3 jalan yang diguna syaitan untuk tawan hati manusia | Seseorang hamba Allah SWT itu masih boleh terus melangkah dalam keadaan getir kerana didokong oleh harapan. Maka kerana itulah kita digalakkan berdoa dan memohon kepada Allah SWT supaya diberikan kebaikan dunia dan akhirat.
Menjadi lumrah bagi seseorang itu bersandarkan harapan yang diberikan oleh Allah SWT sebagai motivasi meneruskan kehidupan, namun ada dalam kalangan kita yang tertipu dengan menaruh harapan melalui bisikan syaitan.
Program Pesona D’Zahra minggu lalu bersama Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menyambung perbincangan mengenai Manusia dan Harapan. Mengikut sejarah, manusia pertama disogokkan dengan harapan yang dibisikkan syaitan adalah Nabi Adam.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. Sesungguhnya saya adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” (Surah al-A’raf, ayat 21)
Tiga jalan lupakan manusia kejar akhirat
Kita perlu selalu sedar syaitan musuh yang sentiasa berusaha dengan muslihatnya menyesatkan dan memesongkan kita daripada jalan Allah SWT. Ustaz Muhamad berkongsi tiga jalan sering digunakan syaitan dalam usaha menawan hati manusia supaya berharap kepada dunia dan melupakan pencarian akhirat.
Tiga jalan itu ialah mencari puas hati, ketenangan dengan jalan maksiat dan kaya dengan jalan bakhil. Raja Namrud contoh yang dapat kita lihat sebagai manusia dibisikkan untuk tidak merasa puas hati. Namrud dikuasai perasaan tidak puas hati yang meluap terhadap Nabi Ibrahim.
Dinyalakannya api yang luar biasa marak dengan tujuan mendera dan menzalimi Nabi Ibrahim sekeras-kerasnya bagi usaha mencari puas hati.
Dalam konteks hari ini, apabila rumah tangga dilanda badai, kekerasan dan helah digunakan bagi menyakiti pasangan bagi mendapatkan perasaan puas hati. Sedangkan semua tidak pernah berjaya memberikan ketenangan hakiki bagi mereka yang menurut bisikan syaitan.
Andai ketika bermuhasabah diri kita mengesan adanya sifat mazmumah, kembalilah kepada fitrah kemanusiaan iaitu mencari ubat hati. Lazimnya mereka yang menurut hawa nafsu dalam perbuatan akan hanya menyebabkan lebih banyak kekecewaan dalam kehidupan.
Islam mendidik umatnya bersabar dan Allah SWT menjanjikan darjat yang tinggi kepada orang yang sabar serta bersedia memaafkan orang yang berbuat kesalahan terhadap dirinya. Itulah yang dikatakan sebagai ubat hati.
Orang hatinya jauh daripada mengingati kekuasaan Allah SWT, tidak berpegang dengan panduan hidup yang dibekalkan kepadanya menerusi al-Quran dan jauh daripada mengamalkan panduan ditinggalkan Rasulullah SAW melalui hadisnya.
Hati kosong mudah dipengaruhi syaitan
Ini mengakibatkan hati menjadi kosong dan sunyi, yang hanya memudahkan ia dipengaruhi oleh bisikan syaitan. Fikiran dipandu suara negatif akhirnya menyebabkan perbuatan yang tidak sesuai dengan syariat Islam.
Kesunyian dan kekosongan menyebabkan seseorang itu akan mencari-cari keseronokan atau hiburan dengan harapan untuk mengisi kehampaan akibat kesunyiannya. Tidak sedikit mereka yang mempunyai kedudukan atau pangkat tinggi, kelihatan zahir mempunyai kesempurnaan tetapi mencari ketenangan dengan jalan maksiat.
Mereka tercari-cari jalan untuk mengubat hati yang kosong dan tidak tenang. Ada yang mengambil dadah, minum arak, melanggan teman sosial, namun masih tidak membawa kepada ketenangan untuk mengisi hati yang kosong.
Orang dipengaruhi harapan daripada syaitan yang menjanjikan kekayaan itu datang dengan memiliki sifat bakhil dan kedekut. Mereka mempercayai sikap kedekut dan bakhil itulah yang menyebabkan mereka dapat mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya.
Rasulullah SAW bersabda: “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain) melainkan kemuliaan kepadanya dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Riwayat Muslim)
Amalan memberi sedekah kepada yang memerlukan amat digalakkan dalam Islam. Perlu kita fahami, rezeki yang dikurniakan kepada seseorang itu adalah milik Allah SWT dan hanya pinjaman kepada hamba-Nya semata-mata.
Seseorang Muslim seharusnya tidak terlalu sayang kepada harta benda dan tidak terikat untuk membelanjakannya kepada perkara kebaikan. Kita perlu fahami setiap pemberian yang dikeluarkan untuk jalan kebaikan akan diganti oleh Allah Taala.
Sedekah juga tidak mengurangkan harta kerana Allah SWT sentiasa menambah keberkatan dan suburnya harta, atau ganjaran dijanjikan Allah di akhirat nanti akan menggantikan harta yang disedekahkan dengan berlipat ganda.
Syaitan telah berjanji untuk menyesatkan manusia akan memperdaya hati serta fikiran seseorang supaya merasa berat mengeluarkan harta atau wang ringgitnya ke jalan sedekah dan infak. Mereka yang dipengaruhi bisikan ini akan diperhambakan dan disibukkan urusannya dengan mencari wang dan harta.
Walaupun mencari harta dan kekayaan digalakkan dalam Islam, tetapi ia perlu berlandaskan kepada usaha, ikhtiar dan seterusnya reda serta tawakal kepada Allah SWT atas pemberian-Nya. Harta dan rezeki seharusnya melapangkan dada dan bertujuan memberi khidmat kepada empunya harta itu.
Ia juga sebagai jalan kita memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT dengan mengembalikan sebahagiannya ke jalan yang diredai-Nya. Usaha mencari rezeki adalah satu kewajipan manusia tetapi yang mengurniakan kekayaan itu adalah semata-mata urusan Allah SWT.
Waspada permainan syaitan
Berwaspadalah dengan mengelakkan diri daripada dipermainkan syaitan yang mahukan manusia itu melupakan akhirat melalui jalan mencintai dunia. Allah SWT memerintahkan kita bukan mencari harta semata-mata tetapi juga mencari keberkatan.
Ustaz Muhamad memberikan tiga panduan dalam menilai keberkatan harta iaitu harta itu membawa kepada kebaikan, semakin berharta semakin tenang hatinya, harta itu mencukupkannya dan banyaknya menggembirakan seseorang.
Jika harta itu sering memberi kerunsingan hati dan selalu merasa tidak cukup, periksalah semula akan jalan masuknya harta itu dan bagaimana kita membelanjakannya. Berhati-hatilah dengan harapan yang kita pertaruhkan dalam hidup ini sama ada berlandaskan iman atau bisikan syaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan