Allah.
Saya mesti membuat penilaian terhadap
hasil kerja anak didik saya dengan cara formatif dan sumatif. Saya juga mesti
memastikan penglibatan pelajar yang menyeluruh di dalam kelas. Saya percaya
penglibatan yang aktif dan ceria menjadi panduan terhadap pembelajaran yang
bermakna dan saya dipertanggungjawabkan memastikan penglibatan pelajar di dalam
kelas adalah 100%.
Kemahiran untuk menjadi pensyarah yang
berkesan sebenarnya boleh dibentuk. Bukan berpandukan bakat semata-mata. Penyeliaan
mengajar dan kursus di dalam perkhidmatan menjadi panduan untuk meningkatkan
tahap kompetens. Saya mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang luas untuk
menjadi seorang pensyarah kimia yang serba boleh. Walaupun menjadi pensyarah
yang hebat merupakan tugas yang sukar namun saya mesti menerima tanggungjawab
seorang pensyarah kimia sebagai suatu amanah Allah dan akan ditanya di akhirat
kelak. Cukuplah ganjaran syurga Allah ke atas diri saya dalam mendidik
bakal-bakal pejuang Islam dalam bidang ilmu sains.