Universiti antara punca graduan menganggur, kata kajian
Sheridan Mahavera
Universiti antara punca graduan menganggur, kata kajian
Menurut pusat Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), graduan
universiti awam di negeri-negeri miskin seperti Kelantan, Terengganu dan Sabah
didapati lebih sukar mendapat pekerjaan pertama jika dibandingkan dengan
graduan dari pusat pengajian tinggi di negeri kaya seperti Selangor dan Kuala
Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight
TERLALU memilih kerja dan meminta gaji yang tidak munasabah
- sering dikatakan menjadi punca masalah pengangguran di kalangan graduan.
Namun, sebuah badan pemikir pula mengatakan hubungan
keluarga dan universiti awam di mana graduan belajar menjadi faktor penting
untuk mereka mendapatkan pekerjaan.
Menurut pusat Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), lebih
daripada 80% pemegang ijazah yang menganggur meminta gaji kurang daripada
RM3,000, manakala 70% penganggur yang mempunyai diploma meminta gaji kurang
daripada RM2,000.
Selepas menganalisis data lapan tahun dari Kementerian
Pengajian Tinggi, KPRU turut mendapati terdapat trend yang membimbangkan di
kalangan graduan.
Graduan universiti awam di negeri-negeri miskin seperti
Kelantan, Terengganu dan Sabah didapati lebih sukar mendapat pekerjaan pertama
jika dibandingkan dengan graduan dari pusat pengajian tinggi di negeri kaya
seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
Ooi Teik Khim, yang menulis kajian tersebut menyifatkan ia
adalah masalah 3'P': keluarga miskin (poor families), negeri miskin (poor
states) dan kelas sosial bawahan (poor social standing).
"Majoriti graduan yang menganggur berasal dari keluarga
miskin atau si rumah berpendapatan rendah dan negeri yang miskin atau
berpendapatan rendah. Mereka juga mempunyai modal sosial yang lemah, mungkin
kerana mereka datang dari kelas sosial bawahan," kata Ooi.
"Ia petunjuk ketara mengenai ketidaksamaan dalam
masyarakat kerana tidak semua graduan setara dalam pekerjaan. Graduan dari
keluarga kaya dan negeri berpendapatan tinggi dengan rangkaian sosial yang
lebih baik mempunyai kelebihan dalam pekerjaan."
"The Findings of Graduate Tracer Study 2007-2015:
Broken Malaysia Dream" berpendapat trend ketidaksamaan ini akan membawa
kepada pergolakan sosial dalam jangka masa panjang.
"Umumnya, pendidikan dilihat sebagai cara terbaik untuk
memperoleh kehidupan yang lebih baik. Andainya pendidikan tidak lagi menjadi
jalan berguna untuk mencapai hidup yang lebih baik, dan masyarakat juga sedar
akan hal itu, lebih banyak pergolakan sosial akan terjadi.
Bagi generasi muda sekarang, impian rakyat Malaysia untuk
memperoleh kehidupan lebih baik melalui pendidikan lebih tinggi telah musnah,
kata Ooi.
"Mereka telah menyaksikan pelbagai kisah kejayaan
mengenai orang dari keluarga berpendapatan rendah melonjak ke kelas menengah
dan tinggi menerusi pendidikan tinggi serta usaha keras," katanya.
"Graduan hari ini sedar mereka semakin sukar
mendapatkan pekerjaan dan gaji untuk mereka tidak berganjak. Pasaran kerja juga
lebih memihak kepada graduan yang datang dari latar belakang yang lebih
baik."
Siapa yang anda tahu
Kajian ini menganalisa data daripada tinjauan ke atas
graduan diploma dan ijazah yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi
dari 2007 hingga 2015.
Misalnya, pada 2015, kementerian meninjau 229,568 graduan
dari 22 universiti awam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Tinjauan kementerian mengenal pasti punca mengapa graduan
menganggur, cara mereka mencari kerja dan jumlah masa yang diperuntukkan untuk
mencari kerja.
Graduan juga ditanya sama ada mereka adalah pekerja tetap
atau sementara, gaji yang diminta dan kriteria penting apabila memohon
pekerjaan.
Universiti Pendidikan Sultan Idris yang menghasilkan graduan
untuk bidang pendidikan yang mempunyai permintaan tinggi yang menjadikan ia
institut pengajian tinggi dengan kadar pengangguran paling rendah. – Gambar
fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2018.
Universiti Pendidikan Sultan Idris yang menghasilkan graduan
untuk bidang pendidikan yang mempunyai permintaan tinggi
yang menjadikan ia institut pengajian tinggi dengan kadar
pengangguran paling rendah. – Gambar fail The Malaysian
Insight
Kajian KPRU kemudian membandingkan dan menganalisa penemuan
dari setiap tahun bagi mengenal pasti trend pengangguran di kalangan graduan.
Selain daripada pola yang dinyatakan di atas, Oii berkata
data mendedahkan bahawa kadar pengangguran di kalangan belia berumur antara 20
dan 24, termasuk graduan dan bukan graduan, meningkat dan kekal sama sejak 1998
- tahun di mana Krisis Kewangan Asia
berlaku.
Ia kekal pada kadar yang sama iaitu antara 7% dan 10% dari
1998 hingga 2015, tanpa mengira kadar pertumbuhan ekonomi, kata Ooi.
Selepas menolak bilangan graduan baru yang tidak aktif
mencari kerja, Ooi berkata kadar sebenar granduan yang menganggur ialah di
antara 24% dan 28% antara 2008 dan 2015.
Penemuan yang lebih membuka mata ialah latar belakang
graduan yang menganggur. Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sabah
merupakan lima negeri berpendapatan rendah yang mempunyai bilangan graduan
menganggur tertinggi.
Kadar pengangguran graduan di Kelantan ialah 34.8%, diikuti
Sabah pada 34% Terengganu (33.2%) Perlis (27.7%) dan Pahang (27.4%).
Sebaliknya, kadar pengangguran graduan di Putrajaya adalah
yang terendah pada 14.5%, diikuti Kuala Lumpur dan Selangor pada 18.6%, Pulau
Pinang (21%) dan Johor (22.9%).
Di peringkat universiti pula, kadar pengangguran graduan
direkodkan di:
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 46.4%, Universiti
Malaysia Kelantan (UMK) 44.5%, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) 43.3%,
Universiti Malaysia Sabah (UMS) 42.6% dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
40.9%.
Pusat pengajian tinggi yang mencatat rekod pengangguran
terendah ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 10.6%.
"Ini kerana UPSI menghasilkan graduan untuk bidang
pendidikan yang mempunyai permintaan tinggi," kata Ooi.
Selepas UPSI, dua institusi dengan kadar pengangguran paling
rendah adalah di Selangor - Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 18.8% dan
Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) pada 19.9%.
Ini diikuti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor
pada 20.1%, Universiti Malaya (UM) pada kadar 21.2%, dan Universiti Sains
Malaysia (USM) di Pulau Pinang pada 22.2%.
Ooi bagaimanapun, tidak dapat mengatakan sama ada perbezaan
kadar pengangguran disebabkan oleh kualiti pendidikan di universiti ini, yang
seterusnya menghasilkan graduan lebih baik atau kurang terlatih.
"Ini adalah sesuatu yang perlu kita siasat dalam satu
lagi kajian. Buat masa ini, 3P dalam pengangguran di kalangan siswazah mungkin
berlaku kerana dua sebab.
"Pertama, negeri berpendapatan rendah tidak mampur
menawarkan peluang pekerjaan mencukupi bagi graduan negeri terbabit sehingga
memaksa mereka berpindah ke negeri yang kaya, seperti Kuala Lumpur dan
Selangor.
"Kedua, apabila graduan dari negeri berpendapatan
rendah mencari kerja di negeri kaya ini, mereka tewas dengan graduan tempatan
yang mempunyai modal atau hubungan sosial yang lebih baik," tambah Ooi.