Selasa, 10 Mei 2022

Menteri

 Awal pagi ini, saya memenuhi jemputan majlis berhari raya bersama sekumpulan rakan-rakan guru. Sambil makan, saya mendengar keluhan dan suara hati mereka. Dan kekecewaan mereka. 


Apa isu yang paling panas? 


Apa lagi kalau bukan isu beban guru yang semakin menimbun selepas sekolah di buka semula.


Adakah isu beban guru juga dihadapi oleh guru-guru luar negara? 


Saya mempunyai rakan-rakan guru di negara lain. Di UK, US, Korea, Finland, Australia, Jepun, Indonesia, Singapura, Thailand, Kuwait, Brunei dan yang lain. Sebahagiannya kerana kami belajar bersama di IOE-UCL London. Kami saling berhubungan sehingga hari ini. 


Ada pula sebahagiannya yang saya kenal ketika saya dilantik sebagai panel pakar Steering Committee untuk Asia Pacific for Citizenship Education yang berpusat di Institute of Education, Hong Kong.


Sebagai guru, mereka juga mempunyai beban sebagai guru. Bergantung kepada kepimpinan pendidikan negara masing-masing. Ada yang berat bebannya dan ada yang sedikit ringan. Beban tetap ada.


Misalnya ada negara yang mengamalkan sistem pembantu guru. Ini memang meringankan banyak beban tugas guru. Guru berpeluang akan fokus pada PdP sahaja. 


Ada negara yang mempunyai dasar memberikan autonomi yang besar kepada guru. Walaupun beban guru berat, autonomi memberikan banyak ruang untuk guru membuat perancangan dan agihan beban tugas seharian mereka secara lebih baik.


Ada negara yang silibus dan kurikulum mereka lebih flexi dan tidak padat. Ini juga memberikan peluang untuk guru melakukan pelbagai aktiviti di dalam bilik darjah bersama murid-murid. 


Ada negara yang tidak menekankan soal penilaian di peringkat awal persekolahan. Yang lebih diberikan perhatian ialah aktiviti dan keseronokan murid-murid dalam pembelajaran. Ini meningkat motivasi guru untuk mempelbagaikan kaedah mengajar. 


Tetapi saya kena akui, berbanding negara -negara lain khususnya negara yang maju sistem pendidikan mereka, beban tugas guru di Malaysia memang jauh lebih berat dan rencam. 


Guru di negara kita dibebankan dengan pelbagai urusan bukan pengajaran, pengisian data yang tidak perlu dan terpaksa terlibat dengan pelbagai program 'adhoc' dan 'wahyu' yang kadangkala tidak berkaitan dengan skop pengajaran. 


Semua orang sedar perkara ini. Malah KPM sendiri mengakui situasi ini. Sebab itu pada tahun 2019, KPM telah sediakan Laporan Kajian Dasar Pendidikan Negara. Antara isu yang telah dikaji ialah berkaitan beban tugas guru. 


Bagaimanapun, sehingga sekarang hasil laporan tersebut tidak dibentangkan kepada umum. Terima kasih pada sahabat saya Dato Dr Madeline Berma yang memimpin kajian ini sehingga selesai. 


Kita kena akui, sistem pendidikan negara kita pasca pandemik semakin hilang arah. Akibat pandemik, banyak agenda dalam PPPM 2013-2025 khususnya gelombang kedua (2016-2020) yang tidak dicapai. 


Sekarang kita sudah berada di gelombang ketiga (2021-2025). Bila di teliti satu persatu objektif gelombang ketiga, semakin jelas pada kita akan kecelaruan hala tuju sistem pendidikan negara. Ke mana arah kita? 


Sebab itu, Malaysia memerlukan pemimpin pendidikan yang dinamik dan berwawasan tinggi. Pemimpin yang tahu apakah keutamaan sistem pendidikan negara pada masa kini. 


Kita tidak memerlukan seorang pemimpin pendidikan yang hanya berfungsi sebagai pengurus pendidikan negara. Yang hanya aktif menguruskan pengumuman 'buka tutup' operasi sekolah, sekadar beri arahan keluarkan langsir bilik darjah, sekadar buat lawatan sekolah untuk bertanya khabar. 


Kita memerlukan pemimpin pendidikan yang tahu apa akan jadi kepada generasi muda kita 20 tahun akan datang. 


Pemimpin pendidikan yang tahu dengan jelas apakah bentuk kurikulum yang sesuai dengan keperluan masa depan?


Pemimpin pendidikan yang sentiasa ambil berat tentang kebajikan guru-guru. 


Pemimpin pendidikan yang tahu tentang isu beban tugas guru. 


Pemimpin pendidikan yang tahu dan ambil tindakan segera untuk selesaikan isu sekolah daif dan sekolah kurang kemudahan pembelajaran . 


Pemimpin pendidikan yang dapat selesaikan isu jurang pendidikan dengan berbagai program khas untuk membantu murid-murid miskin dan pedalaman. 


Pemimpin pendidikan yang tahu dan bertindak segera sediakan kemudahan internet di sekolah dan menjayakan dasar satu gajet satu murid seperti yang terkandung dalam matlamat gelombang kedua PPPM. 


Banyak lagi yang kita harapkan dari seorang pemimpin pendidikan pasca Pandemik. 


Apa yang kita ada sekarang, kalau saya sebagai 'penilai PBD' kepada pencapaian kepimpinan pendidikan negara, saya beri TP3 sahaja. Itupun sebab ada markah 'kesian'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan