Jumaat, 7 Februari 2014

syurga si miskin

Adakah dengan semakin kayanya seseorang itu akan membuatkan dia menjadi lebih bertimbang rasa dan simpati kepada golongan yang miskin. Dan adakah disebabkan kekayaan mereka itu (baik disebabkan kerja yang baik, perniagaan yang menguntungkan atau pun lahir dialam keluarga bangsawan yang kaya) mereka akan kurang cenderung untuk menzalimi, menipu atau mencuri dari manusia lain. Kita boleh andaikan mungkin disebabkan seseorang yang kaya itu mempunyai wang yang banyak dan juga kuasa untuk membantu yang lemah, itu sepatutnya membuatkan mereka lebih bertimbang rasa, prihatin dan lebih mempunyai sifat-sifat kemanusiaan.

Kebanyakan kita pasti menganggap orang miskin dan susah lah yang sepatutnya lebih cenderung untuk lebih tidak bertimbang rasa, menipu ataupun mencuri akan tetapi kajian oleh pakar psikolgi di Amerika menerusi ujikaji-ujikaji mereka membuktikan sebaliknya. Pakar psikologi Paul Piff dan Dacher Keltner telah melakukan beberapa ujikaji dengan melihat samada status sosial (diukur melalui kekayaan, kehebatan jawatan dan pendidikan) mempengaruhi sejauh mana keprihatinan atau bertimbang rasa seseorang itu terhadap insan yang lain.

Didalam salah satu ujikaji mereka, mereka memperhatikan secara rahsia memperhatikan kelakuan pemandu-pemandu disatu simpang empat yang sibuk. Mereka mendapati mereka yang memandu kereta mewah lebih cenderung untuk memotong kenderaan yang lain yang berbaris menunggu giliran untuk melepasi persimpangan tersebut. Pemandu kenderaan mewah ini (pemandu kenderaan tersebut dari golongan mereka yang berstatus tinggi) baik lelaki atau wanita, tanpa mengira masa atau kesibukan trafik sama sahaja memotong pemandu-pemandu lain. Didalam ujikaji yang lain pula, mereka mendapati pemandu kereta mewah lebih cenderung untuk melajukan kereta mereka di lintasan pejalan kaki walaupun mereka sudah bertentang mata dengan pejalan kaki yang mahu melintas jalan.


Adakah mereka yang kaya lebih cenderung untuk menipu? Dalam ujikaji seterusnya para peserta diminta untuk bermain permainan komputer yang mana pada skrin komputer tersebut akan menayangkan salah satu dari muka buah dadu hasil "lontaran" mereka yang kononnya terhasil secara rawak. Mereka diminta untuk merekodkan jumlah mata yang diperolehi dan jika lebih banyak mata diperolehi, lebih besar kemungkinan untuk mereka memenangi hadiah wang tunai. Lima lontaran dibenarkan dan mereka diminta untuk merekodkan bacaan mereka itu. Apa yang tidak diketahui oleh mereka adalah jumlah mata dari lima balingan dadu tersebut telah ditetapkan oleh komputer sebanyak 12 mata sahaja untuk setiap peserta. Golongan yang berstatus tinggi didapati lebih cenderung untuk menipu dan merekodkan jumlah mata yang lebih berbanding apa yang dipaparkan di komputer.


Adakah mementingkan diri sendiri membuatkan seseorang itu menjadi kaya? Ujikaji seterusnya oleh Paul Piff dan rakannya pula adalah dengan meminta para peserta membuat perbandingan mengenai kedudukan mereka berbanding orang lain dari sudut ekonomi. Pada masa yang sama juga mereka diberitahu bahawa setelah selesai menjawab soalan-soalan tersebut mereka boleh mengambil sebanyak mana gula-gula yang terdapat didalam balang dihadapan mereka. Pada masa yang sama juga mereka diberitahu bahawa baki gula-gula yang tinggal akan diberikan kepada kanak-kanak di pusat penjagaan berhampiran. Para peserta yang melabelkan diri mereka lebih baik dari segi ekonomi berbanding orang lain didapati telah mengambi lebih banyak gula-gula berbanding golongan yang kurang baik.

Tetapi mengapakah semakin kaya dan tinggi status sosial seseorang itu mengurangkan perasaan simpati dan timbang rasa seseorang itu terhadap insan lain? Paul Piff mengesyaki kemungkinannya adalah
disebabkan kekayaan dan status tinggi seseorang itu, mereka tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk hidup, dan semakin tidak bergantungnya seseorang itu kepada orang lain, semakin kurang kepedulian mereka terhadap kebajikan dan perasaan orang lain. Ini membawa kepada sikap pentingkan diri sendiri. Persoalan seterusnya adalah, adakah mereka golongan diatas ini sedar akan sikap buruk mereka ini? Malangnya didalam satu kajian yang lain, semakin tinggi pangkat seseorang itu, semakin dia tidak sedar akan sikap-sikap buruk mereka yang dapat dilihat oleh orang lain.


Didalam ujikaji yang lain pula, para peserta ujikaji diminta untuk menonton dua tayangan video dimana pada masa yang sama denyutan jantung mereka diukur. Satu video menunjukkan seorang memberi penjelasan bagaimana untuk membina patio dan satu lagi video berkenaan kanak-kanak yang mengidap kanser. Selepas menonton video tersebut, para peserta akan menjelaskan sejauh mana perasaan mereka apabila menonton video-video tersebut. Status sosial para peserta diketahui dengan menyoal selidik pendapatan dan tahap pendidikan mereka. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa para peserta yang rendah status sosialnya iaitu dengan pendapatan dan juga pendidikan yang rendah lebih menunjukkan rasa simpati apabila menonton video pesakit kanser, malah denyutan jantung mereka juga menjadi perlahan semasa menonton video tersebut yang mana menunjukkan tindak balas penumpuan mereka terhadap perasaan orang lain. Hasil kajian ini juga selari dengan penyelidikan sebelumnya yang mana golongan atasan lemah dalam mengenal pasti perasaan orang lain dan kurang menumpukan perhatian dengan orang-orang yang berinteraksi dengan mereka dengan cara membelek telefon bimbit mereka ataupun menconteng-conteng kertas.



Daripada penyelidikan-penyelidikan diatas, berapa ramai dikalangan pembaca yang dapat mengaitkannya dengan keadaan sebenar masyarakat kita hari ini? Adakah pemimpin-pemimpin kita yang semakin kaya dan tinggi taraf sosialnya itu benar-benar dapat memahami, bertimbang rasa, prihatin dan benar-benar berjiwa rakyat? Adakah mereka jujur dan tidak menipu rakyat dalamana mereka meneraju negara kita?

Melihat kepada jurang pendapatan yang semakin besar dinegara kita, hubungan antara kekayaan dan keprihatinan atau bertimbangrasa ini mempunyai implikasi yang teramat penting. Mereka yang berkuasa dinegara kita ini kebanyakan datangnya dari golongan yang berada, oleh itu jika status sosial ini mempengaruhi keprihatinan seseorang itu terhadap insan lain, nampaknya besar kemungkinan keputusan-keputusan atau polisi-polisi yang dianjurkan oleh mereka bukanlah sebenarnya membantu golongan yang miskin dan kurang bernasib baik malah lebih untuk mengenyangkan perut mereka.


Jika pemimpin yang dari kecil hidup didalam kemewahan dan tidak pernah kenal erti susah, wujudkah jaringan-jaringan neuron yang pernah terbentuk didalam otak mereka yang akan kembali aktif apabila melihat atau mendengar kesusahan rakyat dan kemudiannya merembeskan "peptid-peptid molekul emosi" yang akan menyelinap kesalur darah mereka memberikan perasaan sebenar erti kepayahan dan kesusahan? Jawapannya tentulah tidak. Buktinya teramat jelas kerana apabila negara mengalami masaalah ekonomi, rakyatlah dahulukan dalam usaha mencari wang untuk membayar hutang. Setelah gula, minyak, tol dan sebagainya akibat virus BN (Barang Naik), ditambah pula dengan GST untuk memaksa rakyat membayar beban hutang yang dibuat oleh kerajaan, barulah akhir sekali gaji menteri-menteri nak dipotong? Mengapa ianya tidak mula-mula sekali dilakukan jika mereka benar-benar berjiwa rakyat?


Jawapannya adalah, semakin kaya, semakin tinggi pangkat dan status sosial, semakin mereka tidak bertimbang rasa terhadap insan lain terutama sekali rakyat. Apa yang penting bagi mereka adalah untuk memastikan mereka terus kekal berkuasa dan rakyat semua perlu membayar harga untuk memastikan mereka terus kekal berkuasa. Barangkali jaringan neuron kesusahan yang ada didalam otak mereka adalah susahnya bagaimana nak mendapatkan undi. Selagi pemimpin sebegini memerintah, semakin hari semakin kehidupan rakyat menjadi susah.
Malah saranan-saranan bodoh juga dikemukakan oleh mereka kepada rakyat contohnya berhijrah kenegara lain jika tidak setuju dengan kepimpinan mereka. Nampaknya ketidak prihatinan, kesombongan dan kebodohan sudah berjalan berpimpin tangan dengan mereka.

Ini dilihat dari segi pemimpin, bagaimana dengan diri kita sendiri? Jika kita mengetahui bahawa dengan membuat pinjaman-pinjaman di bank ini akan menyebabkan meningkatnya inflasi disebabkan bertambahnya jumlah wang didalam kitaran berbanding dengan kekayaan sebenar, dan inflasi ini pula akan menyebabkan harga barangan meningkat yang mana pasti akan membebankan golongan berpendapatan rendah, adakah kita yang berkedudukan baik dengan pangkat tinggi dan gaji tetap setiap tahun naik ini akan berhenti membuat pinjaman-pinjaman baru, mengambil sifat zuhud dengan rumah kecil, kereta lama, berusaha membeli barangan baru secara tunai dan sebagainya?
Adakah kita yang bernasib baik ini mempunyai perasaan simpati terhadap golongan yang susah ini?

Adakah kita juga akan tetap memilih pemimpin yang sama dipilihanraya akan datang nanti walaupun kita tahu hasil kepimpinan mereka lebih banyak menyusahkan rakyat dan mengkayakan golongan segelintir hanya kerana kita takutkan perubahan yang akan menggugat kesenangan kehidupan kita? Pedulikah akan kita kepada nasib malang golongan kurang bernasib baik ini?


Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. 
(Al Imran 3:92)


Sesungguhnya Allah SW itu Maha Adil, semakin kaya dan berpangkat seseorang itu semakin kurang sifat timbang rasa dan simpati mereka kepada orang lain dan inilah cabarannya kepada kita sebagai manusia untuk senantiasa sedar bahawa segalanya ada "harga" yang perlu dibayar, tiada apa yang percuma didunia ini termasuklah untuk kekayaan dan pangkat kita itu. Ini memerlukan kita untuk menjadi "Pemerhati Yang Hebat", memerhatikan pemikiran kita yang kemudiannya akan menjadi tindak tanduk perbuatan yang akan mempengaruhi manusia-manusia lain. Sebab itulah disyurga lebih ramai orang miskin berbanding yang kaya seperti yang diberitahu oleh Nabi. Adakah kita pasti kita sudah mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian jika kita tidak mahu melepaskan sebahagian dari kesenangan kita itu?

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak… dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Al-Hadid 57:20)

Kita semua berkait, baik jika kita lihat dari kejadian Adam AS, Teori Big Bang mahupun ujikaji fizik kuantum, apa yang kita lakukan dan segala tindak tanduk kita ini akan mempengaruhi kehidupan kita. Marilah hidup dengan lebih matlamat kepada "kita" daripada "aku", kerana kita semua adalah satu, hidup didalam dunia yang satu dan menyembah Tuhan yang satu. Lebihkan memberi dan fikir-fikirkanlah sedalam-dalamnya sebelum mengambil. Allah SW tidak akan menghukum mereka yang memberi lebih, sebaliknya yang mengambil lebih dari apa yang sebenarnya hak diri manusia itu. Keputusannya ditangan anda, harap artikel ini dapat memberikan ketukan minda untuk mereka yang mahu berfikir.

Khamis, 6 Februari 2014

jangan menghukum

Bismillahirrahmanirrahim


Berkata Imam al-Ghazali dalam kitab al-Maqsad al-Asna: “Seorang hamba yang ingin meniru sifat al-Rahman ialah dengan cara menyayangi semua hamba Allah yang lalai lalu mengembalikan mereka kepada jalan Allah dengan nasihat & kelembutan, bukan dengan kekerasan. Dia selalu melihat kepada orang yang bermaksiat dengan mata rahmat, bukan mata hinaan.
Setiap maksiat yang terjadi di dunia ini seolah-olah musibah bagi dirinya, maka dia akan terus berusaha untuk menghilangkan maksiat itu dengan sekuat tenaga, sebagai tanda sayangnya kepada orang yang bermaksiat tersebut agar tidak mendapat kemurkaan Allah.
“Seorang hamba yang ingin meniru sifat al-Rahim, maka setiap kali ia melihat orang yang memerlukan bantuan, dia segera membantu. Setiap kali dia melihat orang fakir di negerinya, dia segera menolongnya dengan harta atau kedudukannya. Jika tidak mampu, dia akan berdoa untuknya & menampakkan kesedihan seolah-olah dia sedang berkongsi kefakiran itu.”

“People who love you are those who made du’a for you.” – Dr. Harris Shah

***

Benci pada dosa yang dilakukan & bukan pada orangnya. Elakkan dari menyerang peribadinya. Sangat tidak adil untuk kita menolak segala kebaikan yang dia lakukan. Sedangkan kita sang pendosa, Allah masih lagi menerima amal kebaikan kita walau sehalus habuk kipas, siapa kita untuk membenci dirinya sehingga buta terhadap kebaikan yang dia lakukan walaupun kebaikannya jelas terlihat di depan mata? Kita bercakap seolah-olah tidak pernah kenal erti apakah itu dosa.
Bongkaknya manusia.
Siapakah kita? Siapakah kau?
Jangan jadi penghukum.

Selalu kita menilai, “tidak adil bagi dia yang dahulunya seorang penagih dadah kini dia seorang peniaga yang berjaya”. Selalu kita menilai, “tidak adil bagi dia yang dahulunya kaki perempuan, bertukar-tukar lelaki, kini dia sudah berjodoh dengan pasangan yang baik, soleh & solehah”. Selalu kita menilai, “tidak adil bagi dia yang dahulunya seorang perompak, kini dia sudah berbahagia dengan kehidupan barunya”.


Apa lagi yang kita nilai?
Bernilaikah pandangan kita?

“The quieter you become, the more you can hear.” – Baba Ramdas

Allah Maha Adil. Setiap rintihan taubat hamba-Nya tidak kira siang & malam, tidak pernah offline, tidak pernah blackout akan Dia sahut. Allah tidak pernah berkelip walau sesaat sedangkan kita yang masih mampu tersengguk walaupun dalam meeting depan bos, menguap dalam kelas depan lecturer. Ada kita mampu terdengar dia sudah bertaubat?
Ada kita tahu Allah sudah ampunkan dosanya? Bagaimana pula dengan dosa kita kerana berburuk sangka?
Siapakah kita? Siapakah kau?
Selagi lagi. Jangan jadi penghukum.

Pendosa mempunyai perasaan. Dia juga mempunyai emosi. Kerana apa? Kerana aku juga seorang pendosa yang mempunyai perasaan & emosi. Juga terusik dengan kata yang keras & kesat. Dan aku masih lagi percaya, kasih sayang & cinta adalah senjata yang terbaik & bukannya perlian, kebencian hatta hinaan. Manusia mudah berubah dengan pujukan & doa. Lambat cepat itu bukan kerja kita, itu urusan Allah. Setiap pendosa mempunyai masa depan & setiap manusia mempunyai masa silamnya yang tersendiri.


Sekali lagi diulang.
Untuk hidup tenang, berbaik sangkalah. Jangan jadi penghukum.

Hidayah. Petunjuk. Kerja manusiakah dalam memberi hidayah kepada seseorang?
Buat kali yang terakhirnya. Jangan jadi penghukum tanpa kaca mata al-rahim al-rahim kerana kita juga pendosa yang mengharapkan kasih sayang & rahmat darinya.

Seseorang itu sikit amalnya.
Luarannya biasa biasa sahaja.
Seseorang ini banyak amalnya.
Luarannya tertutu rai tiada cacat cela.

Tetapi,
siapa tahu seseorang itu masuk ke syurga Allah kerana amalnya yang sedikit dihiasai dengan kecantikan berbaik sangka terhadap saudaranya & keikhlasan tanpa dirosaki oleh racun bangga.
Dan siapa tahu seseorang ini tergelincir ke neraka Allah kerana amalnya yang banyak tetapi dikaburi dengan riak & berburuk sangka terhadap orang disekelilingnya.

Siapa sangka?
Sudah terbukti bahawa Allah yang Maha Layak Menilai.

“I’ve found that if you love your life, life will love you back.” – Arthur Rubinstein

semesta































Selasa, 4 Februari 2014

kembali kepada Islam



evo FB




si dia

DI KALANGAN ramai kawan-kawan kita, pasti kita kenal dengan seseorang yang tidak boleh duduk diam. Ada sahaja perkara yang dilakukannya. Di tempat kerja, dialah penceria suasana. Kehadirannya menyemarakkan aura kegembiraan kerana keramahannya.

Tatkala kita duduk bersahaja dan bersembang kerana bos tidak memberi kita tugasan, kawan kita yang ini tertunduk-tunduk membuat kerja. Oleh kerana dia rajin, bos akan lebihkan tugasannya. Dia tidak akan kompelin. Jika kerjanya sudah selesai, dia bersembang juga dengan kita. Tetapi tangannya pasti tidak diam mengemas meja, menyusun fail atau mengelap komputer.

Di dalam mesyuarat, dialah yang akan mengambil inisiatif untuk bangun menuang minuman dan mengagih karipap. Jika dia tidak mulakan untuk menghidang, kita tidak akan melakukannya kerana berasakan tugas itu bukannya kerja kita.

Bila ada tetamu datang ke pejabat, dia akan ambil tahu dengan siapa orang itu hendak bertemu walaupun itu tugas penyambut tetamu. Bila ada mentol lampu terbakar atau sinki di pantri pejabat yang tersumbat, dia akan bersingsing lengan untuk memperbaikinya. Tidak payah kita memanggil pendawai elektrik atau tukang paip untuk memperbetulkannya.

Berkawan dengannya amat menyenangkan. Apa sahaja bantuan yang kita pinta pasti akan dibereskannya. Kerana itu, seandainya dia inginkan pertolongan kita, kita tidak akan teragak-agak menghulurkan bantuan. Tetapi, dia pula jenis orang yang tidak gemar meminta pertolongan kita. Sebaliknya, dia suka menyelesaikan masalahnya sendirian kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

Kalau kita tahu di mana rumahnya, pergilah berziarah. Kita akan lihat rumahnya serba lengkap. Di kediamannya ada semua. Televisyen, peti sejuk, mesin basuh, komputer, karpet, kerusi set dan segalanya. Namun, segala barangan di rumahnya serba sederhana, tersusun rapi dan bersih.

Berkenalanlah dengan anak dan isterinya. Mereka pun sama juga. Amat menyenangkan. Kerana itu, kita akan menjaga tata tertib bila di rumahnya kerana kita semakin hormat padanya. Kita hormati dia kerana dia telus dan tulus. Peribadinya di pejabat dan di rumah sama sahaja. Bukan hipokrat seperti sesetengah daripada kita.

Siapakah orang ini? Dia adalah orang yang bahagia. Dia bahagia kerana dia sudah berjaya. Berjaya menemui keharmonian di antara dirinya dengan anak isterinya, rakan-rakannya,  jiran-jirannya dan dengan kehidupannya.

Daripada segi fizikal, oleh kerana dia sentiasa ligat bergerak, dia tiada masa untuk berasa risau. Bergerak adalah suatu bentuk tindakan. Orang yang bertindak akan sentiasa berasa yakin dan tetap pendirian. Pergerakannya secara automatik membuatkan dia fokus untuk menyudahkan apa yang ada di depan matanya.

Berbeza sekali dengan kita yang daripada jenis yang lambat bertindak. Bila kita lambat bertindak, kita jadi lembab dan akhirnya  menangguhkan apa yang ingin kita lakukan. Orang tua ada berkata, kerja bertangguh tidak menjadi. Itulah kita berbanding dengan dia.

Daripada segi mental, oleh kerana sentiasa dalam mode bertindak, dia telah menguasai ketakutan.  Istilah takut tiada di dalam kamus fikirannya kerana ia tidak sempat bersarang di dalam mindanya.

Kita, yang hanya membiarkan imaginasi bermain di fikiran akan membangkitkan segala ragu, was-was dan bimbang hingga ia menjelma menjadi ketakutan. Menangguhkan tindakan akan mencambah rasa kegagalan ~ tewas sebelum bermula.

Daripada segi spiritual pula kawan kita itu berasa bahagia kerana dia menjaga keharmonian dengan Tuhannya dengan cara menjaga ibadahnya. Dengan menjaga perhubungan itu, insya-ALLAH, rahmat ALLAH SWT sentiasa melimpahi kehidupan sehariannya.

Kita pula tidak bahagia dari segi spiritual kerana cuai menjaga perhubungan kita dengan ALLAH SWT. Seringkali ibadah kita ditinggalkan di dalam lipatan sejadah. Selepas solat, kita tidak bawa intisari ibadah itu bersama dalam urusan dunia.

Inilah yang membezakan dia dengan kita. Dia punyai segala meskipun sedikit. Kita punyai sedikit meskipun mahu segalanya.

Najib kena baca

Kehadapan anakku Adam yang dikasihi, 

Ketika kau bersiap-siap untuk memulakan hari pertama persekolahan sesi petang, ayah senang melihat dirimu yang begitu bersemangat sambil bertali leher biru dengan mengenakan baju dan seluar sekolah baru.

Dan tatkala, kau mengucup tangan kasar yang pernah hinggap di tubuhmu, luluh dan tersiat-siat hati, melihat kau masih tersenyum biarpun di kakimu tersarung kasut lusuh tahun lalu dan beg sekolah yang sedikit carik di tepi. 

Di benak, hanya mampu berdoa agar kau tidak mewarisi segala kelemahan dan kekurangan ayah. Ayah sedar, segala impianmu, masih tidak mampu dan belum ditunaikan. Bersabarlah Adam. 

Malam sebelumnya, saat kau lena, ayah sukar melelapkan mata. Sesekali terdengar batuk kecilmu, ayah sedikit resah. Mula berkira-kira untuk ke klinik atau sekadar ke kedai mencari ubat sementara mencairkan kahak.

Runsing, ayah lalu menatap picisan berita. Semakin baca, ayah kurang mengerti cerita ekonomi. Lebih-lebih lagi, guna istilah subsidi atau rasionalisasi. Maaflah Adam, ayah tidak sekolah tinggi.

Tapi ayah yang naif ini tersinggung hati, bila menatap kata-kata Menteri yang cuba menyedapkan naluri atau mengajar cara hidup duniawi.

Ukur baju di badan sendiri dan jimat cermat. Kalau naik harga, janganlah makan ayam. Kalau tak nak bayar tol, ikut jalan lama. Harga minyak naik 20 sen saja, barang dan yang lain semua naik, sebab tidak dapat dielakkan lagi. Tapi tidak harga kangkung, buat ramai yang termenung. Buntu juga ayah, sekuat mana lagi mahu perut diikat batu.

Anakku Adam,

Mengurangkan belanja dan tenaga, ayah pun menaiki bas selepas Subuh ke tempat kerja di ibu kota. Jika tidak, tol pergi balik RM10.20, minyak RM20.00 dan parkir kereta RM6.00 setiap hari, perlu diambil kira. Jadi, selepas turun bas ayah lebih rela berjalan kaki untuk ke stesen LRT. Lepas turun LRT, jalan kaki semula untuk sampai destinasi. 

Ayah lakukan itu selain senaman, dapat kurangkan beban. Paling tidak, ada duit lebihan sekali sekala dapatlah ayah beli jajan. Bukan apa, tidak tergamak hati, bila ayah balik tanpa buah tangan, kau dan adik-adikmu sudah menunggu di balik pintu dengan harapan.

Tiap kali ke kedai runcit berdekatan, kau, abang dan adikmu pasti mengekori ayah. Dan setiap kali itulah, semuanya tidak pulang dengan hampa. 

Ada saja, air kotak, keropok, aiskrim atau paling sikit pun gula-gula sebagai habuan walaupun adakala hati ayah berdebar di kaunter bayaran, bimbang-bimbang baki tidak cukup di tangan.

Pernah sekali duit tidak cukup untuk lebihan,lantas ayah 'paksa' kau, abang dan adikmu ke surau dekat rumah untuk solat berjemaah. Dan waktu itu jugalah, ayah bergegas seorang diri ke kedai, untuk beli keperluan rumah. 

Kalau ikut ayah, pasti macam-macam. Dan ayah tidak sanggup melihat semua berputih mata dan pulang tanpa ada jajan untuk dijamah.

Adamku,

Sedikit denyut di kepala bila abangmu, menyua kertas yuran RM120.00 termasuk untuk kelas tambahan. Baru selesai membeli buku-buku sekolah kau dan abang-abangmu berharga RM233.00, kemudian sepersalinan pakaian sekolah semua dengan jumlah RM113.00, tiba pula surat kuning amaran pinta jelaskan bil elektrik yang terlewat bayar, hanya RM36.00 sahaja.

Tetapi lapang sedikit dada ayah, tidak perlu bayar yuran bas yang bakal berganda kerana kau, dan abang-abangmu sudah mula berdikari berjalan kaki ke sekolah. Itupun ditemani ibu. 

Biarpun belum sejuk peluh ibu menyiap masakan tengah hari di rumah, dengan sabar perlahan-lahan memimpin adik-adikmu untuk mengiringi kau ke pintu pagar sekolah. Oleh itu ingatlah, jika ibumu marah, janganlah kau menyanggah kerana tiap saat, jasanya kau mamah. 

Adam anakku,

Sebenarnya liku ini bukan kisah ayah seorang atau cerita meraih simpati, tetapi lembaran kisah ayah-ayah yang lain jua. Kisah ayahnya seorang penoreh getah, peneroka Felda atau membajak sawah.Juga kisahnya ayah-ayah yang kononnya dikatakan tidak terkesan dengan kenaikan harga sebab tidak mampu memiliki kereta. 

Mereka ini tidak pandai mereka-reka cerita dan tidak tahu untuk menukilkan pedihnya rasa seperti ayah. Adakalanya mereka cuba meluah tapi selalunya pasrah dengan apa-apa yang diarah atau dikatakan pemerintah. Lebih hina, mereka yang membantah digelar pula 'Bughah' (penderhaka). 

Adam,

Janganlah kau sebak, bilamana ayahmu seolah-olah menjadi pekak. Sebenarnya ayah dengar dan cuba menahan perasaan dengan aneka permintaan kau, abang dan adikmu, yang cukup mentah untuk membezakan apa itu perlu, apa itu kehendak.

Hidup kita mungkin sedikit baik Adam, berbanding ayah-ayah yang diberhentikan kerja serta-merta atau tidak mempunyai kerjaya atau gajinya cukup-cukup makan sahaja. Pasti, redup mata mereka untuk merenung sinar mata anaknya.

Oleh itu bersabarlah, Adam anakku. Moga semua berubah, paling tidak pun, di usia matangmu menjengah. Waktu itu, janganlah sekali-sekali alpa perintah Allah dan lupa ibumu yang bersusah payah.

Anakku Adam,

Ayah telah sedaya upaya berusaha namun apakan daya. Tetapi sekurang-kurangnya, kau tidak alami seperti abang sulungmu ketika kecil, ayah terpaksa isi botolnya dengan air suam, kerana tidak cukup wang untuk membeli susu. Ayah tidak dapat melupakan dan memaafkan diri sendiri, atas kesalahan dan kedaifan itu. 

Adam bersabarlah, ayah akan terus usaha membesarkanmu, ikhlas, sampai ke tulang putih ayah. Dan ayah hanya mampu menadah dan sesekali basah di hujung sejadah.