Khamis, 29 November 2018

Di hospital

38 HARI DI HOSPITAL (11 Sept - 19 Okt 2018)
= 22 HARI DI ICU
= 16 HARI DI WAD BIASA

Alhamdulillah, hari ini cikgu berkesempatan menulis pengalaman hidup yg Allah beri pada bulan September lalu. Allah swt yg maha pengasih dan penyayang, yang maha mengetahui, telah menguji kami dengan ujian anak yg sakit dan masuk ke hospital selama 38 hari. Kata doktor Muhammad diserang sakit meningitis (Radang Otak) Wallahualam. Semua penyakit ada penawar kecuali maut dan ketuaan. Anak kecil yg sakit tiada dosa, sesungguhnya penyakit anak kecil ini adalah pelajaran untuk kita, yg baligh agar berfikir tentang nikmat sihat ini. Terima kasih buat seluruh nurse, staf dan doktor yg merawat anak kami khususnya di wad icu pediatric dan wad. Semoga Allah swt membalas kebaikan kalian dengan sebesar besar kebaikan di akhirat.

Tiada lagi tempat untuk berharap melainkan Allah. Pengalaman berada di hospital dalam tempoh ini mmg pengalaman yg sangat berharga buat kami sekeluarga. Apabila kita berada di hospital dengan keadaan  ujian sakit dan melihat kebesaran Allah , sangat berbeza dengan kita ke hospital dengan niat yg lain.

Setiap hari yg berlalu dirasakan begitu lama. Ujian terpaksa meninggalkan 6 anak yg lain juga begitu berat. Hidup agak kelam kabut selama anak di wad (Terima kasih buat ibuk dan papa serta adik beradik yang banyak membantu menjaga 6 anak kami)

Melihat 3 anak di icu di hadapan anak cikgu meninggal dunia, cukup membuatkan hati ini begitu gentar dan harap kepada Allah. Rasa sedih melihat keadaan Ummat yg di hospital samada bekerja atau sakit, tapi masih sengaja melewatkan solat tanpa apa apa keperluan yg mendesak, yg x menutup aurat, walhal pelbagai kebesaran Allah berada di hadapan mereka setiap hari di hospital.

Nikmat sihat yg Allah beri pada kita begitu besar. Tidak dapat kita nak berhujah depan Allah dengan nikmat ini. Sedang kita sihat, Allah panggil kita melalui azan, kita masih berlengah X ke masjid atau surau untuk solat berjemaah, kita ada motor, ada kereta, ada kaki, masih enggan masjid?? , kita berada dalam masalah yg sangat besar, apatah lagi meninggalkan solat.

Nikmat yg sihat, kita masih X mahu baca Quran setiap hari minimum 4 muka surat untuk tunai hak Quran, walhal kita habiskan banyak masa baca berita² viral, tengok video viral, baca msg group whatsapp telegram Instagram twitter, tapi kita xde masa nak baca Quran  4 muka surat, kita akan menyesal atas nikmat sihat ini di akhirat. Sebaiknya kita habiskan setiap hari 1 juz Quran.

Nikmat Allah beri kita sihat untuk berfikir, tapi kita masih X mahu taat Allah, X mahu ikut perintah nabi. Masih berani X tutup aurat, masih berani x pakai tudung, masih berani keluar rumah baju lengan pendek wanita, masih berani wanita x pakai Stokin, kita akan menyesal di akhirat. Satu hari akhirat = 1000 tahun dunia.

Nikmat sihat yg Allah beri, kita masih X mahu keluar jalan Allah, tak mahu buat dakwah ajak jiran jiran untuk taat Allah, walhal nabi dan sahabat, dalam keadaan kelaparan, susah, sakit, mereka keluar di jalan Allah untuk mengajak Ummat ini kepada Allah. Mereka tinggal di Mekah madinah, tempat yg amal digandakan 100,000 kali ganda, tapi mereka tinggalkan haramain dan syahid di jalan Allah semata mata untuk kerja dakwah, bawa Ummat ini kepada Allah. Kita akan menyesal kerana habiskan masa dengan sibuk memenuhi nafsu kita, sibuk nak makan sana sini, sibuk nak jalan sana sini, sibuk nak berfoto sana sini. Kita akan menyesal.

38 hari yg sangat berharga dan sehingga hari ini, anak cikgu masih sakit saraf otak (semoga Allah menyembuhkan dan berikan Muhammad yg terbaik), pengalaman itu masih segar dalam ingatan. Doakan Muhammad.

Terima kasih buat semua saudara mara dan sahabat² serta guru Guruku yg datang menziarahi kami di wad dan di rumah. Tiada lagi yg lebih menggembirakan apabila ada saudara mara dan sahabat² yg datang menziarahi kita. Semoga Allah swt mengganjari kalian dengan sebesar besar kebaikan di akhirat.

Tiada lagi air mata untuk ditangiskan, semoga Allah menjadikan ujian ini asbab kami terlepas dari azab neraka mu ya Allah....

#doabuatMuhammad

5A

BAGAIMANA KIAH DAPAT 5A

Kiah tak ambil UPSR. Kiah ambil Peperiksaan Penilaian Darjah 5. Kiah jenis malas membaca. Kiah hanya pergi sekolah dan teliti apa cikgu ajar dalam kelas. Kiah catit nota cantik-cantik. Ada seorang cikgu, namanya Cikgu Mohamad Ismail sangat baik dengan Kiah. Melihat tulisan Kiah yang cantik, cikgu selalu suruh tolong siapkan buku mengajar beliau. Kiah ikut apa cikgu suruh, sebab bagi Kiah cikgu bukan nak menghambakan Kiah. Cikgu pilih Kiah di antara berpuluh orang murid untuk membantunya menulis buku tersebut; ia satu kepercayaan daripada seorang cikgu kepada anak murid sekecil Kiah. Kiah sayang Cikgu Mohamad Ismail dan hormat beliau. Lepas tulis buku tersebut, Kiah diminta cikgu hantar buku tersebut ke bilik guru. Kiah ikut sebab percaya sangat berkat tolong cikgu. Kiah harap Allah tolong Kiah yang malas membaca dan ulangkaji pelajaran.

Ada seorang cikgu pula kurang tumpukan perhatian pada Kiah. Tidak salahkan cikgu, Kiah budak kampung dan nampak bodoh dalam kelas. Ramai lagi anak murid lain yang sangat pintar dan cerdas dalam sekolah. Cikgu tersebut hanya “target” murid-murid cerdik sahaja walaupun Kiah berada dalam kelas paling cerdik. Apabila cikgu tanya soalan, Kiah jadi macam kura-kura, sembunyi muka celah meja. Nasib baik Kiah kecil, cikgu kurang nampak Kiah yang suka duduk belakang kelas. Kalau cikgu tanya soalan dan minta jawapan “volunteer”, Kiah tak pernah membanggakan cikgu. Cikgu tersebut akhirnya kecewa dengan Kiah; dan Kiah tak tersenarai dalam senarai murid harapan.

Balik sekolah Kiah campak beg sandang kain kanvas ke dalam rumah, tanggalkan kasut kanvas buruk, tanggalkan kain dan baju sekolah, hanya tinggal “seluar katak” dan baju T. Kiah tanpa alas kaki panjat pokok jambu batu depan rumah. Kiah makan jambu batu yang agak ranum dan berkhayal di situ beberapa jam. Kiah nampak mak tertinjau-tinjau dari dalam rumah intai pokok manggis, melilau ke pokok pisang. Kiah tiada. Mak dapat mengesan Kiah setelah nampak dahan pokok jambu sedikit bergoncang. “Makan la jambu batu tu banyak-banyak, nanti sakit apendiks kena potong usus”. Kiah takut ugutan mak jadi doa. Kiah makan jambu batu dan sembur keluar biji-bijinya, macam orang sembur air sirih.

Puas bergayut di pokok jambu, Kiah panjat pokok pisang. Cita-cita Kiah mahu panjat hingga dapat memegang jantung pisang. Sudah banyak kali Kiah cuba, tapi asyik tergelongsor. Sakit paha Kiah kepit batang pisang yang licin. Suatu hari Kiah berjaya capai jantung pisang. Kiah puas hati yang teramat, kerana Kiah dapat buktikan bahawa pokok pisang boleh dipanjat. Kiah berjaya mencabar pendapat nenek yang mengatakan perbuatan Kiah sia-sia kerana tidak pernah jadi dalam sejarah orang berjaya panjat pokok pisang. Sebab itulah orang akan tebang pisang untuk ambil buahnya.

Setiap kali tengok Kiah panjat pokok pisang, nenek akan meneriak nama ayah, meminta ayah melarang Kiah meneruskan usaha memanjat. “Tengok anak mung ni Wei, mengalahkan jantan suka memanjat. Buruk celah anu tu baru tahu kena getah pokok pisang”. Ayah keluar dari rumah dan menggeleng kepala. Tapi bukan dengan muka bengis. Kiah tahu ayah hanya ambil hati ibunya. Dalam hati mungkin ayah bangga tengok kesungguhan anak perempuannya yang banyak mewarisi sifatnya yang lasak dan tidak mudah menyerah kalah.

Jika tiba musim manggis berbuah, Kiah panjat pokok manggis; sedahan demi sedahan sehingga sampai ke dahan paling atas. Sayup-sayup kelihatan adik-beradik Kiah yang lain dari atas. Kiah senyap-senyap melontarkan buah manggis ke kepala sesiapa yang ada menyakitkan hati Kiah sebelum itu. Kiah gembira dapat melepaskan rasa marah dengan cara begitu, apatah lagi melihat reaksi mereka yang terkejut beruk sewaktu buah manggis menimpa kepala. Kiah disumpah seranah sebaik sahaja mereka dapat mengecam suara Kiah ketawa berdekah-dekah dari atas pokok manggis. Begitulah kehidupan Kiah setiap hari.

Maka, apabila keputusan Penilaian Darjah Lima keluar, Kiah senyap-senyap ke sekolah untuk ambil keputusan. Kiah lihat pelajar harapan cikgu sebahagiannya senyum, namun ada seorang dua yang masam mencuka di samping ibu bapa yang juga kelihatan kecewa. Kiah seorang diri ke pejabat sekolah. Kiah hairan melihat cikgu-cikgu dan kerani bertugas senyum menyambut kedatangan Kiah. Mereka suruh Kiah cepat-cepat ambil slip keputusan. Oh, patutlah mereka ceria. Kiah dapat 5A. Kiah gembira tetapi tidaklah terlalu teruja kerana Kiah sudah jangka Kiah akan dapat 5A. Kiah hanya yakin, tidak tahu kenapa, walaupun Kiah tahu Kiah hanya letak buku nota bawah bantal pada malam-malam sebelum peperiksaan.

Pulang ke rumah, abang dan kakak Kiah menyambut dengan muka cemas. Kiah dapat jangka, mereka mungkin hanya mengharapkan Kiah lulus semua matapelajaran, tidak lebih dari itu. Kiah buat muka berat untuk menjawab apabila mereka beriya-iya mengintai slip keputusan. Kiah buat muka sardin, dan menjawab acuh tak acuh… 5A. Abang Kiah ambil bulu ayam dan kejar Kiah keliling tiang seri. Dia marahkan Kiah kerana kononnya menipu. Mengatakan Kiah malas tetapi suka berbohong. Kiah penat lari pusing tiang. Akhirnya timbul akal melemparkan slip keputusan tersebut. Tatkala melihat deretan A tercatat, barulah abang Kiah berhenti kejar Kiah dan meneriak kepada kakak-kakak Kiah yang lain. “Betullah la dia dapat 5A”. Kiah meraung kerana geram dan kepenatan.

Sehingga kini, Kiah yakin keputusan Kiah dapat 5A adalah kerana sifat Kiah yang sangat menghormati, menghargai dan sayangkan cikgu. Kiah tidak pernah menaruh dendam kepada cikgu yang pernah menonyoh dahi, hidung Kiah. Kiah selalu doakan cikgu yang melayan Kiah sebagai anak orang kampung supaya ditunjukkan Allah sifat mahmudah. Kiah tidak pernah menyalahkan dia, tetapi Kiah anggap sebagai motivasi bagi Kiah untuk dapat 5A. Kerana itulah Kiah menjawab “kejayaan saya kerana doa cikgu” apabila cikgu tersebut kelihatan merah padam mukanya apabila mendapat tahu Kiah dapat 5A setelah kehairanan melihat Kiah duduk sebarisan pelajar yang mendapat 5A untuk diambil gambar.

Kiah yakin, kejayaan seseorang pelajar itu bukan hanya bergantung pada kerajinan baca buku atau kualiti kelas tuisyen swasta yang dihadiri. Kiah yakin kejayaan itu adalah kerana *izin الله dan keberkatan ilmu* itu sendiri, yang diperolehi apabila kita tidak meminggirkan adab dan nilai dalam menuntut ilmu seperti *menghormati cikgu*.

Kini, apabila Kiah baca sejumlah berita tentang ibu bapa yang bertindak mengutuk, menyaman dan segala perbuatan yang tidak layak dilakukan kepada guru, Kiah sangat yakin, mereka sebenarnya sedang memusnahkan masa depan anak mereka sendiri.

#kiahdapat5A

Ahad, 25 November 2018

Lori sampah

KISAH LORI SAMPAH - The Law of Garbage Truck

Suatu hari, saya menaiki Grab Car untuk ke suatu destinasi. Grab tersebut bergerak di lane paling kanan dan secara tiba-tiba, datang sebuah kereta memotong tanpa signal masuk ke lane kami secara mengejut.

Pemandu Grab tersebut brek dengan mengejut,  dan nyaris-nyaris mahu terlanggar kereta tersebut hanya beberapa inchi.

Pemandu yang memotong tersebut mula mengangkat tangannya menunjukkan *F words* dan menjerit ke arah kami.  Seolah-olah kesalahan itu berpunca dari pemandu Grab tersebut. 

Reaksi Pemandu Grab tersebut mengejutkan saya.  Kerana beliau hanya senyum dab angkat tangan tanda meminta maaf kepada pemandu tersebut.

Saya terkesima kerana tanggapan saya pasti beliau akan marah.  Tetapi tidak.

Lalu saya bertanya, "Kenapa U buat macam tu sahaja?  Pemandu tersebut nyaris-nyaris melanggar kereta U dan jika terlanggar tadi,  ke hospital la kita jawab nya"

Dan momen ini lah,  pemandu Grab tersebut mengajar saya tentang satu perkara iaitu "The Law of Garbage Truck"

Beliau menyambung,

"Ramai orang di dunia seperti "lori sampah". Mereka membawa penuh muatan sampah di dalam hati mereka.  Mereka membawa hati yang frust,  hati yang penuh kemarahan,  hati yang penuh rasa tidak puas.

Apabila,  "sampah" tersebut mulai banyak,  mereka memerlukan tempat untuk "membuangnya".

Maka,  usah mengambil sesuatu perkara tersebut personally.  Hanya senyum,  lambai sahaja,  dan berdoa semoga kehidupan pemandu tersebut di permudahkan dan kita move on dengan rutin harian kita seperti biasa. Usah mengambil "sampah" mereka dan sebarkan kepada orang lain yang kita jumpa di rumah,  pejabat mahu pun di sekeliling kita"
.

Kesimpulannya,  orang yang berjaya,  mereka tidak akan benarkan hidup mereka di pengaruhi oleh "sampah-sampah" begini.

Kehidupan sangat singkat untuk bangun pagi dan melempiaskan kemarahan kepada orang lain dan membawa hati yang sarat dengan "sampah".

Maka,  berbuat baiklah dengan mereka yang menyantuni anda dengan penuh kebaikan.  Dan titipkan lah doa - sedekahkan Al Fatihah buat mereka yang selalu menyakiti hati anda.

Seperti kata bijak pandai

10% di dalam kehidupan adalah apa yang kita lakukan sehari-harian.

Manakala 90% daripadanya,  adalah apa yang kita respon.

COPY AND PASTE

Graduasi

DALAM alam pendidikan tidak lengkap jika tidak diadakan majlis graduasi, konvokesyen dan komensmen.  Majlis ini menjadi penamat atau khatam bagi sesuatu sidang atau tempoh pengajian.
Graduasi berasal daripada perkataan Inggeris iaitu graduation. Perkataan ini sering digunakan dalam sistem persekolahan, meliputi sekolah tadika sehinggalah ke peringkat universiti atau pengajian tinggi.
Ramai yang tidak sedar bahawa penggunaan perkataan graduasi itu tidak tepat, kerana dalam bahasa Melayu perkataan graduasi tidak ditemukan.
Hanya terdapat perkataan graduan bermaksud mahasiswa yang akan menerima ijazah pada hari penyampaian ijazah.
Perkataan graduan pun harus dapat dibezakan pula dengan perkataan siswazah.  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) jelas menyebut bahawa perkataan graduasi tidak terakam dalam Kamus Dewan dan dicadangkan kepada pengguna bahasa menggantikan perkataan itu dengan pengijazahan atau majlis penerimaan ijazah.
Ironisnya, perkataan graduasi digunakan secara meluas di sekolah seperti berikut; Majlis Graduasi Tadika 2017, Majlis Graduasi SPM 2017, Majlis Graduasi Tingkatan 6 Atas, dan sebagainya.
Penggunaan perkataan graduasi boleh digantikan dengan perkataan lain seperti Majlis Penyampaian Sijil, Majlis Penganugerahan Sijil, dan sebagainya.
Kelaziman penggunaan perkataan graduasi ini berpunca daripada ikut-ikutan kita tanpa membuat rujukan dahulu.
Perkataan graduasi mungkin boleh disamakan dengan istilah konvokesyen yang membawa maksud perhimpunan di universiti untuk penyampaian ijazah.
Penggunaan perkataan konvokesyen ini jelas memberi makna khusus untuk majlis penyampaian ijazah, bukan diploma, dan bukan sijil.
Perkara ini boleh dirujuki secara tepat dalam Kamus Dewan atau di Gerbang Maya PRPM, Dewan Bahasa dan Pustaka. Konvokesyen berasal daripada perkataan bahasa Inggeris convocation, namun makna yang  terdapat dalam bahasa Inggeris lebih luas yang merujuk sekumpulan orang yang dihimpunkan untuk tujuan khas.
Jadi, dalam perihal ini jika sekumpulan orang seperti peladang atau petani yang berhimpun untuk berbincang dan berseminar juga boleh dianggapkan sebagai majlis konvokesyen.
Demikianlah konteks dalam bahasa Inggeris, yang kelihatan agak berlainan daripada kebiasaan kita menggunakan perkataan itu dalam skop arena pendidikan sahaja.
Selain itu, penggunaan istilah konvokesyen dalam bahasa Inggeris juga selalu digunakan untuk peringkat sekolah dan kolej.
Sekali lagi ada kelainan penggunaan berbanding dalam konteks budaya kita di Malaysia.
Di negara-negara Barat, konvokesyen turut diadakan di peringkat sekolah dan kolej.
Terdapat banyak tradisi yang berkait dengan upacara penyampaian ijazah ini, yang paling terkenal kemungkinannya ialah lontaran topi siswazah ke udara.
 Di kebanyakan universiti yang besar di Amerika Syarikat, ratusan siswazah akan menerima ijazah sekali gus, biasanya terdapat satu majlis utama di stadium atau tempat lain yang diikuti dengan majlis-majlis yang lebih kecil di kampus.
Upacara kecil ini dianjurkan oleh setiap fakulti dan merupakan upacara sebenar penganugerahan ijazah.
Di tempat-tempat lain, cuma satu majlis diadakan, di suatu tempat di kampus, tetapi dibahagikan kepada beberapa sesi di sepanjang hujung minggu.
Ada juga universiti yang melangsungkan konvokesyen lebih daripada sekali setahun.
Satu lagi istilah yang digunakan berkaitan tamatnya sesuatu pengajian atau kursus iaitu komensmen. Istilah ini diguna pakai untuk menamakan majlis penyampaian sijil kerana tamat sesuatu kursus.
Agak meluas juga penggunaan istilah ini dalam sistem pendidikan negara kita, bunyinya hebat dan tersirat suatu kemegahan.
Namun, apabila kita merujuk Kamus Dewan dan Gerbang Maya PRPM, sekali lagi kita terkejut dengan kenyataan ini, komensmen tiada dalam bahasa Melayu.
Oleh itu perkataan tersebut tidak boleh digunakan dan hendak-lah menggunakan istilah bahasa Melayu yang  tepat,   jika  perkataan dimaksudkan commencement (bahasa Inggeris), memberi maksud permulaan ataupun pembukaan.
Justeru, dipendekkan cerita baik apa sahaja perkataan yang akan digunakan lebih baik dilakukan rujukan terlebih dahulu.
Hal ini mengelakkan kita daripada terjerumus ke kancah kesalahan bahasa yang berlarutan dan menjengkelkan.
*OH bahasaku!(Sinar Harian)
* MOHAMMED HARON
14 JUN 2018
 Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

Guru

Semangat Ilahi:
Kiriman drp warga guru kpd ibu bapa penjaga murid..

Warga Pendidik,
Sekolah Rendah dan Menengah,
Seluruh Malaysia.
_______________________
                              22.11.2018

Kepada,
Ibubapa/penjaga,
Seluruh Malaysia.

Tan Sri/Datuk/Tuan/Puan,
PEMBAHAGIAN TUGAS PADA MUSIM CUTI SEKOLAH.

Perkara di atas dirujuk.

2. Sempena cuti sekolah yang bermula pada 22. 11. 2018 adalah diharapkan tuan/puan menerima perlantikan seperti berikut:

   Bapa: Pengetua/GB
   Datuk: GPK1
   Ibu: GPK HEM
   Nenek: GPK KoKu
   Abang/Kakak Sulong: Guru Disiplin
 
3. Pihak sekolah berbesar hati sekiranya tuan menerima tugas ini dengan rela hati sepanjang cuti sekolah ini dan merasai sendiri nikmat mendidik dan menjaga anak-anak.

4. Adalah tidak adil sekiranya guru sahaja diberi peluang melaksanakan tugas itu sepanjang tahun. Pihak kami memahami bahawa ibubapa juga teringin diberi peluang yang sama.

5. Jagalah anak-anak dengan baik agar tidak merempit, melepak, bermain gajet dan basikal terlajak laris secara melampau sehingga mengabaikan diri mereka.

6. Kerjasama tuan didahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian.

"BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN SAMA DIJINJING"