Tuesday, 4 February 2014

Najib kena baca

Kehadapan anakku Adam yang dikasihi, 

Ketika kau bersiap-siap untuk memulakan hari pertama persekolahan sesi petang, ayah senang melihat dirimu yang begitu bersemangat sambil bertali leher biru dengan mengenakan baju dan seluar sekolah baru.

Dan tatkala, kau mengucup tangan kasar yang pernah hinggap di tubuhmu, luluh dan tersiat-siat hati, melihat kau masih tersenyum biarpun di kakimu tersarung kasut lusuh tahun lalu dan beg sekolah yang sedikit carik di tepi. 

Di benak, hanya mampu berdoa agar kau tidak mewarisi segala kelemahan dan kekurangan ayah. Ayah sedar, segala impianmu, masih tidak mampu dan belum ditunaikan. Bersabarlah Adam. 

Malam sebelumnya, saat kau lena, ayah sukar melelapkan mata. Sesekali terdengar batuk kecilmu, ayah sedikit resah. Mula berkira-kira untuk ke klinik atau sekadar ke kedai mencari ubat sementara mencairkan kahak.

Runsing, ayah lalu menatap picisan berita. Semakin baca, ayah kurang mengerti cerita ekonomi. Lebih-lebih lagi, guna istilah subsidi atau rasionalisasi. Maaflah Adam, ayah tidak sekolah tinggi.

Tapi ayah yang naif ini tersinggung hati, bila menatap kata-kata Menteri yang cuba menyedapkan naluri atau mengajar cara hidup duniawi.

Ukur baju di badan sendiri dan jimat cermat. Kalau naik harga, janganlah makan ayam. Kalau tak nak bayar tol, ikut jalan lama. Harga minyak naik 20 sen saja, barang dan yang lain semua naik, sebab tidak dapat dielakkan lagi. Tapi tidak harga kangkung, buat ramai yang termenung. Buntu juga ayah, sekuat mana lagi mahu perut diikat batu.

Anakku Adam,

Mengurangkan belanja dan tenaga, ayah pun menaiki bas selepas Subuh ke tempat kerja di ibu kota. Jika tidak, tol pergi balik RM10.20, minyak RM20.00 dan parkir kereta RM6.00 setiap hari, perlu diambil kira. Jadi, selepas turun bas ayah lebih rela berjalan kaki untuk ke stesen LRT. Lepas turun LRT, jalan kaki semula untuk sampai destinasi. 

Ayah lakukan itu selain senaman, dapat kurangkan beban. Paling tidak, ada duit lebihan sekali sekala dapatlah ayah beli jajan. Bukan apa, tidak tergamak hati, bila ayah balik tanpa buah tangan, kau dan adik-adikmu sudah menunggu di balik pintu dengan harapan.

Tiap kali ke kedai runcit berdekatan, kau, abang dan adikmu pasti mengekori ayah. Dan setiap kali itulah, semuanya tidak pulang dengan hampa. 

Ada saja, air kotak, keropok, aiskrim atau paling sikit pun gula-gula sebagai habuan walaupun adakala hati ayah berdebar di kaunter bayaran, bimbang-bimbang baki tidak cukup di tangan.

Pernah sekali duit tidak cukup untuk lebihan,lantas ayah 'paksa' kau, abang dan adikmu ke surau dekat rumah untuk solat berjemaah. Dan waktu itu jugalah, ayah bergegas seorang diri ke kedai, untuk beli keperluan rumah. 

Kalau ikut ayah, pasti macam-macam. Dan ayah tidak sanggup melihat semua berputih mata dan pulang tanpa ada jajan untuk dijamah.

Adamku,

Sedikit denyut di kepala bila abangmu, menyua kertas yuran RM120.00 termasuk untuk kelas tambahan. Baru selesai membeli buku-buku sekolah kau dan abang-abangmu berharga RM233.00, kemudian sepersalinan pakaian sekolah semua dengan jumlah RM113.00, tiba pula surat kuning amaran pinta jelaskan bil elektrik yang terlewat bayar, hanya RM36.00 sahaja.

Tetapi lapang sedikit dada ayah, tidak perlu bayar yuran bas yang bakal berganda kerana kau, dan abang-abangmu sudah mula berdikari berjalan kaki ke sekolah. Itupun ditemani ibu. 

Biarpun belum sejuk peluh ibu menyiap masakan tengah hari di rumah, dengan sabar perlahan-lahan memimpin adik-adikmu untuk mengiringi kau ke pintu pagar sekolah. Oleh itu ingatlah, jika ibumu marah, janganlah kau menyanggah kerana tiap saat, jasanya kau mamah. 

Adam anakku,

Sebenarnya liku ini bukan kisah ayah seorang atau cerita meraih simpati, tetapi lembaran kisah ayah-ayah yang lain jua. Kisah ayahnya seorang penoreh getah, peneroka Felda atau membajak sawah.Juga kisahnya ayah-ayah yang kononnya dikatakan tidak terkesan dengan kenaikan harga sebab tidak mampu memiliki kereta. 

Mereka ini tidak pandai mereka-reka cerita dan tidak tahu untuk menukilkan pedihnya rasa seperti ayah. Adakalanya mereka cuba meluah tapi selalunya pasrah dengan apa-apa yang diarah atau dikatakan pemerintah. Lebih hina, mereka yang membantah digelar pula 'Bughah' (penderhaka). 

Adam,

Janganlah kau sebak, bilamana ayahmu seolah-olah menjadi pekak. Sebenarnya ayah dengar dan cuba menahan perasaan dengan aneka permintaan kau, abang dan adikmu, yang cukup mentah untuk membezakan apa itu perlu, apa itu kehendak.

Hidup kita mungkin sedikit baik Adam, berbanding ayah-ayah yang diberhentikan kerja serta-merta atau tidak mempunyai kerjaya atau gajinya cukup-cukup makan sahaja. Pasti, redup mata mereka untuk merenung sinar mata anaknya.

Oleh itu bersabarlah, Adam anakku. Moga semua berubah, paling tidak pun, di usia matangmu menjengah. Waktu itu, janganlah sekali-sekali alpa perintah Allah dan lupa ibumu yang bersusah payah.

Anakku Adam,

Ayah telah sedaya upaya berusaha namun apakan daya. Tetapi sekurang-kurangnya, kau tidak alami seperti abang sulungmu ketika kecil, ayah terpaksa isi botolnya dengan air suam, kerana tidak cukup wang untuk membeli susu. Ayah tidak dapat melupakan dan memaafkan diri sendiri, atas kesalahan dan kedaifan itu. 

Adam bersabarlah, ayah akan terus usaha membesarkanmu, ikhlas, sampai ke tulang putih ayah. Dan ayah hanya mampu menadah dan sesekali basah di hujung sejadah.

No comments:

Post a Comment