Kisah ini berlaku kepada saya beberapa tahun yang lepas dan disini saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan untuk manafaat bersama. Saya yang memandu kereta telah membuat pusingan U ditempat yang tidak dbenarkan dan telah ditahan oleh pihak berkuasa sejurus selepas itu.
Pegawai: Encik tahu mengapa Encik ditahan kan? Tadi Encik membuat pusingan u dikawasan yang tidak dibenarkan.
Saya: Ya Encik, saya tahu dan saya minta maaf. Nak cepat tadi.
Pegawai: Jadi macamana nak selesaikan kan ni?
Saya: Maksud Encik?
Pegawai: Ye la kan kalau kes macam ni sepatutnya kena saman.
Saya: Saman? Takpe Encik, bagi saya saman.
Pegawai: Nak saman?
Saya: Ya Encik, tolong saman saya.
Pegawai: Kejap ya.
Pegawai tersebut beredar seketika dan kedengaran dia memberitahu pegawai atasannya, "Sarjan… Encik ni nak saman laa…"
Tidak lama kemudian pegawai atasan tersebut menghampiri saya dan memberitahu kepada saya, "Encik, kali ini saya lepaskan tetapi lain kali jangan buat lagi ya"
Saya pun beredar dari situ dengan syukur yang teramat sangat kepada Allah SW, kerana apa? Pertamanya kerana saya tidak disaman dan kedua kerana saya tidak bersubahat didalam melakukan perkara yang dikeji perosak umat dan masyarakat iaitu rasuah.
Prinsip saya amat mudah, jika wang yang ada ditangan kita itu benar-benar milik kita, maka saya percaya wang tersebut akan kekal bersama kita selagi kita menunaikan hak insan lain iaitu penerima zakat (zakat juga selari dengan hukum alam iaitu prinsip entropi fizik). Jika wang kita itu hilang dijalanan atau dirompak sekalipun atau didalam cerita saya diatas saya terpaksa membayar saman, oleh kerana Maha Adilnya Allah SW itu maka wang yang "hilang" tersebut pasti akan kembali semula ketangan kita. Jika tidak dalam bentuk wang ringgit mungkin dari bentuk lain umpamanya tubuh badan yang sihat ataupun anak-anak dan isteri mithali penyejuk hati penenang jiwa. Akan tetapi jika wang yang berada didalam tangan kita itu bukan hak milik kita, samada diperolehi dari kerja yang tidak amanah (contohnya sila rujuk artikel Kerja Halal, Gaji Tidak), mengambil rasuah, menipu, mencuri, rasuah dan sebagainya maka ianya akan "lari" daripada kita dengan pelbagai cara, salah satunya caranya mungkin disaman seperti cerita saya diatas.
Wang adalah balasan yang kita terima dari "tenaga" yang kita berikan samada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan, jadi wang adalah bersamaan dengan tenaga dan tenaga tidak dapat dimusnahkan, hanya boleh berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain. Kita mungkin boleh menyimpan wang kita tersebut samada didalam akaun bank atau dibawah bantal, akan tetapi wang sebenarnya hanyalah mewakili "tenaga" yang disimpan dan kita adalah pemegang amanahnya. Dunia fizikal nampaknya didalam genggaman kita umpamanya wang tersebut. Kita ada bank yang dikawal oleh pengawal dengan senjata api, begitu juga dengan kediaman kita yang sudah dipagar dan dipintu masuknya ada warga Nepal atau Bangla yang taat memeriksa setiap orang yang keluar masuk kekawasan rumah kita itu untuk "menjaga" keselamatan kita dan juga harta benda (wang ringgit) kita itu tadi.
Akan tetapi misterinya dunia zarah-zarah sub-atomik, kita tidak boleh mengawal secara langsung akan zarah-zarah tersebut, hanya kemungkinan dan kebarangkalian sahaja. Ini bermakna kita tidak mampu untuk mengawal dunia sub-atomik tersebut. Contohnya, tidak kira secanggih mana sekalipun bekas/botol (flask) penyimpan air panas, pasti selepas beberapa hari kesemua tenaga yang ada pada air yang disimpan didalam bekas tersebut akan hilang dan air tersebut akan sama dengan suhu keadaaan persekitarannya. Adakah kita boleh pasti selepas beberapa hari atau jam air tersebut akan hilang kepanasannya? Mungkin boleh akan tetapi amat mustahil untuk benar-benar mengira contohnya sekarang ini air tersebut bersuhu 80 darjah celcius maka selepas 6 jam 10 minit dan 5 saat suhunya akan menjadi 75.3 darjah celcius. Konsep ini samalah juga dengan bahan radioaktif yang mana kita hanya mengagak sahaja "half life" atau separuh hayatnya kerana radiasi zarah-zarahnya tidak dapat dikira oleh kita sebagai manusia.
Jadi siapa yang mengawal dunia sub-atomik ini? Jawapannya adalah Allah SW. Dialah yang Maha Adil dan lagi Maha Penyayang, yang akan merencanakan dunia ini untuk memastikan rezeki kepada semua umat manusia tidak kira yang menyembahNya ataupun tidak. Mungkin ada yang bertanya, "Jika Allah SW Maha Adil, mengapa yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin?". Jawapannya adalah kerana sistem ekonomi dan kehidupan yang kita amalkan masa kini berasaskan riba' dan rasuah yang telah memastikan kekayaan hanya bergerak kesatu arah sahaja iaitu samada yang kaya, yang berkuasa atau kedua-duanya iaitu yang kaya dan berkuasa.
Jadi apa yang boleh kita lakukan untuk menghentikan aktiviti "menggali kubur sendiri" umat manusia masa kini? Jawapannya adalah dengan menolak sistem ekonomi riba' dan juga menolak, mengeji dan tidak terlibat sama didalam memberi rasuah. Ini termasuklah menolak pemimpin-pemimpin yang mengamalkan budaya tersebut. Masaalahnya zaman sekarang ini (jika diambil dalam kes memberi rasuah), kebanyakan kita lebih sanggup untuk memberi rasuah kerana wang yang "hilang" adalah kecil berbanding dengan nilai saman yang sebenar, maka oleh sebab itu walaupun tahu berdosa memberi rasuah tersebut kebanyakan kita tetap meneruskannya. Kita semua telah terlupa akan ayat seribu dinar yang mana jika kita bertaqwa, Allah SW akan memberikan kita rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka. Mungkin dengan berkat taqwanya kita itu dengan menolak memberi rasuah dan meminta disaman (dan saman selalunya ada tempoh masa tertentu untuk dibayar), mungkin Allah SW akan memberikan kita rezeki berganda-ganda dari sumber yang tidak disangka-sangka untuk membayar saman tersebut, akan tetapi taqwa sahaja bukan sahaja itu syaratnya, perlu juga pasti adakah duit yang ada pada tangan kita itu benar hak milik kita.
Dan bagaimana untuk memastikan wang yang ada ditangan atau didalam simpanan kita itu benar-benar milik kita? Jawapannya adalah dengan menjadi "pemerhati yang hebat" kepada setiap pemikiran yang akan menjadi tindak tanduk dan perbuatan kita. Saya percaya apa yang kita alami didunia ini adalah hasil dari perbuatan dan tindak tanduk kita sebelum ini. Jika akar lalang yang kita tanam, tidak akan dapat kita menuai padi. Jika ingin dunia yang aman, harmoni dan penuh dengan kasih sayang, kita perlulah menjadi ajen-ajen kepada perubahan tersebut dengan sendiri melakukannya iaitu menabur "benih-benih kasih sayang" tersebut kepada seluruh umat manusia.
Kita semua mungkin boleh lari dari peraturan yang dicipta oleh manusia (seperti kes saya ini tidak disaman) akan tetapi kita tidak akan dapat lari dari hukum-hukum Allah SW. Dosa yang memberi, mengambil, menulis dan saksi kepada riba' adalah sama malah mungkin rasuah juga adalah salah satu dari 70 jenis riba' yang disebut oleh Nabi SAW. Bagi yang kaya dan semakin kaya dengan riba' dan rasuah, teramatlah saya kasihan kepada mereka kerana jika tidak dilihat dari hukum Allah SW sekalipun, dari sudut fizik dunia kuantum mereka adalah terdiri dari golongan yang rugi, cuma masa sahaja yang menentukan balasannya samada didunia ataupun diakhirat. Moga menjadi manafaat bersama, peringatan dan ketukan minda untuk saya dan mereka yang mahu berfikir. Wallahualam.
link asal : http://syurgadidunia.blogspot.com/2014/09/encik-ni-nak-saman-laaa.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan