Jumaat, 12 September 2014

bocor

Oleh Ahmad Fahim Robani
“Kesian anak aku. Tak pasal-pasal kena ulang balik kertas UPSR. Bukan satu kertas ajer. Lebih!,” keluh sahabat saya. Rasanya bukan dia saja yang mengeluh. Anak-anak yang mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengeluh sama. Belum dikira lagi keluhan semua keluarga yang anak mereka menduduki peperiksaan itu.
Belum lagi keluhan mereka yang berada di kementerian dan jabatan pelajaran negeri. Nilai kos pencetakan, elaun perjalanan guru ke tempat peperiksaan terbazir begitu saja. Semuanya itu dibuat semula. Kos bertambah! Semakin kita perbanyak akujanji, perjanjian, ‘key-performance index’ (KPI) dan sebagainya sebanyak itulah juga penyelewengan, ketirisan dan kebobrokan integriti berlaku.

Tidak sedikit pun rasa takut atau rasa segan andai kata masyarakat tahu perbuatan jelek mereka itu satu hari nanti. Apa yang pasti golongan ini seolah-olahnya punyai justifikasi sendiri yang lebih konkrit dan ‘halal’ pada agama untuk mengharuskan perbuatan mereka itu. Niat seakan baik dan bermanfaat pada bangsa dan negara. Tetapi pada sisi agama dan nilai murni hidup sebenar, menolak perkara terbabit. Jelas niat tidak menghalalkan cara.
Amat ketara bahawa ramai kalangan anggota masyarakat kita yang kurang jelas dan faham apa yang dimaksudkan dengan integriti. Malah, ramai menganggapnya sebagai satu topik yang amat membosankan. Apatah lagi kalau pihak jabatan atau organisasi menghantar kakitangan ini ke kursus atau seminar yang berkaitan dengannya. Tetapi tatkala kena pada batang hidung sendiri, anak sendiri dan ahli keluarga sebagaimana dalam kes soalan UPSR bocor ini, barulah marah sana dan sini. Sedang hakikat selama ini, dia sendiri perlekeh soal integriti dan akauntabiliti atas amanah yang dibebankan oleh pihak majikan dan sebagainya.
Hakikatnya semua manusia bergerak dan bertindak atas apa yang diyakini. Dipercayai dan diimani. Andai ditentang atau dipertikai tetap akan dipertahankan. Baik atau buruk sifatnya, akan menjadi persoalan kedua. Yang utamanya merealisasikan apa yang diyakini sebagai benar dan betul. Tidak peduli akan kesan pada orang lain, masyarakat, negara dan lebih utama lagi agama. Misalnya, ada yang sanggup menjolok anak tekaknya sendiri selepas makan, hanya kerana ingin kurus. Menjijikkan dan menyakitkan, pasti. Tetapi tetap diteruskan untuk niat kurusnya itu. Amat wajar apabila Islam sering dan konsisten dalam menekankan persoalan kejiwaan dan kerohanian yang ada pada seseorang insan. Dia perlu diingatkan selalu. Lantaran sifat manusia yang pelupa. Ditegaskan dengan sungguh-sungguh agar sentiasa berkawan dan bersahabat dengan orang yang baik-baik saja. Berilmu pengetahuan dan istiqomah dalam mengamalkan apa yang diketahuinya. Tidak hanya pandai bercakap tetapi langsung tidak bertindak atas apa yang diperkatakan. Apa tujuannya? Tidak lain tidak bukan, untuk pastikan individu itu tetap dan sentiasa dalam kerangka pemikiran yang baik serta bertindak dengan rasional.
Apabila kes ini timbul semula, kedengaran juga dalam kalangan masyarakat yang bercakap mengenai persoalan KPI yang ada. Sebahagiannya amat bersetuju dengan konsep dan matlamat yang hendak dicapai. Dengan menetapkan piawaian, angka dan objektif tertentu, secara langsung akan memotivasikan kakitangan dalam sesebuah institusi dan organisasi bergerak dengan lebih bersemangat dan bersepadu. Namun, tidak semua manusia atau institusi boleh jujur dalam semua tindakan. Apa yang dekat dan dikejar ialah memenuhi tuntutan angka KPI semata-mata. Sedang hakikat kekurangan dan ruang kelemahan yang ada tidak dapat ditampung dengan sempurna. Maka, sentuhan kerohanian dan kemanusiaan makin luntur. Sebahagian anak UPSR kita di sebahagian sekolah dikerah hingga ke petang tanpa rehat. Aktiviti persatuan dan kurikulum disukat dengan kadar seminimum mungkin. Agar fokus pada pelajaran katanya. Tetapi sains juga katakan pada kita bahawa makin kita bergerak, makin ligat dan aktif saraf otak kita. Jadi, bukankah sentuhan kejiwaan itu mula diabaikan? Sifat mekanikal jasad juga akan mula menyusut. Tidaklah bermaksud kita mesti buang sistem KPI ini. Bukan itu perspektifnya. Isu yang perlu kita tangani sekarang bukan isu luaran. Bukan soal kuantiti sebenarnya. Walaupun ada keperluan ke arah angka untuk dijadikan sebagai satu bukti pencapaian bagi satu-satu perkara, namun semua angka ini mesti diseimbangkan dengan paksi dan dasar yang tidak kosong pada sifatnya. Paksi dan dasar itu nilai agama dan nilai hidup sebenar mengikut acuan serta perspektif Islam. Kejiwaan dan kerohanian individu mesti diperkasakan dengan nilai Islam.
Media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp, Wechat dan sebagainya hanya platform yang mati sifatnya. Hanya medium. Pelayar Internet dan pengguna aplikasi inilah yang menghidupkan medium ini. Baik dari segi pengisian kandungan mahu pun jangkauan sebaran maklumatnya, penggunalah yang jadi penentunya. Soal kesahihan maklumat, bersifat fakta atau palsu bukan soal utama. Yang dicari kemeriahan berinteraksi dan bersosial di alam maya.
Sebab itu kita dapat lihat pelbagai versi dan bentuk penceritaan yang disebarkan dalam media sosial ini tatkala hampirnya hari peperiksaan UPSR tempoh hari. Ada yang menamakannya sebagai soalan ramalan. Ada yang mensifatkannya sebagai “kalau sayang anak, inilah peluang yang menarik. Sebenarnya mengakui bahawa bahan sebaran itu tidak wajar dipanjang-panjangkan lagi. Namun, fahaman perspektif dan fahaman pada nilai yang dipegang mengatakan ia masih wajar untuk disebarkan. Maka apa yang pasti, golongan yang sama-sama menyebarkan versi sebegini hakikatnya sedang bersekongkol dengan perkara yang bertentangan dengan nilai agama. Ini belum diambil kira lagi pada pelbagai versi dan bentuk amalan yang kononnya mesti atau sewajarnya diamalkan oleh anak dan keluarga dalam menghadapi peperiksaan ini. Hinggakan ada yang bersifat syirik penghujungnya. Namun, ia tetap disebarkan. Walaupun mungkin sebahagian kecilnya tidak meluaskan sebaran mesej palsu dan menyeleweng daripada fakta Islam, nisbahnya amat kecil.
Majoritinya beranggapan masih wajar untuk disebarkan. Lagi-lagi jika penghujung mesej berbunyi, “adakah anda sanggup membiarkan kebaikan ini berada saja dalam henfon anda?” maka pemerkasaan ke atas nilai integriti dan soal akauntabiliti mesti digembeleng dengan sesempurna mungkin. Tidak boleh lagi bertolak ansur. Bukan hanya pada bentuk hukumannya tetapi fahaman kukuh pada dasar dan akar pemikiran agar nilai yang terbentuk, benar-benar menepati tuntutan agama.

Penulis pensyarah di Universiti Multimedia, Melaka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan