Jumaat, 14 November 2014

1BRIS.

SALAH satu perkara kontroversi yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara adalah pemasangan 1BestariNet Receiver Integrated System, atau 1BRIS. 

Bagi sekolah tanpa struktur LAN yang sesuai untuk jalur lebar berkelajuan tinggi, menara 1BRIS dipasang di premis itu untuk menerima dan menyampaikan isyarat tanpa wayar berkelajuan tinggi.

Sebagai sebahagian daripada proses ini, Kementerian telah mendapatkan input daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berkenaan dengan kadar sewa yang sesuai untuk kontraktor, YTL. JPPH dalam surat bertarikh 14 Januari 2013 
telah mengesyorkan sewa bulanan sebanyak RM1,200 bagi setiap tapak 1BRIS.

Walau bagaimanapun, YTL enggan membayar jumlah ini, malah menyatakan sebaliknya bahawa syarat-syarat kontrak membenarkan mereka untuk memasang menara secara percuma. 

Selepas itu, pada 14 Februari 2014, Kementerian telah memutuskan untuk mengenakan sewa token sebanyak RM1,000 setahun bagi setiap tapak 1BRIS. 

Berdasarkan jumlah yang baru ini, YTL membayar jumlah yang tertunggak, iaitu RM2,416.67 bagi setiap tapak dari 1 Mei 2012 hingga 30 Jun 2014, termasuk deposit tiga bulan.

Namun demikian, RM1,000 setahun adalah jauh berbeza daripada RM1,200 sebulan yang disyorkan oleh JPPH. Malah, Laporan Ketua Audit Negara menyatakan kadar tersebut adalah 'tidak munasabah'.

Dengan sebanyak 3,203 menara 1BRIS dipasang di seluruh negara ini, pendapatan sewa pada harga RM1,200 sebulan atau RM14,400 setahun adalah RM46.12 juta setahun. Pada masa ini, YTL hanya membayar RM3.2 juta setahun. Ini bersamaan dengan kerugian pendapatan sebanyak RM42.92 juta setahun bagi Kementerian.

Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara juga mendapati berdasarkan kontrak yang dipersetujui antara Kementerian dan YTL, semua caj utiliti yang berkaitan dengan 1BestariNet dan 1BRIS adalah ditanggung oleh Kerajaan sepanjang tempoh kontrak, 
sementara kontraktor hanya bertanggungjawab untuk kos yang berkaitan dengan pemasangan, penyelenggaraan dan pengurusan 1BRIS.

Ini adalah suatu kecuaian yang serius dalam perjanjian kontrak, seperti diakui pihak Kementerian dalam jawapannya kepada Pejabat Ketua Audit Negara bahawa pemasangan menara 1BRIS telah meningkatkan kos elektrik sekolah daripada RM150 
hingga RM180 sebulan. 

Bagi 3,203 tapak 1BRIS di seluruh negara, peningkatan caj elektrik adalah antara RM5.77 juta hingga RM6.92 juta setahun. Dengan kata lain, jumlah ini merupakan subsidi oleh Kerajaan untuk kepentingan YTL.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Kerajaan hanya melanggan perkhidmatan YTL dan tidak seharusnya dibebani dengan caj utiliti, yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada kos operasi penyedia perkhidmatan.

Akibat kelemahan dalam kontrak 1BestariNet yang jelas berat sebelah, YTL akan memperolehi keuntungan hampir RM50 juta setahun. Selama tempoh masa 15 tahun projek ini, YTL bakal mendapat keuntungan tambahan sebanyak RM750 juta. Ini tidak termasuk keuntungan daripada penggunaan komersil menara 1BRIS.

Menurut laporan portal berita yang kini tidak berfungsi iaitu fz.com pada 10 Mei 2013, Pengarah YTL Yeoh Seok Hong dipetik sebagai berkata, "menara di sekolah-sekolah bukan sahaja akan menyediakan sambungan Internet tanpa wayar di sekolah, tetapi di sekitar kawasannya juga". 

Dengan kata lain, menara 1BRIS juga akan menyediakan perkhidmatan komersial jalur lebar YES 4G kepada penduduk sekitarnya, sekaligus memungkinkan YTL untuk meraih keuntungan tambahan.

Kecuaian atau kronisme?

Adalah jelas bahawa YTL mendapat faedah yang ketara sementara pembayar cukai Malaysia akan kerugian. 

Hanya ada dua penjelasan bagi kontrak yang berat sebelah ini. Sama ada Kerajaan dan peguamnya berlaku cuai kerana bersetuju dengan perjanjian tersebut, atau perjanjian itu telah dibentuk sedemikian rupa untuk menguntungkan syarikat kroni. 

Bagaimana pun jawapannya, ia merupakan kebimbangan besar.

Dalam konteks ini, denda RM2.4 juta yang dikenakan Kementerian ke atas YTL kerana ketidakpatuhan jadual pemasangan infrastruktur sebenarnya tidak bermakna berbanding ratusan juta ringgit keuntungan yang bakal diperolehi YTL akibat kelemahan kontrak serta perkhidmatan Internet komersil, di samping apa-apa keuntungan daripada projek tersebut. - HARAKAHDAILY, 13/11/2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan