[Kredit] |
Sekiranya abad kesembilanbelas dahulu sinonim dengan revolusi perindustrian dan abad keduapuluh dengan peperangan, saya kira abad keduapuluhsatu akan dikenang sebagai zaman yang diledakkan dengan revolusi digital. Perkembangan teknologi digital dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini amatlah rancak (dan mengerikan!) sehinggakan terlalu banyak penemuan dan ciptaan baru, sama ada berguna atau pon tidak, telah dihasilkan.
Meskipon tidaklah sama dengan apa yang diramalkan oleh Fujio F. Fujiko di dalam karya agungnya, Doraemon itu! Ahah.
Dalam tempoh sedekad yang pertama, nama-nama seperti Yahu, Gugel dan Maikerosof menguasai pentas era digital ini. Kemudian di penghujung dekad itu, nama-nama seperti Epal, Mukabuku, Alibaba dan Samsung pula yang mengambil alih. Gugel kekal sebagai antara pemain utama di atas padang revolusi digital ini.
Dan di dalam banyak-banyak jenama ini, saya kira Mukabuku adalah antara yang paling berpengaruh sekali, terutamanya dalam kalangan anak-anak muda. Memang sukarlah juga untuk saya menemukan siapa-siapa yang tidak mempunyai akaun Mukabukunya sendiri. Cikgu sekolah rendah, penjual nasi lemak, eksekutif bank pelaburan, peguam syariah, jurulatih gimnastik, murid tadika, makcik jiran sebelah rumah... Hampir semuanya mempunyai akaun Mukabuku sendiri!
Pertimbangkan fakta-fakta yang meletupkan minda ini:
- Jumlah pengguna Mukabuku secara bulanan kini menyamai jumlah rakyat China (1.35 bilion manusia).
- Secara puratanya, pengguna telefon pintar memeriksa Mukabuku sebanyak EMPAT BELAS KALI sehari. Yang tiada telefon pintar nampaknya lebih pintar di situ.
- Pengguna Mukabuku mencari (Baca: Search) sebanyak SATU bilion kali sehari. Apa yang dicari tu bang?
- Pengguna biasa menghabiskan sekurang-kurangnya EMPAT PULUH minit sehari dengan Mukabuku. Kalau baca Quran dah boleh habis sejuzuk tu!
- Lebih DUABELAS bilion mesej dihantar melalui Mukabuku. Jika itu ditukarkan kepada zikrullah, entah berapa bilion pahala yang telah berjaya dijana!
- Ada kemungkinan besar nenek dan atuk anda juga merupakan pengguna Mukabuku. Lebih 45% daripada pengguna internet berusia 65 tahun ke atas mempunyai akaun Mukabuku mereka sendiri
- 47% daripada para pengguna Mukabuku berusia 18-34 tahun akan memeriksa akaun mereka sebaik sahaja bangun daripada tidur. Baca doa bangun tidur lagi bagus!
- Menurut suatu kajian, satu daripada tiga orang berasa tidak puas dengan hidupnya setelah melawati Mukabuku.
- Satu pertiga daripada semua kes pendaftaran cerai di Amerika Syarikat pada tahun 2011 mengandungi perkataan 'Mukabuku.'
- Beberapa orang telah mati dibunuh kerana telah membuang kawan (Baca:Unfriend) daripada senarai kawan-kawan Mukabuku mereka. Gila!
Fuh. Gila kan pengaruh Mukabuku dalam kehidupan seharian kita?
Tanpa fakta-fakta ini pon kita tahu yang sebenarnya hidup kita amat dipengaruhi oleh Mukabuku. Tanpa kita sedari, kita sudah pon sebenarnya ketagihan Mukabuku. Apa simptom-simptomnya?
Kita berasa amat seronok, teruja hingga ke langit apabila post kita diLIKE oleh orang lain. Sebaliknya, kita berasa tertekan apabila berpeluh-peluh otak kita memikirkan status bombastik untuk ditulis, tetapi jumlah yang mengeLIKE boleh dikira dengan jari.
Kita berasa kechiwa mahu terjun gaung apabila permintaan untuk berkawan (Baca:Friend request) kita ditolak. Apatah lagi apabila yang menolak itu adalah cik adik manis yang sudah menjadi pojaan hati kita sejak sekian lama! Eh.
Kita berasa resah gelisah sekiranya seharian tidak membuka Mukabuku. Rasa macam tak boleh nak hidup apabila kita masuk kampung atau hutan yang tidak mendapat talian internet.
Kita bergaduh, bertekak dan bercakaran dengan rakan-rakan Mukabuku kita untuk sesuatu yang remeh dan temeh. Nasib baik dalam Mukabuku tiada aplikasi tarik rambut. Heh.
Kita percaya bulat-bulat dan segi empat-segi empat segala macam berita dan fakta yang dikongsikan di Mukabuku.
Kita tekan semua pautan dan kita cuba semua permainan yang dikongsikan di Mukabuku.
Kita gemar meng'stalk' orang lain. Espeseli kalau kita minat orang tu.
Telefon pintar kita hurung ke mana-mana agar tidak terlepas hadpet-hadpet Mukabuku yang terbaru, hatta ketika sedang berurusan di jamban. Erk.
Hidup kita sehari-hari terasa tidak lengkap tanpa memerika Mukabuku dahulu. Sebelum pergi kerja, sebelum mula bekerja, sebelum siram bunga, sebelum pergi jogging, sebelum segala-galanya.
Kalau nak luah perasaan, mengomel atau apa-apa sahajalah, kita lebih gemar untuk tulis status Mukabuku daripada beritahu rakan-rakan secara langsung dan berdepan.
Telefon pintar kita hurung ke mana-mana agar tidak terlepas hadpet-hadpet Mukabuku yang terbaru, hatta ketika sedang berurusan di jamban. Erk.
Hidup kita sehari-hari terasa tidak lengkap tanpa memerika Mukabuku dahulu. Sebelum pergi kerja, sebelum mula bekerja, sebelum siram bunga, sebelum pergi jogging, sebelum segala-galanya.
Kalau nak luah perasaan, mengomel atau apa-apa sahajalah, kita lebih gemar untuk tulis status Mukabuku daripada beritahu rakan-rakan secara langsung dan berdepan.
Kita rasa tak boleh tidur malam, makan tak kenyang dan berak pon tak puas kalau seharian tak buka laman Mukabuku Angel Pakai Gucci. Eh? Wahahaha.
[Kredit] |
Nah ketahuilah, sekiranya kita mempunya salah satu, salah dua, salah tiga atau salah semua daripada simptom-simptom di atas, kita wajar menggaru kepala kita dalam kerisauan. Kerana kita sebenarnya sudah pon ketagihan Mukabuku.
Dan yang lebih menakutkan andai kita sebenarnya telah menjadikan Mukabuku sebagai ilah (sembahan) kita! Nastaghfirullah. Nanges.
"Dan kehidupan dunia ini hanyalah senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui."
[al-Ankabut, 29:64]
Ketahuilah, kehidupan ini lebih daripada sekadar memperpanjangkan senarai rakan-rakan di Mukabuku.
Kehidupan ini jauh lebih bermakna daripada bersusah-susah memerah otak memikirkan status yang paling gempak untuk mendapatkan jumlah LIKE terbanyak.
Kehidupan ini jauh lebih berharga daripada kita sibuk berjiddal, bertengkar dan berbalah tentang isu-isu cabang di Mukabuku yang tidak membuahkan amal.
Kehidupan ini jauh lebih mahal daripada keseronokan dan kepuasan yang kita peroleh apabila kita berjaya mengstalk seseorang dan berjaya pula mendedahkan identitinya.
Kehidupan ini jauh lebih bernilai daripada rasa gusar dan sedih kita, rasa resah dan meroyan kita apabila kita gagal mendaftar masuk ke dalam Mukabuku.
"Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka chentai seperti menchentai Allah."
[al-Baqarah, 2:165]
Tarik nafas.
Jangan biarkan Mukabuku mempengaruhi hidup kita.
Jangan biarkan Mukabuku memporakperandakan kehidupan rumah tangga kita (Ehem!).
Jangan biarkan Mukabuku menentukan sedih gembira suka dukanya kita.
Jangan biarkan Mukabuku mendefinisikan persahabatan kita dengan rakan-rakan kita.
Dan jangan sesekali biarkan, walau seketika, walau sesaat, untuk Mukabuku menghancurkan hidup kita.
Kata Saidina Ali r.a., "Zuhud itu bukanlah dengan kita tidak memiliki apa-apa. Tapi zuhud itu adalah tidak membiarkan apa-apa memiliki kita."
Dan oh, kepada para pengguna Instagram, Pengicau, Ask.fm dan lain-lain yang sewaktu dengannya, yang mungkin tersenggih-senggih membaca post ini sambil berkata kepada diri, "Padan muka kau wahai pengguna Mukabuku!", ketahuilah, post ini juga untuk anda.
Aman, tanpa perang.
-gabbana-
Sedikit ironi apabila post ini juga dipromosikan di Mukabuku. Mihmih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan