Khamis, 29 November 2018

5A

BAGAIMANA KIAH DAPAT 5A

Kiah tak ambil UPSR. Kiah ambil Peperiksaan Penilaian Darjah 5. Kiah jenis malas membaca. Kiah hanya pergi sekolah dan teliti apa cikgu ajar dalam kelas. Kiah catit nota cantik-cantik. Ada seorang cikgu, namanya Cikgu Mohamad Ismail sangat baik dengan Kiah. Melihat tulisan Kiah yang cantik, cikgu selalu suruh tolong siapkan buku mengajar beliau. Kiah ikut apa cikgu suruh, sebab bagi Kiah cikgu bukan nak menghambakan Kiah. Cikgu pilih Kiah di antara berpuluh orang murid untuk membantunya menulis buku tersebut; ia satu kepercayaan daripada seorang cikgu kepada anak murid sekecil Kiah. Kiah sayang Cikgu Mohamad Ismail dan hormat beliau. Lepas tulis buku tersebut, Kiah diminta cikgu hantar buku tersebut ke bilik guru. Kiah ikut sebab percaya sangat berkat tolong cikgu. Kiah harap Allah tolong Kiah yang malas membaca dan ulangkaji pelajaran.

Ada seorang cikgu pula kurang tumpukan perhatian pada Kiah. Tidak salahkan cikgu, Kiah budak kampung dan nampak bodoh dalam kelas. Ramai lagi anak murid lain yang sangat pintar dan cerdas dalam sekolah. Cikgu tersebut hanya “target” murid-murid cerdik sahaja walaupun Kiah berada dalam kelas paling cerdik. Apabila cikgu tanya soalan, Kiah jadi macam kura-kura, sembunyi muka celah meja. Nasib baik Kiah kecil, cikgu kurang nampak Kiah yang suka duduk belakang kelas. Kalau cikgu tanya soalan dan minta jawapan “volunteer”, Kiah tak pernah membanggakan cikgu. Cikgu tersebut akhirnya kecewa dengan Kiah; dan Kiah tak tersenarai dalam senarai murid harapan.

Balik sekolah Kiah campak beg sandang kain kanvas ke dalam rumah, tanggalkan kasut kanvas buruk, tanggalkan kain dan baju sekolah, hanya tinggal “seluar katak” dan baju T. Kiah tanpa alas kaki panjat pokok jambu batu depan rumah. Kiah makan jambu batu yang agak ranum dan berkhayal di situ beberapa jam. Kiah nampak mak tertinjau-tinjau dari dalam rumah intai pokok manggis, melilau ke pokok pisang. Kiah tiada. Mak dapat mengesan Kiah setelah nampak dahan pokok jambu sedikit bergoncang. “Makan la jambu batu tu banyak-banyak, nanti sakit apendiks kena potong usus”. Kiah takut ugutan mak jadi doa. Kiah makan jambu batu dan sembur keluar biji-bijinya, macam orang sembur air sirih.

Puas bergayut di pokok jambu, Kiah panjat pokok pisang. Cita-cita Kiah mahu panjat hingga dapat memegang jantung pisang. Sudah banyak kali Kiah cuba, tapi asyik tergelongsor. Sakit paha Kiah kepit batang pisang yang licin. Suatu hari Kiah berjaya capai jantung pisang. Kiah puas hati yang teramat, kerana Kiah dapat buktikan bahawa pokok pisang boleh dipanjat. Kiah berjaya mencabar pendapat nenek yang mengatakan perbuatan Kiah sia-sia kerana tidak pernah jadi dalam sejarah orang berjaya panjat pokok pisang. Sebab itulah orang akan tebang pisang untuk ambil buahnya.

Setiap kali tengok Kiah panjat pokok pisang, nenek akan meneriak nama ayah, meminta ayah melarang Kiah meneruskan usaha memanjat. “Tengok anak mung ni Wei, mengalahkan jantan suka memanjat. Buruk celah anu tu baru tahu kena getah pokok pisang”. Ayah keluar dari rumah dan menggeleng kepala. Tapi bukan dengan muka bengis. Kiah tahu ayah hanya ambil hati ibunya. Dalam hati mungkin ayah bangga tengok kesungguhan anak perempuannya yang banyak mewarisi sifatnya yang lasak dan tidak mudah menyerah kalah.

Jika tiba musim manggis berbuah, Kiah panjat pokok manggis; sedahan demi sedahan sehingga sampai ke dahan paling atas. Sayup-sayup kelihatan adik-beradik Kiah yang lain dari atas. Kiah senyap-senyap melontarkan buah manggis ke kepala sesiapa yang ada menyakitkan hati Kiah sebelum itu. Kiah gembira dapat melepaskan rasa marah dengan cara begitu, apatah lagi melihat reaksi mereka yang terkejut beruk sewaktu buah manggis menimpa kepala. Kiah disumpah seranah sebaik sahaja mereka dapat mengecam suara Kiah ketawa berdekah-dekah dari atas pokok manggis. Begitulah kehidupan Kiah setiap hari.

Maka, apabila keputusan Penilaian Darjah Lima keluar, Kiah senyap-senyap ke sekolah untuk ambil keputusan. Kiah lihat pelajar harapan cikgu sebahagiannya senyum, namun ada seorang dua yang masam mencuka di samping ibu bapa yang juga kelihatan kecewa. Kiah seorang diri ke pejabat sekolah. Kiah hairan melihat cikgu-cikgu dan kerani bertugas senyum menyambut kedatangan Kiah. Mereka suruh Kiah cepat-cepat ambil slip keputusan. Oh, patutlah mereka ceria. Kiah dapat 5A. Kiah gembira tetapi tidaklah terlalu teruja kerana Kiah sudah jangka Kiah akan dapat 5A. Kiah hanya yakin, tidak tahu kenapa, walaupun Kiah tahu Kiah hanya letak buku nota bawah bantal pada malam-malam sebelum peperiksaan.

Pulang ke rumah, abang dan kakak Kiah menyambut dengan muka cemas. Kiah dapat jangka, mereka mungkin hanya mengharapkan Kiah lulus semua matapelajaran, tidak lebih dari itu. Kiah buat muka berat untuk menjawab apabila mereka beriya-iya mengintai slip keputusan. Kiah buat muka sardin, dan menjawab acuh tak acuh… 5A. Abang Kiah ambil bulu ayam dan kejar Kiah keliling tiang seri. Dia marahkan Kiah kerana kononnya menipu. Mengatakan Kiah malas tetapi suka berbohong. Kiah penat lari pusing tiang. Akhirnya timbul akal melemparkan slip keputusan tersebut. Tatkala melihat deretan A tercatat, barulah abang Kiah berhenti kejar Kiah dan meneriak kepada kakak-kakak Kiah yang lain. “Betullah la dia dapat 5A”. Kiah meraung kerana geram dan kepenatan.

Sehingga kini, Kiah yakin keputusan Kiah dapat 5A adalah kerana sifat Kiah yang sangat menghormati, menghargai dan sayangkan cikgu. Kiah tidak pernah menaruh dendam kepada cikgu yang pernah menonyoh dahi, hidung Kiah. Kiah selalu doakan cikgu yang melayan Kiah sebagai anak orang kampung supaya ditunjukkan Allah sifat mahmudah. Kiah tidak pernah menyalahkan dia, tetapi Kiah anggap sebagai motivasi bagi Kiah untuk dapat 5A. Kerana itulah Kiah menjawab “kejayaan saya kerana doa cikgu” apabila cikgu tersebut kelihatan merah padam mukanya apabila mendapat tahu Kiah dapat 5A setelah kehairanan melihat Kiah duduk sebarisan pelajar yang mendapat 5A untuk diambil gambar.

Kiah yakin, kejayaan seseorang pelajar itu bukan hanya bergantung pada kerajinan baca buku atau kualiti kelas tuisyen swasta yang dihadiri. Kiah yakin kejayaan itu adalah kerana *izin الله dan keberkatan ilmu* itu sendiri, yang diperolehi apabila kita tidak meminggirkan adab dan nilai dalam menuntut ilmu seperti *menghormati cikgu*.

Kini, apabila Kiah baca sejumlah berita tentang ibu bapa yang bertindak mengutuk, menyaman dan segala perbuatan yang tidak layak dilakukan kepada guru, Kiah sangat yakin, mereka sebenarnya sedang memusnahkan masa depan anak mereka sendiri.

#kiahdapat5A

Tiada ulasan:

Catat Ulasan