Isnin, 22 September 2014

Falsafah Shehdi

FALSAFAH PENGAJARAN

Saya percaya sebagai seorang pensyarah subjek sains yang muslim, mengajar adalah ‘core business’ yang mesti dilaksanakan dengan penuh amanah kepada Allah dan penuh keikhlasan untuk mendidik generasi muda 1Malaysia dari semua peringkat umur tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan mereka. Seorang pensyarah yang cemerlang adalah pensyarah yang mempunyai pemahaman yang tinggi dan pengalaman yang luas dalam subjek yang diajar sebagaimana yang terdapat di dalam teori andragogi. Seorang pensyarah juga mesti membuat pilihan yang terbaik tentang apa dan bagaimana untuk menstruktur dan mengorganisasi bahan-bahan pengajaran sebagaimana yang termaktub dalam kurikulum dalam melaksanakan apa yang telah dicita-citakan .

Saya juga wajib tahu apa yang patut diajar dan cara terbaik yang mesti digunapakai  semasa mengajar supaya pengajaran dan pembelajaran saya menjadi berkesan dan bermakna. Setiap pensyarah wajib mengenali pelajarnya dengan baik. Saya mesti sentiasa beringat bahawa pelajar datang ke kelas untuk belajar bermula dari yang pertengahan sebelum mencapai peringkat yang lebih tinggi. Mengajar adalah proses untuk menggalakkan pelajar menghubungkaitkan dunia sebenar dengan matapelajaran yang dipelajari. Saya harus membimbing pelajar untuk mencapai apa yang ingin dicapai oleh pelajar sebagai mana pelajar juga harus meneroka pengalaman baru, penerangan dan kemahiran.

Mencari, mengolah dan menganalisa maklumat adalah kemahiran asas yang perlu dikembangkan semasa di program matrikulasi. Seorang pelajar harus mampu untuk mengembangkan idea dengan penuh potensi diri supaya boleh menghubungkan diri mereka dengan persekitaran. Kemahiran asas ini bertujuan menjadi pegangan untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

Peranan seorang pensyarah adalah sebagai pemudahcara. Saya perlu mengalakkan pelajar menjadi pelajar yang boleh berdikari di dalam kelas tutoran. Konsep pembelajaran kendiri (Independent Learning) sangat-sangat ditekankan sebagai bekalan pelajar sebelum melangkah ke alam universiti. Walau bagaimana pun, saya sedar pelajar belajar dalam pelbagai cara dan saya perlu komited terhadap penglibatan pelajar di dalam proses pembelajaran. Saya perlu mempelbagaikan gaya, kaedah dan strategi pengajaran dan melibatkan pelajar di dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Teknologi ICT seperti berhubung dalam aplikasi Whatsapp penting sebagai medium perantara sejak ia diperkenalkan dalam telefon pintar kerana ini boleh menjadi alat bantu mengajar. Ia boleh mengalakkan lagi penglibatan pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran di luar waktu rasmi.

Melalui pengajaran saya, pelajar boleh mendapat pengalaman secara berterusan melibatkan tindak balas dalam proses kimia. Saya juga percaya ilmu kimia milik Allah dan mesti digunakan untuk kemashlahatan manusia sejagat. Pelajar ditekankan yang alam ini boleh musnah dengan izin Allah jika ilmu kimia digunakan secara salah .

Saya bertanggungjawab dalam menjalinkan perhubungan mesra dan selesa dengan pelajar. Iaitu hubungan yang baik dengan semua pelajar di dalam kelas mahupun di luar kelas. Saya juga perlu menghormati semua pelajar tanpa memilih bangsa, warna kulit, jantina, individu istimewa malahan warganegara asing.

Saya percaya semua pelajar berupaya untuk belajar dan semua pelajar boleh menyumbang di dalam persekitaran kelas. Setiap pelajar boleh membawa perubahan di dalam suasana kelas yang harmonis dan sejahtera. Pembelajaran di dalam kelas adalah proses yang saling berkaitan. Saya mesti komited terhadap kejayaan pelajar dan saya dipertanggungjawabkan untuk menjadikan matapelajaran yang diajar menyeronokkan dan menghiburkan dan mendekatkan diri pelajar dalam mengagungkan kebesaran Allah.

Saya mesti membuat penilaian terhadap hasil kerja anak didik saya dengan cara formatif dan sumatif. Saya juga mesti memastikan penglibatan pelajar yang menyeluruh di dalam kelas. Saya percaya penglibatan yang aktif dan ceria menjadi panduan terhadap pembelajaran yang bermakna dan saya dipertanggungjawabkan memastikan penglibatan pelajar di dalam kelas adalah 100%.

Kemahiran untuk menjadi pensyarah yang berkesan sebenarnya boleh dibentuk. Bukan berpandukan bakat semata-mata. Penyeliaan mengajar dan kursus di dalam perkhidmatan menjadi panduan untuk meningkatkan tahap kompetens. Saya mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang luas untuk menjadi seorang pensyarah kimia yang serba boleh. Walaupun menjadi pensyarah yang hebat merupakan tugas yang sukar namun saya mesti menerima tanggungjawab seorang pensyarah kimia sebagai suatu amanah Allah dan akan ditanya di akhirat kelak. Cukuplah ganjaran syurga Allah ke atas diri saya dalam mendidik bakal-bakal pejuang Islam dalam bidang ilmu sains.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan