Sunday, 16 February 2014

sate samuri

SEBUT sahaja nama pekan Kajang pasti ramai yang akan memikirkan tentang Sate Kajang Haji Samuri. Mungkin ramai yang hanya mengenali kesedapan Sate Kajang tetapi tidak mengetahui dari mana ia bermula dan siapa yang menciptanya.

Pemilik restoran Sate Kajang Datuk Samuri Juraimi berkata, jualan sate di Kajang dimulakan oleh Tasmin Sakiban pada 1917 yang berhijrah dari Indonesia ke Malaysia bersama saudaranya.

“Mereka bersaudara telah bekerja di sebuah ladang Inggeris, namun Haji Tasmin telah berhenti bekerja di ladang tersebut dan memilih untuk berniaga sate.

“Pada awalnya Haji Tasmin berniaga secara kecil-kecilan dan lama-kelamaan dia telah membuka gerai sate,” katanya.

Menurut Samuri, beliau mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan sate bermula apabila menumpang di rumah Tasmin sewaktu dalam tingkatan satu.

“Saya tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Haji Tasmin, tetapi ibu saudara saya telah berkahwin dengannya selepas kematian isteri pertama,nya” katanya.

Setiap hari selepas waktu sekolah, Samuri membantu Tasmin sehingga beliau menamatkan zaman persekolahannya pada 1963.

Sebelum mendapat pekerjaan, beliau membantu Tasmin sepenuh masa sehingga tahun 1965 dan bekerja di pejabat Telekom.

Walaupun telah bekerja, Samuri masih lagi membantu Tasmin berniaga sehingga tahun 1987 apabila beliau mengambil keputusan berhenti kerja walaupun ketika itu bergaji lumayan semata-mata untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan sate.


Sate Kajang Haji Samuri bermula pada 1992

Bermulanya kisah perjalanan Sate Kajang adalah apabila Tasmin meninggal dunia. Anak-anak kepada arwah Tasmin meminta Samuri menguruskan perniagaan sate tersebut sehingga 1992 ketika beliau berusia 42 tahun.

Disebabkan desakan anaknya serta pengalaman yang dimiliki, beliau berjaya membuka sendiri perniagaan sate dengan menggunakan nama Sate Kajang Haji Samuri.

Bermodalkan RM18,000 yang kemudian meningkat kepada RM 30,000 Samuri memulakan perniagaan di gerai No. 5 di Medan Sate Kajang yang diambil alih daripada tauke Cina yang menjual air tebu.

“Waktu itu saya menghadapi kesukaran apabila bermula daripada bawah kerana rata-rata pengunjung yang datang mahu sate Haji Tasmin.

“Ada juga yang meninggalkan kedai apabila mengetahui kedai itu bukan kedai Haji Tasmin. Tetapi semua itu cabaran dalam perniagaan dan saya ambilnya positif,” katanya.

Sehingga sekarang, lebih 20 cawangan seluruh Malaysia telah dibuka, di samping tiga kilang diwujudkan untuk membuat sate dan kuahnya secara manual.


Jadikan saingan sebagai cara memantapkan perniagaan

Selama 21 tahun berniaga, pasti ramai tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik kejayaan yang dimiliki Samuri.

Bagi beliau, segala usaha yang dilakukan perlu disusuli dengan doa kepada ALLAH dan sentiasa bersyukur.

“Sewaktu saya bersama Haji Tasmin lagi,  dia banyak memberikan nasihat kepada saya dan sememangnya nasihat yang diberikan saya guna sehingga sekarang.

“Dalam perniagaan, jika kita memudahkan pelanggan nescaya pelanggan akan mudahkan urusan kita,” katanya.

Menurut Samuri, dalam perniagaan pasti akan ada persaingan tetapi setiap persaingan itu mestilah dilihat sebagai sesuatu yang positif.

“Jatuh bangun dalam perniagaan adalah resam kehidupan, jadi jangan salahkan sesiapa sekiranya kita jatuh dan jangan mudah mendabik dada dengan kejayaan.

“Kita perlu menjadi seorang yang kreatif dan melihat dari pelbagai perspektif untuk memajukan perniagaan,” katanya.

Selain itu, Samuri mempunyai cara yang tersendiri untuk memastikan kepuasan pelanggan menjadi keutamaannya.

Beliau telah meletakkan kad perniagaannya di setiap kedai dan dari situ dia akan menjadi orang pertama menerima kritikan dan pandangan orang ramai.

Samuri merasakan setiap hari adalah hari pertama beliau mula berniaga dan daripada itu beliau perlu berusaha keras.

“Sebagai peniaga makanan, kita perlu berpegang kepada beberapa prinsip. Pertama ialah produk yang dihasilkan mestilah setiap hari serupa.

Kedua, servis terbaik diberikan kepada pelanggan dan yang terakhir adalah persekitaran yang selesa,” katanya.


Diwarisi semua anak 

Mengenai siapa pewaris kepada perniagaannya kelak, Samuri menyatakan kesemua anak-anaknya sekarang telah turut serta menguruskan perniagaan itu.

“Pada permulaan, anak kedua saya merupakan individu terawal mengikut saya semasa saya menguruskan perniagaan sate Haji Tasnim lagi.

“Saya tidak memaksa mereka untuk bekerja dengan saya, tetapi jika mahu bekerja dengan saya memang saya alu-alu-kan,” katanya.

Perniagaan keluarga ini turut disertai menantu Samuri yang rata-ratanya mempunyai kerjaya tetapi lebih berminat dengan dunia perniagaan.


Merancang ke peringkat global
Samuri turut merakamkan jutaan terima kasih kepada pelanggan yang banyak menyokong perniagaan satenya itu.

Setelah 21 tahun mengusahakan perniagaan ini, Samuri menyatakan hasratnya untuk melebarkan perniagaannya ke luar negara.

“Untuk mengembangkan perniagaan, kita mempunyai dua cara iaitu secara persendirian dan juga secara francais.

“Tetapi itu semua adalah untuk jangka masa yang panjang. Untuk jangka masa pendek pihak kami bakal membuka cawangan di Rawang,” katanya.

Sebelum ini, terdapat agensi yang telah membawa produk Samuri ke beberapa negara untuk mendapatkan respon.


BIODATA 

Tarikh Lahir: 25 Julai 1944
Lahir: Sungai Ramal Dalam, Kajang
Umur: 69 Tahun
Prinsip: Jangan sesekali menyusahkan orang dan menipu orang dalam apa jua bidang yang diceburi
Hobi: Mengumpul barangan antik dan melancong
Kegemaran: Suka makan sate tidak kira apa jenis sate
Isteri: Datin Hajjah Jani Mohamad Amir
Anak: 5 orang
1. Norsham
2. Sofian
3. Nur Ilyana
4. Shafeq
5. Nurul Aqilah

No comments:

Post a Comment