IRAN AKAN JADI KUASA BESAR DUNIA
(CORETAN PERBUALAN BERSAMA TGHH)
Sudah begitu lama saya menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Ayah Chik. Hajatnya untuk meminta beliau menulis kata pengantar bagi buku usrah yang akan diterbitkan oleh Maahad Darul Quran (MDQ) awal tahun depan. Semua isi-isi telah siap sejak Ramadhan lepas. Hanya menunggu kata-kata pengantar dari beliau sahaja sebagai Penasihat Lembaga Pengarah MDQ.
Saya mendapat khabaran beliau ada di Terengganu hari ini bagi menyampaikan kuliah rutinnya setiap pagi Jumaat. Sejak 3 minggu lepas, Ayah Chik tidak berkuliah kerana berada di luar negara.
Walaupun telah berkali saya memohon untuk berjumpa sejak 2 bulan lepas, sehingga pagi tadi, saya masih belum mendapat apa-apa makluman adakah saya boleh bertemu dengannya atau tidak. Namun saya tidak meletak harapan tinggi kerana tahu beliau terlalu sibuk. Isterinya, Che Ngah memaklumkan jadualnya hari ini agak ketat. Walaupun beliau baru sahaja tiba dari KL semalam, esok beliau akan bergerak ke Johor pula dan entah bila sempat singgah ke rumah semula.
Selepas solat Jumaat, saya cuba tanya lagi kalau beliau ada sedikit ruang waktu. Malangnya beliau tiada di rumah. Tadi sewaktu berkhutbah, saya nampak mukanya agak letih. Saya fikir dia hanya akan berehat di rumah. Tapi nampaknya tugas di bahunya lebih banyak dari memikirkan waktu untuk bersantai.
Bayangkan marathon jadualnya kali ini. Selepas membahaskan bajet di Parlimen Malaysia, terus berlepas ke Turki menghadiri persidangan pemuda Islam, kemudian persidangan ekonomi ESOM, khabarnya terus ke Oman pula, naik semula ke Qatar untuk mesyuarat Kesatuan Ulama Sedunia, balik Malaysia meneruskan tugas Presiden di Pejabat Agung dan beberapa majlis besar, kemudian ke Multaqa Serantau Alumni Azhar pula menyampaikan ucaptama. Sehingga hari ini belum ada tempoh 'bernafas' yang agak baik. MasyaAllah. Hanya tuhan mampu berikan kekuatan setara itu.
Beberapa minit sebelum Asar, saya dapat makluman Ayah Chik sudah pulang ke rumah. Saya diminta untuk terus datang usai solat Asar nanti. Alhamdulillah. Sampai juga hasrat hati. Penantian bertukar kegirangan. Segera saya batalkan rancangan untuk pulang ke rumah ibubapa.
Usai Solat Asar berimamkan Ayah Chik di Masjid Rusila, saya mendapatkan masterpiece buku dari raga motor dan terus naik ke rumahnya. Saya diminta menunggu di ruang tamu. Namun sewaktu menunggu, telinga saya menangkap suara beliau berbicara dengan menantunya dari balik dinding papan yang memisahkan kami:
"Bagitahu Ayah tak sihat. Tak boleh cakap banyak."
Kegirangan saya mulai bertukar hampa. Nampaknya rancangan menemuinya akan terbatal sekejap lagi. Mungkin dia akan minta saya sampaikan hajat pada anak-anaknya sahaja. Mungkin juga dia minta saya datang lain kali. Berbagai andaian tidak enak sudah bermain di kepala.
Tidak lama kemudian menantunya muncul dari balik langsir. Seperti yang diduga, beliau mengulang apa yang sudah saya dengar tadi. Saya kelu tidak terkata. Dunia dirasakan gelap. Bilakah pula saya berpeluang untuk berjumpa dengannya.
Tiba-tiba berkumandang lagi suara garau Ayah Chik:
"Mari masuk sini."
PUCUK DICITA
Tanpa sedar, kaki saya terus meluru mendapatkan beliau. Alangkah gembira waktu itu. Tatkala menolak daun pintu, terlihat sebatang tubuh tidak bermaya berbalut pelikat dan baju panas, sedang duduk di atas kerusi urut yang entah berapa lama usianya. Kami bersalaman dan bertanya khabar.
"Tak sihat sikit. Sakit kepala." Jawabnya ringkas.
"Dah tak boleh bercakap kuat. Dah rasa sakit-sakit dada ni. Nanti nak pergi Hospital, ada temujanji." Sambungnya lagi menyatakan tarikh urusan rawatannya.
"Allahurabbi. Dah macam mana. Che Ngah kata lepas ni banyak lagi program tu." Respon saya kesayuan.
"Kalau ada lagi, memang tak boleh pergi dah. Kena rehat dulu" Balas Ayah Chik keberatan.
Sedih pula melihat keadaannya. Walaupun beliau cuba untuk senyum menyambut kedatangan saya, raut wajahnya memang sangat keletihan. Ikut hati memang tak tergamak nak bercakap lebih. Tapi memandangkan ada amanah dari pihak MDQ, saya kena sampaikan juga.
"Err. Ayah Chik. Sebenarnya nak minta tulis kata pengantar untuk buku tarbiyah kita ni. Buku syllabus usrah." Ujar saya tergagap-gagap sambil menyerahkan buku tersebut. Beliau terus membelek sepintas lalu.
"Siapa tulis buku ni?" Tanya beliau.
"Errr. Saya petik dari banyak buku-buku tarbiyah termasuk buku Ayah Chik sendiri. Kami buat sebab tengok buku-buku di luar banyak yang tak bertepatan dengan tahap dan situasi semasa kita. Lepas ini buku ini akan dijadikan teks panduan untuk usrah di MDQ. Pihak luar pun asyik tanya tak ada ke buku usrah MDQ sendiri" Terang saya kepada Ayah Chik.
"Buku ini Ustaz Husain dah tengok sikit. Mudir dan AJK tarbiah lain pun dah tapis. Cuma nak minta Ayah Chik semak dan letak sikit kata pengantar je." Sambung saya lagi.
"Tak apa. Biar Ayah Chik tengok dulu." Jawab beliau ringkas. Mendengar jawapan tersebut, hasrat saya untuk menerangkan lagi perihal buku tersebut segera dibatalkan.
Tiba-tiba terdengar suara dari luar memberi salam. Ayah Chik minta saya keluar melihatn gerangannya. Dua orang pemuda lingkungan umur akhir 20an lengkap berbaju melayu sedang berdiri dihadapan pintu sambil bertanya adakah Ayah Chik ada di rumah.
Jelas mereka, tujuan kedatangan adalah untuk air penawar dari Ayah Chik. Sebagai tuan rumah yang amat peramah, Ayah Chik minta saya jemput mereka masuk ke biliknya sementara Cik Ngah menyediakan air yang diminta. Sejak dulu lagi Ayah Chik sudah siapkan banyak air penawar di rumahnya kerana menjadi kebiasaan saban ketika, orang datang memintanya atas berbagai komplikasi yang dihadapi.
Pemuda tersebut memperkenalkan diri kepada Ayah Chik. Disebut segala nasab, sehingga tergambar urutan salasilah mereka. Rupanya datuk mereka adalah rakan bapa Ayah Chik. Apa lagi, banyaklah cerita-cerita lama yang dibukanya. Saya tumpang mendengar.
"Peringkat muda-muda ni Ayah Chik tak berapa kenal. Kena kenalkan diri baru Ayah Chik tahu." Ujarnya.
Sebelum beliau melanjutkan bicara dengan kedua lelaki itu, saya menyampuk dahulu bertanya sesuatu yang sudah lama berbuku di hati. Tadinya memang tidak tergamak nak sembang lebih dengan kondisi diringa, tapi nampaknya semakin rancak bersembang, semakin segar pula raut wajah beliau.
BICARA BERMULA
"Errr Ayah Chik. Kawan-kawan suruh tanya ni. Pasal pendirian terbaru Turki dengan Rusia. Kesatuan Ulama wajibkan sokong Turki." Soal saya membuka gelanggang.
"Haa. Turki sedang diperangkap. Kesatuan Ulama juga akan terperangkap. Tak percaya tengoklah nanti." Jawabnya laju. Sambil tersenyum, matanya dibulatkan tanda serius. Dari apa yang beliau ungkapkan, jelas menunjukkan perbezaan dengan pandangan tokoh Ulama tersohor, Dr Yusof Qardawi.
"Sekarang Erdogan sedang pulihkan hubungan dengan Israel." Bongkar Ayah Chik lagi. Saya hanya mampu beristighfar sambil menggeleng kepala.
"Kalau macam tu bagaimana pula kita dengan Rusia?" Jawapan Ayah Chik segera disambut dengan soalan lain. Saya bertekad mahu hilangkan segala yang mengganggu minda selama ini.
"Kena berhati-hatilah dengan semua pihak. Ingat dulu zaman perang dunia. Rusia dan Barat bergabung menentang umat Islam." Balas Ayah Chik lagi.
"Tapi kenapa kerajaan Chechen berpakat dengan Putin pula?" Soal saya mengatur rentak.
"Mereka terpaksalah. Politik. Tapi kita kena bezakan juga, kerajaan tu lain. Pejuang lain." Jawab Ayah Chik merujuk kepada pecahan kumpulan Islam di wilayah Autonomi Rusia iaitu Chechen atau Chenchnya. Rupa-rupanya, pihak yang menguasai Chechnya hari ini bukan mewakili pejuang Islam sebenar. Saya difahamkan, perpecahan antara umat Islam di sana berlaku atas sentimen Sufi-Salafi.
"Tapi Iran juga baik dengan Rusia sekarang." Asak saya lagi mahukan kepastian.
"Iran baik sebab Rusia juga menentang Amerika. Tapi sebenarnya Iran tak perlukan sangat Rusia tu." Jawabnya.
"Hari ini 'kita' (saya) baca berita, Jokowi (Presiden Indonesia) buat kerjasama dengan Rouhani (Presiden Iran). Dia tolak kerjasama dengan pakatan ketenteraan negara umat Islam bawah kelolaan Saudi, tapi berpakat dengan Iran pula." Bertalu-talu soalan spontan dari hati terpacul menagihkan jawapan.
"Suatu masa nanti Iran akan jadi kuasa besar. Qatar akan ikut Iran. Saudi juga terpaksa berpakat dengan Iran. Kalau tak percaya tengoklah nanti." Jawab Ayah Chik penuh pasti. Saya hanya diam seribu bahasa. Tak tahu samada perlu mengiyakan atau sebaliknya.
"Amerika sekarang takut dengan usaha Iran. Mereka tahu tahap kekuatan Iran sangat luarbiasa. Sehingga hari ini mereka tak berani isytihar perang. Apa yang dilakukan hanyalah melobi negara arab supaya menyerang Iran." Semakin rancak soalan, semakin luas jawapannya.
"Teknologi Iran lain dari apa yang dimiliki Rusia. Mereka ambil senjata Rusia, tapi diubahsuai sendiri oleh orang mereka. Dulu Amerika pernah hantar pesawat pengintip untuk masuk ke ruang udara Iran. Tetapi Iran menggunakan alat kawalan jauhnya untuk menurunkan pesawat tersebut lalu merampasnya. Sebelumnya Amerika pernah lancar peluru berpandu, tetapi Iran memintas radarnya sehingga peluru tersebut tersesat dari sasaran. Sebab itu Amerika takut sangat Iran." Ayah Chik cuba menjustifikasikan sebahagian ramalannya.
Ternyata apa yang diberitahu itu sangat berbeza dari apa yang kita perolehi melalui media. Kebanyakan agamawan hatta kalangan arab sendiripun punya pendirian berbeza dengan beliau. Namun saya lebih cenderung kepada pandangan Ayah Chik kerana beliau sendiri terlibat secara langsung dalam menguruskan konflik Asia Barat. Orang lain pula hanya bersumber media-media dan andaian sendiri.
Apa yang lebih meyakinkan, pandangan geopolitik beliau tidak lari dari panduan al-Quran dan Sunnah. Jika bukan kerana dia kurang sihat, pasti pendapatnya itu akan disertakan dengan dua tiga buah hadis akhir zaman seperti yang selalu diamalkan sebelum ini. Malah dalam beberapa ketika, dia siap membuka kitab dan menunjukkan bahagian tertentu bagi menyokong maksud yang disampaikan.
ANTARA ARAB DAN RANTAU ASIA TENGGARA
"Raja Saudi sekarang, lain ke dari yang dulu?" Saya cuba mendapat kepastian tentangnya walau beliau dah beritahu dahulu.
"Orangnya memang lain. Tapi daripada kumpulan sama juga. Pemimpin tanah arab seperti Jordan, Saudi, Kuwait, Qatar semua dah diatur penjajah. Itu semua habuan mereka selepas menjatuhkan khilafah Uthmaniyah."
"Cuba tengok tarikh hari merdeka mereka, berapa haribulan? Sempena apa?" Giliran Ayah Chik pula bertanya.
"Err. Tarikh kejatuhan Uthmaniyyah?" Jawab saya meneka.
"Ya. Memang mereka raikan kejatuhan khilafah. Sebenarnya kita ni lagi baik dari mereka. Tarikh merdeka kita sebab British keluar. Indonesia pula sempena Belanda keluar. Tapi Arab, waktu Islam jatuh!"
"Sebab tu dalam program semalam Ayah Chik sebut arab sekarang lebih teruk dari kita. Tapi wakil arab tu pula berucap membela arab dengan menceritakan jasa-jasa mereka terhadap Islam." Terang Ayah Chik merujuk kepada program Multaqa Serantau Alumni Azhar yang turut dihadiri wakil pentadbir Universiti Azhar dan PM Malaysia. Saya ketawa kecil.
Perbualan antarabangsa kami diselang seli dengan kisah beliau dengan arwah datuk pemuda yang datang sebentar tadi. Selain berkongsi cerita, beliau turut berkongsi beberapa petua orang-orang dulu. Daripada mula, bibirnya tak lekang dari mengukir senyuman membuat kami lupa, beliau itu tidak sihat. Pandai betul beliau menyembunyikan sakitnya.
"Ucapan Ayah Chik semalam kena tengok keseluruhan tu. Jangan tengok apa yang dipotong-potong dalam TV sahaja." Pesan Ayah Chik penuh cermat.
"Kenapa pula Ayah Chik pesan sebegini?" Soal saya dalam hati. Adakah dia terbaca apa yang saya tulis semalam? Memang saya petik sikit sahaja ucapan beliau, iaitu dua tiga point sebelum akhir.
"Lebih kurang 40 minit ucapan Ayah Chik semalam kan?" Ayah Chik menyoal kembali.
"Hah? Err.. ya.. ya.. lebih kuranglah." Jawab saya teragak-agak. Memang saya ikuti ucapannya secara langsung melalui hijau.fm, tetapi tak perasan pula berapa lama tempohnya.
Setelah agak lama kami bersembang, dua pemuda tadi minta izin untuk beredar. Dengan berat hati saya juga minta izin. Ikutkan hati mahu saja saya terus duduk selagi tidak dihambat keluar. Tetapi fikir beliau mahu berehat, saya kena berundur dahulu. InsyaAllah lain masa ada peluang lagi. Takkan lari gunung dikejar.
Seperti biasa, kami mengucup tangan Ulama itu sebagai tanda hormat. Saya ucapkan salam sambil melangkah ke arah pintu. Belum sempat saya palingkan tubuh, Ayah Chik sekali lagi membuka mulut:
"Nu'man bin Muqrin atau Muqarrin, bukan Maqran." Ujar Ayah Chik seolah cuba menjelaskan sesuatu kepada saya. Langkah saya terhenti kaku dek cuba memahami apa maksud kalam beliau.
Akhirnya saya teringat, rupanya Ayah Chik tegur isi kuliah Subuh saya baru-baru ini. Setiap pagi selepas Subuh hari Rabu dan Khamis, saya ditugaskan menyampaikan kuliah pendek di Masjid Rusila. Walaupun pendek, sudah tiga kitab telah saya khatamkan sejak dua tahun lepas. Kini saya membacakan kitab yang keempat, iaitu kitab berkenaan para sahabat Nabi bertajuk صور من حياة الصحابة. Setiap kali kuliah, saya kongsikan satu kisah hidup sahabat baginda SAW.
"Tapi 'kita' baca dalam kitab tu, dia bubuh baris Maqran." Saya cuba menjawab.
"Cuba tengok dalam Sahih Bukhari eja macamana. Ada seorang lagi tokoh, disebut namanya Muawiyah bin Muqarran." Ayah Chik melanjutkan penjelasannya.
"Oh ye ke. Baik Ayah Chik. Nanti saya tengok. Terima kasih." Balas saya mengakhiri bicara. Dengan jiwa yang sarat kekenyangan, saya terus menuruni anak tangga, menyarung selipar dan pulang ke rumah.
Setibanya di rumah saya segera mencapai kitab karangan Dr Abdurrahman Ra'fat Basya itu dan menyemak kembali barisnya. Rupanya memang saya silap baca. Ditulis Muqarran tapi saya baca Maqran. Saya termangu sendirian mengesali kecuaian.
Walaupun ditegur, saya tidak berasa malu atau lemah semangat sebaliknya gembira dan makin bersemangat untuk berkuliah. Walaupun Ayah Chik akan terus pulang usai mengimamkan Solat Subuh, rupanya selama ini Ayah Chik pasang telinga juga. Ingatkan beliau tak ambil peduli. Terharu pula rasanya. Lepas ini saya berazam untuk lebih berhati-hati.
Itulah serba sedikit yang boleh dikongsi berkait perjumpaan ringkas kami. Segera saya kongsikan sebelum memori indah ini luput dari ingatan. Semoga yang membaca perkongsian ini beroleh manfaat, seterusnya melanjutkan pengamatan terutama berhubung geopolitik antarabangsa. Banyak sekali perkara yang bercanggah dengan pengetahuan masyarakat umum.
Nyata penantian penuh sabar dan doa selama ini tidak sia-sia. Walaupun petang itu langit mendung tanpa kelibat mentari, tetapi suasana dirasakan cerah secerahnya dengan cahaya! Semoga peluang-peluang sebegini kan terus berulang kembali. Terlalu banyak ilmu yang belum sempat beliau kongsikan pada umat.
Sabda Nabi SAW:
(إن الله لا يقبض العلم انتزاعًا ينتزعه من العباد، ولكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يُبْقِ عالمًا اتَّخذ الناس رؤوسًا جهالاً، فسُئِلوا فأفتوا بغير علم؛ فضلوا وأضلوا
Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dengan menariknya daripada diri para hambaNya, tetapi Dia mengangkat ilmu dengan mematikan para Ulama. Sehinggalah bila tiba saat tiada lagi orang Alim, orang ramai akan menjadikan orang Jahil sebagai pemimpin. Orang jahil itu akan ditanya berbagai soalan, lalu dia menjawab tanpa ilmu. Maka dia sesat lagi menyesatkan.
(HR Bukhari & Muslim)
(Alang Ibn Shukrimun)