KEPADA semua ahli PAS yang bermuktamar di Johor, sekali lagi saya ucapkan selamat datang ke Johor Darul Takzim. Pada minggu lalu, saya telah menulis tentang betapa pentingnya untuk PAS memahami realiti politik di pantai barat Semenanjung Malaysia, terutamanya Johor. Matlamat menawan Putrajaya hanya boleh dicapai dengan memenangi kerusi-kerusi campuran (pelbagai kaum) di Johor secara khususnya, dan "middle ground" Melayu di pantai barat secara umumnya.
PAS mengadakan muktamarnya di Parit Raja, Batu Pahat, hanya 40 minit dari kawasan saya, iaitu Kluang. Maka saya mengambil kesempatan untuk menjemput rakan-rakan PAS untuk hadir ke program Pesta Kluang pada malam 19 dan 20 September.
Muktamar PAS kali ini semestinya menjadi tumpuan, lebih-lebih lagi dengan pertikaian yang tercetus lantaran krisis Selangor. Kocakan yang berlaku sekarang padahalnya pertembungan dua paradigma, satu situasi yang juga dialami DAP sekarang, apabila kita berada di persimpangan antara politik lama dengan politik baru.
Kita tersepit di antara perjuangan untuk kaum masing-masing dengan perjuangan untuk semua rakyat Malaysia. Kalau "agenda Melayu" tidak cukup untuk memikat PAS, maka disogok pula dengan "agenda Melayu-Islam". Namun kita perlu meneliti isu-isu ini secara lebih mendalam, sebelum menari mengikut rentak Umno.
Apa itu agenda Melayu? Untuk siapa? Matlamatnya apa? Barangkali ada juga yang mempersoalkan, bolehkah seorang bukan Melayu memperjuangkan nasib Melayu?
Namun kita perlu mengupas lagi, adakah perjuangan untuk peluang pekerjaan dan gaji itu agenda Melayu? Adakah penentangan GST itu agenda Melayu? Adakah penambahbaikan sistem pengangkutan awam itu agenda Melayu? Adakah perkhidmatan kesihatan awam juga agenda Melayu?
Saya hanya membincangkan isu peluang pekerjaan dan gaji dalam ruang yang terbatas ini. Isu seperti GST, kesihatan awam dan pengangkutan awam akan saya bincangkan pada masa akan datang.
Secara ringkasnya, seandainya kaum digunakan sebagai unit untuk perbincangan, maka Melayu menerima impak paling ketara lantaran pelaksanaan GST; anak muda Melayu adalah majoriti mangsa kemalangan motosikal (meninggal mahupun cedera parah) kerana tiadanya sistem pengangkutan awam yang baik; dan kebanyakan mereka yang berdepan dengan masalah perkhidmatan yang kurang berkesan (seperti ambulan yang datang lambat ketika kecemasan) adalah orang Melayu.
Ironinya, isu-isu ini tidak dianggap sebagai isu utama dalam politik Malaysia.
Dan pengamatan saya mendapati peluang pekerjaan untuk anak muda Melayu telah berkurang, malah gajinya pun rendah. Apakah sebabnya?
Faktor yang paling penting adalah kewujudan pekerja asing tanpa kemahiran. Statistik baru-baru ini menunjukkan bahawa negara kita mempunyai pekerja asing dengan izin seramai 2.4 juta orang. Tuhan sahaja yang tahu angka sebenar pekerja asing tanpa izin di Malaysia.
Saya bukan menentang kemasukan pekerja warga asing. Dari segi ekonomi, pakar-pakar luar atau pekerja asing yang berkemahiran biasanya boleh bantu "jump-start" sesuatu sektor yang tiada kemahiran tempatan. Tetapi seandainya McDonald’s, 7-eleven dan KFC pun mula mengupah pekerja asing, saya risau satu hari nanti semua anak muda Melayu terpaksa menjual burger di tepi jalan.
Anak Malaysia dididik sejak awal bahawa Tun Dr. Mahathir pun pernah menjual pisang goreng, dan Melayu yang paling hebat adalah Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary. Anak Malaysia dibuai dengan khayalan bahawa semua berpeluang menjadi kaya-raya seperti Tan Sri Syed Mokhtar dengan "bisnes". Apa yang tidak dimaklumkan kepada umum adalah beliau memperoleh kontrak besar-besaran daripada kerajaan dan boleh berhutang besar dengan bank tanpa diusik oleh bank - nasib yang tidak dikongsi dengan kita semua.
Kalau semua anak Melayu menjual burger atau nasi lemak, negara tidak akan maju ke mana-mana.
Kerajaan mengimport pekerja asing tanpa kemahiran dengan alasan bahawa pekerja tempatan tidak ingin bekerja di suasana 3D (dirty, dangerous, demeaning) - kotor, bahaya dan keji. Sudah tentu rakyat Malaysia enggan bekerja di kilang jikalau gajinya RM600 sebulan. Tetapi semestinya ramai yang akan bertimbang semula jikalau gaji bulanannya RM2000. Persoalannya bolehkah majikan membayar gaji RM2000 tanpa mengundang muflis? Memang ada kemungkinan itu. Tetapi, ekonomi yang sihat akan memperlihatkan petanda-petanda seperti kenaikan gaji, kemahiran dan produktiviti.
Seandainya pekerja asing tidak membanjiri pasaran, maka majikan terpaksa melabur dalam teknologi dan automasi yang memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran (dan bukan pekerja tanpa kemahiran). Lebih ramai pekerja terlatih dalam suasana yang lebih bergantung kepada teknologi, kemahiran dan automasi, sudah tentunya produktivitinya melonjak dan gaji yang lebih tinggi boleh ditanggung oleh majikan.
Soalan selanjutnya, mengapa kerajaan tidak mengambil pendekatan dasar sedemikian? Kerana pendekatan ini tidak menguntungkan kroni-kroni yang mendapat permit untuk membawa masuk pekerja asing. Itu sahaja. Siapakah kroni yang memegang permit-permit ini? Ramainya kroni Umno yang berketurunan Melayu.
Jadi, mengapa peluang pekerjaan dan gaji bukan agenda Melayu? Kerana agenda Melayu kita ini tertumpu kepada isu identiti sahaja. Mengikut hujah agenda Melayu sekarang, musuh Melayu itu Cina. Cinalah yang menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku sekarang.
Sedar atau tidak, agenda ini terikut-ikut dengan rentak propaganda Umno, yang didendangkan Utusan Malaysia dan TV3 saban hari. Bagaimana kita mendapat jawapan yang betul untuk memperjuangkan nasib Melayu sedangkan kita terikut-ikut untuk menjawab soalan salah yang sengaja ditimbulkan musuh untuk mengelirukan keadaan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan