Isnin, 15 September 2014

KPI

Bukan kali pertama Kes soalan peperiksaan bocor ini bukan kali pertama. Sudah berlaku sebelumnya lagi. Malah, beberapa kali. Apabila kes ini timbul semula, kedengaran juga dalam kalangan masyarakat yang bercakap mengenai persoalan KPI yang ada. Sebahagiannya amat bersetuju dengan konsep dan matlamat yang hendak dicapai. Dengan menetapkan piawaian, angka dan objektif tertentu, secara langsung akan memotivasikan kakitangan dalam sesebuah institusi dan organisasi bergerak dengan lebih bersemangat dan bersepadu. Namun, tidak semua manusia atau institusi boleh jujur dalam semua tindakan. 

Apa yang dekat dan dikejar ialah memenuhi tuntutan angka KPI semata-mata. Sedang hakikat kekurangan dan ruang kelemahan yang ada tidak dapat ditampung dengan sempurna. Maka, sentuhan kerohanian dan kemanusiaan makin luntur. Sebahagian anak UPSR kita di sebahagian sekolah dikerah hingga ke petang tanpa rehat. Aktiviti persatuan dan kurikulum disukat dengan kadar seminimum mungkin. Agar fokus pada pelajaran katanya. Tetapi sains juga katakan pada kita bahawa makin kita bergerak, makin ligat dan aktif saraf otak kita. 

Jadi, bukankah sentuhan kejiwaan itu mula diabaikan? Sifat mekanikal jasad juga akan mula menyusut. Tidaklah bermaksud kita mesti buang sistem KPI ini. Bukan itu perspektifnya. Isu yang perlu kita tangani sekarang bukan isu luaran. Bukan soal kuantiti sebenarnya. Walaupun ada keperluan ke arah angka untuk dijadikan sebagai satu bukti pencapaian bagi satu-satu perkara, namun semua angka ini mesti diseimbangkan dengan paksi dan dasar yang tidak kosong pada sifatnya. 

Paksi dan dasar itu nilai agama dan nilai hidup sebenar mengikut acuan serta perspektif Islam. Kejiwaan dan kerohanian individu mesti diperkasakan dengan nilai Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan