Isnin, 24 Disember 2018

Sbp



http://saifulislam.com/2018/12/sekolah-berasrama-dan-boarding-school-syndrome/

“Duduk asramalah best!” kata anak saya.

“Jom kita bincang, kenapa ia best” saya menyambut kenyataannya.

Perbualan saya dengan anak-anak malam itu menjadi tegang berkaitan bagus atau tidak bagusnya bersekolah asrama. Saya faham mengapa anak saya suka tinggal di asrama semasa di Malaysia dahulu. Ia menepati kecenderungan perkembangan remaja. Di peringkat umur berkenaan, anak remaja tidak berminat dengan hubungan dua hala bersama ibu bapanya, sebaliknya fokus lebih kepada aktiviti sendiri serta hubungan dengan rakan sebaya. Sehinggalah otak hadapan anak lebih berkembang untuk mempunyai lebih prefrontal power, egocentric stage of brain menyebabkan kehidupan bersama keluarga akan menjadi satu gangguan kepada kehendak jiwa remaja, dan asrama boleh menjadi jalan keluarnya.

“Tetapi abi gembira dengan penghijrahan kita ke Finland yang sekali gus menyebabkan tiada lagi kehidupan asrama. Walaupun kerja menjaga kome di depan mata sangat menguji kesabaran abi, terutamanya apabila terpaksa melakukannya pada kebanyakan masa secara bersendirian, abi yakin pengalaman kita sekarang dapat mencegah kamu semua daripada menjadi seperti abi!”

“Jadi apa?” tanya anak-anak.

Iaitu jadi apa yang disebut di dalam British Journal of Psychotherapy oleh Dr Joy Schaverien sebagai “Boarding School Syndrome”.

𝗦𝗜𝗡𝗗𝗥𝗢𝗠 𝗦𝗘𝗞𝗢𝗟𝗔𝗛 𝗔𝗦𝗥𝗔𝗠𝗔

“But you turned out to become a good person” kata anak–anak saya.

“Thank you for saying that. But now you’re old enough to be able to understand better what I internally struggle. Abi duduk asrama semenjak usia baru nak masuk 13, dan semenjak itu definisi rumah bagi abi berubah. Where is home?” saya bercerita.

“Kamu ingat semasa buat keputusan nak ke Finland, senang ke nak tinggalkan tanah air, peluk opah dan berbisik di dalam hati agar peluklah emak abi lama-lama kerana abi mungkin tidak akan lagi berpeluang memegang wajah opah lagi buat selama-lamanya? Abi boleh buat keputusan yang sangat perit itu sebab abi hati kering! Abi mampu buat sebab sebagai budak asrama.

I fit in everywhere, but belong nowhere. I am not scared to live anywhere is this world, because I have no sense of belonging to a HOME. I have learnt to cope alone because the experience toughens me up.

Tetapi I am not a person yang mudah untuk seseorang hidup bersama. Tak percaya, tanya ummi. Abi bukan bermelankolik, tetapi ia adalah simptom–simptom “boarding school syndrome” yang rumit untuk diperkatakan itu.” saya menerangkan.

𝕴 𝖋𝖎𝖙 𝖎𝖓 𝖊𝖛𝖊𝖗𝖞𝖜𝖍𝖊𝖗𝖊, 𝖇𝖚𝖙 𝖇𝖊𝖑𝖔𝖓𝖌 𝖓𝖔𝖜𝖍𝖊𝖗𝖊.

Tidak mudah untuk saya mencoret tentang pengalaman berdialog dengan anak-anak kami yang kini meningkat remaja. Saya menghormati privacy mereka dan ini bukan lagi era Aku Terima Nikahnya (2008) dahulu.

“Sebab itu semasa abi duduk di tepi kubur opah Ogos lalu, abi menangis sepuas-puasnya sebab antara kata-kata Opah yang abi teringat semasa abi nak ke Jordan dulu ialah, “lepas kamu ke asrama, kamu dah jadi ‘anak kerajaan’. Emak dah tak rasa emak menjaga kamu!”

“Walaupun opah menyebutnya sekadar luahan hatinya semasa abi memberitahu abi dapat offer pergi Jordan, tetapi kata-kata itu sangat menghiris perasaan abi because I was happy that I am anak emak. Bagi abi, tiada apa yang hendak dimalukan orang kata kita anak manja dengan emak, sebab itu tandanya kita dekat dengan syurga. Syurga di bawah tapak kaki ibu. Tetapi, umur 13 tahun keluar rumah, 18 tahun ke luar negara, 26 tahun berkahwin dan terus menjadi suami orang, dan membina rumahtangga sendiri. I lost the family intimacy.” saya menyambung cerita.

“Dan sebab itu walaupun abi suka kanak-kanak, hakikatnya abi hanya mudah mesra dengan anak-anak sendiri. There is a complex psychological explanation behind it, as part of this ‘boarding school syndrome’. Sedangkan golongan upper class menganggapnya sebagai ‘character building’. Bangga sangat dengan pengalaman bersekolah di sekolah so and so dahulukala.” saya tegaskan.

Saya tidak menganggap bersekolah di sekolah berasrama sebagai satu priviledge sebab ia hakikatnya meninggalkan kesan psikologi sepanjang hayatnya, yang kini sudah pun mula dikaji oleh pakar-pakar di UK, Australia dan USA. Ia sepatutnya menjadi hanya pilihan yang TERPAKSA diambil oleh golongan yang memerlukan bantuan kerajaan, apabila keluarga tidak mampu menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anak. Sebagaimana idea asal sekolah berasrama penuh di negara kita.

Saya berbual dengan anak-anak tentang implikasi bersekolah asrama ke atas individu. Perbualan kami seterusnya pergi kepada implikasi an arrogant or patronising manner di kalangan elitis sekolah asrama, iaitu sekurang-kurangnya satu perkara yang saya sangat bersyukur Allah lepaskan saya daripadanya. Saya mual dengan idea old boys, alumni sekolah ini dan sekolah itu, kerana jiwa saya lebih resah memikirkan ketidakadilan di dalam pengagihan bajet sistem pendidikan kita secara keseluruhannya. Saya malu untuk berasa gah dengan pengalaman bersekolah asrama elit ketika mana saya tahu bahawa di bawah kementerian dan kerajaan yang sama, ada banyak sekolah lain yang terbiar kedaifan.

Di Finland, saya perlu mendepani drama remaja anak-anak, perubahan kelakuan mereka, masalah-masalah mereka, yang semuanya itu sangat meletihkan saya yang juga merupakan seorang pelajar sepenuh masa. Tetapi anak-anak kami makan bersama setiap hari, bergaduh di depan saya dan menyelesaikan pergaduhan itu juga di depan mata saya, berbincang tentang masalah-masalah yang sangat rumit hingga membabitkan hidup dan mati, iaitu topik-topik yang saya belajar untuk menelannya sendiri semasa saya di usia mereka.

Memang bersekolah asrama itu ada kebaikannya, tetapi Boarding School Syndrome bukan bahan gurauan saya dengan anak-anak. Perkongsian saya ini bukanlah berbentuk pilihan ibu bapa mana yang lebih betul, sebaliknya pilihan yang manakah yang paling membolehkan ibu bapa terus berperanan dalam mendidik anak-anak dengan berkesan. Jika pilihannya adalah dengan menghantar anak ke asrama, maka ambillah berat tentang isu Boarding School Syndrom ini. Dan jika pilihannya mengekalkan anak-anak di rumah, saya doakan semoga Allah permudahkan urusan dan amanah yang berat ini.

Kita belum berbincang tentang masalah pengalaman seksual tinggal di asrama.

Bacaan lanjut berkaitan tulisan ini boleh dibaca antaranya di artikel https://www.ibblaw.co.uk/insights/blog/boarding-school-syndrome-symptoms-and-long-term-psychological-effects

Hasrizal
Oulu FI

Robert firdaus wong

Dari Tokong Ke Ateis, Dari Ateis Ke Gereja, Dari Gereja Ke Masjid

Ini kisah penghijrahan sahabat saya Ta Honn Yu, diceritakan dibawah ini bagaimana perjalanannya dapat membawa kembali kepada fitrah: 

Saya Ta Honn Yu, dan saya dilahirkan di dalam keluarga yang beragama Buddha. Pada umur 5 tahun saya telah dijadikan penganut agama Buddha ataupun Tao ataupun boleh dikatakan Konfusian. Saya pun tidak jelas sebenarnya, sebab kebanyakkan kepercayaan orang Cina di Malaysia sebenarnya bersifat sinkretik (bercampur) diantara tiga agama itu. Seawal pada umur 5 tahun juga, bapa saya telah meninggal dunia, dan saya percaya upacara ke atas kematiannya itu dijalankan mengikut agama Buddha dan Tao.

Sepanjang saya menjadi seorang penganut agama Buddha, banyak persoalan yang ditimbulkan dalam minda saya mengenai dunia ini. Antara persoalannya adalah: kenapa saya dilahirkan di dunia ini? Bagaimana dunia ini muncul? Ke mana saya pergi selepas saya meninggal dunia?

Saya sentiasa mengikuti ibu saya menghadiri kelas agama Buddha yang kuliah agama itu disampaikan oleh sami-sami yang dikatakan mahir dalam agama Buddha dan beliau diiktiraf oleh ramai pengikut agama Buddha di Malaysia. Secara langsung dan juga tidak langsung, saya telah mempelajari banyak juga mengenai agama Buddha sehingga dapat memahami prinsip dalam agama Buddha seperti : 4 Noble Truth (Dhukka, Samudaya, Nirrodha, dan juga Magga) dan juga 8 Jalan Kebenaran (Right view, right speech, right conduct and sebagainya), kitaran karma dan samsara iaitu setiap manusia akan menanggung akibat setiap perbuatan dan perbuatan itu akan mempengaruhi kelahiran kembali (reinkarnasi) di masa hadapan. 

Tetapi apa yang menjadikan saya ingin keluar daripada agama Buddha ialah apabila saya semakin meningkat remaja sehingga berumur 12 tahun iaitu pada tahun 2006. Tindakkan ini bukan disebabkan sikap keras kepala saya tetapi ia lebih kepada cara rasional dan tanggapan saya bila mengharapkan kepada sesebuah agama. Ini kerana setiap kali perayaan seperti Tahun Baru Cina, Ching Ming, Perayaan Bulan, saya melihat ibu saya tetap akan pergi membuat upacara untuk menyembah ayah yang sudah meninggal. Setiap kali ibu saya melakukan ritual itu dia akan membakar wang kertas neraka (Hell Bank Note) yang mana dipercaya apabila dibakar kertas itu maka roh yang meninggal akan dapat menggunakannya di alam neraka.

Saya sangat tidak puas hati kerana mengapa ayah saya akan masuk neraka sedangkan ibu saya sendiri sentiasa cakap ayah saya adalah seorang yang baik, tidak minum arak, tidak merokok, tidak pernah melepaskan emosi kepada ibu, meyayangi isteri dan juga anak, bekerja keras dan sebagainya, bahkan beliau juga mengikut ajaran agama Buddha yang tegar. Waktu kami membersihkan rumah pun, kalau ada labah-labah dia akan minta labah-labah itu pergilah dari sana, selagi labah-labah itu tidak beralih dari sana, ayah saya tidak akan memusnahkan sarang-sarangnya supaya tidak mencederakan labah-labah yang berada di situ.

Ritual mengirim wang dan barangan berbentuk kertas ini antara faktor menguatkan saya untuk tidak menjadi penganut agama Buddha lagi. Selepas saya meninggalkan agama Buddha, saya masih mengekalkan nilai-nilai murni yang disampaikan oleh guru dan juga sami-sami Buddhis yang pernah saya belajar, sebab moral dan nilai murni itu penting bagi saya.

Oleh kerana dalam agama Buddha memang tidak pernah berbicara tentang konsep ketuhanan, maka secara langsung saya menjadi seorang aties. Saya tidak percaya kepada kewujudan Tuhan dan merasa ritual dan kepercayaan dalam agama yang tidak masuk akal itu adalah tidak logik. Walaupun ketika kanak-kanak dulu saya pernah menghadiri ke Sunday Class yang dianjurkan oleh agama Kristian, pun begitu saya telahpun menolak konsep ketuhanan yang hanya berpegang kepada sains dan logik sahaja. Walaupun begitu, ke-ateis-an saya ini tidak membawa kepada mengkritik dan menghina mana-mana agama.

Sepanjang saya menjadi seorang Ateis ketika berusia 12 hingga 16 tahun saya merasa kekosongan dalam jiwa saya. Seperti remaja lain yang tidak memikirkan erti makna kehidupan, rutin harian saya dihiasi dengan kerja-kerja rumah, mengulangkaji pelajaran, bermain permainan video, penglibatan dalam kokurikulum sekolah dan lain-lain.

Meskipun saya telah meraih pelbagai kejayaan termasuk dalam bidang akademik dengan mencapai 6A sewaktu UPSR dan 8A ketika PMR, saya tetap merasa tidak berpuas hati diatas pencapaian saya.

Lama-kelamaan, jiwa seorang remaja yang tidak dipandu dengan pengaruh dan tarbiah daripada sebuah agama telah mempengaruhi diri saya untuk lebih bersifat agresif dari tutur bicara, terutamanya ketika saya berhadapan dengan insan yang bergelar Ibu. Namun keadaan ini telah berjaya mengubah kehidupan saya secara drastik apabila saya memeluk agama Kristian

Dari Ateis Kepada Kristian

Kisah perjalanan saya yang menjerumuskan saya untuk memeluk Kristian bermula pada Hari Krismas tahun 2010. Di mana terdapat sekumpulan remaja (ahli gereja) berumur sekitar 20-30-an dari Kuala Lumpur datang ke kampung halaman saya di Muar, Johor untuk menyampaikan agama Kristian kepada remaja muda macam saya.

Pada malam Krismas tersebut, mereka menayangkan kepada saya video bagaimana Jesus Christ disalib dan macam mana dia menjerit menderita dalam bahasa Aramik (Hebrew-Syrian). Sungguh menyentuhkan hati saya, dan saya kata kenapa ada seorang yang tidak kenal saya begitu mengambil perhatian tentang dosa-dosa yang telah saya lakukan dan rela mati disalib demi menghapuskan dosa saya?

Pada saat itulah saya mula mengenali siapalah tuhan yang nama Jehovah ini yang dianggap Tuhan Bapa, dan siapakah Jesus ini. 5 tahun saya menjadi seorang Kristian dari tahun 2011 hingga 2016, 3 tahun saya menjadi seorang Mubaligh Kristian ataupun lebih dikenali sebagai Christian Missionary, yang sepenuh masa dan waktu itu saya belajar di Universiti Malaysia Sabah. Pada waktu itu saya menukar nama saya dari Ta Honn Yu kepada Robert.

Tugas saya selama di dalam Universiti itu selain belajar adalah untuk menyebarkan agama Kristian, termasuklah orang Melayu umat Nabi Muhammad SAW. Walaupun saat itu saya tahu perkara ini tidak dibenarkan di sisi undang-undang Malaysia. Mungkin kalian akan terkejut mengapa seorang mahasiswa akan mengambil tindakan tersebut, tetapi bagi saya pada waktu itu, saya rasa amat kesian kepada rakan-rakan saya yang beragama Islam.

Persepsi saya terhadap Islam adalah agama ini amat susah untuk diamalkan dan penuh dengan larangan. Waktu itu saya membulatkan hati untuk menyelamatkan rakan-rakan baik saya daripada api neraka, maka saya menyampaikan agama Kristian kepada mereka, dalam keadaan yang tidak diketahui oleh orang ramai. Kawasan tanggungjawab saya ialah kampus UMS, ketuk-ketuk pintu sebarkan Bible dan mengajak orang ke gereja itu adalah rutin biasa.

Dalam kumpulan ataupun Cell Group, saya pun dilantik untuk menjadi pemimpin dalam kumpulan dan sentiasa memotivasi serta peringatan untuk menjadi seorang Kristian yang baik kepada rakan-rakan seagama saya. Dalam kehidupan harian, saya akan cuba menyampaikan kepada kawan yang bukan Kristian dan terangkan kepada dia siapa tu Elohim (Jehovah) dan siapa itu Jesus Christ.

Detik Bertemu Dengan Islam

Apa yang menarik, apabila saya berusaha menyampaikan kepada muslim bahawa Jesus is the Son of God, dia adalah anak Tuhan. Mereka sedikit pun tidak goyah atas pegangan mereka. Ini buat saya agak teruja dan saya ingin tahu bahawa apa yang dikatakan oleh Tuhan mereka dan juga Nabi Muhammad itu dalam buku yang penuh dengan tulisan ‘taugeh’ yang saya tidak pernah tahu walaupun satu huruf.

Cerita yang amat menarik ialah apabila kawan saya Hau Sui Chee kongsikan kepada saya tentang Islam apabila saya kongsikan kepada dia mengenai Kristian. Dan dia bertanya kepada saya "Ta, kamu minat sangat dengan agama, kenapa tidak cuba untuk mencari tentang Islam?" Saya tergamam dan tidak tahu berkata apa-apa untuk menghadam cadangan sahabat saya yang beragama Buddha itu.

Ini kerana kawan saya Hau Sui Chee ini dia sangat minat dengan agama Islam dan juga pernah membaca beberapa surah dalam al-Quran dan juga sentiasa menonton rancangan TV yang berkaitan dengan tamadun Islam. Dari detik itulah membuatkan saya terfikir untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam. 

Ada juga kawan Muslim saya bernama Nur Aqilah binti Abdullah bertanya kepada saya tentang perbezaan Bible pada hari ini dengan Bible zaman dahulu. Soalan beliau itu sangat menarik bagi saya dan menyebabkan saya untuk berfikir panjang. Kerana saya sendiri perasan bahawa Bible terdapat banyak versi untuk setiap kali penterjemahan dan setiap versi yang berbeza akan menggunakan perkataan yang berbeza di atas ayat yang sama.

Persoalan itu telah mencabar diri saya dan membuat diri saya bersemangat untuk mendapat jawapan dari persoalan tersebut. Lalu saya cuba mencari jawapan dan juga cuba untuk ‘menyerang’ Islam agar saya dapat berdakyah kepada rakan muslim saya. 

Pada permulaan, saya membeli beberapa buku yang membandingkan agama Islam dan juga Kristian, antaranya ialah "Jesus (Isa a.s) seorang Muslim?" dan juga "Adakah Jesus (Isa a.s) Tuhan?" yang kandungannya adalah debat di antara Ahmad Deedat dengan Pastor Stanley. Saya juga banyak menonton rakaman debat dengan bantuan YouTube, antara tokoh dalam senarai carian saya ialah Dr Zakir Naik dan juga Sheikh Ahmad Deedat.

Pada permulaannya, saya membuat segala usaha ini supaya dapat mencari kelemahan dalam hujah tokoh Islam ini dan memenangkan hujah sebagai seorang mubaligh Kristian untuk mengkristiankan orang Islam di sekitar saya. Walaubagaimanapun, semakin saya mempelajari tentang Islam melalui Quran dan juga Hadis, semakin terkesan di hati saya.

Kerap kali saya bertanya kepada diri saya, adakah Islam ini agama yang sesat seperti yang diceritakan oleh pihak gereja saya? Adakah agama Islam adalah agama yang saya mencari selama ini? Cuba bayangkan, dengan membaca Quran tanpa berbincang dengan Muslim sudah mampu memberi kesan yang bergitu besar dan positif, jika Muslim yang datang menerangkan Quran dan Tuhan kepada saya, apa yang akan jadi? Kemungkinan kerja dakwah di Malaysia akan semakin pesat berkembang.

Selama tempoh itu saya terganggu dengan persoalan sebegini yang asyik bermain di dalam benak kepala saya. Dan pada tahun tersebut adalah tahun ‘kemurungan’ bagi saya. Saya terpaksa fokus kepada pengajian saya, pada masa yang sama saya putus cinta dan beserta dilema mencari Tuhan. Banyak malam saya tidak boleh tidur dan tidak ada selera makan. Saya begitu tertekan sekali. Bagi memastikan badan saya perlu makan, saya memesan makanan paling pedas walau saya tidak suka makanan pedas. Ini supaya bila mulut kepedasan, ia akan memaksa saya menyumbat nasi ke mulut untuk menghilangkan rasa pedas itu.

Tatkala saat saya tidak boleh tidur di waktu malam, saya membaca terjemahan al Quran yang dihadiahkan oleh sahabat saya, Nur Aqilah. Semakin lama saya berinteraksi dan menghadam terjemahan al Quran itu sebenarnya ia semakin mencabar kepercayaan saya sebagai seorang Kristian. Apabila membaca surah Maryam dan memerhati dialog Allah kepada Maryam serta rasul-rasul yang lain, saya percaya sepatutnya bahasa Allah kepada rasulnya seperti yang digambarkan di dalam al Quran. Tidak seperti Bible yang banyak menghurai perkara teknikal, memiliki ayat lucah, dan ia lebih kepada penceritaan berbentuk sejarah berbanding dengan kitab Allah.

Ketika saya melihat ceramah Dr Zakir Naik di YouTube, bahawa dalam Bible, Jesus Christ tidak pernah kata dirinya adalah Tuhan. Saya tidak percaya semasa terdengar penyataan ini, sehinggalah saya semak balik Bible berkali-kali. Ternyata benar, sesungguhnya Jesus Christ tidak pernah kata dirinya itu sebagai Tuhan.

Secara jujurnya, saya telah menunggu hampir 20 tahun untuk mengetahui kebenaran ini, tidak terdapat seorang Muslim pun yang datang untuk kongsikan Islam kepada saya, sehinggalah saya cuba berkongsi agama Kristian kepada rakan muslim saya lalu dia membalas respon itu sehingga membuat saya berfikir.

Selama saya menjadi seorang penganut agama Kristian, saya sememangnya bukan jenis yang akan terima bulat-bulat apa yang orang kata, biarpun dia paderi pun. Semua perkara yang dinyatakan kepada saya mengenai hal-hal agama, saya akan minta rujukan daripada kitab agama, sama ada ianya terdapat dalam Bible ataupun daripada penyelidikan agamawan yang jelas cara hujahnya. Contohnya isu sambutan hari Kristmas, saya memilih pandangan di dalam Kristian untuk tidak menyambut sebab ia bukan anjuran di dalam Bible tetapi pengaruh dari agama pagan.

Setelah saya mengambil masa 3 bulan untuk membaca beberapa bahagian dalam Quran dan hadis-hadis tertentu, hati saya telahpun percaya bahawa al Quran itu antara salah satunya wahyu daripada Tuhan, dan merupakan mesej yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai seorang nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT. Setiap kali saya ambil wuduk, saya hanya berani baca doa lepas wuduk dalam bahasa Melayu sahaja, walaupun saya tahu bahawa syahadah itu akan menjadikan saya sebagai seorang Muslim, tetapi saya masih tidak berani dan tidak yakin untuk mengucapnya dalam bahasa Arab, sehinggalah satu panggilan telefon yang mengubah kehidupan saya, iaitu kawan kepada bapa Nur Aqilah yang mesra dipanggil Pak Cik Yahya.

Ketika beliau menghubungi saya, saya berada di dalam kelas dan untuk menjawab panggilan itu saya terpaksa keluar dan pergi ke tempat letak kereta bersebelah dengan kelas saya. Beliau bertanya kepada saya tentang tauhid, nabi Muhammad dan sebagainya dan jawapan saya bagi itu membuatkan beliau menyebut “sebenarnya kamu sudah muslim, kerana kepercayaan kamu adalah bertepatan dengan Islam”. Saya hanya menjawab “saya tahu”, setelah beberapa kali beliau menyakinkan saya, maka saya pun membuat keputusan untuk mengucap dua kalimah syahadah di situ juga. Hanya dengan panggilan telifon.

Pada keesokkan hari saya mendaftar di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah di Kota Kinabalu pada dua haribulan Jun tahun 2016. Saya memilih nama Ahmad Hafizh Amiruddin Ta Abdullah. Sebab itu jika orang bertanya nama saya, saya akan menjawab Robert Ta Honn Yu Ahmad Hafizh Amiruddin Ta Abdullah itulah nama saya sepanjang perjalanan menemui tiga agama ini.

Kini alhamdulillah, sudah dua tahun lebih saya memeluk agama fitrah ini. Semangat saya untuk menyebarkan kebenaran ini sentiasa membuak-buak. Sekarang ini saya sedang menyiapkan tesis Ijazah Sarjana di Universiti Teknologi Malaysia yang bertajuk Ketabahan Saudara Baru Cina Dalam Menghadapi Cabaran Kehidupan Di Malaysia.

Pada masa yang sama juga saya bekerja sebagai pendakwah sepenuh masa di Multiracial Reverted Muslims dan khusus bahagian penterjemahan dalam Bahasa Melayu-English-Mandarin.

Doakan saya agar istiqamah di atas jalan ini. Amin ya Rabb

Pesanan 40

*40 NASIHAT TOK AYAH*

*Kata‐kata ini dipetik daripada syarahan dan nasihat beliau kepada murid‐muridnya. Kata‐kata sufi yang diungkap oleh Syeikh Mahmud mempunyai mutiara kata makna yang mendalam, dimana ada sebahagian daripada kata‐kata beliau tidak boleh difahami atau dibuat bandingan secara langsung mengikut fahaman orang awam.*

*Mutiara kata yang* *indah dan bermakna* *ini juga diharap* *dengan rahmat dan* *kasih sayang*
*Allah dapat* *menangkis* *tuduhan‐tuduhan* *liar selama ini* *terhadap ilmu* *Tasawwuf*. *Semoga petikan*
*dari buku ini menjadi santapan rohani yang dapat membersihkan* *jiwa dan mendorong hati untuk*
*menjadi hamba Allah yang* *sehamba‐hambaNya di dunia ini,* *In Sya Allah.*

*1.* Perkara kerohanian tidak boleh difahami dengan akal, nafsu dan ilmu. Jika boleh dengan ilmu,
sudah tentulah Imam Ghazali tidak mengaji dengan Yusuf Nasaji dan Syeikh Abdul Wahab
Sya’rani tidak mengaji dengan Ali Khawas. Cukuplah mereka ini menjadi contoh.

*2.* Belajar kereta perlu ada guru, nak kenal Allah tak perlu guru. Ini awal‐awal lagi syaitan tipu.

*3.* Duka dan suka di dalamnya makrifah lebih manis daripada madu, lebih putih daripada susu.
Duka dan suka di dalamnya kekufuran dan kesyirikan lebih pahit daripada hempedu dan lebih
busuk daripada budu.

*4.* Kalau nak berjalan (di dalam perjalanan Ahlullah). Mengaku kita tak terpakai (tak berguna dan
banyak dosa), lebih senang, mudah‐mudahan Allah s.w.t. ampun dosa kita.

*5.* Bila ibadat kita palsu, kita ikut hawa nafsu. Seperti kapal terbang palsu yang banyak jual di
kedai.

*6.* Selagi mana kita boleh ikut hawa nafsu menunjukkan kita masih palsu.

*7.* Cari jalan mengendalikan ummah asalkan mempraktikkan Sunnah.

*8.* Orang yang diberi mudah (untuk menjalani jalan kesufian) apabila ada darah (keturunan)
kesufian. Tiada dosa besar. Tiada amalan kejinan (khadam). Banyakkan selawat, istighfar, zikir
dan baik adab dengan Allah s.w.t., zuhud, tinggalkan makhluk, bersungguh‐sungguh dengan
Allah s.w.t., istiqomah, tegas, tiada tujuan dunia dan akhirat.

*9.* Selagi mana terasa kita banyak ibadat, itu tanda kurang ikhlas tidak menuju “Rodhiah” tetapi
terhenti kepada Abid tidak (fana’ ‘ul‐fana’).

*10.* Perkara kerohanian tidak boleh difahami melainkan rahmat Allah s.w.t semata‐mata, melalui
Rasulullah s.a.w, melalui ahli zaman dan dengan bermunajat kepada Allah s.w.t. Kalau kenal
(tahu tentang perkara kerohanian) dengan cerita‐cerita orang (perasaan kita itu tidak sah).

*11.* Kalau tak senang dengan sesuatu, DIAM! Cakap salah tak cakap salah, cakaplah kerana Allah
s.w.t. Semoga jadi hamba Allah s.w.t.

*12.* Kerja dunia boleh tangguh‐tangguh, kerja akhirat tak boleh tangguh‐tangguh.

*13.* Watak Auliya’: Kena maki tak mudarat, kena puji tak manfaat.

*14.* Kenal Allah s.w.t. lebih mudah daripada kenal para wali, kerana mereka Allah s.w.t. pakaikan
dengan sifat kekurangan. Sebagai mana kafir musyrikin tidak mengenal Rasulullah s.a.w.
(walhal Rasulullah, Allah s.w.t. pakaikan baginda dengan penuh sifat‐sifat kesempurnaan).

*15.* Hendak kenal wali tanyalah Allah s.w.t., jangan tanya orang.

*16.* Para wali tidak boleh dikenal dengan hawa nafsu.

*17.* Saya berdoa kepada Allah s.w.t. nak jadi hamba Allah s.w.t., bukan nak jadi wali.

*18.* Buat ibadat nak jadi wali, SYIRIK!

*19.* Allah s.w.t. tak pilih orang malas jadi wali.

*20.* Kalau kita kasih orang yang Tuhan benci, itu satu penyelewengan.

*21.* Orang yang sebenar cinta Allah s.w.t. tidak takut menghadapi cabaran hidup dunia.

*22.* Saya nak bawa kamu jadi hamba Allah s.w.t.

*23.* Saya tak ajar kamu melampau (berani dan semangat yang tak ketahuan). Saya tak ajar kamu
menjadi pengecut. Saya ajar kamu jadi hamba Allah s.w.t. yang bertaqwa.

*24.* Saya hamba Allah s.w.t. macam kamu juga. Saya tidak tahu melainkan apa yang ALLAH s.w.t
bagi tahu. Kalau Dia tak bagi tahu, saya pun tak tahu.

*25.* Dia Tuhan! kita hamba. Jangan campur urusan Tuhan. Manusia jenis apa ini? Dia nak atur
Tuhan. Dia suruh Tuhan ikut dia.

*26.* Taslim (penyerahan). Nak pun tidak, tak nak pun tidak. Cepat pun tidak, lambat pun tidak.

*27.* Hidup atas dunia tak mahu ikut nabi, auliya’ atau orang soleh. Bila mati nak duduk sekali
dengan orang soleh, ini cerita kartun.

*28.* Waktu hidup ikut Firaun, Qarun dan Haman. Bila mati nak masuk syurga, dengan nabi Musa
a.s. dan Harun a.s. Logik tak?

*29.* Tak guna hidup kalau mementingkan diri sendiri sahaja.

*30.* Uwais Al‐Qarni, jasadnya mengembala unta, rohnya mengembala manusia beriman kepada
Allah s.w.t.

*31.* Manusia, banyak tak dapat taufik hidayah sebab ikut nafsu ammarah kemudian (dalam masa
yang sama mereka) berdoa dengan Tuhan (agar dianugerah sama seperti orang yang berjaya
di sisi Allah). Sepatutnya kena tinggalkan nafsu dulu. Allah s.w.t. jadikan nafsu ammarah
supaya kita tinggalkan bukan untuk ikut.

*32.* Cara cuci hati, banyakkan baca Al‐Quran, ingat mati dan hadir majlis zikir. Bila hati suci,
barulah ada tauhid.

*33.* Ilmu (kesufian) ini bukan boleh diwarisi. Kalau boleh tentulah saya bagi anak isteri saya dulu,tetapi ia adalah anugerah Tuhan.

*34.* Saya mengaji (ilmu perjalanan Ahlullah) dengan air mata (banyak menangis).

*35.* Penyatuan orang mukmin dengan air mata (menangis kerana mengenangkan keagungan
Tuhan). Penyatuan orang yang tak mukmin dengan gelak ketawa. Macam kera maka jadilah
kera.

*36.* Tuhan tidak bagi taufik hidayah pada orang yang zalim. Sebesar‐besar kezaliman ialah
mengikut hawa nafsu.

*37.* Berjayanya seseorang itu sebanyak mana tumpuan yang dibuat. Banyak tumpuannya,
banyaklah kejayaannya, kurang tumpuannya, maka kuranglah kejayaannya.

*38.* Matlamat saya bukannya batu, kayu ( bangunan ) dan ramai orang, tetapi saya nak orang yang
bersungguh mengikuti garisan syariat dan toriq.

*39.* Saya mengajar ilmu para wali bukannya ilmu tok sami!

*40.* Saya hanya boleh nasihat, saya tak boleh memberi manfaat dan mudharat. Buat ibadat nak
fadhilat, nanti berkulat. Buat nak berkat nanti melekat.



©

Ahad, 23 Disember 2018

Syukur

• Kita bangun dari atas katil, walaupun tak berapa empuk. Tapi ada orang bangun dari kaki lima jalanan.

• Kita hidupkan enjin kereta tapi tak boleh. Bateri kong! Ada orang hilang kereta malam tadi kerana dicuri atau kemalangan.

• Susah nak kejutkan anak bangun tidur. "Hish budak ni, apa nak jadi". Tapi ada jiran waktu nak kejut anak bangun tidur, anaknya telah kembali bertemu Penciptanya.

• Kita sudah bosan bekerja kerana 1001 macam perkara tak kena di tempat kerja. Pagi ini ada bapa yang menyara keluarga dibuang kerja.

• Kita rasa bosan dengan pasangan kita. Pagi ini ada orang yang telah kehilangan suami atau isteri.

• Kita rasa jemu dengan makanan pagi yang disediakan pasangan. Kita komplain. Hari ini ada orang yang hanya boleh makan pakai tiub aje kerana kanser mulut.

• Kita rasa pakaian kita tak cukup? Ada orang hanya ada 3 helai baju sahaja.

• Kita rasa kecewa kerana kerja dah berpuluh tahun tapi masih tiada simpanan ataupun harta. Semalam ada orang meninggalkan dunia tanpa membawa apa-apa kecuali sehelai kain kapan.

• Kita rasa tanggungjawab terlalu besar. Banyak sangat benda nak buat. Kita rasa rimas dengan expectation sekeliling terhadap kita. Malam tadi ada saudara kita yang dijemput Allah memohon untuk dihidupkan semula.

Syukurlah walau apa jua keadaan kita masih bernafas di bumi Allah ini.😊

Alhamdulillah... 😊

@cnp

Sbp mrsm

*MRSM*
*SBP*

Ramai yang merungut terhadap pengambilan pelajar ke MRSM SBP.

Semoga kupasan ini di KGM (Kami Guru Malaysia), dapat memberikan input kepada membaca.

=======================

CutCopyPaste

Dalam saga berkaitan SBP dan MRSM beberapa hari ini sebetulnya melahirkan rasa terkejut dalam kalangan ibu bapa terhadap polisi yang dikembalikan.

Kenapa disebut 'dikembalikan'. Kerana ia polisi asal. Mula wujud sejak wujudnya institusi. Hampir pupus. Dan kini dibugarkan kembali.

Apabila 60 peratus anak berpendapatan rendah diterima masuk SBP dan apabila 65 peratus anak miskin kurang kemampuan diterima masuk ke MRSM, maka tinggal 40 dan 35 peratus sahaja ruang untuk anak kategori mampu.

Berebutlah 35% anak guru, doktor, lawyer, profesor, engineer, arkitek dll. ingin mendapatkan tempat.

Maka sebab itu sehari dua ni kita boleh lihat golongan mana yang mengamuk sakan. Lihat tulisan di FB itu, siapa dan apa jawatan penulisnya.

Dah lama dah tujuan asal penubuhan institusi ini tidak di'highlight' dalam masyarakat. Kalau ada pun tak bersungguh.

Dulu, demi mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat idea ini diwujudkan.

Anak si kaya atau si mampu, boleh dibelai diberi segala kemudahan pembelajaran oleh ibu bapa. Sebut saja nak apa? Alat pembelajaran terbaik, tuisyen terbaik, buku-buku rujukan dan latihan terbaik, ruang belajar dirumah terbaik, gadjet pembelajaran terbaik, semua mampu disediakan.

Justeru apabila ke sekolah, ia sekadar 'nasi tambah'. Sampai terkadang pelajar ini lebih percaya cikgu tusyen dari cikgu sekolah.

Sementara bagi anak berpendapatan rendah dan tak mampu, untuk memastikan keberadaan ibu bapa di rumah pun susah. Ayah jadi jaga. Ibu cleaner. Pelajaran terabai. rumah kecil dan sempit. Alatan belajar usang. Support sistem di rumah sangat minima.

Justeru budak-budak ini yang ingin diselamatkan, diberi biasiswa, bantuan, masuk ke SBP dan MRSM, supaya tidak ketinggalan dalam kasta sosial masyarakat. Supaya kelak dapat bantu memulihkan ekonomi keluarga.

Tapi kenapa saya seru orang atasan KPM baca?

Isunya begini, setelah sekian lama perjalanan SBP dan MRSM ini sikit demi sikit tersasar dari matlamat asal, ia perlu diperbetul secara menyeluruh bukan sekadar dari sudut peratus enrolmen sahaja.

Secara beransur tanpa sedar atau sedar, sekolah-sekolah ini di'elit'kan sampai ke akar. Yang masuknya sebahagian besar anak bangsawan dan hartawan bercampur dengan anak miskin dan susah.

Cadangan-cadangan dari PIBG nya ansur-ansur berubah dari cadangan 'kebajikan' kepada cadangan elitis. Kutipan 'sumbangan'nya menjadi 'Ya Rabbi, mahalnya!'.

Yang kategori mampu dan miskin, telan air liur. Masuk tahun baru, bayar sajalah. Nak bantah, bila undian dibuat, 7 elitis sokong, 3 marhaenis bantah, agaknya siapa menang?

Sedap 'run' sekolah dan program-program gah bila duitnya pun melimpah ruah.

Baju kalau boleh, Isnin hingga Jumaat warnanya berubah.

Tak ada masalah sebenarnya.
Jika semua setuju, buatlah.

Yang jadi masalah, kini, bila golongan B40 mahu diberi layanan khas semula, kerajaan perlu turun ke sekolah-sekolah ini dan buat penilaian semula.

Jika hanya ruang yang diberi kepada B40 tapi yuran mencecah RM1500 hingga RM2000 hasil tangan-tangan elitis dulu, tak mustahil ramai yang terpaksa menekan butang 'tolak tawaran'.

Sebahagian institusi ini sudah pun menjadi sekolah 'private' versi kerajaan.

Pada saya, prestijnya sekolah itu tidak perlu dibuang atau direndahkan. Ia sudah sebati pun dalam minda masyarakat. Jika halang kutipan yuran tinggi pula, akan jadi masalah juga buat guru-guru menjalankan aktiviti.

Kesimpulannya, berikanlah biasiswa penuh atau sebahagian kepada meraka. Turunkan bantuan kepada sekolah ini segera.

Dan paling penting, turunkanlah peruntukan besar juga kepada Sekolah Harian Biasa. Bukan pengumuman besar-besaran yang kita mahu. Tapi duit turun secara besar-besaran yang kita perlu.

Cash. Bukan dengan pelbagai birokrasi. Jangan peram duit, dan hujung-hujungnya hantar pegawai ke Ausie.

Ada duit banyak, tahulah guru nak buat apa. Ada duit banyak, tak sempat ada kertas kerja pun program jalan serta-merta.

Bila Sekolah Harian sudah mantap dan program lebat, pelajar dinaiktaraf menjadi hebat, tidaklah golongan M40 dan T20 rasa ralat, bila anak-anak nak ke SBP MRSM tak dapat.

Oh, ya.

Ibu bapa bangsawan, hartawan dan elitis pun apa kata beramai-ramai masukkan anak ke sekolah harian DAN bagi sumbangan sebanyak mana yang kalian 'tak kisah' nak bagi kat sekolah gah itu.

Again, ada duit, tahulah cikgu-cikgu nak buat apa

Nukilan Muhammad Irfan.