"Dr, tengoklah keputusan SPM, sekolah siapa yang hebat? - tulis seseorang pada saya petang tadi. Spontan, saya tiba -tiba tersenyum.
Tuan-tuan, 'permainan' persepsi ini memang dah lama ada. Dah lama dah.
Dikumpulkan murid-murid cemerlang dari sekolah rendah di satu sekolah menengah. Kemudian ditempatkan pengetua cemerlang, guru cemerlang, kemudahan pembelajaran terbaik, kelas tak sesak, ada bilik yang berhawa dingin, makmal sains lengkap, makan minum disediakan mengikuti masa, disiplin murid dipantau rapi, masa belajar, masa main, masa solat dan masa tidur ditetapkan seketatnya.
Disediakan pasukan warden berelaun bulanan untuk menjaga kebajikan murid. Murid disediakan serba serbi.
Dipasakkan setiap masa dalam minda murid 'kamu adalah murid cemerlang', 'kamu murid hebat', 'kamu murid harapan bangsa'. "Kamu bertuah ditempatkan di sekolah hebat ini".
Prestasi akademik murid -murid ini dijaga rapi. Merosot sedikit terus di kaunseling, terus ibu bapa dipanggil untuk berbincang. Tugas murid-murid hanya belajar, belajar, belajar. Program latih tubi, kelas tambahan, kem kecemerlangan berterusan sepanjang tahun.
Bila keluar sahaja keputusan peperiksaan SPM, diwar-warkan inilah senarai sekolah terbaik. Inilah sekolah contoh. Ini sekolah harapan negara. Semua sekolah lain kena contohilah sekolah ini. Kalau sekolah ini boleh cemerlang SPM, mengapa pula sekolah lain tak boleh?
Kamu lupa agaknya?
Ada lebih 10,000 sekolah lain di seluruh negara? Lebih 2,000 daripadanya adalah sekolah menengah. Ada sekolah yang masih kurang kemudahan. Ada sekolah yang masih daif di pedalaman. Ada sekolah yang masih tak cukup guru. Ada sekolah yang bumbung bangunannya dah lama bocor, tingkap pecah, kipas angin rosak belum tahu bila akan berganti.
Ada murid sambil belajar kena uruskan adik yang masih kecil di rumah. Ada murid yang lebih banyak bantu ibu bapa cari rezeki dari peluang untuk belajar. Ada murid yang ibu bapa sendiri pun tak kisah prestasi pendidikan mereka. Ada murid, jangankan nak belajar, nak makan atau tidur pun masih tidak menentu.
Kamu lupa rasanya.
Kamu ingat hanya ada 20 buah sekolah cemerlang SPM sahaja di negara ini.
Kamu nak berbangga kononnya ada 20 sekolah yang terhebat tapi kamu tutup mata dengan masalah dan kekurangan di ribuan sekolah yang lain?
Mudahnya kamu 'dipermainkan' dengan persepsi.
Cubalah buka mata. Tengok dengan hati terbuka keadaan di 10,000 buah sekolah lain, bukan sekadar mendabik dada dengan pencapaian di 10-20 buah sekolah sahaja.
Mendapat pendidikan berkualiti adalah HAK untuk semua murid, bukan untuk segelintir sahaja.
Ingat tu.
Salam Aidil Adha...
Anuar Ahmad