Isnin, 17 November 2014

hospital kerajaan

Ini adalah cerita hasil nukilan seorang bekas peguam, Puan Nisah Haji Haron. Kenapa beliau masih memilih perkhidmatan kesihatan kerajaan walhal beliau mampu untuk membiayai kos perubatan beliau di fasiliti swasta. Ini jawapan beliau.

Setelah melalui lima kali proses kehamilan, saya menggunakan khidmat klinik kerajaan dan saya bersalin setiap kali di Hospital Besar Seremban (kini Hospital Tuanku Jaafar Seremban). Hanya sekali dua pada peringkat awal kehamilan, saya buat imbasan untuk menentukan bahawa saya hamil di klinik swasta.

Pada awal tahun 2000, ketika hamil anak pertama, saya pergi juga ke klinik swasta. Sekali lawatan tidak kurang RM30. Kalau buat imbasan, tambah lagi dalam RM40 – RM50. Ini kadar di Seremban, ya. Persoalannya, bukan saya tidak mampu. Namun, di klinik kerajaan, saya boleh mendapatkan khidmat nasihat yang sama dan dibuat imbasan juga (jika temu janji itu dengan doktor) tanpa dikenakan bayaran satu sen pun!

Apabila bersalin di Hospital Besar Seremban pada tahun 2000, saya duduk di hospital selama 3 hari 2 malam. Oleh sebab bersalin normal (SVD), kos untuk tinggal di hospital tidak sampai RM50 sepanjang tempoh tersebut. Saya memilih untuk tinggal di wad kelas 3 pada ketika itu.
Saya masih lagi mendapat soalan “mengapa tidak ke hospital swasta?” ataupun “mengapa tidak duduk di wad kelas satu?”

Jika saya lahirkan anak saya di hospital swasta (kelahiran SVD), pada ketika itu kosnya mencecah RM2,000 (kadar di Seremban, ya). Saya dapat suasana hospital yang (mungkin) lebih aman kerana diberikan bilik seorang satu ataupun berdua, bertiga. Selebihnya, tidak banyak beza pun dengan apa yang saya lalui di bilik bersalin. Jika harus melalui C-Section, kosnya pastilah meningkat berkali-kali ganda.

Ada juga yang tanya, “selesakah bersalin di hospital kerajaan? Tak bersesak-sesak, kena tengking-tengking dengan misi?”

Bagaimana harus saya jawab persoalan ini? Saya akan ke mana-mana tempat yang baharu dengan ‘cawan yang kosong’. Saya tahu saya ke klinik kerajaan yang menawarkan kos perubatan percuma kepada ibu-ibu mengandung. Saya belum pernah diminta satu sen pun daripada pihak klinik walaupun mereka memberi saya ubat dan vitamin. Jadi, tentulah saya tidak diharapkan saya dilayan seperti tuan puteri yang baru turun dari langit. Tentulah, tidak ada hamparan permaidani merah khusus untuk saya.

Ramai orang? Ya, ramai. Jadi kenalah bijak memilih waktu. Kalau mahu pergi sebelah pagi, datanglah awal-awal. Sebelum jam 7.30 pagi setidak-tidaknya, sudah pergi ambil nombor. Jika tidak, pilih untuk datang pada waktu petang. Orang sudah mula reda. Saya akan sediakan bahan bacaan ataupun buku nota untuk mencatat. Pada saya, inilah peluang untuk saya bersendirian dan mempunyai masa khusus untuk membaca sambil menunggu giliran.

Misi marah-marah? Siapa yang tak marah kalau tidak ikut peraturan dan arahan yang telah ditetapkan. Mereka sentiasa cuba untuk menceriakan wajah pada setiap pelanggan. Tetapi, kita juga harus faham bahawa mereka juga manusia yang setiap hari menghadapi rutin kerja sejak awal pagi sehingga lewat petang. Itu belum lagi dicampur dengan karenah pelanggan yang berfikir, dia seorang sahaja yang betul.

Selama hampir 10 tahun mengulang ke klinik kerajaan dan hospital kerajaan, saya dapat melihat perkembangan yang positif dalam usaha mereka memperbaiki perkhidmatan yang disediakan. Menunggu giliran kini, tidaklah terlalu lama seperti awal-awal dahulu.

Untuk kelahiran anak-anak yang lain, saya hanya tinggal sehari di hospital. Ada yang tidak sampai 24 jam pun – sebab anak lahir sebelum subuh dan sudah boleh keluar hospital selepas waktu zuhur. Oleh itu, kos setiap kali bersalin tidak sampai RM30.

Selesa? Tidak ada apa yang harus saya rungutkan. Saya dapat kelan-kenalan baru di katil-katil bersebelahan. Berjumpa dengan golongan marhaen. Ada banyak kisah yang dapat dikongsi dalam pertemuan sesingkat itu. Kalau kita menjadi ibu buat kali pertama, akan ada ibu-ibu yang lebih berpengalaman yang akan sukarela membantu.

Setelah pulang ke rumah, misi atau jururawat di klinik kerajaan tadi akan datang ke rumah tanpa perlu diundang. Mereka akan datang melihat keadaan bayi, keadaan ibu. Sebab itulah, anak saya yang sebelum ini segera dikejarkan ke hospital kerana dikesan mendapat jaundice. Jururawat akan datang setiap hari selama hampir seminggu untuk memastikan bayi benar-benar sihat.

Berapakah kos untuk perkhidmatan ini? PERCUMA.
Jadi, perlukah saya merungut?

Saya fikir, kalau ke hospital/klinik swasta, selangkah sahaja perjalanan untuk bertemu doktor, maka bertaburlah duit di sepanjang jalan…
Terima kasih kepada pihak Klinik Kesihatan Ampangan dan juga pihak Hospital Tuanku Jaafar Seremban atas perkhidmatan cemerlang yang telah diberikan.

Ahad, 16 November 2014

pesbuk


[Kredit]

Sekiranya abad kesembilanbelas dahulu sinonim dengan revolusi perindustrian dan abad keduapuluh dengan peperangan, saya kira abad keduapuluhsatu akan dikenang sebagai zaman yang diledakkan dengan revolusi digital. Perkembangan teknologi digital dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini amatlah rancak (dan mengerikan!) sehinggakan terlalu banyak penemuan dan ciptaan baru, sama ada berguna atau pon tidak, telah dihasilkan.

Meskipon tidaklah sama dengan apa yang diramalkan oleh Fujio F. Fujiko di dalam karya agungnya, Doraemon itu! Ahah. 

Dalam tempoh sedekad yang pertama, nama-nama seperti Yahu, Gugel dan Maikerosof menguasai pentas era digital ini. Kemudian di penghujung dekad itu, nama-nama seperti Epal, Mukabuku, Alibaba dan Samsung pula yang mengambil alih. Gugel kekal sebagai antara pemain utama di atas padang revolusi digital ini. 

Dan di dalam banyak-banyak jenama ini, saya kira Mukabuku adalah antara yang paling berpengaruh sekali, terutamanya dalam kalangan anak-anak muda. Memang sukarlah juga untuk saya menemukan siapa-siapa yang tidak mempunyai akaun Mukabukunya sendiri. Cikgu sekolah rendah, penjual nasi lemak, eksekutif bank pelaburan, peguam syariah, jurulatih gimnastik, murid tadika, makcik jiran sebelah rumah... Hampir semuanya mempunyai akaun Mukabuku sendiri!

Pertimbangkan fakta-fakta yang meletupkan minda ini:

  1. Jumlah pengguna Mukabuku secara bulanan kini menyamai jumlah rakyat China (1.35 bilion manusia). 
  2. Secara puratanya, pengguna telefon pintar memeriksa Mukabuku sebanyak EMPAT BELAS KALI sehari. Yang tiada telefon pintar nampaknya lebih pintar di situ.
  3. Pengguna Mukabuku mencari (Baca: Search) sebanyak SATU bilion kali sehari. Apa yang dicari tu bang?
  4. Pengguna biasa menghabiskan sekurang-kurangnya EMPAT PULUH minit sehari dengan Mukabuku. Kalau baca Quran dah boleh habis sejuzuk tu! 
  5. Lebih DUABELAS bilion mesej dihantar melalui Mukabuku. Jika itu ditukarkan kepada zikrullah, entah berapa bilion pahala yang telah berjaya dijana!
  6. Ada kemungkinan besar nenek dan atuk anda juga merupakan pengguna Mukabuku. Lebih 45% daripada pengguna internet berusia 65 tahun ke atas mempunyai akaun Mukabuku mereka sendiri
  7. 47% daripada para pengguna Mukabuku berusia 18-34 tahun akan memeriksa akaun mereka sebaik sahaja bangun daripada tidur. Baca doa bangun tidur lagi bagus!
  8. Menurut suatu kajian, satu daripada tiga orang berasa tidak puas dengan hidupnya setelah melawati Mukabuku. 
  9. Satu pertiga daripada semua kes pendaftaran cerai di Amerika Syarikat pada tahun 2011 mengandungi perkataan 'Mukabuku.' 
  10. Beberapa orang telah mati dibunuh kerana telah membuang kawan (Baca:Unfriend) daripada senarai kawan-kawan Mukabuku mereka. Gila!   
Fuh. Gila kan pengaruh Mukabuku dalam kehidupan seharian kita? 

Tanpa fakta-fakta ini pon kita tahu yang sebenarnya hidup kita amat dipengaruhi oleh Mukabuku. Tanpa kita sedari, kita sudah pon sebenarnya ketagihan Mukabuku. Apa simptom-simptomnya?

Kita berasa amat seronok, teruja hingga ke langit apabila post kita diLIKE oleh orang lain. Sebaliknya, kita berasa tertekan apabila berpeluh-peluh otak kita memikirkan status bombastik untuk ditulis, tetapi jumlah yang mengeLIKE boleh dikira dengan jari.

Kita berasa kechiwa mahu terjun gaung apabila permintaan untuk berkawan (Baca:Friend request) kita ditolak. Apatah lagi apabila yang menolak itu adalah cik adik manis yang sudah menjadi pojaan hati kita sejak sekian lama! Eh.

Kita berasa resah gelisah sekiranya seharian tidak membuka Mukabuku. Rasa macam tak boleh nak hidup apabila kita masuk kampung atau hutan yang tidak mendapat talian internet.

Kita bergaduh, bertekak dan bercakaran dengan rakan-rakan Mukabuku kita untuk sesuatu yang remeh dan temeh. Nasib baik dalam Mukabuku tiada aplikasi tarik rambut. Heh.

Kita percaya bulat-bulat dan segi empat-segi empat segala macam berita dan fakta yang dikongsikan di Mukabuku.

Kita tekan semua pautan dan kita cuba semua permainan yang dikongsikan di Mukabuku.

Kita gemar meng'stalk' orang lain. Espeseli kalau kita minat orang tu. 

Telefon pintar kita hurung ke mana-mana agar tidak terlepas hadpet-hadpet Mukabuku yang terbaru, hatta ketika sedang berurusan di jamban. Erk. 

Hidup kita sehari-hari terasa tidak lengkap tanpa memerika Mukabuku dahulu. Sebelum pergi kerja, sebelum mula bekerja, sebelum siram bunga, sebelum pergi jogging, sebelum segala-galanya.  

Kalau nak luah perasaan, mengomel atau apa-apa sahajalah, kita lebih gemar untuk tulis status Mukabuku daripada beritahu rakan-rakan secara langsung dan berdepan.

Kita rasa tak boleh tidur malam, makan tak kenyang dan berak pon tak puas kalau seharian tak buka laman Mukabuku Angel Pakai Gucci. Eh? Wahahaha. 
[Kredit]
Nah ketahuilah, sekiranya kita mempunya salah satu, salah dua, salah tiga atau salah semua daripada simptom-simptom di atas, kita wajar menggaru kepala kita dalam kerisauan. Kerana kita sebenarnya sudah pon ketagihan Mukabuku. 

Dan yang lebih menakutkan andai kita sebenarnya telah menjadikan Mukabuku sebagai ilah (sembahan) kita! Nastaghfirullah. Nanges.
"Dan kehidupan dunia ini hanyalah senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui."
[al-Ankabut, 29:64]

Ketahuilah, kehidupan ini lebih daripada sekadar memperpanjangkan senarai rakan-rakan di Mukabuku.

Kehidupan ini jauh lebih bermakna daripada bersusah-susah memerah otak memikirkan status yang paling gempak untuk mendapatkan jumlah LIKE terbanyak.

Kehidupan ini jauh lebih berharga daripada kita sibuk berjiddal, bertengkar dan berbalah tentang isu-isu cabang di Mukabuku yang tidak membuahkan amal.

Kehidupan ini jauh lebih mahal daripada keseronokan dan kepuasan yang kita peroleh apabila kita berjaya mengstalk seseorang dan berjaya pula mendedahkan identitinya. 

Kehidupan ini jauh lebih bernilai daripada rasa gusar dan sedih kita, rasa resah dan meroyan kita apabila kita gagal mendaftar masuk ke dalam Mukabuku. 
"Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka chentai seperti menchentai Allah."
[al-Baqarah, 2:165]

Tarik nafas.

Jangan biarkan Mukabuku mempengaruhi hidup kita.

Jangan biarkan Mukabuku memporakperandakan kehidupan rumah tangga kita (Ehem!).

Jangan biarkan Mukabuku menentukan sedih gembira suka dukanya kita.

Jangan biarkan Mukabuku mendefinisikan persahabatan kita dengan rakan-rakan kita. 

Dan jangan sesekali biarkan, walau seketika, walau sesaat, untuk Mukabuku menghancurkan hidup kita.

Kata Saidina Ali r.a., "Zuhud itu bukanlah dengan kita tidak memiliki apa-apa. Tapi zuhud itu adalah tidak membiarkan apa-apa memiliki kita." 

Dan oh, kepada para pengguna Instagram, Pengicau, Ask.fm dan lain-lain yang sewaktu dengannya, yang mungkin tersenggih-senggih membaca post ini sambil berkata kepada diri, "Padan muka kau wahai pengguna Mukabuku!", ketahuilah, post ini juga untuk anda.

Aman, tanpa perang.

-gabbana-

Sedikit ironi apabila post ini juga dipromosikan di Mukabuku. Mihmih.

Jumaat, 14 November 2014

lembu

Seorang peladang mempunyai 15 ekor lembu betina dan seekor lembu Jantan Tua. Oleh kerana lembu jantan Tua sudah tidak efektif lagi membiakkan bakanya peladang itu membeli seekor lagi lembu jantan Muda untuk jadi pembaka.

Selepas lembu Muda sampai dia disapa oleh lembu Tua.
Tua : Selamat datang, kita boleh bekerjasama membuntingkan semua lembu betina ni agar tuan kita gembira.

Muda : Kerjasama?? Kamu sudah tua dan patut bersara biar aku uruskan semua kerja pembiakan ini.

Tua : Kamu bagilah aku seekor betina pun jadi laa....
Muda : Tak boleh, aku gagah dan mampu melaksanakan kerja pembiakan tanpa bantuan kamu lembu tua.


Tua : Ok kalau kamu gagah perkasa esok kita lumba lari kalau kamu menang aku tak akan ganggu walau seekorpun lembu betina.
Muda : Ok aku setuju esok pagi kita lumba.


Keesokannya.


Tua : Oleh kerana aku dah tua kamu kena bagi aku lari dulu lepas sepuloh langkah baru kamu mula berlari.


Muda : Ok lah dan Si Tua apa lagi lari lah..
Lembu tua berlari dengan perlahan kemudian dikejar oleh lembu muda... dalam 10 meter lembu muda mengejar lembu tua dan sudah hampir di bontot lembu tua.. tiba tiba  bam..  bam.. lembu muda tersungkur rebah.


Tuan lembu telah menembak lembu muda sambil menyumpah Chiss !!! Sudah tiga ekor lembu jantan. aku beli ni semuanya Gay... huh...


Moral of story...
Jangan sombong dengan orang lama. Respek la otai... dia banyak taktik yang tidak disangka-sangka....

1BRIS.

SALAH satu perkara kontroversi yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara adalah pemasangan 1BestariNet Receiver Integrated System, atau 1BRIS. 

Bagi sekolah tanpa struktur LAN yang sesuai untuk jalur lebar berkelajuan tinggi, menara 1BRIS dipasang di premis itu untuk menerima dan menyampaikan isyarat tanpa wayar berkelajuan tinggi.

Sebagai sebahagian daripada proses ini, Kementerian telah mendapatkan input daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berkenaan dengan kadar sewa yang sesuai untuk kontraktor, YTL. JPPH dalam surat bertarikh 14 Januari 2013 
telah mengesyorkan sewa bulanan sebanyak RM1,200 bagi setiap tapak 1BRIS.

Walau bagaimanapun, YTL enggan membayar jumlah ini, malah menyatakan sebaliknya bahawa syarat-syarat kontrak membenarkan mereka untuk memasang menara secara percuma. 

Selepas itu, pada 14 Februari 2014, Kementerian telah memutuskan untuk mengenakan sewa token sebanyak RM1,000 setahun bagi setiap tapak 1BRIS. 

Berdasarkan jumlah yang baru ini, YTL membayar jumlah yang tertunggak, iaitu RM2,416.67 bagi setiap tapak dari 1 Mei 2012 hingga 30 Jun 2014, termasuk deposit tiga bulan.

Namun demikian, RM1,000 setahun adalah jauh berbeza daripada RM1,200 sebulan yang disyorkan oleh JPPH. Malah, Laporan Ketua Audit Negara menyatakan kadar tersebut adalah 'tidak munasabah'.

Dengan sebanyak 3,203 menara 1BRIS dipasang di seluruh negara ini, pendapatan sewa pada harga RM1,200 sebulan atau RM14,400 setahun adalah RM46.12 juta setahun. Pada masa ini, YTL hanya membayar RM3.2 juta setahun. Ini bersamaan dengan kerugian pendapatan sebanyak RM42.92 juta setahun bagi Kementerian.

Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara juga mendapati berdasarkan kontrak yang dipersetujui antara Kementerian dan YTL, semua caj utiliti yang berkaitan dengan 1BestariNet dan 1BRIS adalah ditanggung oleh Kerajaan sepanjang tempoh kontrak, 
sementara kontraktor hanya bertanggungjawab untuk kos yang berkaitan dengan pemasangan, penyelenggaraan dan pengurusan 1BRIS.

Ini adalah suatu kecuaian yang serius dalam perjanjian kontrak, seperti diakui pihak Kementerian dalam jawapannya kepada Pejabat Ketua Audit Negara bahawa pemasangan menara 1BRIS telah meningkatkan kos elektrik sekolah daripada RM150 
hingga RM180 sebulan. 

Bagi 3,203 tapak 1BRIS di seluruh negara, peningkatan caj elektrik adalah antara RM5.77 juta hingga RM6.92 juta setahun. Dengan kata lain, jumlah ini merupakan subsidi oleh Kerajaan untuk kepentingan YTL.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Kerajaan hanya melanggan perkhidmatan YTL dan tidak seharusnya dibebani dengan caj utiliti, yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada kos operasi penyedia perkhidmatan.

Akibat kelemahan dalam kontrak 1BestariNet yang jelas berat sebelah, YTL akan memperolehi keuntungan hampir RM50 juta setahun. Selama tempoh masa 15 tahun projek ini, YTL bakal mendapat keuntungan tambahan sebanyak RM750 juta. Ini tidak termasuk keuntungan daripada penggunaan komersil menara 1BRIS.

Menurut laporan portal berita yang kini tidak berfungsi iaitu fz.com pada 10 Mei 2013, Pengarah YTL Yeoh Seok Hong dipetik sebagai berkata, "menara di sekolah-sekolah bukan sahaja akan menyediakan sambungan Internet tanpa wayar di sekolah, tetapi di sekitar kawasannya juga". 

Dengan kata lain, menara 1BRIS juga akan menyediakan perkhidmatan komersial jalur lebar YES 4G kepada penduduk sekitarnya, sekaligus memungkinkan YTL untuk meraih keuntungan tambahan.

Kecuaian atau kronisme?

Adalah jelas bahawa YTL mendapat faedah yang ketara sementara pembayar cukai Malaysia akan kerugian. 

Hanya ada dua penjelasan bagi kontrak yang berat sebelah ini. Sama ada Kerajaan dan peguamnya berlaku cuai kerana bersetuju dengan perjanjian tersebut, atau perjanjian itu telah dibentuk sedemikian rupa untuk menguntungkan syarikat kroni. 

Bagaimana pun jawapannya, ia merupakan kebimbangan besar.

Dalam konteks ini, denda RM2.4 juta yang dikenakan Kementerian ke atas YTL kerana ketidakpatuhan jadual pemasangan infrastruktur sebenarnya tidak bermakna berbanding ratusan juta ringgit keuntungan yang bakal diperolehi YTL akibat kelemahan kontrak serta perkhidmatan Internet komersil, di samping apa-apa keuntungan daripada projek tersebut. - HARAKAHDAILY, 13/11/2014

JPJ

Sejarah JPJ adalah sebagai Pendaftar Kenderaan di awal penubuhannya dahulu pd tahun 1937 dikenali sebagai RIMV (Road Inspectorat Motor Vehicle) dibawah British melalui Ordinan Lalulintas. Kemudian ditukar kepada Lembaga Pengangkutan Jalan kerana penambahan kenderaan perdagangan di jalanraya. Namun, segala-galanya berubah apabila APJ1987 diterbitkan, mereka menukar kpd Jabatan Pengangkutan Jalan. Mereka mula ‘lawan towkey’. Nak jadi penguatkuasa di jalanraya. Lawan tugas Polis Trafik. Mereka inilah ‘Penguatkuasa JPJ’ yg menjahanamkan sosio budaya rakyat Malaysia. Kita rakyat sudah terbiasa dengan layanan Polis. Sekarang di jalanraya ada 3 agensi yg menjalankan penguatkuasaan untuk satu akta yg sama APJ1987 iaitu PDRM Trafik, JPJ dan SPAD.
Berapa banyak kekeliruan cara dan gaya penguatkuasaan jalanraya?
Polis Trafik lebih mesra dan lebih berbudi bicara dan mereka tahu mereka bekerja untuk memastikan keselamatan rakyat diutamakan kerana Polis adalah pelaksana segala undang-undang yg diluluskan oleh Parlimen termasuk Akta Polis.
Berbeda dgn JPJ, mereka hanya melaksanakan Akta Pengangkutan Jalan 1987. Akta yg lebih kecil.
Mereka tiada kuasa dalam Kanun Tatacara Jenayah tapi diberikan senjata (pistol), mereka tiada kuasa dalam Akta Perihal Perdagangan 1972 tapi mereka menyaman pemilik kenderaan Cermin Gelap dan sebagainya. Nampak tak kejengkelan JPJ?
Unit Penguatkuasa JPJ memang tidak relevan.
Kesimpulannya, biar PDRM Trafik sebagai agensi tunggal penguatkuasa di jalanraya. Dan JPJ kembalilah ke kepada asal tugas kerja kamu sebagai Pendaftar Kenderaan.