Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sekadar berkongsi pengamatan saya terhadap pelajar-pelajar kita di KMS sekarang. Pada 2-3 minggu permulaan kuliah dulu pelajar-pelajar kita kelihatan begitu bersemangat sekali, tetapi selepas 4-5 minggu berikutnya saya melihat semakin ramai yang kelihatan lesu dan tersenggok senggok di dalam dewan kuliah. Saya berasa bimbang juga, adakah sebab kuliah yang saya sampaikan semakin membosankan atau pelajar-pelajar ini sekarang sudah mula hilang semangatnya?
Namun setelah mendengar beberapa keluhan, pelajar-pelajar ini sebenarnya memang sedang keletihan dan ada juga yang sedang stress dengan situasi yang mereka sedang hadapi sekarang. Katanya ada kuliah yang bermula pada pukul 7.30 pagi lagi? Kelas bersambung-sambung 4-5, 5-6 dan sampai 6-7 pun ada. Kelas malam tak tau lah macam mana ceritanya. Dengan berbagai tutorial, tugasan dan berbagai lagi yang perlu dibereskan, sesiapa pun pasti akan keletihan kalau berada dalam situasi ini.
Saya bukanlah pakar dalam bidang pedagogi atau sebarang jenis gogi dalam pendidikan, namun saya yakin keadaan seperti ini bukan satu suasana pembelajaran yang sihat. Saya juga menyedari yang saya tidak berhak untuk mencampuri urusan pembelajaran pensyarah lain, tetapi kita berkongsi pelajar yang sama dan bermatlamat yang sama jug pada dasarnya. Apa yang berlaku semasa PdP orang yang lain, pasti mempengaruhi PdP saya pula nanti.
Dalam kita mengejar kecemerlangan pelajar, kita juga perlu sedar, bukan semua pelajar berada pada tahap yang sama. Bukan juga semua pelajar kita juga takdirnya nanti akan menjadi doktor atau jurutera. Saya lebih percaya tugas kita adalah menyediakan pelajar untuk suasana pembelajaran di Universiti nanti, bukan suasana pembelajaran latih tubi di peringkat sekolah dulu. Waima sekolah sekarang ini juga katanya telah cuba beralih pendekatan pembelajarannya. Saya juga tercari-cari dimana kedudukan Independent Learning dalam situasi macam ni? Mungkin juga saya seorang saja yang tak nampak lagi...?
Kalau pelajar kita ini ingin dimaraton kan pembelajarannya seperti sekarang, saya rasa ramai pelajar kita yang akan kecundang nanti sebelum separuh jalan lagi kerana garisan penamat masih jauh. Sesi depan nanti mungkin ramai pelajar berpotensi yang akan lari jauh daripada sistem kita.
Kita memang tak mampu mengubah perkara atau dasar yang berada diluar kuasa kita, namun kita boleh cuba mengubah apa yang berada dalam kemampuan dan kawalan kita. Akhir kata, maaf dipinta kalau ada yang marah atau tidak bersetuju dengan pandangan saya. Ini hanya pandangan peribadi saya yang tidak mengetahui niat, hasrat murni atau mungkin tekanan saudara/saudari hadapi dalam melaksana PdP sekarang ini.
“…apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tak dapat mengajarkan yang mana benar, dan yang mana tidak…” – Praemodya Ananta Toer
Tiada ulasan:
Catat Ulasan