Selasa, 17 Mei 2022

Masa

Cnp

Ayahku amat tertarik dengan Ayat-ayat dari Surah 103 Al-‘Asr: 1-3 yang dituliskan maksudnya sebagai “Demi Masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.”


Ayahku bukanlah seorang ustaz untuk mengulas makna di sebalik ayat yang hebat ini.


Tetapi, ayahku sangat tertarik dengan istilah MASA atau laluan masa (the passage of time) dalam firman Allah swt tersebut.


Sebenarnya, masa (t) ini mula menjadi tanda tanya di dalam benak fikiran ayahku apabila ayahku mula bermusafir ke negara asing pada tahun 1981 dulu untuk mendalami Ilmu Kuantum bagi membolehkan ayahku memperolehi Ijazah PhD kemudiannya – bagi melayakkan ayahku untuk menjadi seorang pensyarah dalam bidang Kimia Kuantum & Spektroskopi Molekul.


SOALAN: Apakah masa itu sebenarnya ayahku?


Yez..satu soalan cepu emas! Itulah yang ayahku asyik fikirkan sejak 40 tahun yang lalu – dan sehingga sekarang ayahku masih lagi tercari-cari apakah MASA itu sebenarnya. Tetapi, biarlah ayahku tuliskan apa yang sudah ayahku perolehi sehingga kini. Aspek seterusnya akan ayahku dedahkan bila terdapat maklumat terbaru tentang MASA ini. InsyaAllah.


Secara fizikalnya “jam” bagi masa ini sudah pasti bermula tik-tok “ticking” nyer sebaik shj selepas berlakunya Big Bang Pertama – sekitar 13.7 billion tahun dahulu. Itu ayahku panggil Jam Fizikal.


Jika pada masa sebelum ini kita saintis percaya bahawa alam semesta ini dibentuk oleh satu kejadian “Big Bang” untuk membentuk alam semesta (Universe) ini – termasuk berbillion galaksi – yg setiap satu galaksi pula mengandungi berbillion bintang seperti Matahari kita– malahan ada yg berkali ganda lebih besar dari galaksi Milky Way dan Matahari kita..tetapi skrg kita mempercayai bahawa alam ini mungkin dibentuk oleh beberapa kali kejadian Big Bang. Wallahu a’lam.


Kepercayaan ini jugalah yg memungkinkan kita beranggapan bahawa alam semesta ini juga bukan SATU/tunggal iaitu Universe shj tetapi berbillion Universe yang akhirnya membentuk MULTIVERSE. Aduh..Betapa luasnya alam ciptaan Sang Pencipta ini. MasyaAllah.


Apa yg kita saksikan di langit malam itu mungkin hanya dari satu alam tunggal shj yg dinamakan Universe. Kita seolah-olah berada didalam suatu gelembung (buble) kehidupan – dalam satu Universe. Kita mungkin tidak dapat menyaksikan bintang-bintang atau galaksi dari Universe lain…mungkin tertutup oleh dinding fizikal atau kabus.


Maksud ayahku, satu Universe diletakkan di dalam satu bubble. Jadinya, ada berbillion buble Universe untuk membentuk MULTIVERSE.


Ada juga para sainstis yg berpendapat bahawa Multiverse sebenarnya disusun seperti sandwich..setiap lapisan di isi oleh satu Universe. Aduuhhh…


Disebabkan jarak antara satu objek dgn objek lain di dalam Universe tersangat besar utk dinyatakan dalam unit kilometre, maka unit tahun-cahaya (light-year) digunakan.


Seperti yg kita ketahui, cahaya bergerak tersangat laju iaitu sekitar 300,000 km/saat dalam vakum. Cuba kita tengok betoi ke laju nih.


Purata Lilitan Bumi = 40,075 km. Jadi, dalam masa 1 saat, cahaya dapat kelilingi Bumi sebanyak 7.5 kali..ha ha..laju sungguh kan.


Cuba kita kira utk cahaya dari Bulan dan Matahari pula utk tiba ke mata kita di Bumi.


Jarak purata Bumi dengan Bulan = 384,400 km. Cuba kira berapa masa diambil utk cahaya dari Bulan tiba ke mata kita di Bumi?


Masa dlm saat = 384,400km / (300,000 km/s) = 1.28 saat.


Seterusnya: Jarak purata Bumi dengan Matahari = 151.08 juta km. Berapa masa diambil utk cahaya dari Matahari tiba ke Bumi?


Masa = 151.08E+6 km / (300,000 km/s) = 503.6 s = 8.39 min = 8 min 23 saat.


Katalah jarak Bumi ke Bintang terdekat dgn kita iaitu Proxima Centauri = 4.0E+13 km. Berapa masa diambil utk cahaya dari Proxima Centauri utk tiba ke Bumi?


Masa = 4.0E+13 km / (300,000 km/s) = 1.33E+8 s = 37,037 jam = 1,543 hari = 4.23 tahun.


Utk makluman, Proxima Centauri ini merupakan salah satu dari 3 bintang (matahari) dalam sistem bintang yg dinamakan sebagai Alpha Centauri. Ada Alpha Centauri A dan Alpha Centauri B yg berada berdekatan membentuk Sistem Bintang Binari (kembar) dan bintang ke-3 yg dinamakan Alpha Centauri C yg beredar mengelilingi kedua-dua bintang kembar tadi. Bintang ke-3 inilah yg dinamakan Proxima Centauri.


Uhh..cuba bayangkan jika Bumi kita ini ada 3 Matahari – fuuh..nak celik mata pun tak boleh agaknya..apa lagi kepanasannya..tak dapat nak dibayangkan. Kita yg ada sebuah Matahari pun dah panas tak sangga, orang Utara kata! Bersyukurlah kita ni sangat-sangat kan!


Galaksi spiral yg terdekat dengan Milky Way kita adalah Andromeda iaitu pada jarak 2.5 juta tahun-cahaya. Emm..jauh sungguh kan!


Galaksi Andromeda ini tersangatlah besarnya my dear. Jika Milky Way kita ada sekitar 100 – 400 billion bintang, Andromeda ni pulok ada sehingga 1,000 billion (atau 1 trillion) bintang. MasyaAllah.


Samada kita sedar atau tidak, sebenarnya Masa bukanlah bersifat sejagat (universal). Masa dipengaruhi oleh gravity dan kelajuan pergerakan sesuatu objek! Uuuhhh!


SOALAN: Boleh ayahku ceritakan kesan gravity dan kelajuan pergerakan terhadap Masa?


Yez my dear. Kesan ini dipanggil Dilasi Masa atau “Time Dilation”. Ianya telah diutarakan oleh saintis terkenal kita Albert Einstein pd tahun 1905 (Special Relativity) dan juga pd tahun 1915 (General Relativity).


Kes Pertama: Jika kita letakkan 2 jam yg sama kualitinya – satu di Tingkat Bawah bangunan dan satu lagi di Tingkat 40. Jam yg berada pada Tingkat Bawah akan lebih perlahan tickingnya dari jam yg berada pada Tingkat 40.


Makanya penghuni di Tingkat Bawah akan lebih muda dari yg tinggal di Tingkat 40. Ha ha…Itu adalah kesan dari Graviti. Lagi besar kuasa gravity, maka lagi perlahan masa bergerak. Ini kita panggil “General Relativistic Gravititional Time Dilation”. Masa akan terus berhenti apabila kita berada di Lohong Hitam (Black Hole) – sebab kuasa tarikan gravitinya tersangat kuat.


Sebab itulah, apabila kita berfikir utk membuat keputusan, kita secara sindirannya diminta menggunakan Otak yg ada di kepala dan bukan yg berada di kepala lutut..ha ha..sebabnya otak di kepala lebih senior dari kepala lutut…ha ha..adeih. Ingat: ”Your head is older than your feet!”


Kita juga selalu temui yg binatang selalunya meletakkan otaknya di bahagian atas posisi badan dan bukan di kaki..ha ha. Begitu juga sewaktu tidur, otak selalunya masih diutamakan berada di atas..termasuk juga “Udang”..hik hik.


Apa terjadi jika selalu letak otak di bawah..contohnya binatang yg paling slow gerakannya di Bumi  yg dinamakan “Sloth”. Sloth bergerak tersangat la perlahan, kira-kira 1 kaki/min – sehinggakan badannya pun penuh ditumbuhi algae/lumut..ha ha..adeih! Jika dia makan daun, dia ambil masa lebih kurang 2 minggu utk hadamkan makanannya..adeih! Semua slow!


Kes Kedua: Selain dari Graviti boleh mempengaruhi masa, kelajuan pergerakan objek juga akan mempengaruhi masa. Misalnya, jika seseorang yg berupaya menaiki spaceship yg bergerak dengan kelajuan tinggi terbang ke angkasa lepas, apabila ia pulang, ia akan lebih muda dari rakannya di Bumi – mungkin 10 tahun lebih muda. Ini juga sejenis Dilasi Masa dan dipanggil “Special Relativistic Kinetic Time Dilation”. Astronaut yg menaiki Pangkalan Angkasalepas Antarabangsa (ISS), selepas berada 6 bulan di sana dgn kelajuan 7.7 km/s, umurnya lebih muda sebanyak 5 milisaat (0.005 seconds) dari yg berada di Bumi. Haa..hebat kan! Jadinya, jika kita dapat bergerak pada kelajuan cahaya, maka masa akan terus terhenti. Haa..terkejut beruk kan!


Jadi, itulah istimewanya masa…sehingga Sang Pencipta berfirman khas tentang Masa ini. Ringkasnya, Graviti dan kelajuan pergerakan objek akan dapat memperlahankan perjalanan Masa. Wallahu a’lam.


SOALAN: Adakah boleh manusia bergerak merentasi masa – Time traveling? Adakah manusia perlu mencipta Mesin Masa (Time Machine)?


Bagi ayahku – hasil pembacaan dan pemikiran selama 40 tahun, masa sebenarnya tidak wujud secara fizikalnya. Masa tidak mempunyai partikel asas yg dikaitkan dengannya seperti quark, lepton atau boson. 


Masa tidak seperti cahaya yg mempunyai partikel asas seperti Foton (boson).


SOALAN seterusnya pulok: Apakah yg dimaksudkan dengan “Masa Sekarang”, “Masa Lepas” dan “Masa Depan”? Adakah mereka wujud?


Cuba kita tengok “Masa Sekarang” – apa maksud “Masa Sekarang”? Adakah wujud sebenarnya “Masa Sekarang”?


Contoh: Apabila kita merenung Bulan di langit – tgh jiwang la tuh. “Masa Sekarang” kita adalah tengah melihat Bulan di langit. Adakah apa yg kita lihat merupakan Masa Sekarang bagi Bulan? Tentu tidakkan..sebabnya cahaya dari bulan memerlukan masa selama 1.28 saat utk tiba di Bumi – tiba ke mata kita. Jadi apa yg kita lihat adalah Masa Lepas bagi Bulan 1.28 saat yg lepas.


Cuba pulok kita tenung kelompok berbillion bintang-bintang dari Galaksi Andromeda yg berada 2.5 juta tahun-cahaya dari kita. Apa maksudnya tuh? Yup..apa yg kita tenung skrg (Masa Sekarang bagi kita) adalah Galaksi Andromeda 2.5 juta tahun dahulu..hu hu. Jadi itu adalah “Masa Lepas” bagi Andromeda. Kita pun tak pasti mungkin ada beberapa bintang dalam Andromeda tu yg dah meletup – supernova!


Emm..tentu kita dah faham kan sekarang bahawa “Masa Sekarang” atau “Masa Lepas” sebenarnya bukan lagi rujukan kepada Masa. Semuanya dah menjadi Ilusi/Bukan Realiti lagi. Huuh..


Mengikut Fahaman Presentism – hanya “Masa Sekarang” shj yg wujud. Manakala jika mengikut Fahaman Eternalism pula, semua - Masa Lepas, Masa Sekarang dan Masa Depan semuanya boleh  wujud.


Haa..fening kan! Pada pandangan ayahku – semuanya TIDAK WUJUD..ha ha..senang cerita!


Sebenarnya MASA ini bukan sesuatu yg mudah..bukan perkara simple. Pada pandangan ayahku, Masa sebenarnya ada pelbagai dimensi atau pelbagai aspek. Mungkin Masa juga mempunyai pelbagai lapisan seperti sandwich juga sifatnya. 


Mungkin manusia skrg ini seperti kisah 4 orang buta cuba menerangkan sifat Gajah jantan. Ada yg pegang belalai mengatakan gajah seperti batang kelapa yg gelonggong, ada yg pegang kaki mengatakan gajah seperti tiang rumah, ada yg pegang telinga mengatakan gajah seperti nyiru/badang..dan yg lebih malang terpegang si anu gajah tu..ha ha..jika bernasib baik tak kena flying kick dgn gajah tu.


Jadi apa yg kita nampak mungkin hanya satu atau dua dimensi Masa itu sebenarnya.


Ayahku pun sangat berharap suatu masa nanti saintis akan dapat menemui partikel asas yg menentukan masa fizikal itu juga. Seperti partikel asas yg kita nantikan utk gravity – yg kita panggil Graviton – masih lagi belum ditemui. InsyaAllah.


Berbalik kepada soalan “Pengembaraan Masa” tadi..apa sebenarnya yg berlaku?


Sebenarnya, buat masa sekarang, apa yg ayahku nampak adalah kita membincangkan baru satu aspek Masa yg utama – iaitu Masa secara Fizikal seperti pergerakan masa dipengaruhi oleh gravity dan juga kelajuan: Dekat dgn pusat gravity, masa menjadi perlahan – sehingga dikatakan bahawa Teras Bumi adalah 2.5 tahun lebih muda dari kerak Bumi..ha ha. Begitu juga jika kita bergerak pd kelajuan yg tinggi sehingga mendekati kelajuan cahaya, masa juga menjadi perlahan…sehingga boleh terhenti.


Aspek Masa yang Kedua adalah dari Aspek Masa yg melibatkan interaksi dengan Emosi Manusia. Masa tidak bergerak bersendirian - tetapi sambil berinteraksi dgn emosi kita - segala kejadian alam yg berlaku dimana kita saksinya - kisah hidup kita..seperti kita masuk tadika/sekolah, belajar di sekolah, masuk kolej, bekerja, jatuh basikal/motor, kemalangan, kematian ibu-bapa, kelahiran adik-adik kita, kemesraan kita dgn kawan dan keluarga kita..bertemu dan berpisah..berkahwin & menimang anak...itu yg ayahku panggil aspek Emosi bagi Masa.


Bagi ayahku, sebenarnya aspek Emosi-Masa ini yg kita selalu rindui dan berharap untuk berpatah balik supaya kita dapat melepaskan rindu terhadap kawan serta ibu-bapa dan sanak saudara yg telah pun pergi meninggalkan kita terlebih dahulu.  Kita tak kisah pun jam Universe bersifat fizikal yg terus ticking sejak 13.7 billion tahun tu kan? Betoi tak?


Sebenarnya, aspek Emosi-Masa itu adalah hanya Memori kita yg disusun mengikut Masa kejadian. Kita tidak perlu mencipta “Time-Machine” utk kembali ke zaman silam kita..sebabnya Allah telah pun menciptakan Time Machine utk kita dah pun. Mananya? Jawapannya: Kitalah ‘The Time-Machine” tu nyer my dear…wallahu a’lam. 


Ayahku ingin berbalik semula kepada Surah Al-Asr tadi. Pada pandangan cetek ayahku ini, sebenarnya bukanlah Allah cuba bersumpah dengan Masa..sebabnya Masa itu sendiri adalah ciptaan serta anugerah Allah kepada kita. Mungkin perkataan “Demi Masa” itu perlu diubah kepada yg tidak menggambarkan kepada suatu sumpah! Huh..MAAF!


Ringkasnya, apa yg ayahku faham maksud firman Allah swt adalah: Berdasarkan masa yg terus berlalu pergi dengan kadar 1 saat per saat, ramai manusia yg mensia-siakan masa hidupnya/umurnya kecuali insan yg mengamalkan perkara-perkara berikut:

1. Beriman kepada Allah

2. Melakukan amal soleh – berbakti kepada masyarakat

3. Pemimpin masyarakat yg mendaulatkan kebenaran, serta

4. Pemimpin masyarakat yg mengajak masyarakat kearah pembentukan jati diri yg sempurna atau holistik.


Itu yg ayahku faham la my dear. Harap maaf jika ada yg tak setuju! 


Ayahku rasa cukup dulu lah penceritaan ayahku untuk dua aspek MASA buat kali ini - aspek fizikal dan aspek emosi. Nanti ada rakan FB yg gelap mata pulok..hu hu. 


Terima kasih. Harap ada manfaatnya. InsyaAllah.


#ayahkumenulis

Khamis, 12 Mei 2022

Nabi Zakaria AS

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ ⁣⁣

۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

#NOTA TANYALAH USTAZ 2022:

TARIKH:12.05.2022

HARI:Khamis

(Da'i Hadhari & Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali)

*SIRAH*

*KISAH 25 RASUL*

*NABI ZAKARIA A.S*

•••••••••••••••••••••••••••••

Tanyalah ustaz biar tahu jangan keliru kembali lagi.

Pagi ini kita nak sama² dapat ilmu tentang sirah Nabi Zakaria A.S.


Kita minta pada Allah,Ya Allah hidayahkan aku jalan yg lurus.

Jalan yg lurus ialah jalan org yg telah Allah beri nikmat.


✍🏻KENAPA KITA WAJIB PERCAYA 25 RASUL❓

Kita wajib percaya kepada 25 Rasul ini kerana telah termaktub dalam Al-Quran.


✍🏻SIAPAKAH BAGINDA NABI ZAKARIA❓

Nabi Zakaria ialah Nabi dari keturunan Bani Israil.

Zakaria bermaksud org yg mengingati Allah atau Allah mengingatinya.


✍🏻BAGAIMANA PERJALANAN DAKWAH NABI ZAKARIA DAN APAKAH CUBAAN YG ALLAH BERI KEPADA BAGINDA❓

Nabi Zakaria berada dipenghujung zaman daripada Nabi² terdahulu.

Nabi Zakaria diperintah utk kembalikan manusia kepada ajaran taurah.

Kaum ketika itu menolak kebenaran dan sangat sukar berdakwah kepada mereka.

Betapa kerasnya penolakkan kaum Nabi Zakaria.

Mereka sanggup membunuh Nabi² mereka.


✍🏻APAKAH HUBUNGAN NABI ZAKARIA DGN KELUARGA IMRAN HINGGA DISEBUT DALAM AL-QURAN❓

Imran seorang lelaki soleh(ketua rumah ibadah pada zaman itu).

Hubungan Imran dgn Nabi Zakaria(isteri Imran bernama Hannah dan isteri Nabi Zakaria adalah adik beradik).

Daripada Imran dan Hannah lahirnya Mariam dan daripada Nabi Zakaria dgn isterinya lahirlah Yahya.


✍🏻BAGAIMANA KAEDAH DAKWAH NABI ZAKARIA❓

Dakwah yg mashyur ialah dakwah melalui lisan.

Dakwah Nabi Zakaria juga melalui keperibadian.

Kerana terlalu happy dapat anak,Nabi Zakaria tetap menyuruh kaumnya bertasbih mengingati Allah.

Begitulah juga dgn Nabi Muhammad,Nabi Muhammad bukan hanya berdakwah dgn lisan,Nabi juga berdakwah dgn kelakuan dan keperibadiannya.


✍🏻AMANAH NABI MENYAMPAIKAN RISALAH ALLAH.

AMANAH KEPADA DIRINYA IALAH MENCARI REZEKI YG HALAL.

Tak kira apa pun kerja,para Nabi mencari rezeki yg halal dan berkat dgn tangannya sendiri.


✍🏻APAKAH KEISTIMEWAAN DAN MUKJIZAT NABI ZAKARIA❓

Ajaran Nabi itulah mukjizat.

Al-Quran ialah mukjizat Nabi Muhammad.

Mukjizat terbesar ialah dari kitab yg disampaikan oleh para Nabi.


✍🏻MARIAM DIRAWAT OLEH NABI ZAKARIA DAN ISTERINYA SEJAK DARI KECIL DAN DIBINAKAN TEMPAT IBADAT KHAS UTK MARIAM, KENAPA NABI ZAKARIA BEGITU MENGASIHI MARIAM❓

Bani Israil ada rumah² ibadat.

Imran ialah ketua rumah ibadat.

Ketika lahirnya Mariam,Mariam jadi yatim kerana tak lama selepas itu ayahnya mati.

Allah pilih Nabi Zakaria menjaga Mariam,anak org yg paling soleh ketika itu.

Ketika itu Nabi Zakaria tak ada anak dan tidak hairanlah ketika itu kasih sayang tumpah sepenuhnya kepada Mariam(anak saudaranya).


✍🏻APAKAH KELEBIHAN DAN KEISTIMEWAAN NABI ZAKARIA YG TAK BERPUTUS ASA UTK MENDAPATKAN ZURIAT DAN BERAPA USIA NABI ZAKARIA DAPAT ZURIAT SERTA BAGAIMANA REAKSI KETIKA ITU❓

Nabi Zakaria seorang pendita dan Rasul yg dapat wahyu terus daripada Allah dan wajib menyampaikan wahyu.

Nabi Zakaria seorang suami yg mengharap jadi seorang ayah.

Nabi Zakaria minta pada Allah dikurniakan zuriat yg baik.

Doa minta zuriat dari surah Ali Imran sangat bagus diamalkan kepada org yg belum ada zuriat dan kepada org yg sudah ada zuriat.

Ada khilaf tentang umur Nabi Zakaria ketika itu.

Ada pendapat mengatakan 70 tahun dan ada yg kata 100 tahun.

Isteri Nabi Zakaria ketika itu disahkan tidak mampu melahirkan anak.

Inilah berkat jaga anak org dgn kasih sayang,akhirnya dikurniakan zuriat.

Setiap hari Allah sediakan makanan kepada Mariam.

Ini menjadikan makin kuat Nabi Zakaria berdoa pada Allah.

Reaksi Nabi Zakaria ketika dapat berita dari Jibril ketika itu, Nabi Zakaria sedang solat pada waktu malam.

Nabi Zakaria takjub dapat berita isterinya akan mengandung(takjub dan sangat gembira).

Ayat 38 dari surah Ali Imran boleh dijadikan doa kepada kita semua.


♦️38

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ ۖ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ


‼️Di sanalah Zakaria mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa".


MINTALAH ZURIAT YG BAIK.

Sangat normal semua org nakkan anak dan Allah lebih tahu.

BERDOALAH KERANA DOA ADALAH SENJATA ORG BERIMAN.


✍🏻BOLEH USTAZ TERANGKAN TENTANG NABI ISA,NABI YAHYA DAN NABI ZAKARIA YG HIDUP PADA ZAMAN YG SAMA❓

Ya,mereka hidup dalam zaman yg sama.

Kerosakkan yg berlaku sangat dahsyat.

Nabi Yahya terbunuh(syahid)kerana memberitahu kebenaran kepada Raja tentang perkahwinan(bahawa tidak boleh bernikah dgn anak sendiri).

Nabi Yahya diberi kehebatan yg sangat luar biasa(lantang menegur kerosakkan ketika itu).

Nabi Yahya dibunuh.

Dan tak lama kemudian,Nabi Zakaria juga dibunuh.

Kaumnya membunuh Nabi² ketika itu kerana mereka tak ngam dgn para Nabi.


✍🏻MENEGUR KE ARAH KEBAIKAN SANGAT DIBENCI OLEH GOLONGAN YG DITEGUR,BAGAIMANA KEKUATAN BAGI ORG YG NAK MENEGUR❓

Berilah peringatan kerana peringatan sangat berguna kepada org beriman.

Sepatutnya ucap "TERIMA KASIH" kepada org yg menegur.

Tanggungjawab agama ialah amal makruf nahi mungkar.

Allah beritahu kepada Nabi Muhammad,mungkin sekarang mereka tak beriman seperti Sayidina Umar tetapi jika kamu menegur mereka sekarang,mereka jadi org beriman.

KERJA KITA IALAH MENGEJUTKAN MEREKA.

Kadang² org marah apabila ditegur,marah itu pengampun dosa kepada pendakwah kerana pendakwah juga banyak dosa.


✍🏻BAGAIMANA KETIDAKPUASAN SESEORANG DALAM MEMATUHI SYARIAT DAN APAKAH KEPENTINGAN SYARIAT❓

Ketika manusia mendengar sesuatu yg baru mereka biasanya menolak terlebih dulu(ini lumrah ketika itu).

Kalau kita berhadapan dgn org yg menolak,itu memang lazim.

KITA SEMUA PENDAKWAH DAN KITA KENA TERUS MENERUS BERDAKWAH.

UMPAMA BATU YG KERAS BOLEH JADI LEKUK KERANA AIR YG SENTIASA MENITIK.

Hendaklah kita minta doa pada Allah minta petunjuk utk terus menerus berdakwah dan terima kebenaran.


✍🏻ADA YG LAMBAT DAPAT ANAK BERGADUH HINGGA BERCERAI DAN ADA YG SAMPAIKAN DAKWAH DIHERDIK HINGGA BERHENTI MENEGUR,BAGAIMANA KITA TAK BOLEH BERPUTUS ASA DGN RAHMAT ALLAH❓

Rahmat Allah berlaku pada setiap sesuatu.

Syaitan menutup supaya kita tak nampak rahmat Allah hingga kita berputus asa dgn rahmat Allah.

ALLAH BERPESAN JANGAN BERPUTUS ASA DGN RAHMAT ALLAH.

Kita berdakwah bukan kerana org,kita berdakwah kerana mengharap pahala.

Berlaku pada kita,bila kita tegur org,kita rasa putus asa.

BETULKAN NIAT BUAT SEMUA BENDA KERANA ALLAH.


✍🏻PELAN TINDAKKAN KITA MENGHARUNGI UJIAN DGN JADIKAN ALLAH TEMPAT BERPAUT.

Kita hendaklah berkhidmat seperti Nabi Zakaria yg berkhidmat kepada Mariam kemudian Allah memberi anak kepada baginda.

Dalam hidup ini jangan lihat apa yg kita dapat tetapi lihatlah apa yg boleh kita beri kepada org lain.


#InShaaAllah_Aamiin

#TanyalahUstazTv3_Tv9

#BiarTahuJanganKeliru


   ❤SILAKAN SHARE❤

Rabu, 11 Mei 2022

Ayam

 Saya tak nak salahkan sesiapa.  


Saya bela ayam sendiri. Saya bela ayam kampung kacuk. Saya tak jual dengan pemborong.  Saya bela kambing sendiri, saya bela lembu sendiri.


Saya dah cakap hari tu.  Sayur,  ayam dan daging ni naik harga sebab pihak yang beruntungan nak desak kerajaan ambil ayam,  sayur dan daging import.  


Bila sayur naik harga

Bila ayam naik harga 

Bila daging naik harga 


Nanti adalah media,  NGO,  pembangkang bising sana sini.  Semua tu konon-konon je jadi hero.  


Nasib petani macam mana?  

Nasib penternak macam mana? 


Jangan harap ada yang tengok dan bela.  Saya berkata benar.  Saya bela ayam sendiri.  Sepanjang tempoh harga ayam naik.  Saya tak naik kan harga pon.  Saya juga tahu kawan-kawan penternak tak dapat pun harga yang cantik dari pemborong.  Banyak je ayam yang lebih hari dan tak terjual. Macam mana boleh kata bekalan tak cukup.  


Siapa je yang naikan harga ni sebenarnya?  


Bukan petani, pekebun atau penternak.  


Katanya orang tengah.  Mereka boleh je sesuka hati naikan harga.  Tengah hari harga lain,  petang harga lain,  malam harga lain.  


Kenapa saya tahu?  


Sebab saya pergi pasar borong setiap hari untuk beli sayur.  Harga hari ni dengan semalam tak sama.  


Macam-macam taukey tu cakap.  Sayur mahal sebab hujan.  Ayam tak ada sebab banyak permintaan.  


Janganlah nak bodohkan bang oi.  Macam mana boleh mendadak naik.  Sayur kita tanam hari ni bukan boleh terus petik esok.  Kalau lada perlukan 2 bulan dari tanam baru berbuah itu belum boleh dipetik.  


Ayam, boleh naik sampai RM5 sekilo dari harga asal.  Mana boleh tak cukup.  Ayam boleh masuk peti sejuk beku.  Bukan busuk pun.  Lepas tu boleh jual bila ayam tak cukup.  


Saya nak ajar korang satu je kira-kira. Saya bela ayam 5000 ekor je satu pusingan.  Ada syarikat besar bela ayam 5 juta keluar sebulan.  Kalau ayam naik harga RM2 je sekilo. Sehari berapa deorang dapat untung.  


Lama lah dulu.  


Saya ada seorang kenalan.  Bukanlah rapat sangat.  Tapi kira mewahlah.  Dia kata dia bisnes import export.  Sekali saya tanya lah dia.  Bisnes apa?.  Dia kata dia bekalkan kepak ayam dari luar negara. Hantar pasar raya besar.  Sekali lagi saya tanya soalan lurus bendul.  Halal ke ayam tu.  krik krik krik dia tak jawab terus cerita lain.  


Ingat lagi setahun lepas.  Satu syarikat yang dapat AP di dakwa kerana telah cuba menipu dengan mengatakan membekal daging lembu sedangkan daging yang dibekalkan adalah daging kuda dan daging kanggaro. 


Boleh percaya ke lagi syarikat yang dapat AP ni?  


Kekadang jadi penternak ni katanya kerjaya paling bawah. Nampak bersusah payah.  Nampak baju koyak,  murah dan nampak bodoh.  Plot-plot drama pun tayang orang kampung ni selalu miskin.  


Rakyat kita pun nak yang murah.  Deorang kempen sendiri kata daging import, ayam import,  sayur import jauh lebih murah.  Orang kampung ada seorang dua tanam sayur,  bela ayam susah nak beli. Baik beli kat pasar raya. Ada class gitu.  


Pernah dulu kerja kat Jordan setahun.  Sebelahnya negara Palestine. Yang korang beri derma selalu tu.  Mereka pun makan nasi basmati.  Mana ada makan beras hancur.  Kita ni dari dulu tak berubah.  Anak-anak kita beri makan beras hancur,  ikan paling murah. Macam mana anak-anak kita nak membesar dengan sihat.  Berfikir dengan cerdas.  


Saya surah isteri saya tukar beras.  Kalau boleh anak-anak beri makanan yang paling berkhasiat.  Dah tahu sayur import pakai racun yang merbahaya.  Tapi sayur kita yang baik-baik kita export ke Singapore. Rakyat kita makan sayur yang kurang berkualiti.  


Tak payah nak fikirlah. Dunia ni medan tipu-tipu. Hanya ada 2 pilihan untuk dibuli atau membuli.  Selagi ada yang berkepentingan dan beruntung pasti perkara ini akan terus menerus mengikut pusingannya.  


Bila saya tulis macam ni,  ada yang mesej " ko pandai sangat ko jadi lah YB, bertanding lah.  Jangan pandai cakap je?  ". Apasal pulak aku nak jadi YB, aku cuma pekebun cabuk je.  Korang ni selalu cepat koyak le.

Selasa, 10 Mei 2022

Menteri

 Awal pagi ini, saya memenuhi jemputan majlis berhari raya bersama sekumpulan rakan-rakan guru. Sambil makan, saya mendengar keluhan dan suara hati mereka. Dan kekecewaan mereka. 


Apa isu yang paling panas? 


Apa lagi kalau bukan isu beban guru yang semakin menimbun selepas sekolah di buka semula.


Adakah isu beban guru juga dihadapi oleh guru-guru luar negara? 


Saya mempunyai rakan-rakan guru di negara lain. Di UK, US, Korea, Finland, Australia, Jepun, Indonesia, Singapura, Thailand, Kuwait, Brunei dan yang lain. Sebahagiannya kerana kami belajar bersama di IOE-UCL London. Kami saling berhubungan sehingga hari ini. 


Ada pula sebahagiannya yang saya kenal ketika saya dilantik sebagai panel pakar Steering Committee untuk Asia Pacific for Citizenship Education yang berpusat di Institute of Education, Hong Kong.


Sebagai guru, mereka juga mempunyai beban sebagai guru. Bergantung kepada kepimpinan pendidikan negara masing-masing. Ada yang berat bebannya dan ada yang sedikit ringan. Beban tetap ada.


Misalnya ada negara yang mengamalkan sistem pembantu guru. Ini memang meringankan banyak beban tugas guru. Guru berpeluang akan fokus pada PdP sahaja. 


Ada negara yang mempunyai dasar memberikan autonomi yang besar kepada guru. Walaupun beban guru berat, autonomi memberikan banyak ruang untuk guru membuat perancangan dan agihan beban tugas seharian mereka secara lebih baik.


Ada negara yang silibus dan kurikulum mereka lebih flexi dan tidak padat. Ini juga memberikan peluang untuk guru melakukan pelbagai aktiviti di dalam bilik darjah bersama murid-murid. 


Ada negara yang tidak menekankan soal penilaian di peringkat awal persekolahan. Yang lebih diberikan perhatian ialah aktiviti dan keseronokan murid-murid dalam pembelajaran. Ini meningkat motivasi guru untuk mempelbagaikan kaedah mengajar. 


Tetapi saya kena akui, berbanding negara -negara lain khususnya negara yang maju sistem pendidikan mereka, beban tugas guru di Malaysia memang jauh lebih berat dan rencam. 


Guru di negara kita dibebankan dengan pelbagai urusan bukan pengajaran, pengisian data yang tidak perlu dan terpaksa terlibat dengan pelbagai program 'adhoc' dan 'wahyu' yang kadangkala tidak berkaitan dengan skop pengajaran. 


Semua orang sedar perkara ini. Malah KPM sendiri mengakui situasi ini. Sebab itu pada tahun 2019, KPM telah sediakan Laporan Kajian Dasar Pendidikan Negara. Antara isu yang telah dikaji ialah berkaitan beban tugas guru. 


Bagaimanapun, sehingga sekarang hasil laporan tersebut tidak dibentangkan kepada umum. Terima kasih pada sahabat saya Dato Dr Madeline Berma yang memimpin kajian ini sehingga selesai. 


Kita kena akui, sistem pendidikan negara kita pasca pandemik semakin hilang arah. Akibat pandemik, banyak agenda dalam PPPM 2013-2025 khususnya gelombang kedua (2016-2020) yang tidak dicapai. 


Sekarang kita sudah berada di gelombang ketiga (2021-2025). Bila di teliti satu persatu objektif gelombang ketiga, semakin jelas pada kita akan kecelaruan hala tuju sistem pendidikan negara. Ke mana arah kita? 


Sebab itu, Malaysia memerlukan pemimpin pendidikan yang dinamik dan berwawasan tinggi. Pemimpin yang tahu apakah keutamaan sistem pendidikan negara pada masa kini. 


Kita tidak memerlukan seorang pemimpin pendidikan yang hanya berfungsi sebagai pengurus pendidikan negara. Yang hanya aktif menguruskan pengumuman 'buka tutup' operasi sekolah, sekadar beri arahan keluarkan langsir bilik darjah, sekadar buat lawatan sekolah untuk bertanya khabar. 


Kita memerlukan pemimpin pendidikan yang tahu apa akan jadi kepada generasi muda kita 20 tahun akan datang. 


Pemimpin pendidikan yang tahu dengan jelas apakah bentuk kurikulum yang sesuai dengan keperluan masa depan?


Pemimpin pendidikan yang sentiasa ambil berat tentang kebajikan guru-guru. 


Pemimpin pendidikan yang tahu tentang isu beban tugas guru. 


Pemimpin pendidikan yang tahu dan ambil tindakan segera untuk selesaikan isu sekolah daif dan sekolah kurang kemudahan pembelajaran . 


Pemimpin pendidikan yang dapat selesaikan isu jurang pendidikan dengan berbagai program khas untuk membantu murid-murid miskin dan pedalaman. 


Pemimpin pendidikan yang tahu dan bertindak segera sediakan kemudahan internet di sekolah dan menjayakan dasar satu gajet satu murid seperti yang terkandung dalam matlamat gelombang kedua PPPM. 


Banyak lagi yang kita harapkan dari seorang pemimpin pendidikan pasca Pandemik. 


Apa yang kita ada sekarang, kalau saya sebagai 'penilai PBD' kepada pencapaian kepimpinan pendidikan negara, saya beri TP3 sahaja. Itupun sebab ada markah 'kesian'.

Isnin, 9 Mei 2022

Syarat sihat haji

 Syarat Haji tahun ini..😢

*Sekadar perkongsian berkenaan syarat pergi haji 1443H*


*Mesti fit baru diterima*


Sebentar tadi baru selesai team kesihatan PKD perlis melakukan pemeriksaan kesihatan kepada bakal jemaah haji 1443M


*Untuk pengetahuan, mulai tahun ini 2022, syarat kesihatan untuk layak pergi haji bertambah ketat.*


Salah satu faktor mungkin disebabkan oleh kuota tahunan jemaah haji yang telah dikurangkan oleh kerajaan Saudi.


*Antara syarat yang menarik perhatian saya untuk dikongsikan yang menjadi sebab seseorang itu tidak layak pergi haji:*


*1)* Obesiti BMI 40 dan ke atas (automatik tidak layak)


*2)* Obesiti BMI 35-40 dan mempunyai 1 penyakit kronik seperti DM/hypertension


*3)* Pesakit DM dengan bacaan Hba1c 8.0% ke atas


*4)* Perokok dengan penyakit paru-paru kronik (COPD) walaupun tahap ringan


Agak tersentuh tadi ternampak pasangan suami isteri menangis teresak-esak sebab suami *tidak dapat pergi haji disebabkan paras gula yang tidak terkawal (Hba1c> 8%)* sedangkan isteri itu layak.


Ada jugak yang merayu-rayu dan marah seakan -akan tidak puas hati dengan doktor sebab tidak melayakkannya untuk pergi haji disebabkan oleh penyakit kencing manis yang tidak terkawal juga.


Jadi untuk anda/ibubapa yang merancang untuk melakukan haji beberapa tahun akan datang,


*1)* Lakukan medical check-up tahunan di klinik berdekatan


*2)* Amalkan healthy lifestyle. Turun berat badan dengan jaga makan dan regular exercise (untuk berat badan berlebihan/obese)


*3)* Stop smoking untuk lelaki yg merokok


Semoga bermanfaat

Sebarkan kepada kenalan/saudara/ibubapa

Dr. R


*DM* : diabetes mellitus/kencing manis


*Obese indek mula dng  >30 (kg/m2)*


*obese tahap 1 - 30-35*


*obese tahap 2 - 35-40*


*obese tahap 3 - >40*


25 -30 - terlebih  berat


20-25 - Normal


*contoh:*


Berat : 90Kg


Tinggi: 1.72m


BMI = 90/ (1.72 ×1.72) = 30