Sabtu, 20 Ogos 2016

Hormat ilmu

Assalam. Terima kasih kalau confession aku ni sudi disiarkan. To be honest, aku bukan student iium. Tapi aku rasa iium confession ni satu platform yg baik utk aku share kisah utk iktibar kita semua.

Aku ada sorg roommate. Asalnya dia course lain tapi dia mintak tukar sbb dia lagi minat dgn course yg skrg ni. Sejak tu lah mula rapat sbb slalu pgi kelas skali. Kira aku mmg rapat dgn dia ni Mmg member aku pun lebih2 lagi aku dia je lah satu2nya member lelaki aku yg paling dekat, ye lah duduk pun sebumbung. Member lelaki aku yg lain semua duduk kolej lain lah, rumah sewa lah, duduk rumah sendiri lah ulang alik ke kelas hari2.

Bdasarkan pemerhatian aku, dia ni mmg rajin. Kalau study mmg dia start awal dari aku. Aku mmg mlm before exam lah baru aku terhegeh2 cari nota, tu pun sempat layan movie dgn video2 youtube dulu. By the time aku nak start study, dia dah siap study 4 ke 5 kali ulang dah. Setiap kali lecture pun, pen mmg sentiasa di tgn dia utk catit nota. Aku mmg dtg lecture bawak badan je lah, nak sign attendance pun rembat pen dia. Kelas pun dia pernah ponteng, lewat mcmana pun tetap akan pergi jugak. Aku pulak kalau dah lewat bangun mmg sambung tido je lah. Hubungan dgn mak bapak dia pun mmg dia jaga. Slalu aku dgr dia call mak ayah dia. Muka ganas tapi dlm hati ada taman gak ah dia ni. Aku mmg jarang call mak ayah aku sbb aku mmg aktif dlm group whatsapp family aku je.

Nak dijadikan crita, setiap kali exam aku mesti score lagi tinggi dari dia. Jauh pulak tu beza dia. Aku punya pointer sikit lagi nak dpt dekan, tapi dia tak cecah pointer 3 langsung. Aku tau dia upset, sbb tu aku pun slalu bagi smangat kat dia sbb aku nmpak effort dia yg bsungguh2 tu. Even aku lebih percaya yg dia mampu utk score lebih baik dari aku. Aku sentiasa tunggu bila dia nak defeat aku.

Tapi apa yg aku prasan, dia x berapa menjaga hubungan dia dgn manusia. Dia mmg suka bgurau kasar smpai ada member2 prempuan aku smpai menangis2 sbb gurauan dia. Slalu xbertempat. Jujur aku ckp kdg2 aku terasa hati jugak dgn apa yg dia ckp dgn aku tapi aku xpeduli sbb aku mmg dah faham dgn cara dia yg gurau kasar x bertempat tu. Kitorg slalu study group dgn member2 prempuan skali. Dlm study group tu yg byk mengajar kitorg yg prempuan lah. Yg prempuan ni lah yg memainkan peranan sbg ‘pensyarah’ dlm study group kitorg. Maklumlah, prempuan kan lebih rajin. Tapi tu lah, kdg2 time member prempuan tu tgh mngajar pun dia boleh dtg nakal dia tu. Dia bgurau bukan agak2, smpai ke hal2 fizikal, rupa paras, private life org pun dia sentuh. Tau je lah hal2 mcmni kan sensitif bagi prempuan. Dah tu susah pulak nak minta maaf walaupun dah mmg salah dia. Ego di sbg lelaki terhadap permpuan mmg tinggi

Aku pernah tegur dia, aku ckp la xbaik dia buat mcmtu. Lebih2 lagi org tu dah kongsi ilmu dgn kita. Aku percaya yg kalau seseorg tu dah kongsi ilmu dgn kita walaupun sikit, dia dah dikira sbg guru. Kita org islam kan ada adab kalau nak berguru. Mungkin tu lah jugak salah satu faktor knp dia susah nak score. Sbb dia xjaga hati org yg dah menjadi ‘guru’ dia. Kita x tau kalau2 member yg dah ajar kita tu tiba2 bniat utk x halalkan apa yg dia ajar kat kita disebabkan lidah kita yg lancang. Eventhough dia xde pun x halalkan ilmu tu, tapi keberkatan dlm menuntut ilmu tu tetap dah berkurang. Bila kita dah sakitkan hati org, walaupun balasan dari org tu xde tapi balasan dari Allah tetap ada. Dan balasan dari Allah bukan semestinya dtg dlm bentuk sakit atau musibah. Boleh jadi Allah tarik sikit rezeki kita, tarik sikit nikmat, tarik sikit kefahaman dlm ilmu, tarik sikit keberkatan. Tu lah pasal semua benda xjadi mcm yg kita rancang.

Walaupun dah panjang lebar aku terangkan benda alah tu waktu aku tgh menegur dia, dia tetap nafikan. Dia kata “eh xdelah, aku xrasa xmungkin pun sebab mcm tu…”. Dari reaksi dia tu, dah terserlah ego dia, kesombongan dia terhadap manusia secara xlangsung kpd kekuasaan Allah. Aku cuma berharap yg dia berubah. Aku xpernah lupa doa utk dia n kwn2 aku yg lain. Aku berdoa supaya Allah lembutkan hati dia.

So guys, sbb tu lah hubungan dgn manusia pun sama penting utk dijaga sbgai mana kita jaga hubungan kita dgn Allah. ‘Habluminallah Habluminannas’ kena seiiring. Apa guna kita berhempas pulas solat dan ibadah utk jaga hubungan kita dgn Tuhan kalau hubungan kita sesama manusia masih goyah. Kita xpernah tau di antara manusia2 di sekeliling kita tu, mana yg pernah berjasa pada kita, mana yg secara xsedar kita dah aniaya dia, mana yg makbul dan diterima doa2 nya. Jgn sombong kpd makhluk ciptaanNya. Kalau kita sombong, secara xlangsung kita dah sombong pada Sang Pencipta. Ada yg siap kata ‘alah, kubur masing2 jugak’. Yup mmg betul, tapi boleh kau urus jenazah kau sendiri nanti? Dlm kubur nanti, kau yakin yg kau dah dpt taman2 syurga smpai xperlu doa2 dari manusia lain yg masih hidup?

Apa2pun, kita manusia ni mmg saling memerlukan. Sekian perkongsian saya dan doakan kami utk exam kami yg bakal kami tempuhi, semoga kami dpt ijazah tanpa repeat insyaAllah dlm 3 tahun lagi. Doakan jugak kejayaan kami di dunia dan akhirat. Semoga yg membaca confession ini juga berjaya dunia dan akhirat, insyaAllah. Amiin

– Student U lain


Selasa, 16 Ogos 2016

senggok

 16 Ogos 2016 19:19
Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sekadar berkongsi pengamatan saya terhadap pelajar-pelajar kita di KMS sekarang. Pada 2-3 minggu permulaan kuliah dulu pelajar-pelajar kita kelihatan begitu bersemangat sekali, tetapi selepas 4-5 minggu berikutnya saya melihat semakin ramai yang kelihatan lesu dan tersenggok senggok di dalam dewan kuliah. Saya berasa bimbang juga, adakah sebab kuliah yang saya sampaikan semakin membosankan atau pelajar-pelajar ini sekarang sudah mula hilang semangatnya?

Namun setelah mendengar beberapa keluhan, pelajar-pelajar ini sebenarnya memang sedang keletihan dan ada juga yang sedang stress dengan situasi yang mereka sedang hadapi sekarang. Katanya ada kuliah yang bermula pada pukul 7.30 pagi lagi? Kelas bersambung-sambung 4-5, 5-6 dan sampai 6-7 pun  ada. Kelas malam tak tau lah macam mana ceritanya. Dengan berbagai tutorial, tugasan dan berbagai lagi yang perlu dibereskan, sesiapa pun pasti akan keletihan kalau berada dalam situasi ini.

Saya bukanlah pakar dalam bidang pedagogi atau sebarang jenis gogi dalam pendidikan, namun saya yakin keadaan seperti ini bukan satu suasana pembelajaran yang sihat. Saya juga menyedari yang saya tidak berhak untuk mencampuri urusan pembelajaran pensyarah lain, tetapi kita berkongsi pelajar yang sama dan bermatlamat yang sama jug pada dasarnya. Apa yang berlaku semasa PdP orang yang lain, pasti mempengaruhi PdP saya pula nanti.

Dalam kita mengejar kecemerlangan pelajar, kita juga perlu sedar, bukan semua pelajar berada pada tahap yang sama. Bukan juga semua pelajar kita juga takdirnya nanti akan menjadi doktor atau jurutera. Saya lebih percaya tugas kita adalah menyediakan pelajar untuk suasana pembelajaran di Universiti nanti, bukan suasana pembelajaran latih tubi di peringkat sekolah dulu. Waima sekolah sekarang ini juga katanya telah cuba beralih pendekatan pembelajarannya. Saya juga tercari-cari dimana kedudukan Independent Learning dalam situasi macam ni? Mungkin juga saya seorang saja yang tak nampak lagi...?

Kalau pelajar kita ini ingin dimaraton kan pembelajarannya seperti sekarang, saya rasa ramai  pelajar kita yang akan kecundang nanti sebelum separuh jalan lagi kerana garisan penamat masih jauh. Sesi depan nanti mungkin ramai pelajar berpotensi yang akan lari jauh daripada sistem kita.

Kita memang tak mampu mengubah perkara atau dasar yang berada diluar kuasa kita, namun kita boleh cuba mengubah apa yang berada dalam kemampuan dan kawalan kita. Akhir kata, maaf dipinta kalau ada yang marah atau tidak bersetuju dengan pandangan saya. Ini hanya pandangan peribadi saya yang tidak mengetahui niat, hasrat murni atau mungkin tekanan  saudara/saudari hadapi dalam melaksana PdP sekarang ini.  

“…apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tak dapat mengajarkan yang mana benar, dan yang mana tidak…” – Praemodya Ananta Toer

Isnin, 15 Ogos 2016

Pantun majlis

PANTUN PEMBUKA ACARA

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;
Assalamualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua;
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiringi restu Ilahi.

Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah;
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.


Koleksi Pantun


Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara;
Pemanis kalam selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara.

Assalamualaikum salam sejahtera
Pembuka kata lidah bicara
Izinkan saya mulakan acara
Semoga majlis disambut ceria

Kompang bergema pusaka bangsa
Dipalu oleh si anak muda
Hadir tuan meriah suasana
Kami menyambut penuh gembira

Ulik Mayang nyanyian asli
Dilagu si gadis merdu sekali
Terima Kasih sekalung budi
Sudi datang ke majlis merai.

Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara.

PANTUN BACAAN DOA

Kalau pergi Tanjung Keramat,
Anak manis jangan diangkat;
Bersama kita memohon rahmat,
Moga majlis mendapat berkat.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Laksana dititing kias ibarat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

Lebat kemiri pohonnya rendah,
Dahan terikat tali perkasa;
Sepuluh jari kami menadah,
Mohon berkat yang Maha Esa.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

Anugerah di kecap si anak watan
Mengangkat senjata bidalan suara
Menadah tangan memohon keberkatan
Mendapat restu hidup sejahtera

Bunga mawar cantik tersemat
Dipetik gadis di tepi titi
Doa dibaca memohon Rahmat
Moga Majlis sentiasa diberkati

Tangan ditadah penuh inayah,
Majlis dibuka penuh rahmatNya,
Mohon keberkatan serta hidayah,
Moga tercerna minda kelas pertama.

PANTUN UCAPAN

Duduk sekawan gadis jelita,
Buat santapan untuk pahlawan;
Tampillah tuan kami meminta,
Madah ucapan kata aluan.

Sudilah tuan jalan berlapan,
Jalan berlapan di malam kelam;
Sudilah tuan beri ucapan,
Kata aluan pemanis kalam.

Emas tempawan buatmu puteri,
Busana indah buat rupawan;
Sudilah tuan tampilkan diri,
Bersama madah kata aluan.

Duduk sekawan si burung unta,
Tepi keramat di waktu malam;
Padamu tuan kami meminta,
Kata azimat penutup kalam.

Pergi ke kota beli selasih,
Sayang si dara buat halwa;
Berilah kata simpulan kasih,
Sulamkan mesra satukan jiwa.

PANTUN UCAPAN PERASMIAN

Daun semulur di pekan sari,
Batang jerami rebah ke bumi;
Madah dihulur sembah diberi,
Kata perasmi hajatnya kami.

Kalau tuan pikat kenari,
Jangan patahkan batang jerami;
Kepada tuan sembah diberi,
Mohon rasmikan majlis kami.

Bunga selasih di dalam taman
Harum melati penyeri intan
Terima kasih ucapan tuan
Kekal bersemi dalam ingatan

Tuah tersenyum pada Si Teja,
 Duduk bersimpuh sambil bersila,
 Kain ditenun bersama reja,  
 YDP PIBG hormat dipersila,

PANTUN PERSEMBAHAN

Pakaian dipakai cantik berseri,
Majlis keraian kita semua,
Majlis kita takkan berseri,
Tanpa persembahan multimedia

Dari Kedah ke Kuala Perlis
Singgah bersantai di tepi jeti
Persembahan pembukaan memeriahkan majlis
Semoga hadirin terhibur di hati.

Sehabis merah daun yang sihat
Dahan melebar bercerita sakan
Majlis anugerah mohon berehat
Persembahan pelajar kita saksikan

PANTUN JEMPUT MAKAN

Lebat rumbia di Sungai Kedah,
Sayang senduduk di tepi muara;
Penganan mulia terletak sudah,
Samalah duduk menjamu selera.

Terbang sekawan si burung merbuk,
Batang selasih di Tanjung Dara;
Padamu tuan kami persembah,
Santapan kasih juadah mesra.

Kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih;
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.

Sungguh indah bunga kemboja,
Di bawah atap tepi halaman;
Juadah sudah letak di meja,
Sudilah santap tuan budiman.

PANTUN ANUGERAH

Terbang tinggi si burung helang
 Berkicau kenari sambil berterbangan
 Insan cemerlang negara terbilang
 Anugerah diberi tanda kecemerlangan.

Warga cemerlang tersenyum manis
 Hadir bersama ibu bapa wibawa
 Sambutan anugerah penyeri majlis
 Sematkan gagah  di dalam jiwa

Berkebaya batik berwarna merah
Diserikan dengan permata berlian
Tibalah masa penyampaian anugerah
Penerima teruja menunggu giliran

Ikan sembilang, sepat dan kelah
Guna bubu biasa di hujung
Pencapaian cemerlang dapat hadiah
Petanda ilmu sentiasa dijunjung

PANTUN DI AKHIR MAJLIS

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.

Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Dilain masa bersua lagi.

Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.

Dari Kedah ke pekan sari,
Beli suasa di Kota Tinggi;
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.

Akar keladi melilit selasih
Selasih tumbuh di hujung taman
Kalungan budi junjungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman

Tenang-tenang air di kali
Tempat mandian putra puteri
Sempurna sudah majlis dirai
Salah dan silap harap dimaafi

Bersyukur kini kami panjatkan,
Majlis anugerah telah disempurnakan,
Sekalung penghargaan kami hulurkan,
Segulung tahniah kami ucapkan....

Merdu bertingkah alunan suara
Kadang tak sedar tersilap kata
Andai terlanjur patah bicara
Serendah hati kemaafan dipinta

Ahad, 14 Ogos 2016

EPF

*Untuk renungan dan penilaian dari diri masing2...... Dari sumber bilik sebelah*

8/8/2016, yang lalu, sy telah bercadang utk memindahkan simpanan KWSP sy ke skim patuh Islam di Cawangan ......... sy bernasib baik kerana dapat berhadapan dgn ketua khidmat penerangan KWSP sendiri.
Seperti biasa sy sebelum keputusan dibuat, sy telah bertanya beberapa soalan..

1. Apa bezanya skim lama dan skim baru..???
Jwpan : Skim Patuh Islam..

2. Maksudnya..???
Jwpn : Semua pelaburan akan dilabur ke industri2 berkonsepkan halal, berbanding skim lama hanya 41% sahaja yg halal..

3. Siapa panel pelabur KWSP skim lama dan skim baru..???
Jwpn : sama, tidak ada perubahan.

4. Bermakna sebelum ini dividen pelaburan TIDAK HALAL..?!!
Jwpn: Diam

5. Bagaiman konsep perkiraan dividen..???
Jwpn: skim lama, perkiraan dividen akan dibuat pada setiap hujung tahun, dan jika berlaku kerugian, kerajaan memberi jaminan tetap akan membayar sebanyak 2.5%, kpd ahli KWSP, jika untung bayaran dividen 6-7% setahun. Berbanding skim baru, untung atau rugi adalah berdasarkan kepada prestasi pelaburan, TIDAK ada lagi jaminan kerajaan, ayat paling sempoi, lu tanggunglah sendiri..

5. Bagaiman ianya dinilai skim ini patuh Islam..???
Jwpn: Pelaburan hanya berkonsep halal..

6. Konsep perkiraan..???
Jwpn : sama spt skim lama..

7. Tiada perbezaan pun..???
Jwpn: Ya

8. Bagaimana boleh capai status halal, sedangkan perkiraanya tetap sama..?? Sedangkan skim lama kata tidak halal, tapi masih mengekalkan konsep lama..???
Jwpn : Diam

9. Bagaimana saham itu boleh diklasifikasikan mencapai status halal..???
Jwpn: Setiap pelaburan perlu mendapat nasihat dari panel pelabur yg dilantik.

10. Lagi..???
Jwpn : Itu je

11. Bukankah konsep saham patuh islam, membolehkan pelabur mengetahui running atau untung rugi pelaburan bila2 masa, tanpa perlu tunggu hujung tahun, betul atau tidak..???
Jwpn: Diam

12. Jika berlaku ketidak puasan hati pelabur dalam urus tadbir pelaburan saham, adakah pelabur@ahli boleh membatalkan perjanjian dan masuk semula skim lama..???
Jwpn: TIDAK boleh..!!!

13. Cadangan atau nasihat puan..???
Jwpn: Tunggu dan lihat..

14. Tang mana dikatakan patuh Islam..??
Jwpn: Bukan bidang kuasa sy..

15. Assalamualaikum
Jwpn: Walaikumsalam..

# Kesimpulan yg  boleh buat ialah, memudahkan dana KWSP dicairkan..

Sabtu, 13 Ogos 2016

Durian

DURIAN DAN NANGKA MENJADI PEMBUNUH
Oleh: Dr Mohd Syamirullah

Sejak seminggu dua ini, di hospital tempat saya bertugas,  kami mendapati peningkatan kes-kes jantung (serangan jantung dan tekanan darah tidak terkawal), kencing manis (diabetis ketoacidosis dan paras gula tidak terkawal) yang sangat ketara. Saya sendiri selaku pegawai perubatan nefrologi (buah pinggang) menerima beberapa kes pesakit buah pinggang yang berkomplikasi sehingga ada yang terpaksa dihantar ke hospital besar, bahkan ada yang meninggal dunia.

"Makcik nak makan durian..dah sembilan tahun sejak dia disahkan menghidapi penyakit buah pinggang, dia tak pernah sentuh durian. Jadi semalam dia minta kat anak dia..makan seulas sahaja.. sedar-sedar pagi ini dah keletihan, sesak nafas, sakit dada." ujar seorang gadis muda, sambil mengurut-urut dada ibunya yang laju.

Pesakit ini datang ke jabatan kecemasan dengan bacaan serum potassium setinggi 7.3. Rentak jantungnya (ECG) menunjukkan sinus arrest, dengan kadar denyutan jantung hanya 32 per minit. Hemodialisis kecemasan dilakukan, hanya menurunkan bacaan serum potassium untuk sementara sahaja sebelum kembali meningkat.

Beliau meninggal dunia akibat kegagalan jantung (cardiogenic shock).

POTASSIUM

Ada banyak jenis mineral dan garam galian yang diperlukan oleh badan manusia. Kalsium, fosfat, magnesium, potassium, sodium adalah diantaranya. Kesemua galian dan garam mineral ini, dikawal kandungan dan kuantitinya oleh buah pinggang kita. Tidak boleh terlalu kurang, dan tidak boleh terlalu lebih.

Potassium, adalah sejenis bahan galian dan unsur elemen yang penting bagi tubuh manusia. Ia bertanggungjawab ke atas fungsi otot untuk mengecut (contraction). Kekurangan potassium, dipanggil hypokalemia, contohnya disebabkan muntah atau cirit birit yang berterusan boleh menyebabkan seseorang menjadi lemah, sengal dan lenguh seluruh badan, cramping dan muscle ache (myalgia).

Terlebih potassium pula, dipanggil hyperkalemia, boleh membahayakan nyawa kerana ia mengganggu fungsi contraction otot jantung. Hyperkalemia, adalah sebuah medical emergency yang perlu dirawat SEGERA, kerana ia boleh menyebabkan cardiac arrhythmia bahkan asystole.

Bagi orang yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang, khususnya end stage yang bergantung kepada dialisis, mereka ini tidak lagi boleh menghasilkan air kencing. Tubuh badan mereka tidak lagi boleh mengeluarkan bahan-bahan kumuh yang antaranya terdiri daripada garam mineral dan zat yang berlebihan ini. Dalam kes ini, potassium.

Umum mengetahui, bahawa antara makanan yang paling banyak mengandungi potassium, adalah pisang. 100 gram pisang, mengandungi 358 mg potassium. Yang keduanya, adalah sayur bayam (spinach). 100 gram bayam mengandungi 558 mg potassium.

Namun tak ramai yang mengetahui, dua jenis buah-buahan tempatan kita sebenarnya mempunyai kandungan potassium yang tinggi. 100 gram durian mengandungi 436 mg potassium, iaitu lebih tinggi dari pisang. Begitu juga dengan nangka, 100 gram nangka mengandungi 448 mg potassium, lebih tinggi dari keduanya.

Atas sebab itulah, saya menggesa kepada anda yang mengenali sesiapa sahaja sama ada ahli keluarga, jiran mahupun rakan yang menghidapi penyakit kerosakan fungsi buah pinggang, khususnya yang bergantung kepada diaisis, agar BERPANTANG buah-buahan ini. Ia boleh meragut nyawa mereka.

BERPANTANG dalam erti kata mengurangkan atau kalau boleh, berhenti terus pun tak apa. Mungkin sekali sekala hanya dalam kuantiti yang sedikit, bukannya sekaligus. Secara kasarnya, pesakit buah pinggang tetap memerlukan dietary potassium yang mencukupi, iaitu sekitar 1500 ke 2000 mg sehari. Pendek kata jika pesakit mahu makan durian, maka kurangkan makanan high potassium lain seperti yang dinyatakan di atas.

Jangan pula tengahari sudah makan gulai nangka, malamnya hendak menjamah durian pula!

Saya kongsikan di sini, sebuah case study yang berlaku di sebuah hospital di tanah air : http://e-mjm.org/2011/v66n1/Hyperkalaemia.pdf

Bahkan sebenarnya, KURMA yang kita selalu makan, mengandungi kandungan potassium yang jauh lebih tinggi. 100 gram kurma mengandungi 656 mg potassium, hampir dua kali ganda pisang.

Cumanya, kita lazimnya jarang mengambil kurma dalam kuantiti yang banyak mencecah 100 gram. Kita biasa makan ketika berbuka puasa dalam jumlah kiraan ganjil sahaja, kerana itu ia jarang memberi kesan kepada kita.

Namun awas, kerana mutakhir ini ada banyak produk yang memproses kurma. Ada yang dijadikan jus yang sudah tentu memekatkan konsentrasi potassium yang ada didalamnya. Ada yang menjadikannya cokelat, ada yang diproses dalam minuman seperti kopi dan sebagainya.

Tapi, kurma kan makanan Nabi? Makanan "sunnah"? Mustahil lah ia boleh bawa keburukan.

"Itula dengar sangat cakap doktor ni, doktor ni semua kan belajar ilmu dari yahudi, sampai tak reti nak bezakan mana sunnah. "

Dalam bidang toksikologi, kita ada sebuah prinsip asas yang dipanggil sola dosis facit venenum, bermaksud "the dose makes the poison."

Kita juga ada dalam bidang farmakologi, sebuah subbidang khas dipanggil farmakokinetik yang mengkaji tentang bagaimana tubuh badan manusia memproses setiap bahan khususnya ubat-ubatan.

Setiap tubuh badan manusia secara individu, mempunyai kapabiliti tersendiri memproses setiap bahan yang ada.

Bagi manusia yang sihat seperti kita, habiskan sebijik durian pun tak apa. Kerana buah pinggang kita sihat, ia boleh mengkumuhkan dan membuang potassium berlebihan.

Tetapi bagi pesakit ESRD, ini tidak boleh bagi mereka. Mereka tidak boleh mengkumuhkan potassium, sebab itulah hatta seulas durian pun boleh membahayakan nyawa mereka.

Begitu juga dengan pesakit ESRD dan kegagalan fungsi jantung. Mereka ini, PANTANG air berlebihan.

Air, benda yang bagus bagi manusia. Bahkan kita digalakkan meminum sehingga 4 litre air sehari.

Tetapi ini, tidak benar bagi pesakit ESRD dan CCF. Mereka ini, hanya dibenarkan meminum sekitar 500ml air sahaja. Sekiranya lebih, air ini tidak dapat dikumuh keluar dan akan berkumpul di kaki sembab, bahkan sehingga ke paru-paru menyebabkan sesak nafas.

Begitu juga contoh seterusnya, nasi untuk pesakit kencing manis. Benar, nasi tu makanan berkhasiat dan berzat. Namun sudah tentulah pesakit kencing manis, tidak boleh mentekedarah nasi seperti orang sihat.

Atas sebab itulah, saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada kita semua, agar BERHATI-HATI dengan sesetengah pihak yang bermotifkan keuntungan menjual "bahan-bahan beracun."

Mereka ini mengambil kesempatan atas keterdesakan dan atas nama "ikhtiar" seorang pesakit, serta memanipulasi dan memomokkan dengan ketakutan ke atas "bahan kimia".

Bahkan ada yang sanggup menggunapakai nama agama. Arwah seorang ahli keluarga saya sendiri, antara yang terpedaya, mengamalkan "kopi habbatussauda" kerana terpengaruh dengan dakwaan penjualnya bahawa ia mampu menyembuhkan penyakit darah tinggi yang dihidapinya. Beliau dihasut dengan dakwaan ubat hospital tidak boleh menyembuhkan, boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dsb, dan disuruh mengamalkan 'perubatan sunnah' iaitu habbatussauda. Kesudahannya, kombinasi darah tinggi yang tidak terkawal dan faktor pengambilan kaffein yang berterusan, beliau meninggal dunia akibat strok (angin ahmar).

Berhati-hatilah dengan apa sahaja yang dipanggil "natural" kerana apa yang "natural" bagi seorang, mungkin menjadi "pathological" bagi seorang yang lain.

Dapatkan nasihat doktor YANG MERAWAT ANDA, bukannya orang sebarangan, hatta saya sekalipun sering ditanya di FB "bolehkah saya ambil supplemen ini", saya tidak akan menjawabnya kerana saya tidak mempunyai maklumat mengenai kesihatan orang yang bertanya. Saya tidak tahu fungsi buah pinggang anda normal atau tidak, fungsi hati anda ok atau tidak, apa masalah kesihatan yang anda ada.

Akhir kata, orang yang bertanggungjawab atas kesihatan anda, first and foremost adalah diri anda sendiri. Justeru buatlah pilihan yang selamat dan letakkanlah kepercayaan kepada orang yang betul. Kerana in the end, yang akan menanggung kesannya, adalah anda sendiri.