Khamis, 5 September 2013

Munggah

Mulai 3 September 2013, harga petrol RON 95 dinaikkan sebanyak 20 sen dan harga minyak diesel pula dinaikkan sebanyak 20 sen. PM menyatakan kenaikan harga petrol tersebut adalah untuk mengelakkan masalah kepada kedudukan kewangan negara. Kata PM: "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara."

Saya tidak segera mengulas kenaikan harga minyak tersebut kerana mahu melupakan sementara hal-hal negara untuk memberi tumpuan kepada tugasan akademik yang banyak tertangguh. Namun, apabila kelmarin Timbalan Menteri (TM) Kewangan menyatakan harga minyak Malaysia adalah yang kelapan termurah di dunia selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria, hati saya segera terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan. Ini kerana jiwa saya menolak pemberian fakta yang tidak tepat dan kenyataan yang menafikan intelek rakyat.

Jika setakat tujuh negara di atas, apakah kita hendak menafikan fakta bahawasanya harga minyak petrol di Brunei, Qatar, Bahrain, Algeria, Sudan, Libya dan Oman adalah lebih murah dari Malaysia? Kenapa TM Kewangan tidak menyatakan juga harga minyak di negara tersebut? Mengapa memberikan hujah yang salah atau berhujah dengan menyembunyikan fakta yang nyata?

Bagi membuktikan harga minyak di Malaysia adalah kelapan termurah di dunia, maka TM Kewangan pun mengumumkan harga RON 95 dan diesel di negara jiran kita. Antaranya ialah Thailand RM4.74 dan RM3.06, Singapura (RM5.56 dan RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43) dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32). Kenapa kita bandingkan dengan negara kita yang tidak ada minyak ata sedikit sumber petroleumnya? Kenapa tidak kita bandingkan dengan harga minyak petrol di Brunei, UAE, Libya, Bahrain, Qatar, Oman dan lainnya yang harga minyak mereka jauh lebih murah daripada negara kita? Inilah yang saya katakan sebagai kenyataan yang menyembunyikan fakta untuk mengelirukan rakyat, jikapun tidak untuk membodohkan rakyat.

Untuk pengetahuan TM Kewangan, dalam konteks harga barangan ini, ada aspek yang kita boleh bandingkan dengan negara lain dan ada perkara yang kita tidak boleh bandingkan dengan negara lain. Misalnya, kenapa tidak kita bandingkan harga kereta di Malaysia dengan di Singapura atau Indonesia? Di Indonesia misalnya, jika setakat kereta Toyota Vios, mereka buat teksi sahaja. Jika di Finland dan Sweden, teksi mereka semuanya terdiri dari kereta mewah—lebih dari separuh teksi mereka menggunakan kereta Mercedes dan selebihnya BMW, Audi dan Volkswagen.

Itu belum lagi kita bincangkan tentang harga rumah. Dengan kos harga rumah kita yang ‘over priced’ dan kenaikannya tidak terkawal, apakah harga rumah di negara kita masih yang termurah di dunia? Begitu juga dengan hutang isi rumah rakyat di negara kita. Data menunjukkan lebih enam juta isi rumah rakyat di negara ini kini menanggung hutang berjumlah RM653 bilion. Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.

Kadar hutang ini adalah amat membimbangkan, apatah lagi peningkatan nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun dari 63.9% pada tahun 2008 kepada 76.6% tahun 2009, 75.8% tahun 2010, 76.6% tahun 2011 dan 80.5% pada tahun 2012. Rekod terkini hutang isi rumah Malaysia untuk tahun 2013 berada pada kadar 83.0% dari KDNK yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini.

Melihat kepada data hutang isi rumah di atas, apakah kita hendak menyatakan kadar hutang isi rumah rakyat di negara kita adalah antara kelapan terendah di dunia atau harga kereta dan rumah kita juga antara terendah di dunia? Saya berhujah begini untuk menunjukkan saya menolak data tidak masuk akal yang diberikan oleh TM Kewangan kita tentang harga minyak kita yang kelapan termurah di dunia.

Saya juga tertarik dengan alasan yang diberikan oleh TM Kewangan yang menyatakan kenaikan harga minyak adalah untuk membolehkan kerajaan memberikan BRIM kepada rakyat. Katanya: "Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan melalui pemotongan subsidi (kenaikan harga petrol) ini kerajaan kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat yang berpendapatan rendah."

Saya tidak faham kaitan antara kenaikan harga minyak dengan bantuan BRIM yang diberi oleh kerajaan kepada rakyat. Pemberian BR1M ini untuk apa? Sebagai umpan untuk menggula-gulakan rakyat atau benar-benar untuk menolong rakyat? Jika untuk menolong rakyat miskin, kenapa pula BR1M yang diberikan itu diambil semula dalam bentuk menaikkan harga minyak petrol? Tidakkah kerajaan sedar dengan kenaikan harga petrol ini, BRIM yang diberikan kepada rakyat tidak dapat menampung beban kehidupan mereka kerana kenaikan harga petrol tersebut tentulah datangnya bersama dengan kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian? Tidakkah ini tidak boleh difikirkan oleh kerajaan?

Oleh sebab itulah, saya menolak kenyataan TM Kewangan ini sebab hujahnya tidak tepat dan hujah inilah yang sentiasa diberikan secara berulang-ulang setiap kali harga minyak naik. Carilah alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan hutang luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi mengurangkan jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia ataupun sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.

Jikapun hendak memberikan analisis perbandingan dengan negara lain, berilah analisis perbandingan yang sesuai, bukannya untuk sesuaikan data dengan keperluan dan hujah kita. Analisis akademik menuntut kejujuran kita memberikan data yang tepat. Begitulah!..

Rabu, 4 September 2013

Pulangkan

Kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju... kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara... kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja...

kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta... kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta... jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu... tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari? apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah? papa semakin parah? wang semakin lelah? jika semalam berlauk, hari ini cuma berkuah... kerana kerajaan kita sedang susah? maka subsidi kita terpaksa diserah...

Jika semalam kau makan sepinggan, hari ini saparuh kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh... apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah? makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang... jika mereka bertanya siapa yang bawa lari kepada siapa patut kami tuding jari? janganlah nanti mereka membenci pertiwi... akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini.. atau kami jadi insan curang... kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang? tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang...

Dengar sini wahai yang tidak memijak bumi! pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami... pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati... kami yang semput bagai melukut di kota kedekut kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja pernahkah kau merasa? rumah bocor yang lanjut usia... baju dan kasut anak yang koyak tinggal dalam rumah yang berasak-asak siang kami sebak, malam kami sesak... sedangkan kalian manusia angkasa... istana permata dibina, kereta berjuta dirasa... elaun di serata, dari isteri sehingga seluruh keluarga... hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara...

Tapi kami masih di sini..di teratak ini... dengan lauk semalam.. dengan hidangan yang tidak bertalam... dengan rumah yang suram... dengan wang yang hampir padam... tiada istana lawa...tiada kereta berharga... tiada layanan diraja..tiada baju bergaya tiada kediaman menteri...tiada hidangan vip... tiada persen di sana-sini...tiada bahagian anak dan bini... tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara... aduhai celaka bahasa yang kalian guna... kalian yang belasah, kami yang bersalah... kalian buat untung, hutang kami tanggung... kalian mewah melimpah, kami susah parah kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang... kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa... kalian makan isi, kami dijadikan abdi... lantas, kalian rampas lagi subsidi... ke mana wang itu pergi nanti?

Jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami... jika tidak pun buat gula konon merbahaya mengapa tidak beras diturun harga? jika tidak untuk minyak kereta... mengapa tambang tidak potong sahaja... tapi entah berapa kali janji... konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti... hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi... kami terus termanggu di sini... kalian juga yang nikmati... kami hanya menggigit jari... kembalikanlah kepada kami harta negara... jangan hanya kalian sahaja yang merasa...

Atuk

Sepasang suami isteri yang telah agak berusia serta bergelar datuk dan nenek memiliki satu kawasan kebun rambutan. Kebetulan tahun ini rambutan naik harga dan laris sekali di pasaran. 

Musim cuti sekolah sebagaimana biasa pulanglah anak cucu ke rumah dan tentunya rambutan atuk dan nenek akan menjadi sasaran mereka.

Tahun ini disebabkan harga rambutan yang meningkat di pasaran, sebelum anak cucu balik, awal-awal lagi atuk ini telah memasang strategi.

Kebun rambutan itu dipagar. Di pintu pagar siap diletakkan tanda berapa harga sekilo rambutan mengikut harga pasaran semasa. Penimbang juga disediakan.

Sampai saja anak-anak cucu di kampung, terus mereka serbu pokok rambutan atuk. Atuk yang berfikiran kapitalis ini hanya tersenyum sambil menunggu di pintu pagar kebunnya.

“Wahai anak-anak dan cucu kesayanganku, selepas petik rambutan itu, sebelum kamu semua makan, pastikan rambutan itu ditimbang dan dibayar harganya mengikut tanda harga di pintu pagar ini,” kata atuk.

Terkejut beruklah semua anak cucu dengan karenah baru atuk mereka.

Biasanya atuk amat pemurah dan tak pernah berkira dengan cucu-cucu. Lebih teruk lagi, harga yang dipamerkan pula sama dengan harga rambutan di pasar.

“Alaa atuk, tak kan dengan anak cucu pun nak berkira, mahal pulak tu harga rambutan atuk ni..” Rayu seorang cucunya.

“Mahal kamu kata! Cuba kamu pergi check harga rambutan di Singapura dan di Jepun, tengok berapa harganya!” tegas saja nada suara atuk.

“Betullah di Singapura dan Jepun harga rambutan mahal, mereka mana ada pokok…” Seorang anak lelaki atuk mencelah.

“Harga rambutan atuk ini, mengikut harga semasa pasaran, bukannya atuk pandai-pandai buat naik harga sendiri. Sebelum ni sudah banyak atuk tanggung subsidi dengan bagi rambutan percuma pada kamu semua. Dari mana duit atuk nak dapat untuk beli baja, nak beli racun rumput, nak buat pagar, nak upah orang petik dan bla… bla.. bla…” Atuk terus membebel.

“Betul dah tu atuk, memang rambutan dah naik harga. Tapi atuk juallah kepada orang luar mengikut harga pasaran, dengan kami anak cucu tak kan lah atuk nak berkira. Tak kan sampai atuk nak suruh kami bandingkan harga rambutan atuk dengan harga rambutan di Singapura…

Lagipun kebun rambutan ini memang hak atuk. Atuk pun tak perlu tanggung bayar subsidi harga kepada sesiapa. Pelik juga kalau kebun ini milik atuk, tapi tiba-tiba Atuk kata, atuk kena tanggung subsidi, isshh!! Kepada siapa pula subsidi ni dibayar?” jawab seorang lagi cucu atuk yang kebetulan belajar ekonomi di sebuah universiti tempatan secara panjang lebar.

“Walau apa-pun kamu cakap, atuk tetap bertegas. Harga tetap tak diturunkan. Kamu semua sepatutnya bersyukur.
Masih boleh balik kerumah atuk dengan aman, kampung kita pun masih aman. Makan pakai semua cukup. Kerja makan gaji . Semua pakai kereta besar. Tandanya kamu semua mampu. Tak kan lah nak bayar harga rambutan sikit pun sudah bising!”

Atuk membuat keputusan muktamad.

Kojer

Zikir ialah ibadat paling ringan tetapi amat berat timbangan pahalanya. Walaupun mudah dan ringan diamalkan, kebanyakan muslim lupa melakukannya disebabkan tidak dilatih berbuat demikian.
Pengarang kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan tentang seorang ahli ibadah melihat seekor burung yang selalu membawa sepotong daging setiap hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma. Ahli ibadah itu merasa hairan kerana tidak ada seekor burungpun yang mempunyai sarang di situ. Beliau berkata: “Saya memanjat pokok itu, saya melihat di sana ada seekor ular yang buta matanya. Setiap kali burung itu mendekatinya iapun bersuara lalu ular itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan sepotong daging itu ke mulut ular dan kemudian terbang. Perbuatan itu dilakukannya setiap hari.”
Kisah tersebut mengajar kepada kita bahawa kemuliaan itu terletak pada seberapa besar manfaat yang boleh anda berikan kepada orang lain. Manakala kehinaan itu adalah kerana mensia-siakan potensi dan kekuatan jasmani dan rohani yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Sedangkan binatang bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang sempurna. Tetapi manusia masih lagi diulit mimpi angan-angan yang panjang. Binatang dan alam semesta semuanya berzikir kepada Allah SWT, tetapi manusia sibuk melupakan Allah SWT.
Allah SWT berfirman menyeru kepada orang-orang yang mengaku beriman yang maksudnya:”Bekerjalah kamu, nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)
Bekerja adalah ibadat. Bahkan nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah yang paling utama. Tetapi sifat malas sering timbul sewaktu melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam kehidupan para pekerja yang beriman. Di manakah kelemahannya hingga semangat bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang halal itu menjadi kendur? Padahal Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Jika datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
Semangat kerja Nabi Allah Idris AS patut dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya sendiri. Pada suatu hari Allah SWT berfirman yang maksudnya:“Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57). Nabi Idris menjawab: “Saya tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari amalanmu terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya: “Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10)
Demikianlah keutamaan Nabi Idris AS kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah yang empat diucapkan iaitu; Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar. Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di sisi Allah dan boleh menyuntikkan semangat untuk berjaya semata-mata kerana keredaan Allah.
Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan tetapi amat berat pahalanya. Syaikh al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab agungnya, Majmu’ al-Fatawa menyatakan; Amalan yang paling utama selepas amalan yang fardhu adalah zikrullah. Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku tunjukkan amalan yang paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih baik daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka juga memenggal leher-lehermu? Para sahabat menjawab: Tentu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: Zikrullah.”
Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila sahaja dan dalam keadaan apapun ibadat ini boleh dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya.
Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: “Baginda memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir kepada Allah.”
Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya. Baginda adalah seorang Ketua Negara yang amanah, Mahaguru yang dihormati, pakar motivasi, Jeneral perang dan penganalisis politik yang hebat, ketua rumah tangga yang adil, pendakwah yang karismatik, ayah yang penyayang, saudara lelaki yang penyantun. Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan mereka yang hidup di sisi baginda mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Begitu juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja dan zikrullah, pastikanlah ianya tidak terhenti kecuali kedua kaki ini telah sampai di pintu kenikmatan tertinggi, syurga yang abadi!

Arrahman Arrahim

MENGAPA ALLAH SUKA INTRODUCE DIRINYA AS 'RAHMAN & RAHIM'

Pernahkah anda berpengalaman begini? : bangun pagi, solat subuh lambat, zikirnya pula tak sempat sebab nak kejar punch-card. Then bila sampai di tempat kerja, anda dikejutkan dengan berita gembira - dapat bonus or surat dinaikkan pangkat, or apa saja perkara best yg memang selama ini amat diidamkan.

Selalu bukan?

Begitulah cara Allah melayan kita. Kita always persembahkan Dia 'barang low grade' - solat lambat, zikir tiada, doa kosong, almost zero ikhlas. Tiba2 Dia pula sebaliknya - bagi kita hadiah tak disangka. SURPRISE!, bak kata org putih.

- Astaghfirullah, kita selalu melayan Allah bak pepatah : 'diberi madu dibalas tuba'.
- Tp Alhamdulillah, Allah selalu melayan kita bak 'Kumbang setia pada mawar.Walaupun tertusuk durinya.Tak pernah menyerang'

Mengapa Dia begitu?

Sebab Dia AR-RAHMAN, AR-RAHIM : Maha pengasih, Maha penyayang, MAha beri peluang, Maha 'lembut hati', Maha 'bagi second chance' & Maha positif.

Sekian renungan petang, agar kita lebih pandai menghargai & mensyukuri Allah yg Maha penyayang. Agar zikir 'Alhamdulillah' yg sering kita ucapkan itu menjadi lebih bermakna.

P.S : share point ini, biar kita ramai2 lebih mudah 'fall in love' dgn Dia.

minyak

PERGERAKAN HARGA MINYAK DI MALAYSIA SEMENJAK 1990-2013

Sebelum 90 - RM 0.89
Tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)
20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)
31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)
05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)
28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)
04/06/2008 - RM 2.70 (kenaikan RM 0.78)
01/09/2009 - RM 1.80 (Turun RM 0.90)
16/07/2010 - RM 1.85
04/12/2010 - RM 1.90
03/09/2013 - RM 2.10 (kenaikan RM 0.20)

Era Dr Mahathir:- (1990-2003) 13 tahun Kenaikan sebanyak 46sen.
Era Abdullah Ahmad Badawi:- (2003 - 2009) 5 1/2 tahun - kenaikan sebanyak 1.38sen & penurunan sebanyak 90sen.
Era Mohd Najib Abdul Razak (2009 - 2013) 4 tahun - kenaikan sebanyak 25 sen

Fenomena kenaikan harga barang pernah terjadi di zaman Rasul saw dan sahabat-sahabat r.a. bertanyakan kepada Baginda saw:-
“Wahai Rasulullah, harga-harga barang banyak yang naik, maka tetapkan keputusan yang mengatur harga barang.”

Jawab Baginda saw;
"Sesungguhnya Allah adalah Dzat yang menetapkan harga, yang menyempitkan dan melapangkan rezeki, Maha Pemberi rezeki. Sementara aku berharap dapat berjumpa dengan Allah dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku disebabkan kezalimanku dalam urusan darah maupun harta.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Turmudzi, Ibnu Majah)

(1) Sesungguhnya Allah Dzat Yang Mentakdirkan Semua Harga. (Tauhid Af'al)
(2) Sesungguhnya Kenaikan Harga Tidak Mempengaruhi Rezeki Seseorang.
Rezeki, ajal maut & jodoh pertemuan adalah rahsia ALLAH. Yakinlah, rezeki yang Allah tetapkan tidak akan bertambah maupun berkurang. Meskipun harga barang meningkat, itu sama sekali tidak akan mengganggu rezeki kita yang telah ditetapkan.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala :
“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.
(Surah Asy-Syuura, ayat 27)

والله أعلم بالصواب
wa ALLAHu 'alam bi as-sowwab

macai... fokus pada isu

Kita bising minyak naik bukan kerana kita benci Kerajaan Malaysia.

Kita bising minyak naik bukan kerana kita tak mampu bayar.

Tapi...
Kita bising sebab janji tak serupa bikin.
Kita bising sebab kesiankan rakyat marhaen.
Memang kita berduit.
Memang kita berharta.

Namun,
jauh di pelusuk sana,
ada yang menghitung syiling.

Ada yang bekerja teruk terkontang kanting.
Mereka tak ada slip gaji.
Jauh sekali socso mahupun kwsp.Kerjanya keluar pagi balik dinihari.

Dan kalian pula berbicara indah persis pujangga metropolis?
Hanya 20 sen?
Itu pun nak bising?
Kerja lah lebih kuat lagi?
Beribadatlah lebih lagi?
Untuk dimurahkan rezeki?

Ya...
Sembang kalian sembang mereka yang berharta.
Sembang kalian sembang orang yang penuh wibawa.

Sedangkan ada mereka yang facebook pun tiada.
Motor buruk hanya tunggu masa.

Kerja lebih kuat dari si sarjana muda.

Kerja lebih ikhlas dari si phd mahupun master.

Hanya untuk mulut mereka sekeluarga.

Ya..
Mereka tak berharta.
Salah mereka kerana tidak berusaha di zaman muda.

Tapi adakah kita berilmu untuk menjadi penindas mereka?

Kalau itu sistem kehidupan.
Aku rela jadi bodoh dari kalian.Kerana aku taknak hilang perikemanusiaan.